Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Penyakit (Bahagian 4/4)
Penyakit (Bahagian 3/4)
Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 1/4)
Penyakit (Bahagian 4/4)
2020-05-07 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (9)

Nota Editor:

“Jika kita berpaling balik kepada ajaran Bible secara terus terang, kita akan melihat apa yang diingini oleh Tuhan terhadap tubuh kita akhirnya. Kita hanya perlu membaca satu ayat, dan konsep banyak orang akan ditunggangbalikkan sepenuhnya. “Yang dikasihi, berkenaan segala sesuatu, aku ingin kamu makmur dan sihat” (3 Yoh. 2). Inilah doa yang diwahikan oleh Roh Kudus kepada dutus, dan doa ini menunjukkan tujuan Tuhan terhadap tubuh percayawan dan hasrat-Nya dalam keabadian. Tuhan tidak berhasrat agar anak-anak-Nya kekal sakit sepanjang hidup mereka dan tidak berupaya bekerja untuk-Nya secara aktif. Dia berkenan untuk melihat anak-anak-Nya makmur dan sihat, sama seperti sukma mereka makmur. Sehubungan ini, kita boleh membuat kesimpulan tanpa ragu-ragu lagi bahawa penyakit yang berlarutan bukan kehendak Tuhan. Dia mungkin mendisiplinkan kita buat sementara waktu dan menyebabkan kita kehilangan kesihatan, tetapi Dia tidak berkenan untuk melihat kita kekal dalam kelemahan.”

“Kata-kata Paulus dalam 1 Tesalonika 5:23 juga menunjukkan kepada kita bahawa penyakit yang berlarutan bukan kehendak Tuhan. Keadaan tubuh haruslah berpadanan dengan roh dan sukma. Jika roh dan sukma kita dikuduskan keseluruhannya dan terpelihara lengkap, bebas daripada tuduhan, tetapi tubuh kita masih lemah, sakit, dan penuh dengan kesengsaraan, maka Tuhan pasti tidak akan berpuas hati. Matlamat-Nya ialah menyelamatkan seluruh diri manusia. Matlamat-Nya bukan sekadar untuk menyelamatkan bahagian-bahagian tertentu dalam manusia.”

“Jika kita disembuhkan dengan menaruh kepercayaan pada Tuhan dan mempersembahkan diri kita kepada-Nya, maka kita harus terus menjalani kehidupan yang kudus selepas pulih. Dengan itu barulah kita terpelihara dalam keadaan yang sihat. Apabila Tuan menyembuhkan kita dengan cara ini, Dia memperoleh tubuh kita. Keriangan ini adalah tidak terkata. Namun keriangan ini datang bukan kerana kita sudah sembuh, tetapi kerana kita mempunyai hubungan yang baru dengan Tuan kita. Kita mempunyai pengalaman yang baru terhadap-Nya dan menerima perhubungan baru dan hayat baru daripada-Nya.”

“Oleh itu, anak-anak Tuhan harus bangkit dan mencari penyembuhan. Pertama-tamanya kita harus pergi ke hadapan Tuan dan mendengar apa yang hendak dibicarakan-Nya kepada kita menerusi penyakit kita. Kemudian kita harus bergerak-hidup dengan hati yang tunggal menurut apa yang telah diwahikan kepada kita. Akhirnya kita harus meletakkan tubuh kita dengan segenap hati ke dalam jagaan-Nya dan mempersembahkan tubuh kita kepada-Nya.”

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB DUA

PENYAKIT (Bahagian 4/4)

Bacaan Bible:

3 Yoh. 2 “Yang dikasihi, berkenaan segala sesuatu, aku ingin kamu makmur dan sihat, sebagaimana makmurnya sukmamu.”

Yak. 5:14-15 “Adakah sesiapa dalam kalangan kamu yang sakit? Hendaklah dia memanggil para penatua gereja datang, dan hendaklah mereka berdoa baginya...Doa iktikad akan menyelamatkan dia yang sakit itu, dan Tuan akan membangunkannya; jika dia telah berbuat dosa, dia akan diampuni.”

