Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 2/2)
PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 1/2)
MENJAGA KEHIDUPAN YANG JAYENG
PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 2/2)
2020-06-30 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (63)

Nota Editor:

“Perkara ketiga yang harus kita persembahkan ialah benda...Kita harus menggunakan wang kita menurut kehendak Tuan. Persembahan dalam Wasiat Baru berbeza daripada Wasiat Lama. Prinsip Wasiat Lama ialah mempersembahkan sepersepuluh, manakala prinsip Wasiat Baru ialah mempersembahkan sepuluh persepuluh. Wasiat Baru menuntut kita mempersembahkan segala-gala yang kita ada ke dalam tangan Tuhan...Kita tidak harus membelanjakan pendapatan kita dan kemudian baru memberikan bakinya kepada Tuhan. Sebaliknya kita harus mempersembahkan semua pendapatan kita kepada Tuhan dan membenarkan Tuhan membekali kita dengan apa yang kita perlukan.”

“Tuhan tidak akan membalas kita dengan sesuatu yang kurang. Kita telah melepaskan banyak peluang untuk diberkati Tuhan pada masa yang lampau. Saya mempunyai banyak pengalaman dari aspek persembahan kebendaan. Saya banyak diberkati kerana membuat persembahan.”

“Keempat, kita harus mempersembahkan diri sendiri...Sesetengah orang berfikir bahawa setelah dia jayeng, dia tidak perlu lagi patuh. Sebenarnya, jayeng akan menjadikan kita lebih berkudrat untuk patuh kepada Tuan.”

“Jayeng bukan bermaksud menang atas perbuatan jahat; jayeng bermaksud kita tidak lagi hidup untuk diri sendiri tetapi hidup untuk Tuan setiap hari sewaktu kita hidup di bumi.”

PERSEMBAHAN DIRI
(Bahagian 2/2)

Tarikh: 17 November 1935, petang
Tempat: Chuenchow

(Mengasihi Tuhan, Bab 8)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

2 Kor. 5:14-15 “Sesungguhnya kasih Kristus mendesak kami kerana kami telah menetapkan ini, bahawa Seorang mati untuk semua, maka semua mati, dan Dia mati untuk semua agar mereka yang hidup tidak lagi hidup terhadap diri mereka tetapi terhadap Dia yang mati untuk mereka dan telah dibangkitkan.”

EMPAT BUTIR YANG HARUS DIPERSEMBAHKAN (samb.)

(3) Mempersembahkan Benda

Perkara ketiga yang harus kita persembahkan ialah benda. Orang kaya lebih mudah meninggalkan Tuan berbanding dengan orang miskin kerana hati mereka terletak pada wang. Tidak ada satu benda pun di dunia ini kepunyaan kita; semuanya kepunyaan Tuan. Oleh itu, kita harus mempersembahkan kesemuanya kepada Tuan, meletakkan segala-galanya di atas mazbah (1 Taw. 29:12-16). Banyak orang yang memboroskan wang mereka; perbuatan ini tidak diperkenan Tuhan. Sebaliknya, ada seorang dikkak yang tidak pernah membelanjakan seringgit pun secara sembarangan sepanjang lima puluh tahun. Cara menyimpan wang sebegini juga tidak diperkenan Tuan. Memboros wang tidak ada kedudukan di hadapan Tuan, menyimpan wang pun tidak ada kedudukan di hadapan Tuan. Segala pemborosan dan penyimpanan kita akan dihakimi Tuan di depan takhta penghakiman. Kita harus menggunakan wang kita menurut kehendak Tuan. Persembahan dalam Wasiat Baru berbeza daripada Wasiat Lama. Prinsip Wasiat Lama ialah mempersembahkan sepersepuluh, manakala prinsip Wasiat Baru ialah mempersembahkan sepuluh persepuluh. Wasiat Baru menuntut kita mempersembahkan segala-gala yang kita ada ke dalam tangan Tuhan. Tuhan tidak akan membiarkan kita kelaparan. Kamu mungkin bimbang akan belanja hidup kamu, namun Tuhan mahu kita menyerahkan segala-galanya kepada-Nya dahulu, kemudian menerima daripada-Nya. Hari pertama kamu menerima upah kerja, kamu harus berkata kepada Tuhan, “O Tuhan, semua wang ini kepunyaan-Mu. Aku menyerahkan semuanya kepada-Mu.” Selepas kita menerima upah, kita harus menyerahkannya kepada Tuhan terlebih dahulu dan kemudian Tuhan akan mengagihkannya untuk kegunaan kita. Selepas kita menerima upah, kita tidak harus membelanjakannya mengikut keperluan kita dahulu, kemudian barulah memberikan bakinya kepada Tuhan. Keluarga Dikbang Witness Lee ialah keluarga yang besar. Mereka tiga adik-beradik menyerahkan kesemua pendapatan mereka setiap bulan kepada ibu mereka dan kemudian ibu mereka akan mengagihkannya kepada setiap orang mengikut keperluan. Begitu juga hubungan kita dengan Tuhan. Kita tidak harus membelanjakan pendapatan kita dan kemudian baru memberikan bakinya kepada Tuhan. Sebaliknya kita harus mempersembahkan semua pendapatan kita kepada Tuhan dan membenarkan Tuhan membekali kita dengan apa yang kita perlukan.

