Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 1/2)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 2/2)
PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 1/2)
2020-06-29 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (62)

Nota Editor:

“Orang Kristian yang belum jayeng bukanlah orang Kristian yang girang. Hidupnya sentiasa ditewaskan dan dalamnya sentiasa ada pergelutan. Hal ini berlaku kerana dia belum mempersembahkan diri kepada Tuan secara mutlak.”

“Sebagai orang Kristian, sebelum jayeng kita perlu melakukan dua perkara: Pertama ialah melepaskan tangan, dan kedua ialah percaya. Selepas jayeng, kita juga perlu melakukan dua perkara: Pertama ialah mengaku dosa, dan kedua ialah mempersembahkan diri.”

“Pada diri kita terdapat banyak benda yang tidak rela kita persembahkan, contohnya kekayaan, keluarga, masa, kerjaya dan sebagainya. Kita tidak dapat mempersembahkan diri kerana kita belum jayeng. Kita dapat mempersembahkan diri hanya apabila kita berdiri di atas kedudukan jayeng. Orang yang belum jayeng tidak dapat mempersembahkan diri. Apabila kita mengambil Tuan sebagai kemenangan kita, kita dapat mempersembahkan diri dengan mudah.”

“Perkara pertama yang harus dilakukan selepas jayeng ialah membuat persembahan. Apakah itu persembahan? Persembahan bererti meletakkan kamu dan segala milik kamu di atas mazbah.”

“Perkara kedua yang harus kita persembahkan ialah kerjaya kita. Kita bukan mempersembahkan diri untuk menjadi penginjil. Banyak penginjil hari ini tidak mempersembahkan diri. Kita mempersembahkan diri kepada Tuhan untuk melaksanakan kehendak Tuhan, untuk menuntut kehendak Tuhan, dan untuk mengetahui apa tujuan kehendak Tuhan terhadap kita.”

PERSEMBAHAN DIRI
(Bahagian 1/2)

Tarikh: 17 November 1935, petang
Tempat: Chuenchow

(Mengasihi Tuhan, Bab 8)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Roma 12:1 “Oleh itu, aku menasihati kamu, dikbang-dikbang, menerusi belas kasihan Tuhan supaya mempersembahkan tubuhmu sebagai satu korban hidup yang kudus dan berkenan pada Tuhan; inilah pelayananmu yang munasabah.”

Roma 6:13 “Dan jangan persembahkan anggota-anggotamu sebagai senjata ketidakadilbenaran kepada dosa; sebaliknya, persembahkanlah dirimu kepada Tuhan sebagai orang hidup daripada yang mati, dan anggota-anggotamu sebagai senjata keadilbenaran kepada Tuhan.”

PENGENALAN

Tuhan menyelamatkan kita supaya kita hidup untuk Tuan. Tuhan bukan sahaja menyelamatkan kita untuk mengasingkan kita daripada dunia; Dia juga menyelamatkan kita untuk mengasingkan kita daripada diri kita. Akhirnya, kita akan dikuduskan sepenuhnya untuk Tuan (bd. Yoh. 17:14-19). Orang Kristian yang belum jayeng bukanlah orang Kristian yang girang. Hidupnya sentiasa ditewaskan dan dalamnya sentiasa ada pergelutan. Hal ini berlaku kerana dia belum mempersembahkan diri kepada Tuan secara mutlak.

PERKARA YANG HARUS DILAKUKAN SEBELUM DAN SELEPAS JAYENG

Persembahan yang disebut dalam Bible ialah persembahan yang mutlak. Sekiranya persembahan kamu tidak mutlak, kamu cuma orang Kristian kelas kedua. Sebagai orang Kristian, sebelum jayeng kita perlu melakukan dua perkara: Pertama ialah melepaskan tangan, dan kedua ialah percaya. Selepas jayeng, kita juga perlu melakukan dua perkara: Pertama ialah mengaku dosa, dan kedua ialah mempersembahkan diri.

