Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 4/4)
Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 3/4)
Penyakit (Bahagian 1/4)
Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 4/4)
2020-05-03 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (5)

Nota Editor:

“Dutus percaya bahawa seseorang yang digabungkan kepada Tuan mula-mula sekali ialah “satu roh” dengan Tuan, kerana ini merupakan penyatuan roh. Namun demikian, dia tidak menganggap tubuh percayawan sebagai yang berasingan. Dia mengaku bahawa pergabungan peringkat permulaan adalah dalam roh, tetapi pergabungan dalam roh juga menjadikan tubuh percayawan sebagai anggota Kristus.”

“Apabila kita berbicara tentang penyatuan tubuh kita dengan Kristus, kita bermaksud bahawa tubuh dapat menerima hayat Tuhan dan dikuatkan oleh hayat-Nya, dan seseorang harus menggunakan tubuhnya secara berhati-hati kerana kedudukan tubuh begitu terhormat. Kita bukan bermaksud bahawa tubuh dapat menggantikan roh untuk bekerja.”

“Kita harus mengetahui bahawa tubuh mempunyai kedudukannya dalam penyelamatan Tuhan...Dia ingin mengalir kepada setiap anggota dan membekali kita dengan hayat dan kekuatan jauh lebih daripada yang dapat kita fikirkan.”

“Alangkah ajaibnya jikalau percayawan benar-benar melihat bahawa Tuan, menerusi Roh Kudus-Nya yang huni dalam kita, menyembuhkan kita, menguatkan kita, menjadi kesihatan dan hayat kita! Sekiranya kita melihat bahawa tubuh kita merupakan bait Roh Kudus, kita akan mengikut Roh Kudus dengan begitu takjub, girang, penuh dengan kekudusan dan kasih!”

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB SATU

PERCAYAWAN DAN TUBUHNYA (Bahagian 4/4)

Bacaan Bible:

1 Kor. 6:15a “Tidak tahukah kamu bahawa tubuhmu ialah anggota-anggota Kristus?”

1 Kor. 6:19-20 “...tidak tahukah kamu bahawa tubuhmu ialah bait Roh Kudus yang ada dalam kamu, Roh ini kamu peroleh daripada Tuhan, dan kamu bukan kepunyaan sendiri? Kerana kamu telah dibeli dengan harga yang tinggi. Jadi, muliakan Tuhan dalam tubuhmu.”

Di sini, kita harus memahami penyatuan kita dengan Kristus. Tuhan tidak melihat seseorang percayawan sebagai individu berasingan. Dia merangkumkan semua percayawan dalam Kristus. Tidak ada seorang percayawan yang dapat berada di luar Kristus, kerana kehidupan hariannya dibekali oleh Kristus. Di mata Tuhan, penyatuan percayawan dengan Kristus merupakan satu hakikat yang teramat pasti. Tubuh Kristus bukan istilah rohani, tetapi hakikat yang benar. Sebagaimana kepala bergabung dengan tubuh, begitu juga Kristus bergabung dengan semua percayawan. Pada pandangan Tuhan, penyatuan kita dengan Kristus adalah sempurna, abadi, dan mutlak. Dengan kata lain, roh kita digabungkan kepada roh Kristus (hal ini adalah yang paling mustahak), sukma kita digabungkan kepada sukma Kristus (inilah penyatuan dalam tekad, emosi, dan minda), dan tubuh kita juga digabungkan kepada tubuh Kristus. Jika penyatuan antara kita dengan Kristus adalah tanpa celah, maka tubuh kita tidak boleh dikecualikan. Jika kita anggota Kristus, maka tubuh kita juga anggota Kristus.

Sudah tentu hal ini hanya akan digenapkan pada masa kebangkitan yang akan datang. Akan tetapi, hal ini merupakan satu hakikat pada hari ini menerusi penyatuan kita dengan Kristus. Ajaran ini sangat penting kerana sekiranya kita tahu bahawa tubuh Kristus adalah untuk tubuh kita, alangkah besarnya pelipuran yang akan kita dapat. Semua kebenaran boleh dialami. Adakah kita mendapati apa-apa kekurangan fisiologi pada tubuh kita, seperti penyakit, kesakitan, atau kelemahan? Tubuh Kristus adalah untuk tubuh kita. Tubuh kita digabungkan kepada tubuh-Nya. Oleh itu, kita dapat menerima hayat dan kudrat daripada Tuan Yesus untuk membekali segala keperluan tubuh kita. Sesiapa yang mempunyai kekurangan dalam tubuhnya harus melatih iktikad untuk berdiri teguh di kedudukan penyatuan dengan Tuan, dan mengaku bahawa dia ialah Tuan dan Tuan ialah dia. Dengan ini, dia dapat menerapkan segala apanya Tuan untuk tubuhnya.

