Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 3/4)
Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 2/4)
Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 4/4)
Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 3/4)
2020-05-10 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (12)

Nota Editor:

“Hayat Kristus mengalir dari Kepala ke Tubuh-Nya untuk memberinya hayat, tenaga, dan kecergasan. Memandangkan tubuh kita ialah anggota bagi Tubuh itu, sudah tentu hayat akan mengalir ke tubuh kita. Walau bagaimanapun, hayat ini diterima menerusi iktikad.”

“Kita harus memberi perhatian kepada “prinsip bertentangan”. Duri tidak pernah meninggalkan Paulus, dan kelemahan yang berpunca daripada duri itu pun tidak pernah meninggalkan Paulus. Namun begitu, kudrat Kristus bertabernakal atas tubuh yang lemah ini agar tubuh ini dapat memenuhi segala keperluan. Kudrat Kristus bertentangan dengan kelemahan Paulus.”

“Daripada ini kita melihat prinsip hayat Tuhan menjadi kekuatan tubuh kita. Hayat Tuhan tidak akan mengubah sifat tubuh kita yang lemah dan fana, sebaliknya meresapi tubuh manusia untuk membekali apa yang tidak dapat dibekalkan tubuh manusia. Oleh itu, menurut keadaan alamiahnya, Paulus adalah paling lemah, namun menurut kudrat yang diperolehnya daripada Kristus, dia adalah paling kuat. Kekuatan yang dibicarakan dalam petikan Bible ini terutamanya merujuk kepada tubuh dutus. Kita tahu bahawa dutus Paulus bekerja tidak henti-henti siang dan malam, berjerih lelah dari segi mental dan fizikal untuk melakukan kerja yang bahkan tidak dapat dilakukan oleh tiga hingga empat orang yang paling kuat. Jika tubuh Paulus tidak dihidupkan oleh Roh Kudus, masakan tubuhnya yang begitu lemah mampu menanggung sebegitu banyak? Tuhan memberi kekuatan kepada tubuh Paulus; inilah hakikat yang pasti.”

“Dalam ayat Bible ini [2 Kor. 4:10-11], kita dapat melihat Tuhan menyembuhkan kita, memperkuat kita melalui hayat Yesus. Hal ini amat mustahak. Tubuh daging kita yang akan mati ini dapat diperkuat bukan kerana sifat tubuh ini berubah menjadi kebal. Sifat tubuh kita masih seperti lama, tetapi hayat yang membekalkan kekuatan kepada tubuh ini sudah berubah. Asalnya kita bergantung pada hayat alamiah sebagai sumber kekuatan kita; sekarang kita bersandar pada hayat Kristus untuk mendapatkan bekalan. Disebabkan kita beroleh hayat kebangkitan Kristus untuk menopang tubuh kita, maka kita dapat diperkuat untuk bekerja.”

“Hayat Tuhan adalah untuk Tuhan. Tuhan memanifestasikan hayat-Nya dalam tubuh kita demi menyempurnakan kerja-Nya sendiri. Dia tidak berniat memberi hayat dan kekuatan-Nya kepada kita supaya kita hidup dan bekerja untuk diri sendiri. Dia tidak akan memberi kita kekuatan untuk menjayakan tujuan kita sendiri. Jika kita tidak hidup mutlak untuk-Nya, menyerahkan segala-gala untuk-Nya, Dia tidak akan memberi hayat ini kepada kita.”

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB TIGA

TUHAN MENJADI HAYAT TUBUH (Bahagian 3/4)

Bacaan Bible:

2 Kor. 12:9-10 “Dan Dia berkata kepadaku, Kurnia-Ku cukup bagimu; kerana kudrat-Ku disempurnakan dalam kelemahan orang. Oleh itu, aku sukacita sekali bermegah dalam kelemahanku supaya kudrat Kristus dapat bertabernakal atasku. Oleh itu, bagi pihak Kristus, aku amat senang hati dalam kelemahan, dalam penghinaan, dalam keperluan, dalam penindasan dan keperitan; kerana ketika aku lemah, ketika itulah aku berkudrat.”

2 Kor. 4:10-11 “Sentiasa membawa pematian Yesus pada tubuh supaya hayat Yesus juga dapat dimanifestasikan dalam tubuh kami. Kerana kami yang hidup, sentiasa diserahkan kepada kematian demi Yesus supaya hayat Yesus juga dapat dimanifestasikan dalam tubuh daging kami yang akan mati.”