Kita sudah berbicara tentang melepaskan tangan, percaya, dan mengaku dosa. Hari ini kita akan melihat perkara berkenaan mempersembahkan diri. Pada diri kita terdapat banyak benda yang tidak rela kita persembahkan, contohnya kekayaan, keluarga, masa, kerjaya dan sebagainya. Kita tidak dapat mempersembahkan diri kerana kita belum jayeng. Kita dapat mempersembahkan diri hanya apabila kita berdiri di atas kedudukan jayeng. Orang yang belum jayeng tidak dapat mempersembahkan diri. Apabila kita mengambil Tuan sebagai kemenangan kita, kita dapat mempersembahkan diri dengan mudah. Jika kamu tidak mengambil Tuan sebagai kemenangan kamu, dan kamu mengatakan bahawa kamu tidak dapat mempersembahkan diri, maka saya akan berkata, “Amen. Kamu memang tidak dapat mempersembahkan diri melalui diri kamu.” Roma 6:13 mengatakan bahawa persembahan berlaku selepas seseorang mengalami kematian dan kebangkitan bersama dengan Tuan. Hanya selepas kita menjadi seperti “orang hidup daripada yang mati”, barulah kita dapat mempersembahkan diri kepada Tuhan. Banyak orang menyangka bahawa mereka menjalani kehidupan mempersembahkan diri. Sebenarnya, mereka belum mencecah pinggir kehidupan sedemikian. Jika kita tidak mengalami kemenangan Kristus terlebih dahulu, kita tidak dapat mempersembahkan diri.

PERSEMBAHAN DIRI ADALAH BERDASARKAN KURNIA TUHAN YANG MENYELAMAT

Roma 12:1 berkata, “Oleh itu, aku menasihati kamu, dikbang-dikbang, menerusi belas kasihan Tuhan.” “Belas kasihan” di sini adalah jamak dalam bahasa asal, merujuk kepada kurnia yang beraneka ragam yang disebut dalam Roma 1 hingga 8. Menurut urutan ajaran dalam buku Roma, bab dua belas datang selepas bab lapan. Oleh itu, belas kasihan yang disebut dalam bab dua belas merujuk kepada perkara-perkara yang disebut dalam bab satu hingga lapan, yakni Anak Tuhan telah mati untuk dosa kita. Dia mati untuk kita agar kita bebas daripada hukuman dosa. Dia kini hidup untuk kita agar kita bebas daripada kuasa dosa. Tuhan banyak berbelas kasihan terhadap kita. Oleh yang demikian, Paulus bukan menuntut kita tetapi menggesa kita agar kita mempersembahkan tubuh. Lapan bab yang pertama dalam buku Roma berbicara bahawa kita dahulunya ialah pendosa dan Anak Tuhan datang menumpahkan darah-Nya untuk menebus dosa kita. Bab tiga hingga empat berbicara berkenaan darah. Bab lima pula berbicara berkenaan pengampunan. Kemudian bab enam hingga lapan berbicara berkenaan salib menamatkan manusia lama kita agar kita bebas daripada dosa. Tuan telah mati untuk kita dan kini Dia hidup untuk kita. Kita percaya kepada kematian dan kebangkitan Tuan, maka kita orang kepunyaan Tuan. Akan tetapi, banyak orang yang rela diselamatkan daripada neraka tetapi tidak rela diasingkan daripada dunia. Mereka rela diselamatkan daripada dosa tetapi tidak rela dikuduskan secara mutlak untuk Tuan. 

Dari aspek Tuhan, Dia telah menyelamatkan kita dan kita telah mempercayai hakikat bahawa Tuhan telah menyelamatkan kita. Pada masa dahulu di Etiopia, Afrika, ada seorang gadis Kristian yang dijual sebagai abdi. Ketika jualan lelong bermula, ada tiga orang yang bersaing untuk membuat penawaran. Ketiga-tiga orang ini orang yang jahat. Gadis itu tahu bahawa sekiranya dia jatuh ke tangan mana-mana seorang antara mereka itu, dia akan menderita. Oleh itu, dia tidak henti-henti menangis dan amat sedih. Akhirnya, datanglah orang yang keempat. Orang ini membuat penawaran yang amat tinggi dan berjaya membelinya. Lalu orang ini menyuruh tukang besi memutuskan ikatan gadis itu dan berkata kepadanya, “Kamu sudah bebas.” Kemudian dia beredar dari situ. Mula-mulanya gadis itu tidak memahami kata-katanya. Namun setelah dia faham akan maksud kata-kata itu dia terus berteriak, “Dia telah membeli saya! Dia telah membeli saya. Mulai hari ini sampai saya mati, saya akan mengikut dia.” Kisah ini juga berlaku kepada kita hari ini. Kasih Tuan mendesak kita dan kita rela berkata kepada Tuan bahawa mulai hari ini, kita rela mengikut-Nya.

Pernah sekali, semasa seorang dikbang menaiki kereta api, dia diajak berjudi. Dia memberitahu orang yang mengajaknya, “Maaf kalian, saya tidak membawa tangan saya.” Semua orang memandang dia dengan hairan, lalu dia berkata, “Kini dua tangan saya ini kepunyaan Tuan. Tangan saya dahulu yang berbuat dosa dan berjudi itu telah disalibkan bersama dengan Tuan.” Dia melihat bahawa oleh sebab dia telah mempersembahkan diri kepada Tuan, maka tangan dia bukan lagi milik dia tetapi milik Tuan.

