Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 1/4)
Penyakit (Bahagian 4/4)
Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 2/4)
Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 1/4)
2020-05-08 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (10)

Nota Editor:

Dalam bab ini, “Tuhan Menjadi Hayat Tubuh”, Dikbang Nee membentangkan satu kebenaran yang bernilai, yang sangat diabaikan orang sama ada disebabkan kejahilan atau ketidakpercayaan. Untuk menanggap faham kebenaran tentang Tuhan menjadi hayat tubuh, pembaca sama sekali perlu miskin dalam roh (Mat. 5:3) dan murni dalam hati (Mat. 5:8), supaya dia dapat melihat Tuhan, mendengar Tuhan, mengenali Tuhan, dan memperoleh Tuhan. Dia juga perlu berdoa dengan sungguh-sungguh, memohon secara khusus untuk roh kearifan dan wahi daripada Tuhan Bapa (Ef. 1:17). Kata-kata Tuan dalam Yohanes 10:10b “Aku datang supaya mereka beroleh hayat dan berolehnya secara berlimpah-limpah” akan menjadi begitu nyata baginya jauh lebih daripada yang difikirkannya. 

“Lazimnya kita menganggap hayat Kristus adalah untuk roh kita, bukan untuk tubuh kita. Namun sebenarnya setelah roh kita beroleh hayat, penyelamatan Tuhan mencapai tubuh kita...Roh Kudus huni dalam kita bukan sahaja memperkuat manusia dalaman kita, mencahayai mata hati kita, bahkan menyihatkan tubuh badan kita.”

“Kita juga telah melihat bagaimana Roh Kudus memberi hayat kepada tubuh kita yang akan mati. Dia tidak tunggu sampai kita mati baru membangkitkan kita; sebaliknya Dia memberi hayat kepada tubuh kita yang akan mati ini pada hari ini juga. Pada kemudian hari, Dia akan membangkitkan tubuh yang korup, namun pada hari ini, Dia ingin memberi hayat kepada tubuh kita yang akan mati. Kekuatan hayat-Nya menyusup ke dalam setiap sel diri kita agar kita mengalami hayat dan kudrat-Nya dalam tubuh kita.”

“Bukan lagi aku yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalamku [Gal. 2:20]. Kini Kristus sumber hayat kita [Kol. 3:4]. Kini Dia hidup dalam kita, sama seperti tatkala Dia hidup dalam tubuh dagingnya.”

“Hanya hayat Tuan Yesus yang dapat memenuhi segala keperluan kehidupan, kerja, dan peperangan rohani. Hanya Dia yang dapat memenuhi kekuatan untuk berperang dengan dosa dan Syaitan.”

“Setiap percayawan harus melihat realiti bahawa dia telah bergabung dengan Tuan. Tuan ialah pohon anggur, kita ialah ranting-ranting. Sebagaimana ranting-ranting bergabung dengan pohon, demikian juga kita bergabung dengan Tuan Yesus. Ranting-ranting bergabung dengan pohon dengan menerima aliran hayat pohon dalam ranting-ranting. Bukankah penyatuan kita dengan Tuan Yesus begitu juga?”

“Oleh itu, kita harus melihat bahawa meskipun hal-hal ini berlaku pada tubuh, namun sebenarnya ia perkara rohani. Pengalaman Tuhan menyembuhkan penyakit kita dan memperkuat kita bukan pengalaman fizikal, tetapi pengalaman rohani, sungguhpun ia berlaku dalam tubuh jasmani. Pengalaman sebegini tidak lain tidak bukan ialah hayat Tuan Yesus diekspresikan pada tubuh kita yang akan mati.”

“Matius 4 menunjukkan kepada kita bahawa sabda Tuhan ialah hayat kepada tubuh jasmani kita. “Manusia hidup bukan bergantung pada roti sahaja, tetapi pada setiap sabda yang keluar daripada mulut Tuhan” [Mat. 4:4]. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sabda Tuhan dapat menopang tubuh jasmani kita...Dengan itu kita akan melihat bahawa Tuhan bukan sahaja hayat kepada roh kita, bahkan hayat kepada tubuh jasmani kita. Hari ini kita rugi kerana gagal menyedari bahawa sabda Tuhan (Bible) menyediakan perbekalan yang begitu kaya untuk tubuh jasmani kita.”