PENGALAMAN PAULUS

Sekiranya kita menerima ajaran Bible bahawa tubuh kita ialah anggota Kristus, maka kita tidak boleh menafikan ajaran bahawa hayat Kristus mengalir dalam tubuh kita. Hayat Kristus mengalir dari Kepala ke Tubuh-Nya untuk memberinya hayat, tenaga, dan kecergasan. Memandangkan tubuh kita ialah anggota bagi Tubuh itu, sudah tentu hayat akan mengalir ke tubuh kita. Walau bagaimanapun, hayat ini diterima menerusi iktikad. Setakat mana kita melatih iktikad untuk menerima hayat ini, setakat itulah kita beroleh hayat ini. Kita sudah melihat daripada Bible bahawa hayat Tuan Yesus boleh diterima dan diterapkan oleh tubuh percayawan. Namun hal ini tertakluk pada iktikad. Barangkali banyak percayawan berasa hairan apabila mereka mendengar ajaran begini pada kali pertama. Bagaimanapun, kita tidak boleh memperkecil ajaran Bible yang tersurat. Jika kita memperhatikan pengalaman Paulus sendiri, kita akan melihat alangkah berharga dan benarnya hal ini.

Dutus Paulus berbicara tentang keadaan tubuhnya dalam 2 Korintus 12. Mula-mulanya dia memberitahu kita bahawa terdapat satu duri pada tubuhnya dan dia memohon Tuan sebanyak tiga kali agar mengambil duri ini daripadanya. Namun Tuan berkata kepadanya, “Kurnia-Ku cukup bagimu; kerana kudrat-Ku disempurnakan dalam kelemahan orang” (ay. 9). Dengan itu dutus berkata, “Oleh itu, aku sukacita sekali bermegah dalam kelemahanku supaya kudrat Kristus dapat bertabernakal atasku… kerana ketika aku lemah, ketika itulah aku berkudrat” (ay. 9b-10). Apakah duri yang ada pada tubuh dutus? Kita boleh mengabaikan soalan ini kerana Bible tidak memberitahu kita. Namun suatu perkara yang pasti ialah: Duri yang ada pada tubuh dutus ini membawa kesan yang melemahkan tubuhnya. Bahasa asal perkataan lemah dalam konteks ini merujuk kepada kelemahan tubuh. Perkataan yang sama turut digunakan dalam Matius 8:17. Bahkan orang Korintus juga tahu tentang kelemahan tubuh dutus (2 Kor. 10:10). Dutus sendiri juga mengatakan bahawa ketika dia bersama dengan mereka pada kali pertama, dia berada dalam kelemahan (1 Kor. 2:3). Ini bukan bermaksud dutus tidak mempunyai kudrat rohani kerana surat-surat Satu dan Dua Korintus cukup menunjukkan bahawa dutus penuh dengan kudrat rohani. Tambahan pula, perkataan “kelemahan” dalam ayat ini sama dengan perkataan yang digunakan untuk mengatakan tubuh lemah seperti yang tersebut di atas. Perkataan yang sama juga digunakan dalam dua petikan yang lain untuk menunjukkan keadaan tubuh jasmani yang akan mati.

Oleh itu, berdasarkan beberapa ayat Bible ini, kita dapat melihat keadaan tubuh fizikal Paulus. Keadaan tubuhnya asalnya sangat lemah. Namun, adakah dutus kekal lemah? Tidak. Dia memberitahu kita bahawa kudrat Kristus bertabernakal atas-Nya untuk memperkuatnya. Kita harus memberi perhatian kepada “prinsip bertentangan”. Duri tidak pernah meninggalkan Paulus, dan kelemahan yang berpunca daripada duri itu pun tidak pernah meninggalkan Paulus. Namun begitu, kudrat Kristus bertabernakal atas tubuh yang lemah ini agar tubuh ini dapat memenuhi segala keperluan. Kudrat Kristus bertentangan dengan kelemahan Paulus. Kudrat ini tidak menyingkirkan duri itu mahupun mengusir kelemahan daripada tubuh, tetapi tinggal dalam Paulus untuk menangani segala-gala yang tidak dapat ditangani oleh tubuh Paulus yang lemah ini. Hal ini umpama sumbu yang dinyalakan namun tidak terbakar habis kerana pelita itu penuh dengan minyak. Sumbu masih sangat lemah, tetapi minyak menggantikan sumbu untuk membekali segala tuntutan api ke atasnya.