1 Kor. 11:30 “Disebabkan ini, banyak dalam kalangan kamu yang lemah dan sakit, dan tidak sedikit yang tidur.”

LEBIH BAIK DISEMBUHKAN

Ada juga sesetengah percayawan yang keterlaluan. Menurut disposisi alamiah mereka, mereka adalah keras dan degil. Akan tetapi, disebabkan Tuhan membenarkan penyakit menimpa mereka, mereka dihancurkan oleh Tuhan. Setelah mereka tunduk kepada kehendak Tuhan menerusi disiplin-Nya, hasilnya mereka menjadi amat lembut-halus, baik, tunduk, dan kudus. Sehubungan itu, mereka menganggap bahawa jatuh sakit membawa manfaat besar kepada mereka, dan mereka mulai suka sakit daripada sihat. Mereka sangka bahawa penyakit boleh menyebabkan hayat rohani mereka berkembang maju. Oleh itu, mereka tidak mencari penyembuhan. Jika mereka sedar bahawa mereka patut disembuhkan, mereka lebih sanggup membiarkan Tuhan menyembuhkan mereka. Mereka menerima segala penyakit yang menimpa tubuh mereka, dengan beranggapan bahawa mereka lebih mudah menjadi salih sewaktu sakit daripada masa sihat. Mereka beranggapan bahawa mereka lebih dekat dengan Tuhan ketika mereka kesepian dan dalam kesakitan berbanding ketika mereka sihat dan aktif. Mereka berfikir lebih baik terbaring di atas katil daripada bebas berjalan ke merata tempat. Mereka tidak mahu memohon penyembuhan daripada Tuhan. Mereka berfikir bahawa menjadi lemah lebih bermanfaat daripada menjadi kuat! Kita mengaku bahawa banyak percayawan telah melepaskan kerja jahat mereka selepas jatuh sakit, dan bahawa mereka telah memperoleh pengalaman yang mendalam menerusi penyakit mereka. Kita juga mengaku bahawa banyak orang yang cacat dan kurang upaya mempunyai pengalaman salih dan rohani yang luar biasa. Namun kita perlu mengatakan bahawa banyak percayawan agak kurang jelas berkenaan beberapa butir dalam aspek ini.

Walaupun seseorang yang sakit dapat menjadi kudus, namun kekudusan sedemikian nampaknya dipaksa. Kemungkinan jika dia adalah sihat dan dapat membuat pilihan secara bebas, dia lebih suka kembali ke dunia dan kepada diri alamiahnya. Dia menjadi kudus hanya apabila dia jatuh sakit, dan dia menjadi keduniaan apabila dia tidak sakit. Tuan perlu mengekalkan dia dalam keadaan sakit secara berterusan, barulah dia dapat menjadi kudus secara berterusan. Kekudusannya bergantung pada penyakitnya! Kita harus sedar bahawa kehidupan yang kepunyaan Tuan tidak harus dihadkan pada waktu sakit sahaja. Kita tidak harus membiarkan orang lain berfikir bahawa satu-satunya cara Tuhan dapat menundukkan seseorang percayawan ialah melalui penyakit, dan bahawa tanpa penyakit, percayawan tidak berupaya memuliakan Tuhan dalam kehidupan hariannya. Percayawan harus mengekspresikan hayat Tuhan dalam kehidupan hariannya. Bersabar-tahan terhadap penderitaan memang baik, namun patuh kepada Tuhan pada masa penuh kekuatan lagi baik.

Kita harus tahu bahawa penyembuhan kepunyaan Tuhan; Tuhanlah yang menyembuhkan kita. Jika kita mencari penyembuhan menerusi perubatan manusia, kita akan mendapati diri kita terpisah daripada Tuhan. Namun jika kita mencari penyembuhan Tuhan, kita akan menjadi lebih intim dengan Tuhan. Seseorang yang menerima penyembuhan Tuhan akan memuliakan Tuhan melebihi seseorang yang sudah lama sakit. Penyakit dapat memuliakan Tuhan kerana penyakit menyediakan satu peluang kepada Tuhan untuk memanifestasikan kudrat penyembuhan-Nya (Yoh. 9:3). Namun sekiranya seseorang itu sudah lama sakit, masakan Tuhan dapat dimuliakan? Apabila seseorang itu menerima penyembuhan Tuhan, dia melihat kemuliaan Tuhan menerusi manifestasi kudrat-Nya.

