Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 1/2)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
2020-06-28 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (61)

Nota Editor:

“Ayat ini [1 Kor. 1:30] tidak mengatakan bahawa Kristus menolong kita untuk dikuduskan atau memberi kita kekuatan untuk pengudusan. Kristus tidak memberi kita kekuatan untuk kita dikuduskan. Sebaliknya, Dia menjadi pengudusan kita. Kristus ialah pengudusan kita. Inilah kemenangan. Kemenangan bererti Kristus menjadi hayat kita.”

“Tuhan sudah mengatakan dalam Bible bahawa kamu tidak ada harapan. Sekiranya kamu masih ada harapan, Tuhan tidak akan menyalibkan kamu. Salib merupakan penilaian Tuhan terhadap kamu. Ini bererti bahawa kamu hanya layak untuk mati. Kamu tidak layak untuk apa-apa kecuali kematian. Kamu harus mati, dan kamu mesti mati. Kamu benar-benar tidak berguna...Kamu mengatakan bahawa kamu mahu berubah, tetapi saya mengatakan bahawa kamu tidak dapat berubah menjadi lebih baik. Kamu tidak akan ada apa-apa kemajuan. Harapan ini tidak akan tercapai selama-lamanya. Tidak kira sebanyak mana seekor lembu itu berubah, lembu itu masih lembu...Kamu mahu ‘change’, kamu mahu berubah, tetapi biar saya buat sesuatu, iaitu menambah ‘ex’ di depan ‘change’ menjadi ‘exchange’ (tukar ganti). Apa yang kamu perlukan bukanlah perubahan, tetapi penukargantian.”

“Kemenangan ialah sesuatu yang diberikan Tuhan kepada kita, bukan sesuatu yang kita usahakan untuk dicapai.”

“Berkenaan Galatia 5:22 dan 23, banyak orang mengatakan bahawa buah Roh Kudus mempunyai sembilan jenis. Mereka berfikir bahawa Roh Kudus mempunyai sembilan jenis buah yang berbeza dan kita mengambil buah ini satu per satu. Ini seperti mengatakan bahawa kita pertamanya mengambil buah yang disebut kasih. Sekarang kasih ada di dalam kita, tetapi kita belum mempunyai keriangan. Oleh itu, kita terus mengambil buah lain yang disebut keriangan. Setelah kita menerima keriangan, kita seterusnya mengambil kedamaian. Tetapi tidak ada perkara seperti ini. Kita harus sedar bahawa perkataan ‘buah’ dalam bahasa asal adalah berbentuk mufrad. Hanya ada satu buah Roh Kudus...Kristus ialah buah Roh Kudus. Apabila kita menerima Kristus ke dalam kita, kita mempunyai seluruh buah Roh Kudus itu.”

HAYAT YANG JAYENG
(Bahagian 3/3)

Tarikh: 23 November 1935, malam
Tempat: Chuanzhou

(CWWN SET 2, JIL 21, BAB 8)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

1 Kor. 1:30 “Tetapi daripada-Nya, kamu berada dalam Kristus Yesus yang menjadi kearifan kepada kita daripada Tuhan: keadilbenaran, pengudusan dan penebusan.”

Gal. 5:22-23 “Tetapi buah Roh itu ialah kasih, keriangan, kedamaian, kesabarderitaan, keihsanan, kebaikan, kesetiaan, kelembuthalusan, kawalan kendiri; berkenaan hal-hal sedemikian, tidak ada hukum yang menegahnya.”