Daripada ini kita melihat prinsip hayat Tuhan menjadi kekuatan tubuh kita. Hayat Tuhan tidak akan mengubah sifat tubuh kita yang lemah dan fana, sebaliknya meresapi tubuh manusia untuk membekali apa yang tidak dapat dibekalkan tubuh manusia. Oleh itu, menurut keadaan alamiahnya, Paulus adalah paling lemah, namun menurut kudrat yang diperolehnya daripada Kristus, dia adalah paling kuat. Kekuatan yang dibicarakan dalam petikan Bible ini terutamanya merujuk kepada tubuh dutus. Kita tahu bahawa dutus Paulus bekerja tidak henti-henti siang dan malam, berjerih lelah dari segi mental dan fizikal untuk melakukan kerja yang bahkan tidak dapat dilakukan oleh tiga hingga empat orang yang paling kuat. Jika tubuh Paulus tidak dihidupkan oleh Roh Kudus, masakan tubuhnya yang begitu lemah mampu menanggung sebegitu banyak? Tuhan memberi kekuatan kepada tubuh Paulus; inilah hakikat yang pasti.

Bagaimanakah Tuhan menguatkannya? Paulus telah menyebut masalah tubuhnya dalam ayat-ayat sebelum ini (2 Kor. 4). Dia berkata, “Sentiasa membawa pematian Yesus pada tubuh supaya hayat Yesus juga dapat dimanifestasikan dalam tubuh kami. Kerana kami yang hidup, sentiasa diserahkan kepada kematian demi Yesus supaya hayat Yesus juga dapat dimanifestasikan dalam tubuh daging kami yang akan mati” (ay. 10-11). Daripada ini kita dapat memperhatikan bahawa ayat 10 dan 11 seolah-olahnya berulang, tetapi sebenarnya tidak. Ayat 10 mengatakan soal hayat Yesus dimanifestasikan dalam tubuh kita; ayat 11 pula mengatakan hayat Yesus dimanifestasikan dalam tubuh daging kita yang akan mati. Banyak orang dapat memanifestasikan hayat Yesus dalam tubuh mereka, namun mereka tidak selanjutnya memanifestasikan hayat Yesus dalam tubuh daging mereka yang akan mati. Terdapat perbezaan yang amat ketara antara dua perkara ini. Apabila seseorang pekudus jatuh sakit, dia amat patuh, amat bersabar, tidak bersungut, tidak gelisah; dia merasakan hadirat Tuan, dan mengekspresikan virtu Tuan Yesus pada wajahnya, dalam nada suaranya, dan dalam tindak-tanduknya. Melalui Roh Kudus dia sesungguhnya memanifestasikan hayat Tuan Yesus dalam tubuhnya. Akan tetapi, dia tidak mengenali bahawa Tuan Yesus akan menyembuhkan penyakitnya; dia tidak pernah mendengar bahawa hayat Yesus juga adalah untuk tubuhnya yang hina. Oleh itu, dia tidak melatih iktikad untuk menerapkan penyembuhan Tuan ke atas penyakitnya, seperti dahulu ketika dia percaya kepada pembersihan Tuan dan mengalami rohnya yang mati dihidupkan Tuhan. Akibatnya, dia tidak memanifestasikan hayat Yesus dalam tubuh dagingnya yang “akan mati”. Dia memperoleh kurnia Tuan dan mampu menanggung penderitaan, namun dia tidak mendapat penyembuhan. Dia mempunyai pengalaman ayat 10 tetapi kekurangan pengalaman ayat 11.

Dalam ayat Bible ini, kita dapat melihat Tuhan menyembuhkan kita, memperkuat kita melalui hayat Yesus. Hal ini amat mustahak. Tubuh daging kita yang akan mati ini dapat diperkuat bukan kerana sifat tubuh ini berubah menjadi kebal. Sifat tubuh kita masih seperti lama, tetapi hayat yang membekalkan kekuatan kepada tubuh ini sudah berubah. Asalnya kita bergantung pada hayat alamiah sebagai sumber kekuatan kita; sekarang kita bersandar pada hayat Kristus untuk mendapatkan bekalan. Disebabkan kita beroleh hayat kebangkitan Kristus untuk menopang tubuh kita, maka kita dapat diperkuat untuk bekerja.