Tuan Yesus tidak pernah menganggap penyakit sebagai suatu berkat, yang harus ditanggung oleh percayawan sehingga mereka mati. Dia juga tidak pernah mengatakan bahawa penyakit ialah ekspresi kasih daripada Tuhan Bapa. Tuan Yesus menghendaki disipal-Nya memikul salib, namun Dia tidak pernah mengatakan bahawa orang sakit harus kekal sakit sepanjang masa. Dia memberitahu percayawan cara mereka harus menderita untuk-Nya, tetapi Dia tidak pernah mengatakan bahawa mereka harus menderitai penyakit kerana Dia. Walaupun Dia mengatakan bahawa kita akan mempunyai penderitaan di dunia, namun Dia tidak menganggap penyakit sebagai suatu penderitaan. Dia sememangnya menderita semasa Dia berada di bumi, namun Dia tidak jatuh sakit. Tambahan pula, setiap kali Dia nampak orang sakit, Dia menyembuhkan mereka. Dia sering menganggap penyakit berasal daripada dosa dan iblis.

Kita harus membezakan penderitaan dan penyakit. “Banyaknya kecelakaan orang adilbenar, / Tetapi Yehova melepaskan dia daripada semuanya. / Dia memelihara semua tulangnya; / Sebatang pun tidak patah” (Mzm. 34:19-20). Yakobus berkata, “Adakah sesiapa dalam kalangan kamu yang menderitai kesusahan? Hendaklah dia berdoa” (Yak. 5:13), agar dia beroleh kurnia dan kekuatan. “Adakah sesiapa dalam kalangan kamu yang sakit? Hendaklah dia memanggil para penatua gereja datang, dan hendaklah mereka berdoa baginya” (ay. 14), agar dia dapat disembuhkan.

Satu Korintus 11:30 hingga 32 jelas menggambarkan hubungan antara penyakit dengan percayawan. Penyakit secara muktamadnya ialah disiplin daripada Tuhan. Jika percayawan sanggup menghakimi dirinya, Tuhan akan menyebabkan penyakit itu lenyap. Tuhan tidak pernah bermaksud hendak percayawan menderitai penyakit secara berlarutan. Jika percayawan menyingkirkan apa yang dikutuk Tuhan dan pada masa yang sama membenarkan penyakit terus kekal dalam tubuhnya, maka dia tidak mengenali tujuan Tuhan dalam membiarkan dia jatuh sakit. Tidak ada disiplin yang kekal selama-lamanya. Sebaik sahaja sebab-sebab disiplin tersingkir, disiplin itu sendiri akan lenyap segera. “Sekarang tidak ada disiplin yang menggembirakan pada masa itu; sebaliknya, mendukakan; tetapi kemudian...” (Ibr. 12:11a). Percayawan hampir lupa bahawa pada Tuhan masih ada “kemudian”. “Kemudian, disiplin ini menghasilkan buah keadilbenaran yang damai sejahtera kepada mereka yang telah dilatihnya” (ay. 11b). Di sini, kita melihat bahawa disiplin tidak kekal selama-lamanya. Sebenarnya, buah yang paling unggul terhasil selepas disiplin. Kita tidak harus salah faham dengan berfikir bahawa disiplin Tuhan ialah hukuman-Nya. Secara tegasnya, percayawan tidak akan dihukum lagi. Satu Korintus 11:31 membuktikan hal ini. Jangan sekali-kali membiarkan konsep hukum masuk. Ini bukan soal berapa banyak dosa yang kita lakukan dan kita harus menderitai hukuman yang tertentu untuk membayar disebabkan dosa kita. Ini bukan soal yang harus diselesaikan di mahkamah tetapi masalah yang harus ditanggulangi dalam keluarga.