Pada suatu kali sewaktu saya sedang menunggu bas, saya ternampak sebuah buku yang aneh tajuknya di sebuah kedai. Saya tertarik untuk membacanya namun Tuan menghalang saya. Oleh itu, saya tidak berani menyelak buku itu. Hal ini kerana mata dan pemikiran saya telah dipersembahkan kepada Tuan dan bukan lagi kepunyaan saya.

Hari ini kita harus mempunyai kesedaran ini. Kita harus tahu bahawa Tuan telah membeli kita dan kita orang kepunyaan-Nya. Jika kita mempunyai perasaan begini, kita akan berasa manis dan baik. Meskipun ada orang yang mengkritik kita dengan mengatakan kita berfikiran sempit dan keras kepala, namun sungguhpun mulut mereka berkata demikian, hati mereka tidak dapat tidak mengagumi kita. Orang Kristian seperti kita ini memang orang yang paling gembira. Tidak ada satu perkara pun yang lebih menggembirakan kita daripada mempersembahkan diri secara mutlak kepada Tuan, kerana kita mempersembahkan diri kepada Tuan yang amat mengasihi kita.

EMPAT BUTIR YANG HARUS DIPERSEMBAHKAN

(1) Mempersembahkan Orang

Perkara pertama yang harus dilakukan selepas jayeng ialah membuat persembahan. Apakah itu persembahan? Persembahan bererti meletakkan kamu dan segala milik kamu di atas mazbah. Secara khususnya, terdapat empat butir yang harus kita persembahkan. Pertama, orang, yakni orang yang mempunyai hubungan dengan kita. Jika seseorang mengasihi banyak orang dalam hatinya, Tuan tidak ada kedudukan dalam hatinya. Jika kamu mempersembahkan diri kepada Tuan, maka tidak ada orang di dunia ini yang akan menduduki hati kamu lagi dan tidak ada orang yang menambat hati kamu lagi. Tuhan menyelamatkan kamu agar Dia dapat memperoleh kamu dengan sepenuhnya. Akan tetapi, banyak air mata yang akan melunakkan hati kamu, banyak kasih sayang manusia yang akan menarik kamu, dan banyak hati yang berkecai yang akan memanggil kamu kembali. Kamu harus berkata kepada Tuan, “Siapakah yang aku ada di syurga melainkan Engkau? Dan selain Engkau, tidak ada apa-apa yang aku ingini di bumi” (Mzm. 73:25, Ibr.). Persembahan begini bukan untuk masa hadapan tetapi untuk masa kini; kita dapat melakukannya hari ini juga. Hari ini kita dapat memutuskan segala kasih dan hubungan manusia dan membolehkan Tuan memperoleh tempat pertama dalam kita.

(2) Mempersembahkan Kerjaya

Perkara kedua yang harus kita persembahkan ialah kerjaya kita. Kita bukan mempersembahkan diri untuk menjadi penginjil. Banyak penginjil hari ini tidak mempersembahkan diri. Kita mempersembahkan diri kepada Tuhan untuk melaksanakan kehendak Tuhan, untuk menuntut kehendak Tuhan, dan untuk mengetahui apa tujuan kehendak Tuhan terhadap kita. Ada seorang dikbang pelajar sekolah menengah yang sentiasa mendapat tempat pertama dalam peperiksaan. Dia bernekad untuk mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir. Maka dia menghabiskan semua masa dan tenaganya untuk belajar. Atas sebab ini, kasihnya terhadap Tuan terhalang. Setelah dia melepasi halangan untuk jayeng, dia sedar bahawa cita-citanya yang sedemikian adalah salah, maka dia berdoa kepada Tuan, “O Tuan, jika itu kehendak-Mu, maka aku reda biarpun mendapat tempat terakhir.” Pelajar ini benar-benar dikbang dalam Tuan. Akhirnya dia jayeng dan dia mengalami hayat yang jayeng dalam pelajarannya. Dikbang sekalian, sekiranya kamu mempunyai cita-cita jahat dalam perniagaan kamu, dalam kerjaya kamu, iaitu harapan yang tidak dapat kamu lepaskan dan mesti kamu capai, maka kamu perlu mempersembahkan diri. Kamu harus mempersembahkan kerjaya kamu, harapan kamu, dan cita-cita jahat kamu kepada Tuan secara mutlak agar kamu dapat melaksanakan kehendak Tuhan. (bersambung...)

HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 2/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)