Berkenaan harta milik kita yang diperoleh pada masa dahulu, kita tidak semestinya perlu mempersembahkan kesemuanya kepada Tuan. Melainkan Tuhan mahu kamu mempersembahkannya, maka kamu harus mempersembahkannya. Kamu boleh menjual harta milik kamu dan menyimpan wang tersebut di bank. Kemudian kamu boleh mempersembahkan wang tersebut untuk kegunaan Tuhan mengikut pimpinan Tuhan pada masa kelak. Sekiranya kamu membuat persembahan dengan cara ini, bank yang menyimpan wang kamu itu akan diberkati. Bank itu tidak akan bankrap kerana Tuhan akan menjaga wang simpanan-Nya sendiri. Di dunia ini, faedah sebanyak lima peratus dianggap tinggi, namun Bible mengatakan bahawa jika kita membuat persembahan kepada Tuan, pada zaman ini juga kita akan menerima seratus kali ganda banyaknya (Mat. 19:29). Jika dikira faedahnya, faedahnya ialah sepuluh ribu peratus! Betapa untungnya tawaran ini! Dikbang dan dikkak sekalian, Tuhan tidak akan membalas kita dengan sesuatu yang kurang. Kita telah melepaskan banyak peluang untuk diberkati Tuhan pada masa yang lampau. Saya mempunyai banyak pengalaman dari aspek persembahan kebendaan. Saya banyak diberkati kerana membuat persembahan. Ada seorang dikkak yang mempersembahkan kesemua seratus dua puluh yuan yang diperolehnya setiap bulan untuk kegunaan Tuan. Apabila harta kita terletak di tangan kita, kita sama ada akan memboroskannya atau menyimpannya. Akan tetapi, jika kita mempersembahkan kesemuanya kepada Tuan, kita tidak akan berani menggunakannya dengan sewenang-wenangnya. Selepas kita mempersembahkan harta kita kepada Tuan, segala-galanya menjadi milik Tuan dan Dialah yang menentukan sama ada untuk menyimpan atau menggunakan harta itu. 

(4) Mempersembahkan Diri Sendiri

Keempat, kita harus mempersembahkan diri sendiri. Kita bukan sahaja harus mempersembahkan orang, kerjaya, dan benda; akhirnya kita juga harus mempersembahkan diri kita sendiri. Sesetengah orang berfikir bahawa setelah dia jayeng, dia tidak perlu lagi patuh. Sebenarnya, jayeng akan menjadikan kita lebih berkudrat untuk patuh kepada Tuan. Dulu kita tidak ada kudrat untuk patuh kepada Tuan. Kini kita melihat bahawa Tuan telah menyempurnakan segala-galanya untuk kita, maka secara spontan kita dapat menyerahkan tekad kita dan segala-gala kita kepada Tuan dan membenarkan Tuan memperkudratkan kita dengan hayat-Nya yang jayeng agar kita dapat patuh. Perkara ini harus dilakukan secara khusus. Persembahan kita harus mempunyai tarikh yang tetap, sama seperti seorang gadis yang berkahwin pada tarikh tertentu. Kamu tidak boleh berkata, “Saya rasa saya berkahwin pada hari itu.” Demikian juga, kamu tidak boleh berkata, “Mungkin saya mempersembahkan diri pada hari itu.” Kita harus melakukan perkara ini secara khusus di hadapan Tuan sekali. Kita harus betul-betul ingat akan hari ini dan tidak melupakannya. Saya mempersembahkan diri pada 13 Februari, 1922. Kita boleh memberitahu orang lain tarikh kita mempersembahkan diri. Kita boleh memberitahu orang yang memimpin kita kepada Tuan atau memberitahu orang yang telah membantu kita dari segi rohani. Bahkan kita boleh mengeluarkan notis dan mengisytiharkan kepada orang dan juga kepada Syaitan, “Saya sudah berkahwin dengan Tuan.” Demikianlah yang dikatakan oleh Paulus bahawa dia telah menunangkan percayawan di Korintus kepada Tuan sebagai perawan yang suci (2 Kor. 11:2).

Ulangan 26:16-19 mengatakan bahawa jika kita mematuhi kata-kata Tuan, Tuhan akan menyebabkan kita mematuhi segala perintah-Nya supaya kita menjadi umat yang kudus bagi Yehova. Mematuhi kata-kata Tuan ialah kewajipan kita sebagai orang Kristian; menjadikan kita umat yang kudus bagi-Nya ialah kewajipan Tuhan. Oleh itu, jika kita menunaikan kewajipan kita, Tuhan akan menunaikan kewajipan-Nya juga.