KEMENANGAN BERMAKSUD KRISTUS HIDUP UNTUK KITA DI DALAM

Tiga tahun yang lalu saya bekerja di Amerika. Suatu hari selepas perhimpunan, seorang doktor mengajak saya pergi ke rumahnya. Isterinya berkata kepada saya, “Tolong doa untuk saya.” Saya bertanya, “Mengapa kamu ingin saya berdoa untuk kamu?" Dia berkata, “Saya mempunyai beberapa anak lelaki yang nakal, dan mereka sentiasa membuat saya hilang sabar. Saya cuba bersabar selepas anak sulung dilahirkan, dan saya juga cuba bersabar selepas anak kedua dilahirkan. Namun, selepas anak ketiga datang, saya sudah tidak tertahan. Apabila keempat-empat mereka bersama, saya tidak lagi dapat menahan diri dan terus naik berang. Semakin mereka datang bersama-sama, semakin saya hilang sabar. Saya tidak boleh bersabar. Apa yang harus saya buat?” Saya tersenyum kepadanya dan berkata, “Adakah kamu benar-benar ingin bersabar?” Dia menjawab, “Alangkah baiknya jika Tuhan memberi saya kesabaran. Jika begitu, saya tidak akan naik marah lagi.” Saya berkata, “Kamu bukannya kekurangan kesabaran.” Dia berkata, “Apa maksudmu? Jika saya tidak kekurangan kesabaran, apa kekurangan saya?” Saya berkata, “Kamu kekurangan Kristus. Kamu tidak kekurangan kesabaran. Jika kamu berdoa untuk kesabaran, Tuhan tidak akan memberikannya kepada kamu, kerana Kristus ialah kesabaran kita.” Kristus tidak menolong kita menjadi sabar; Dia tidak memberi kita kudrat untuk bersabar. Dia ialah kesabaran dalam diri kita. Terdapat perbezaan yang besar antara dua perkara ini. Kita tidak kekurangan kesabaran; kita kekurangan Kristus. Kristus ialah kesabaran kita. Dia tidak menolong kita menjadi sabar. Dia tidak memberi kita kekuatan untuk menjadikan kita sabar. Dia hidup dalam kita dan untuk kita, dan Dia menghidup keluar kesabaran-Nya dalam kita. Kristus dalam kitalah yang menjadi kesabaran kita.

Satu Korintus 1:30 berkata, “Tetapi daripada-Nya, kamu berada dalam Kristus Yesus yang menjadi kearifan kepada kita daripada Tuhan: keadilbenaran, pengudusan dan penebusan.” Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa Tuhan telah menjadikan Kristus sebagai pengudusan kita. Ayat ini tidak mengatakan bahawa Kristus menolong kita untuk dikuduskan atau memberi kita kekuatan untuk pengudusan. Kristus tidak memberi kita kekuatan untuk kita dikuduskan. Sebaliknya, Dia menjadi pengudusan kita. Kristus ialah pengudusan kita. Inilah kemenangan. Kemenangan bererti Kristus menjadi hayat kita.

Kebanyakan orang mengetahui Galatia 2:20. Akan tetapi, hanya sedikit yang melihat makna sebenar ayat ini. Kita sering berfikir, “Disebabkan bukan lagi aku yang sepatutnya hidup, aku mesti berusaha dan berjuang untuk tidak lagi hidup.” Sebenarnya, ini bukan soal kita berusaha atau berjuang untuk hidup, tetapi Kristus yang hidup. Bukan lagi aku yang hidup, melainkan Kristus yang hidup. Ini bermaksud bahawa Kristus hidup dan bukannya kita. Kristus telah menebus kita daripada dosa di kayu salib, dan Dia sekarang hidup dalam kita dan untuk kita. Ini merupakan hayat yang bertukar ganti: bukan lagi aku yang hidup, melainkan Kristus yang hidup dalam aku.

HAYAT YANG JAYENG BERMAKSUD PENUKARGANTIAN DAN BUKANNYA PERUBAHAN

Tahun lalu di Chefoo, seorang Kristian berkata kepada saya, “Saya memerlukan perubahan besar. Setelah saya berubah, semuanya akan baik-baik saja.” Saya berkata, “Harapan kamu tidak akan tercapai.” Dia berkata, “Kamu tidak mengenali saya. Bagaimana kamu tahu bahawa saya langsung tidak ada harapan?” Saya berkata, “Saya sudah lama mengenali kamu. Sebelum kamu dilahirkan, saya sudah mengenali kamu. Apa kamu? Kamu tidak berharapan. Tuhan sudah mengatakan dalam Bible bahawa kamu tidak ada harapan. Sekiranya kamu masih ada harapan, Tuhan tidak akan menyalibkan kamu. Salib merupakan penilaian Tuhan terhadap kamu. Ini bererti bahawa kamu hanya layak untuk mati. Kamu tidak layak untuk apa-apa kecuali kematian. Kamu harus mati, dan kamu mesti mati. Kamu benar-benar tidak berguna. Tuhan bukannya menganiayai kamu ketika Dia menyalibkan kamu. Kamu mengatakan bahawa kamu mahu berubah, tetapi saya mengatakan bahawa kamu tidak dapat berubah menjadi lebih baik. Kamu tidak akan ada apa-apa kemajuan. Harapan ini tidak akan tercapai selama-lamanya. Tidak kira sebanyak mana seekor lembu itu berubah, lembut itu masih lembu. Tidak kira sebanyak mana seekor babi berubah, babi itu tetap babi. Tidak kira sebanyak mana kamu berubah, kamu tetap kamu. Kamu mahu “change”, kamu mahu berubah, tetapi biar saya buat sesuatu, iaitu menambah “ex” di depan “change” menjadi “exchange” (tukar ganti). Apa yang kamu perlukan bukanlah perubahan, tetapi penukargantian.”