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB TIGA

TUHAN MENJADI HAYAT TUBUH (Bahagian 1/4)

Bacaan Bible:

1 Kor. 6:19a “...tidak tahukah kamu bahawa tubuhmu ialah bait Roh Kudus...?”

Gal. 2:20 “...bukan lagi aku yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalamku...”

Yoh. 10:10b “Aku datang supaya mereka beroleh hayat dan berolehnya secara berlimpah-limpah.”

Mat. 4:4 “Manusia hidup bukan bergantung pada roti sahaja, tetapi pada setiap sabda yang keluar daripada mulut Tuhan.”

Sebelum ini kita sudah melihat bagaimana tubuh kita ialah bait Roh Kudus. Kita harus mengambil perhatian bahawa dutus amat menitikberatkan tubuh kita. Lazimnya kita menganggap hayat Kristus adalah untuk roh kita, bukan untuk tubuh kita. Namun sebenarnya setelah roh kita beroleh hayat, penyelamatan Tuhan mencapai tubuh kita. Jika niat Tuhan cuma mahu Roh Kudus huni dalam roh kita agar roh sahaja yang mendapat manfaat, maka dutus sepatutnya berkata kepada kita, “roh kamu ialah bait Roh Kudus”; mengapa pula dutus menyebut tubuh secara terang-terang? Sekarang kita harus faham, tubuh kita sebagai bait Roh Kudus bukan sahaja satu hak istimewa, malah sejenis kudrat yang berkesan. Roh Kudus huni dalam kita bukan sahaja memperkuat manusia dalaman kita, mencahayai mata hati kita, bahkan menyihatkan tubuh badan kita.  

Kita juga telah melihat bagaimana Roh Kudus memberi hayat kepada tubuh kita yang akan mati. Dia tidak tunggu sampai kita mati baru membangkitkan kita; sebaliknya Dia memberi hayat kepada tubuh kita yang akan mati ini sekarang juga. Pada kemudian hari, Dia akan membangkitkan tubuh yang korup, namun pada hari ini, Dia ingin memberi hayat kepada tubuh kita yang akan mati. Kekuatan hayat-Nya menyusup ke dalam setiap sel diri kita agar kita mengalami hayat dan kudrat-Nya dalam tubuh kita.

Maka kita tidak lagi percaya bahawa tubuh ialah penjara yang menyedihkan; sebaliknya, kita melihat hayat Tuhan dalam tubuh. Kita mempunyai pengalaman yang lebih lanjut tentang kata-kata “bukan lagi aku yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalamku”. Kini Kristus sumber hayat kita. Kini Dia hidup dalam kita, sama seperti tatkala Dia hidup dalam tubuh dagingnya. Sekarang kita lebih jelas dengan kata-kata “Aku datang supaya mereka beroleh hayat dan berolehnya secara berlimpah-limpah”. Hayat yang berlimpah-limpah ini membekali semua keperluan tubuh kita. Dutus memberitahu Timotius bahawa “berpeganglah pada hayat abadi” (1 Tim. 6:12). Sudah pastinya Timotius tidak memerlukan hayat abadi untuk diselamatkan. Bukankah “hayat abadi” ini merujuk kepada “yang benar-benar hayat” dalam ayat 19? Bukankah maksud dutus ialah Timotius harus mengalami hayat abadi pada hari ini, dan bahawa hayat ini cukup berkudrat untuk mengatasi segala kesan maut?