JAYENG UNTUK MENJALANI KEHIDUPAN MEMPERSEMBAHKAN DIRI

Memandangkan persembahan berkait rapat dengan kejayengan, maka apakah itu hayat yang jayeng? Adakah jayeng bermaksud menang atas segala hal jahat? Bukan! Jika demikian, maka banyak orang di dunia ini tidak memerlukan hayat yang jayeng. Mereka mempunyai banyak virtu sejadi. Mereka tidak mudah naik marah dan tidak melakukan perkara jahat. Adakah mereka ini jayeng? Tidak. Jayeng bukan bermaksud menang atas perbuatan jahat; jayeng bermaksud kita tidak lagi hidup untuk diri sendiri tetapi hidup untuk Tuan setiap hari sewaktu kita hidup di bumi. Kita harus mempunyai satu perasaan: “Tuan telah membeli saya. Saya kepunyaan Dia dan saya seorang yang ditunangkan kepada Tuan.” Orang yang hidup dalam suasana begini ialah orang yang menghirup udara syurgawi dalam kekudusan. Jayeng bukan mengamalkan “fahaman menyangkal”, dan bukan juga diselamatkan daripada dosa secara pasif. Jayeng ialah mempersembahkan diri kepada Tuan secara aktif dan bersekutu dengan-Nya sewaktu hidup di bumi ini. Jika kita tidak mencapai tahap ini, kita belum lagi jayeng. Orang Kristian jayeng terlebih dahulu dan kemudian baru mempersembahkan diri. Jika kamu sudah melepasi halangan untuk jayeng, maka apa yang harus kamu lakukan hari ini ialah mempersembahkan diri. 

HATI TUHAN ADALAH BAIK

Roma 6:16 berkata, “Tidak tahukah kamu bahawa kepada siapa kamu mempersembahkan dirimu sebagai abdi untuk mematuhinya, maka kamulah abdi kepada dia yang kamu patuhi, sama ada abdi dosa membawa kepada maut ataupun abdi kepatuhan membawa kepada keadilbenaran?” Kita mempersembahkan diri kepada Tuan untuk menjadi abdi Tuan. Ketika banyak orang mendengar tentang persembahan dan menjadi abdi Tuhan, mereka berasa takut. Mereka berfikir bahawa selepas mempersembahkan diri kepada Tuhan, Tuhan akan menyusahkan mereka. Inilah fikiran orang yang tidak mengenali Tuhan.

Terdapat seorang ibu yang tidak memahami maksud patuh dan mempersembahkan diri, maka seseorang menjelaskan perkara ini kepadanya dengan menggunakan ibarat: Katakan kamu mempunyai seorang anak yang amat keras kepala dan derhaka. Kemudian anak ini bertaubat dan memberitahu kamu bahawa mulai sekarang dia akan patuh kepada kamu, mendengar kata-kata kamu, dan melakukan apa-apa sahaja yang disuruh. Sebagai seorang ibu, adakah kamu akan berfikir sepanjang malam tentang kerja yang susah supaya kamu dapat menyusahkan anakmu keesokan hari? Dia menjawab, “Tidak, sebaliknya saya akan lebih mengasihinya.” Sesungguhnya, ibu itu akan berfikir sepanjang malam untuk menjahit baju baru untuk anaknya atau membeli gula-gula untuknya. Inilah hati seorang ibu. Inilah juga hati Tuhan kita. 

Jika kita mempersembahkan diri kepada Tuhan, Dia akan mengatur segala-galanya untuk bekerja bagi kita. Bukankah Dia akan berasa puas hati dan berkenan atas kepatuhan kita? Masakan Dia akan berikhtiar untuk menanggulangi kita dan menyusahkan kita? Hati Tuhan terhadap kita sama sekali baik dan ihsan. Memang benar bahawa Dia tidak akan melakukan segala-galanya menurut kesukaan kita. Namun begitu, kita harus percaya bahawa hati Tuhan terhadap kita sama sekali adalah baik dan ihsan. Sebagai orang Kristian, walaupun kita akan menderitai kesengsaraan di dunia, namun hati kita masih bergirang. Kita boleh bergirang walaupun mengalirkan air mata kerana kita tahu bahawa segala-gala yang menimpa kita sudah diukur oleh tangan Tuan. Kita harus percaya bahawa niat Bapa sentiasa baik. Semakin kamu mempersembahkan diri, semakin Tuan mengasihi kamu. Sebelum kamu mempersembahkan diri kepada Tuan, kamu hanya salah seorang antara banyak orang Kristian; namun selepas kamu mempersembahkan diri, kamu menjadi orang yang berlainan. Kamu adalah istimewa di mata Tuhan, dan Dia akan mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk bekerja pada kamu menurut kegirangan-Nya yang baik.

Semoga kita rela mempersembahkan segala-galanya di atas mazbah—orang yang mempunyai hubungan dengan kita, kerjaya kita, harta benda kita, dan kita sendiri—agar segala-galanya dikuduskan kepada Tuan. Semoga kita memahami bahawa matlamat Dia menyelamatkan kita ialah kita tidak lagi hidup terhadap diri sendiri tetapi terhadap Tuan yang mati dan bangkit untuk kita (2 Kor. 5:14-15). 

PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 1/2)
MENJAGA KEHIDUPAN YANG JAYENG
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)