Dutus berasa hairan bahawa percayawan di Korintus tidak mengetahui kebenaran yang begitu jelas. Dia berfikir bahawa sekiranya percayawan mengenali ajaran ini, mereka bukan hanya akan mempunyai banyak pengalaman rohani, bahkan mereka akan diberi peringatan dari segi amalan mereka. Jika tubuh mereka ialah anggota Kristus, masakan mereka masih berani untuk disatukan kepada pelacur?

Ayat 16 berkata, “Atau tidak tahukah kamu bahawa dia yang disatukan kepada pelacur ialah satu tubuh? Kerana Dia berkata, ‘Kedua-duanya akan menjadi satu daging.’” Di sini dutus menjelaskan prinsip penyatuan dengan amat jelas. Sesiapa yang disatukan kepada pelacur ialah satu daging dengan pelacur. Oleh itu, dia menjadi anggota pelacur. Percayawan yang digabungkan kepada Kristus ialah anggota Kristus. Jika kita mengambil anggota-anggota Kristus dan menggabungkan semuanya kepada pelacur, menjadikan semuanya anggota pelacur juga, di manakah kedudukan Kristus? Inilah sebabnya dutus berkata, “Sama sekali tidak!” 

Ayat 17 berkata, “Tetapi dia yang digabungkan kepada Tuan ialah satu roh.” Dalam tiga ayat Bible ini, kita dapat melihat misteri penyatuan tubuh kita dengan Tuan. Perkara yang paling penting dalam tiga ayat ini ialah penyatuan. Ayat 17 bermaksud: Jika orang yang menyatukan tubuh mereka dengan pelacur itu akan menjadi satu daging dengannya lalu menjadi anggotanya, maka bagi percayawan yang digabungkan kepada Tuan menjadi satu roh, bukankah lebih-lebih lagi tubuh mereka akan menjadi anggota-Nya? Inilah pemikiran yang sangat penting di sini. Sedangkan penyatuan tubuh seseorang dengan pelacur akan menjadikan kedua-dua tubuh itu satu, bukankah lebih-lebih lagi orang yang seluruh dirinya digabungkan kepada Kristus akan menjadi satu dengan-Nya dalam tubuh?

Dutus percaya bahawa seseorang yang digabungkan kepada Tuan mula-mula sekali ialah “satu roh” dengan Tuan, kerana ini merupakan penyatuan roh. Namun demikian, dia tidak menganggap tubuh percayawan sebagai yang berasingan. Dia mengaku bahawa pergabungan peringkat permulaan adalah dalam roh, tetapi pergabungan dalam roh juga menjadikan tubuh percayawan sebagai anggota Kristus. Kata-kata ini mengesahkan apa yang baru dibicarakannya, iaitu tubuh adalah untuk Tuan, dan Tuan juga adalah untuk tubuh.

Semua masalah tertakluk pada hal penyatuan. Anak-anak Tuhan harus jelas tentang kedudukan diri mereka dalam Kristus, iaitu penyatuan mereka dengan Kristus ialah penyatuan yang tanpa sebarang perpisahan. Oleh itu, tubuh kita ialah anggota Tuan. Hayat Tuan dapat termanifestasi dari tubuh kita. Sekiranya Tuan adalah lemah, sakit, dan berpenyakit, maka tidak ada apa-apa yang boleh kita katakan. Namun memandangkan Dia bukan begitu, kita dapat menerima kesihatan, kudrat, dan hayat Tuan menerusi penyatuan dengan-Nya.