Tidak kira betapa banyaknya saya, Watchman Nee, berubah, hayat dalam saya kekal merupakan hayat seorang pendosa. Cara penyelamatan Tuhan dan cara Dia membuat kita jayeng atas dosa bukannya mengubah apa yang jahat dan lemah dalam diri saya menjadi sesuatu yang baik dan kuat. Cara penyelamatan Tuhan adalah dengan mengetepikan saya. Mulai sekarang, bukan lagi aku, melainkan Kristus yang tinggal dalam aku. Tuhan telah menukar ganti hayat saya dengan hayat Kristus. Ini bukan perubahan, tetapi penukargantian. Tuhan meletakkan Kristus dalam kita supaya Dia hidup dan bukannya kita. Inilah kemenangan. Seseorang mungkin mempunyai perangai yang buruk, tetapi cara penyelamatan Tuhan bukanlah untuk mengubah perangai buruknya. Jalan penyelamatan-Nya adalah meletakkan Kristus ke dalam dirinya sehingga Kristus menjadi kesabaran dan kelembuthalusannya. Tuhan berhasrat agar Kristus menjadi pengudusan, keadilbenaran, kerendahan hati, kesabaran kita, dan lain-lain. Ini bermaksud bahawa segala-galanya ialah Kristus. Kristus ialah segala-galanya bagi kita. Inilah erti kemenangan.

Kemenangan ialah sesuatu yang diberikan Tuhan kepada kita, bukan sesuatu yang kita usahakan untuk dicapai. Ramai orang hanya membaca huruf Bible tetapi tidak memahami realiti di sebalik huruf Sabda Bible itu. Mereka tidak memahami maksud Galatia 2:20. Lebih daripada sepuluh tahun yang lalu, ketika saya mula-mula diselamatkan, seseorang membacakan saya sebuah kisah tentang seorang budak perempuan berumur lapan tahun. Dia telah diselamatkan dan memiliki pengalaman yang sangat baik untuk jayeng atas dosa, dan dia mengetahui erti kemenangan. Semasa perhimpunan di Konvensyen Keswick, orang bertanyakan bagaimana dia jayeng ketika godaan datang. Dia menjawab, “Setiap kali godaan datang, saya tidak akan berbicara dengannya, saya tidak akan melawannya, dan saya tidak akan memintanya untuk pergi. Apabila Syaitan mengetuk pintu saya, saya memberitahu Tuan, ‘Tuan, Engkau buka pintu untuk aku.’ Ketika Syaitan mendengar Tuan yang membuka pintu, dia akan berkata, “Encik, maaf, saya telah mengetuk pintu yang salah,” dan dia akan berpaling dan segera melarikan diri.” Kali pertama saya mendengar cerita ini, saya tersenyum seperti kamu hari ini. Pada masa itu, walaupun saya tahu bahawa budak itu adalah betul, namun saya tidak mengerti betapa betulnya dia kerana saya belum mempunyai pengalaman. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya telah mengetahui rahsia jayeng atas dosa ini. Rahsianya ialah Kristus yang menangani dosa-dosa itu dan bukannya saya sendiri. Saya tidak perlu menentang dosa; Kristus yang menentang untuk saya. Saya tidak perlu melawan godaan; Kristus yang melawan untuk saya. Saya tidak perlu menolak Syaitan; Kristus yang menolak untuk saya. Saya tidak perlu jayeng atas dosa; Kristus yang jayeng untuk saya. Saya tidak perlu bersabar; Kristus yang bersabar untuk saya. Saya tidak perlu menjadi murni dan rendah hati; Kristus yang menjadi kemurnian dan kerendahan hati saya.

Anak Tuhan ada dalam saya; Kristus ada dalam saya. Inilah kemenangan saya, dan inilah segala-gala bagi saya. Saya tidak dapat tidak memuji Dia. Anak Tuhan rela mati di kayu salib untuk saya. Hari ini Dia rela hidup dalam saya. Dia duduk di takhta di syurga, tetapi pada masa yang sama, Dia juga tinggal dalam saya. Tuhan telah memberi hayat Anak-Nya kepada kita untuk tujuan ini. Dia telah mengetepikan hayat manusia dan meletakkan hayat Anak-Nya dalam kita. Kehidupan dan segala-gala kita bergantung kepada Kristus. Banyak orang berfikir bahawa asalkan mereka menerima sebungkus kesabaran, kerendahan hati, atau kasih dari syurga, segala-galanya akan baik-baik belaka. Akan tetapi, kita harus sedar bahawa penyelamatan Tuhan dalam Kristus merupakan sesuatu yang borong, bukan secara runcit. Kita tidak perlu meminta sedikit pada hari ini dan meminta sedikit lagi pada hari esok. Dia telah meletakkan segala-galanya dalam kita sekali gus.