Dutus tidak mengatakan bahawa selepas dia hidup melalui Tuan, dia tidak lagi akan lemah. Bila-bila sahaja kudrat Kristus tidak bertabernakal atasnya, dia masih lemah seperti masa dahulu. Kita boleh kehilangan manifestasi hayat Tuan Yesus dalam tubuh kita atas sebab kita cuai, merdeka daripada Tuhan, atau melakukan dosa. Kadangkala tidak ada apa-apa kelemahan pada diri kita; namun disebabkan kita dengan berani menyerang kuasa kegelapan, maka tubuh kita diserang kuasa kegelapan. Pada masa lain, kita mungkin sentiasa menderita demi Tubuh Kristus kerana kita mempunyai pengalaman yang mendalam terhadap Tubuh Kristus. Walau bagaimanapun, dua faktor yang terakhir ini hanya dialami oleh orang yang amat tinggi kerohaniannya. Seperkara lagi yang pasti: Walaupun kita masih akan menjadi lemah, tetapi Tuhan tidak menghendaki kita cacat, tidak dapat bekerja untuk-Nya sehinggakan Dia mengalami kerugian. Dutus Paulus selalu lemah, tetapi kerja Tuhan tidak pernah menderitai kerugian disebabkan kelemahannya. Kita mengakui kuasa Tuhan yang tidak terbatas, namun kita juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab kita.

Daripada petikan Bible ini kita melihat bahawa “hayat Yesus juga dapat dimanifestasikan dalam tubuh daging kami yang akan mati” kerana kita “sentiasa diserahkan kepada kematian demi Yesus”. Dengan kata lain, kita harus menyangkal hayat sendiri dengan sepenuhnya terlebih dahulu, barulah hayat Tuan Yesus dapat dimanifestasikan dalam tubuh. Daripada ini kita melihat hubungan antara kehidupan yang rohani dan tidak mementingkan diri dengan tubuh yang sihat. Hayat Tuhan adalah untuk Tuhan. Tuhan memanifestasikan hayat-Nya dalam tubuh kita demi menyempurnakan kerja-Nya sendiri. Dia tidak berniat memberi hayat dan kekuatan-Nya kepada kita supaya kita hidup dan bekerja untuk diri sendiri. Dia tidak akan memberi kita kekuatan untuk menjayakan tujuan kita sendiri. Jika kita tidak hidup mutlak untuk-Nya, menyerahkan segala-gala untuk-Nya, Dia tidak akan memberi hayat ini kepada kita. Dengan ini, kita mendapati sebab banyak orang mencari penyembuhan dan kekuatan namun gagal. Mereka menyangka bahawa kesihatan dan kekuatan adalah untuk kenikmatan sendiri. Mereka mencari hayat Tuhan untuk tubuh mereka supaya diri mereka lebih selesa, lebih gembira, lebih senang, dan tidak terhalang untuk mengambil apa-apa tindakan. Atas sebab ini, mereka masih lemah dan tidak berupaya sehingga hari ini. Tuhan sama sekali tidak mahu memberi hayat-Nya kepada kita untuk kegunaan kita sendiri sehinggakan kita terus hidup melalui hayat diri dan menyebabkan kehendak-Nya terus mengalami kerugian yang besar. Tuhan kini sedang menantikan anak-anak-Nya sampai ke penghujung, barulah Dia akan memberi mereka apa-apa yang dicari mereka.

Apakah maksud “pematian Yesus”? Maksudnya ialah hayat Tuan Yesus yang “sentiasa diserahkan kepada kematian”. Tuan menjalani kehidupan yang menyangkal diri seumur hidup-Nya. Dia tidak pernah melakukan apa-apa melalui diri sendiri, Dia melakukan kerja Tuhan sehingga mati. Dutus memberitahu kita bahawa dia membenarkan pematian Yesus sebegini bekerja dalam tubuhnya agar hayat Tuan Yesus dapat dimanifestasikan dalam tubuh dagingnya yang akan mati. Mampukah kita menerima ajaran sebegini? Tuhan sekarang menantikan orang yang rela menerima pematian Tuan Yesus, agar Tuan Yesus dapat hidup dalam tubuhnya. Siapakah yang rela menuruti kehendak Tuhan sepenuhnya? Siapakah yang rela tidak memulakan apa-apa melalui diri sendiri dalam segala sesuatu? Siapakah yang rela terus-menerus menyerang kuasa kegelapan demi Tuhan? Siapakah yang enggan menggunakan tubuh sendiri untuk menggenapkan apa-apa untuk diri sendiri? Hanya orang sedemikian layak memanifestasikan hayat Tuan Yesus dalam tubuh daging mereka. Sekiranya kita memberi perhatian kepada aspek mati, Tuhan akan menjaga aspek hidup. Kita menyerahkan kelemahan kita kepada-Nya, Dia membalas dengan memberi kekuatan-Nya kepada kita. (bersambung...)

Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 2/4)
Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 4/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)