Jika kita berpaling balik kepada ajaran Bible secara terus terang, kita akan melihat apa yang diingini Tuhan terhadap tubuh kita pada akhirnya. Kita hanya perlu membaca satu ayat, dan konsep banyak orang akan ditunggangbalikkan sepenuhnya. “Yang dikasihi, berkenaan segala sesuatu, aku ingin kamu makmur dan sihat” (3 Yoh. 2). Inilah doa yang diwahikan oleh Roh Kudus kepada dutus, dan doa ini menunjukkan tujuan Tuhan terhadap tubuh percayawan dan hasrat-Nya dalam keabadian. Tuhan tidak berhasrat agar anak-anak-Nya kekal sakit sepanjang hidup mereka dan tidak berupaya bekerja untuk-Nya secara aktif. Dia berkenan untuk melihat anak-anak-Nya makmur dan sihat, sama seperti sukma mereka makmur. Sehubungan ini, kita boleh membuat kesimpulan tanpa ragu-ragu lagi bahawa penyakit yang berlarutan bukan kehendak Tuhan. Dia mungkin mendisiplinkan kita buat sementara waktu dan menyebabkan kita kehilangan kesihatan, tetapi Dia tidak berkenan untuk melihat kita kekal dalam kelemahan.

Kata-kata Paulus dalam 1 Tesalonika 5:23 juga menunjukkan kepada kita bahawa penyakit yang berlarutan bukan kehendak Tuhan. Keadaan tubuh haruslah berpadanan dengan roh dan sukma. Jika roh dan sukma kita dikuduskan keseluruhannya dan terpelihara lengkap, bebas daripada tuduhan, tetapi tubuh kita masih lemah, sakit, dan penuh dengan kesengsaraan, maka Tuhan pasti tidak akan berpuas hati. Matlamat-Nya ialah menyelamatkan seluruh diri manusia. Matlamat-Nya bukan sekadar untuk menyelamatkan bahagian-bahagian tertentu dalam manusia.

Semua kerja Tuan Yesus di bumi mewahikan tujuan Tuhan terhadap penyakit. Satu-satu kerja-Nya ialah melaksanakan kehendak Tuhan; Dia tidak ada kerja lain sepanjang hidup-Nya. Kita khususnya dapat melihat hati Bapa syurgawi dan sikap-Nya terhadap penyakit dalam kisah penyembuhan pesakit kusta. Pesakit kusta itu berkata, “Tuan, jika Engkau rela, Engkau dapat mentahirkan aku.” Seolah-olah orang ini mengetuk pintu syurga dan bertanya sama ada penyembuhan ialah kehendak Tuhan. “Dengan menghulurkan tangan-Nya, Yesus menyentuh orang itu lalu berkata, Aku rela, tahirlah!” (Mat. 8:2-3). Penyembuhan sentiasa merupakan kehendak Tuhan. Jika percayawan beranggapan bahawa Tuhan tidak rela menyembuhkannya dan bahawa dia harus kekal dalam keadaan sakit buat selama-lamanya, dia itu tidak mengenali kehendak Tuhan. Kerja Tuan Yesus di bumi ialah menyembuhkan “semua yang sakit” (ay. 16). Kita tidak harus beranggapan bahawa Dia telah mengubah sikap-Nya hari ini.

Kita tahu bahawa matlamat Tuhan hari ini ialah “terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga” (Mat. 6:10). Kehendak Tuhan terlaksana di syurga, tetapi adakah terdapatnya penyakit di syurga? Berdasarkan butir ini, penyakit sama sekali tidak berpadanan dengan kehendak Tuhan. Hari ini banyak percayawan berdoa untuk penyembuhan buat seketika. Apabila Tuhan seakan-akan tidak memakbulkan doa mereka dan mereka menjadi putus asa, mereka pun berkata, “Semoga kehendak Tuan terlaksana”, seolah-olah kehendak Tuan sama ertinya dengan penyakit dan kematian. Inilah kesilapan yang besar. Kehendak Tuhan terhadap anak-anak-Nya bukan penyakit. Meskipun adakalanya kehendak yang diizinkan-Nya membenarkan mereka jatuh sakit, itu adalah demi manfaat mereka. Kehendak yang ditetapkan-Nya sentiasa mahukan mereka sihat. Tidak terdapat penyakit di syurga. Hal ini membuktikan bahawa Tuhan tidak pernah bermaksud agar anak-anak-Nya jatuh sakit.