Walau bagaimanapun, terdapat satu butir yang harus diberi peringatan: Ini bukan bermakna bahawa disebabkan tubuh ialah anggota Kristus, maka tubuh kita dapat merasai segala persekutuan rohani dan hal rohani. Orang Kristian sering salah anggap bahawa segala hal dapat ditemui buktinya pada tubuh. Mereka menyangka bahawa hadirat Tuhan harus dirasai dalam tubuh, bahawa Tuhan menggegarkan tubuh, dan gegaran daripada Tuhan berlaku pada tubuh. Mereka menyangka bahawa Tuhan mengawal tubuh secara langsung, Roh Kudus memenuhi tubuh, dan Roh Kudus menyatakan kehendak-Nya kepada tubuh, dengan menggunakan lidah dan mulut pada tubuh untuk berbicara. Kalau begitu, tubuh telah menggantikan roh untuk bekerja. Akibatnya, roh kehilangan fungsi, dan tubuh bekerja menggantikan roh. Kadang-kadang disebabkan tubuh tidak tahan dengan jerih lelah ini, tubuh menjadi lemah. Tambahan lagi, roh jahat, yakni roh yang tidak berjasad, paling menyukai tubuh manusia. Matlamat utama mereka ialah merasuk tubuh badan manusia. Apabila percayawan meninggikan kedudukan tubuh melampaui kedudukan yang sewajarnya, roh-roh jahat ini akan mengambil kesempatan untuk bekerja. Ini sejajar dengan hukum dalam alam rohani. Jika seseorang percayawan menyangka bahawa Tuhan dan Roh-Nya ingin berkomunikasi dengannya menerusi tubuh, dia akan berharap agar Tuhan dan Roh Kudus berkomunikasi dengannya menerusi tubuh. Akan tetapi, Tuhan dan Roh Kudus tidak berkomunikasi dengan tubuh percayawan secara langsung, sebaliknya berkomunikasi menerusi roh. Sekiranya percayawan itu tetap hendak mengejar pengalaman terhadap Tuhan dalam tubuh, roh-roh jahat akan mengambil kesempatan untuk masuk ke dalamnya kerana ini tepat-tepat memenuhi cita rasa mereka. Akibatnya bukan yang lain melainkan roh jahat merasuk tubuh percayawan. Apabila kita berbicara tentang penyatuan tubuh kita dengan Kristus, kita bermaksud bahawa tubuh dapat menerima hayat Tuhan dan dikuatkan oleh hayat-Nya, dan seseorang harus menggunakan tubuhnya secara berhati-hati kerana kedudukan tubuh begitu terhormat. Kita bukan bermaksud bahawa tubuh dapat menggantikan roh untuk bekerja.

Ayat 18 berkata, “Larilah daripada pekendakan. Setiap dosa yang dilakukan oleh seseorang adalah di luar tubuhnya, tetapi dia yang berkendak berbuat dosa terhadap tubuhnya sendiri.” Bible menganggap pekendakan lebih serius daripada apa-apa dosa yang lain. Hal ini kerana pekendakan mempunyai hubungan yang khusus dengan tubuh, dan tubuh kita pula merupakan anggota Kristus. Janganlah kita berasa hairan dengan penekanan dan nasihat dutus yang berulang kali agar percayawan lari daripada pekendakan. Kita mungkin memberi perhatian kepada aspek kecemaran moral pada pekendakan. Namun ini bukan penekanan dutus. Selain pekendakan, tidak ada dosa lain yang akan menyebabkan tubuh kita bergabung dengan orang lain. Oleh itu, pekendakan ialah dosa yang bersalah terhadap tubuh. Ini bermakna bahawa tidak ada dosa lain yang mengubah anggota Kristus menjadi anggota pelacur, kecuali pekendakan. Oleh itu, pekendakan merupakan dosa yang bersalah terhadap anggota Kristus. Oleh sebab percayawan digabungkan kepada Kristus, maka lebih-lebih lagi pekendakan menjadi sesuatu yang amat dibenci. Kita boleh melihat perkara ini dari sudut lain: Jika pekendakan adalah begitu dibenci, maka penyatuan tubuh kita dengan Kristus pastilah sesuatu yang sangat benar.

Ayat 19 berkata, “Atau tidak tahukah kamu bahawa tubuhmu ialah bait Roh Kudus yang ada dalam kamu, Roh ini kamu peroleh daripada Tuhan.” Ini merupakan “tidak tahukah kamu” yang kedua. “Tidak tahukah kamu” yang pertama (ay. 15) merujuk kepada “tubuh...untuk Tuan”. Di sini, “tidak tahukah kamu” yang kedua merujuk kepada “Tuan [juga adalah] untuk tubuh”. Dalam 1 Korintus 3:16, dutus sudah memberitahu kita bahawa “kamu ialah bait Tuhan”. Namun di sini dia berkata dengan lebih khusus lagi, “Tubuhmu ialah bait Roh Kudus.” Ini bermakna bahawa penghunian Roh Kudus menyebar dari roh ke tubuh. Sekiranya kita menganggap bahawa Roh Kudus mula-mula menghuni tubuh kita, maka kita membuat kesilapan besar. Roh Kudus mula-mulanya huni dalam roh kita dan juga hanya berkomunikasi secara langsung dengan roh kita. Akan tetapi, ini tidak menghalang Roh Kudus daripada mengeluarkan hayat-Nya dari roh supaya memberi hayat kepada tubuh kita. Sekiranya kita menyangka Roh Kudus datang kepada tubuh kita terlebih dahulu, kita akan terpedaya. Namun jika kita hanya mengehadkan Roh Kudus dalam roh kita, kita akan menanggung kerugian.