BUAH ROH KUDUS IALAH KRISTUS

Berkenaan Galatia 5:22 dan 23, banyak orang mengatakan bahawa buah Roh Kudus mempunyai sembilan jenis. Mereka berfikir bahawa Roh Kudus mempunyai sembilan jenis buah yang berbeza dan kita mengambil buah ini satu per satu. Ini seperti mengatakan bahawa kita pertamanya mengambil buah yang disebut kasih. Sekarang kasih ada di dalam kita, tetapi kita belum mempunyai keriangan. Oleh itu, kita terus mengambil buah lain yang disebut keriangan. Setelah kita menerima keriangan, kita seterusnya mengambil kedamaian. Tetapi tidak ada perkara seperti ini. Kita harus sedar bahawa perkataan “buah” dalam bahasa asal adalah berbentuk mufrad. Hanya ada satu buah Roh Kudus. Kasih, keriangan, kedamaian, kesabartahanan, dan lain-lain merupakan sebahagian daripada satu buah Roh Kudus. Sebaik sahaja kita memperoleh buah Roh Kudus, kita memiliki kesemua sembilan virtu. Sekiranya kita tidak mempunyai buah Roh Kudus, kita tidak mempunyai kesemua sembilan virtu itu. Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita mempunyai satu jenis tetapi kekurangan lapan yang lain. Sekiranya kita mempunyai satu, kita mempunyai semua. Sekiranya kita kekurangan satu, kita kekurangan semua. Kristus ialah buah Roh Kudus. Apabila kita menerima Kristus ke dalam kita, kita mempunyai seluruh buah Roh Kudus itu.

Orang sering bertanyakan apa itu buah Roh Kudus. Namun Tuhan bertanyakan siapa itu buah Roh Kudus. Buah Roh Kudus hanyalah Kristus sendiri. Apabila kita mempunyai Kristus, kita mempunyai buah Roh Kudus. Sekiranya kita mempunyai Kristus, kita mempunyai segala-galanya. Di mata Tuhan, kita tidak memperoleh benda-benda ini satu per satu. Sebaliknya, kita memperoleh seluruh Kristus sekali untuk selamanya. Asalkan kita mempunyai Kristus, kita mempunyai buah Roh Kudus. Banyak orang telah berusaha untuk membeli sedikit kurnia daripada Tuhan di sana sini. Akibatnya hanyalah kegagalan. Izinkan saya bertanya: Setelah sekian lama kamu berdoa untuk kesabaran, adakah kamu menerimanya? Kristus ada dalam kita untuk menjadi hayat kita dan hidup untuk kita. Apa lagi yang kita perlukan? Apabila kita melihat bahawa Kristus ialah hayat kita dan bahawa Dia hidup untuk kita, kita akan segera memiliki segala kurnia yang kita perlukan. Orang Cina mempunyai ungkapan: “Selagi gunung hijau masih ada, usah takut akan kehabisan kayu api.” Kristus ialah “gunung hijau” kita, dan sembilan aspek buah Roh Kudus merupakan pokok yang tumbuh di “gunung” ini. Sekiranya kita ingin menjadi pejayeng, mata kita harus tertumpu pada Kristus.

Orang Kristian yang dikehendaki Tuhan bukanlah orang Kristian yang meniru Kristus atau yang beroleh sedikit kudrat. Orang Kristian yang dihasratkan Tuhan ialah orang Kristian yang mengetepikan diri dan membiarkan Kristus hidup menggantikan mereka dalam mereka. Dengan penggantian ini, akan ada gerak-hidup yang betul. Apabila Kristus hidup untuk kita dan dalam kita, kita menjadi Kristus, dan kita dapat jayeng. Jika tidak, kita tidak akan berhidupkan Kristus, dan kita tidak akan jayeng tidak kira bagaimana kita hidup. Kemenangan ialah Kristus menjadi segala-galanya dalam kita dan hidup untuk kita. Inilah kehidupan yang jayeng.

HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 1/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)