Jika kita mempertimbangkan dari mana datangnya penyakit, kita akan sedar bahawa kita harus mencari penyembuhan. Kisah 10:38 memberitahu kita bahawa semua penyakit adalah disebabkan oleh penganiayaan iblis. Apabila Tuan Yesus berbicara tentang perempuan yang bongkok, Dia mengatakan bahawa perempuan itu telah “diikat” oleh Syaitan (Luk. 13:16). Apabila Dia menyembuhkan ibu mertua Petrus, Dia “mengherdik demam itu” (4:39), seolah-olah Dia mengherdik iblis. Jika kita membaca buku Ayub, kita akan melihat bahawa iblislah yang menyebabkan Ayub jatuh sakit (bab satu dan dua), dan Tuhanlah yang menyembuhkan Ayub (bab empat puluh dua). Duri yang menyebabkan dutus Paulus lemah ialah “utusan Syaitan” (2 Kor. 12:7), tetapi Dia yang menjadikan Paulus kuat ialah Tuhan. Ibrani 2:14 memberitahu kita bahawa dia yang mempunyai kuasa maut ialah iblis. Apabila penyakit menjadi masak, penyakit itu mengakibatkan maut. Penyakit hanyalah satu petunjuk maut. Jika Syaitan mempunyai kuasa maut, dia juga mempunyai kuasa penyakit; maut merupakan langkah selanjutnya bagi penyakit, sementara penyakit ialah langkah pertama bagi maut.

Selepas membaca semua ayat ini, kita harus menyimpulkan bahawa punca penyakit ialah iblis. Disebabkan terdapat kekurangan tertentu dalam percayawan, maka Tuhan membenarkan Syaitan menyerang anak-anak-Nya. Oleh itu, jika anak-anak Tuhan (1) enggan menyingkirkan apa yang dituntut Tuhan dan membenarkan penyakit kekal dalam tubuh mereka, atau (2) jika mereka telah menyingkirkan apa yang dituntut Tuhan dan masih membenarkan penyakit kekal dalam tubuh mereka, maka mereka secara sukarela meletakkan diri mereka di bawah penganiayaan Syaitan. Selepas kita patuh kepada wahi Tuhan, kita harus menolak penyakit dan menganggap penyakit itu berpunca daripada Syaitan. Oleh itu, tidak ada alasan bagi kita untuk berada di bawah belenggunya lagi. Kita harus memahami dengan jelas bahawa penyakit kepunyaan musuh kita, dan kita tidak harus mengalu-alukannya. Anak Tuhan datang untuk membebaskan kita dan bukan membelenggu kita.

Banyak orang mungkin bertanya: Jika percayawan tidak perlu menjadi sakit, mengapakah Tuhan tidak menyingkirkan penyakit? Kita harus sedar bahawa Tuhan menyempurnakan sesuatu menurut iktikad kita (Mat. 8:13). Ini prinsip yang tidak berubah yang digunakan Tuhan untuk menanggulangi kita. Sering kali, Tuhan rela menyembuhkan anak-anak-Nya. Namun disebabkan mereka tidak percaya dan tidak berdoa, maka Tuhan terpaksa membenarkan penyakit itu kekal. Jika percayawan membenarkan dirinya jatuh sakit, atau lebih teruk lagi, mengalu-alukan penyakit, dengan beranggapan bahawa penyakit akan menjadikan dia menjauhi dunia dan menjadi kudus, maka Tuan terpaksa memberi dia apa yang diinginkannya. Tuhan sering menanggulangi anak-anak-Nya menurut apa yang dapat diterima mereka. Tuhan mungkin teringin hendak menyembuhkan mereka, namun disebabkan mereka tidak mempunyai iktikad untuk memohon penyembuhan, maka mereka tidak menerima berian ini.