Kita harus mengetahui bahawa tubuh mempunyai kedudukannya dalam penyelamatan Tuhan. Kristus ingin menguduskan tubuh kita agar dipenuhi Roh Kudus untuk menjadi wadah-Nya. Oleh sebab tubuh-Nya telah mati, bangkit dan dimuliakan, maka Dia kini dapat memberi Roh Kudus-Nya kepada tubuh kita. Sebagaimana hayat-sukma kita meresapi tubuh kita, begitu juga Roh Kudus-Nya akan meresapi tubuh kita. Dia ingin mengalir kepada setiap anggota dan membekali kita dengan hayat dan kekuatan jauh lebih daripada yang dapat kita fikirkan.

Kita ialah bait Roh Kudus; ini merupakan satu hakikat yang kukuh dan dapat kita alami secara hidup. Banyak percayawan adalah seperti percayawan di Korintus, yang seolah-olah sudah melupakan hakikat ini. Oleh itu, walaupun Roh Kudus huni dalam mereka, namun Dia seolah-olah tidak ada dalam mereka. Kita memerlukan iktikad untuk percaya, mengaku, dan menerima hakikat Tuhan. Jika kita menerapkannya melalui iktikad, kita akan melihat bahawa Roh Kudus bukan sahaja membawa kekudusan, kegirangan, keadilbenaran, dan kasih ke dalam sukma kita, malah Dia juga membawa hayat, kudrat, kesihatan, kekuatan Kristus ke dalam tubuh kita yang lemah, lesu, dan berpenyakit. Dia akan membawa hayat Kristus sendiri dan elemen tubuh-Nya yang mulia kepada tubuh kita. Apabila tubuh kita rela tunduk kepada Kristus sepenuhnya, apabila kita rela menolak segala kehendak diri dan tindakan secara persendirian, dan apabila kita tidak mengingini apa-apa melainkan menjadi bait Tuan, pendek kata, jika kita benar-benar mati bersama dengan Tuan, maka Roh Kudus pasti akan mengekspresikan hayat Kristus yang bangkit pada tubuh kita. Alangkah ajaibnya jikalau percayawan benar-benar melihat bahawa Tuan, menerusi Roh Kudus-Nya yang huni dalam kita, menyembuhkan kita, menguatkan kita, menjadi kesihatan dan hayat kita! Sekiranya kita melihat bahawa tubuh kita merupakan bait Roh Kudus, kita akan mengikut Roh Kudus dengan begitu takjub, girang, penuh dengan kekudusan dan kasih!

Ayat 19 hingga 20 berkata, “...dan kamu bukan kepunyaan sendiri? Kerana kamu telah dibeli dengan harga yang tinggi. Jadi, muliakan Tuhan dalam tubuhmu.” Akhir ayat 19 merupakan sambungan kepada soalan pada permulaan ayat itu: “Tidak tahukah kamu...kamu bukan kepunyaan sendiri?” Kamu ialah anggota Kristus. Kamu ialah bait Roh Kudus. Kamu bukan kepunyaan sendiri. Kamu telah dibeli Tuhan dengan harga yang sangat tinggi. Segala milik kamu ialah kepunyaan Tuhan, terutamanya tubuh kamu. Kristus bergabung dengan kamu, dan Roh Kudus huni dalam kamu sebagai meterai. Semua ini membuktikan bahawa tubuh kamu secara khususnya ialah kepunyaan Tuhan. “Jadi, muliakan Tuhan dalam tubuhmu.” Dikbang sekalian, Tuhan menghendaki kita memuliakan Tuhan dalam tubuh kita. Dia mengingini kita memuliakan-Nya menerusi persembahan bahawa “tubuh [adalah]...untuk Tuan”, dan Dia juga mengingini kita memuliakan-Nya menerusi kurnia bahawa “Tuan [adalah]...untuk tubuh”. Hendak kita berwaspada dan berjaga-jaga, agar kita tidak mempergunakan tubuh sendiri dan jangan biarkan tubuh kita terjebak dalam keadaan yang seolah-olah Tuan bukan untuk tubuh. Dengan demikian, barulah kita dapat memuliakan Tuhan supaya Dia mengekspresikan kudrat-Nya dengan bebas. Dengan itu, dari satu segi, kita dapat diselamatkan daripada mementingkan diri, menyayangi diri, dan dosa, dan dari segi yang lain, kita diselamatkan daripada kelemahan, penyakit, dan kesakitan.


Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 3/4)
Penyakit (Bahagian 1/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)