Kita bukannya jahil tentang hakikat bahawa tubuh kita tubuh yang akan mati. Walau bagaimanapun, kita harus beroleh hayat untuk menelan kuasa maut. Dalam tubuh terdapat dua kuasa: maut dan hayat. Dari satu segi, kita berada dalam keadaan letih lesu, dan dari segi lain, kita ada makanan dan rehat yang sentiasa menguatkan kita semula. Keletihan membawa kita menghampiri maut; makanan dan rehat pula membekali dan menopang hayat kita. Perbekalan yang keterlaluan akan menyebabkan tubuh menghadapi keadaan “berlebihan” kerana kuasa hayat terlalu besar; keletihan yang keterlaluan menyebabkan tubuh menjadi lemah kerana kuasa maut terlalu besar. Paling baiknya kuasa hayat dan maut dikekalkan seimbang. Namun demikian, keletihan tubuh yang dialami percayawan jauh berbeza dengan orang biasa. Keletihan mereka bukan pada tubuh sahaja. Disebabkan mereka bergerak bersama dengan Tuan, memikul beban untuk orang lain, bersimpati terhadap dikbang, bekerja untuk Tuhan, berdoa-pinta di hadapan Tuhan, berjuang menentang kuasa kegelapan, dan menghentam tubuh sendiri, makanan dan rehat sahaja tidak dapat menampung tenaga yang digunakan oleh tubuh mereka. Inilah sebabnya sebelum banyak pekudus dipanggil untuk kerja, tubuh mereka sihat, namun tidak lama selepas mereka dipanggil untuk kerja, mereka berasa tubuh menjadi lemah. Perhubungan kita dengan alam rohani, kehidupan rohani, kerja rohani, peperangan rohani, semuanya tidak mampu ditanggung oleh kekuatan dalam tubuh kita. Perhubungan dengan dosa, pendosa, dan roh-roh jahat sedemikian menghabiskan sumber kekuatan tubuh kita sehingga tidak mampu memenuhi banyak tuntutan. Oleh itu, jika percayawan ingin memuaskan keperluan tubuh dengan cara alamiah, dia tidak akan berjaya. Kita memerlukan hayat Kristus kerana hanya hayat Kristus yang dapat memenuhi keperluan ini. Kita harus sedar bahawa jika kita bergantung pada makanan, supplemen, dan ubat-ubatan untuk membekali keperluan hayat kita, kita telah melihat pada sumber yang salah. Hanya hayat Tuan Yesus yang dapat memenuhi segala keperluan kehidupan, kerja, dan peperangan rohani. Hanya Dia yang dapat memenuhi kekuatan untuk berperang dengan dosa dan Syaitan. Apabila seseorang percayawan benar-benar mengetahui apa itu peperangan rohani, bagaimana bergelut dengan musuh dalam roh, barulah dia sedar akan betapa berharganya hal Tuan Yesus menjadi hayat tubuhnya.

Setiap percayawan harus melihat realiti bahawa dia telah bergabung dengan Tuan. Tuan ialah pohon anggur, kita ialah ranting-ranting. Sebagaimana ranting-ranting bergabung dengan pohon, demikian juga kita bergabung dengan Tuan Yesus. Ranting-ranting bergabung dengan pohon dengan menerima aliran hayat pohon dalam ranting-ranting. Bukankah penyatuan kita dengan Tuan Yesus begitu juga? Jika kita mengehadkan penyatuan sebegini sekadar dalam roh, iktikad kita tidak akan bersetuju. Tuan memanggil kita agar kita melihat bahawa kita adalah satu dengan Tuan secara praktikal; Dia menghendaki kita mempercayai dan menerima aliran hayat-Nya dalam roh, sukma, dan tubuh kita. Sekiranya hubungan kita dengan Tuan terputus, kita bukan sahaja kehilangan damai sejahtera dalam roh, bahkan kehilangan penyembuhan tubuh. Jika kita terus-menerus bergabung dengan Tuan, hayat-Nya bukan sahaja memenuhi roh kita, bahkan mengaliri tubuh kita. Melainkan kita benar-benar berbahagian dalam hayat Tuan Yesus, kita tidak akan beroleh penyembuhan ataupun kesihatan. Hari ini Tuhan sedang memanggil anak-anak-Nya agar mempunyai penyatuan yang lebih mendalam dengan Tuan Yesus.