Kita tidak harus beranggapan bahawa kita lebih arif daripada Tuhan atau kita dapat bertindak melangkaui apa yang diwahikan Bible. Meskipun bilik sakit mungkin adakalanya nampak seperti tempat kudus, dan setiap orang yang masuk mungkin tersentuh oleh suasananya, namun ini bukan kehendak yang ditetapkan Tuhan dan bukan yang terbaik daripada Tuhan. Jika kita bertindak menurut pendapat daripada emosi kita dan mengabaikan kehendak yang diwahikan Tuhan, Tuhan terpaksa membiarkan kita berbuat sesuka hati. Banyak percayawan berkata, “Tidak kira apa yang berlaku, saya akan menyerahkan diri saya ke dalam tangan Tuhan. Sama ada saya akan pulih atau kekal sakit, saya akan membiarkan Tuhan membuat keputusan untuk saya, dan saya akan membiarkan Dia menanggulangi saya sesuka hati-Nya.” Akan tetapi, biasanya orang sedemikianlah yang juga akan mengambil ubat. Adakah ini maksudnya menyerahkan segala-galanya ke dalam tangan Tuhan? Berkenaan mencari penyembuhan Tuhan, mereka meletakkan tanggungjawab pada tangan Tuhan; berkenaan mencari penyembuhan manusia, mereka juga mengambil ubat. Hal ini terlalu bercanggahan. Hakikatnya ialah banyak percayawan telah kehilangan kuasa tekad mereka kerana sudah lama terlantar di katil. Mereka tidak dapat lagi berpegang pada janji Tuhan. Ketundukan mereka sebenarnya ialah sejenis kemalasan rohani. Mereka ingin beroleh kesihatan, tetapi hasrat ini tidak akan menyebabkan Tuhan melakukan sebarang kerja ke atas mereka. Banyak percayawan sudah lama tunduk secara pasif kepada penyakit mereka, sehinggakan mereka seolah-olah sudah biasa menjadi sakit dan mereka tidak berani mencari kebebasan. Mereka lebih mengharapkan orang lain percaya untuk mereka atau Tuhan memberi mereka iktikad dan menjadikan mereka percaya, tetapi bukan dengan usaha mereka sendiri. Akan tetapi, melainkan tekad mereka dirangsang, dan melainkan mereka menentang iblis dan berpegang pada Tuan Yesus, iktikad yang diberi Tuhan itu tidak akan datang. Banyak pesakit tidak sepatutnya sakit; mereka sakit kerana mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menuntut janji Tuhan

Kita harus sedar bahawa berkat rohani yang kita terima semasa sakit jauh kekurangan berbanding dengan berkat rohani yang kita peroleh semasa pulih. Jika kita disembuhkan dengan menaruh kepercayaan pada Tuhan dan mempersembahkan diri kita kepada-Nya, maka kita harus terus menjalani kehidupan yang kudus selepas pulih. Dengan itu, barulah kita terpelihara dalam keadaan yang sihat. Apabila Tuan menyembuhkan kita dengan cara ini, Dia memperoleh tubuh kita. Keriangan ini adalah tidak terkata. Namun keriangan ini datang bukan kerana kita sudah sembuh, tetapi kerana kita mempunyai hubungan yang baru dengan Tuan kita. Kita mempunyai pengalaman yang baru terhadap-Nya dan menerima perhubungan baru dan hayat baru daripada-Nya. Pada masa sedemikian Tuhan dimuliakan jauh lebih banyak daripada ketika percayawan jatuh sakit.

Oleh itu, anak-anak Tuhan harus bangkit dan mencari penyembuhan. Pertama-tamanya kita harus pergi ke hadapan Tuan dan mendengar apa yang hendak dibicarakan-Nya kepada kita menerusi penyakit kita. Kemudian kita harus bergerak-hidup dengan hati yang tunggal menurut apa yang telah diwahikan kepada kita. Akhirnya kita harus meletakkan tubuh kita dengan segenap hati ke dalam jagaan-Nya dan mempersembahkan tubuh kita kepada-Nya. Jika ada penatua gereja yang dapat mengurapi kita dengan minyak (Yak. 5:14-15), kita harus mengundang mereka datang dan membiarkan mereka mengikut perintah Bible. Jika tidak, kita harus kekal bertenang dan melatih iktikad kita untuk berpegang pada janji Tuhan. Tuhan akan menyembuhkan kita (Kel. 15:26).

Penyakit (Bahagian 3/4)
Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 1/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
Ricky pada 2020-05-05
Tuan mengasihi percayawan Nya sebagai anak-anak Nya, disiplin dan penghakiman juga pada anakNya bersama dengan duniawi. Kepada anak anak Tuhan makin dihakimi makin banyak Hayat Divin ditambah pada merekan.