Oleh itu, kita harus melihat bahawa meskipun hal-hal ini berlaku pada tubuh, namun sebenarnya ia perkara rohani. Pengalaman Tuhan menyembuhkan penyakit kita dan memperkuat kita bukan pengalaman fizikal, tetapi pengalaman rohani, sungguhpun ia berlaku dalam tubuh jasmani. Pengalaman sebegini tidak lain tidak bukan ialah hayat Tuan Yesus diekspresikan pada tubuh kita yang akan mati. Sebagaimana pada masa lalu hayat Tuan Yesus membangkitkan roh kita yang mati, sekarang hayat-Nya juga menghidupkan tubuh kita yang akan mati. Tuhan kini mahu kita mempelajari cara membenarkan hayat Kristus yang bangkit, mulia, dan sentiasa jayeng ini dimanifestasikan dalam setiap bahagian diri kita. Dia mahu kita memperbarui kekuatan daripada-Nya hari demi hari dan masa demi masa. Inilah hayat sebenar kita. Walaupun tubuh kita masih digerakkan oleh hayat-sukma, namun kita tidak hidup melaluinya. Sebaliknya, kita harus hidup melalui hayat Anak Tuhan yang memberi hayat kepada anggota tubuh kita dengan cara yang tidak dapat dilakukan oleh hayat-sukma. Kita harus memberi perhatian kepada perkataan “hayat”. Semua pengalaman rohani kita berasal daripada satu benda yang ajaib ini, yang digelar “hayat”, yang masuk ke dalam kita secara berlimpah-limpah. Tuhan ingin memimpin kita untuk menyedari bahawa hayat Kristuslah kekuatan kita.

Matius 4 menunjukkan kepada kita bahawa sabda Tuhan ialah hayat kepada tubuh jasmani kita. “Manusia hidup bukan bergantung pada roti sahaja, tetapi pada setiap sabda yang keluar daripada mulut Tuhan” (ay. 4). Hal ini jelas menunjukkan bahawa sabda Tuhan dapat menopang tubuh jasmani kita. Menurut cara alamiah, manusia harus hidup bergantung pada roti; akan tetapi, apabila sabda Tuhan dikeluarkan dengan penuh kudrat, manusia juga dapat hidup melaluinya. Daripada ini kita melihat dua cara hidup: cara luar biasa dan cara alamiah. Maksud Tuhan bukannya mulai sekarang kita tidak lagi perlu makan, tetapi Dia mahu kita mengetahui bahawa sabda-Nya dapat memberi kita hayat yang tidak dapat dibekalkan oleh roti. Tuhan menghendaki kita tahu bahawa apabila makanan tidak dapat menghasilkan kesan yang kita harap-harapkan, sabda-Nya dapat memberi kita apa yang tidak dapat diberikan oleh roti. Ada orang yang hidup bergantung pada roti, ada pula yang hidup bersandarkan sabda Tuhan. Golongan pertama ada kalanya gagal, tetapi golongan kedua kekal tidak berubah.

Tuhan meletakkan hayat-Nya ke dalam sabda-Nya. Sebagaimana Dia sendiri ialah hayat, sabda-Nya juga hayat. Jika kita menganggap sabda Tuhan sejenis ajaran, akidah, dan standard moral, maka sabda Tuhan tidak akan berkudrat terhadap kita. Kita harus menghadamkan sabda Tuhan agar sabda ini menjadi satu dengan kita, sebagaimana kita menghadamkan roti agar roti menjadi satu dengan kita. Percayawan yang lapar melihat sabda Tuhan sebagai makanan mereka. Apabila mereka menerima sabda Tuhan melalui iktikad, sabda itu menjadi hayat mereka. Tuhan berkata bahawa sabda-Nya akan menopang hayat kita. Oleh yang demikian, apabila makanan alamiah gagal, kita boleh mempercayai Tuhan menurut sabda-Nya. Dengan itu kita akan melihat bahawa Tuhan bukan sahaja hayat kepada roh kita, bahkan hayat kepada tubuh jasmani kita. Hari ini kita rugi kerana gagal menyedari bahawa sabda Tuhan (Bible) menyediakan perbekalan yang begitu kaya untuk tubuh jasmani kita. Kita mengehadkan janji-janji Tuhan kepada hayat rohani dan lupa akan tubuh jasmani kita. Sebenarnya keperluan tubuh jasmani tidak kurang daripada keperluan hayat rohani. (bersambung…)

Penyakit (Bahagian 4/4)
Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 2/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)