Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 3/4)
Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 2/4)
Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 4/4)
Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 3/4)
2020-05-02 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (4)

Nota Editor:

Dalam Roma 8:11, Tuhan memberitahu kita bahawa tubuh percayawan yang akan mati itu berhak untuk menerima hayat menerusi Roh Kudus yang huni dalam kita. Ini bukan bermaksud “tubuh dosa” menjadi tubuh kudus, atau “tubuh hina” menjadi tubuh yang mulia, ataupun “tubuh yang akan mati” menjadi tubuh yang tidak akan mati. Semua ini tidak akan berlaku pada zaman ini; hal-hal ini hanya akan berlaku sewaktu Tuan mengangkat kita dan tubuh kita ditebus. Sifat tubuh kita tidak akan berubah pada zaman ini. Roh Kudus memberi hayat kepada tubuh kita bermaksud (1) jika tubuh kita menghidap penyakit, Dia akan memulihkannya, dan (2) jika tubuh kita tidak berpenyakit, Dia akan memeliharanya agar tidak menghidap apa-apa penyakit. Pendek kata, Roh Kudus ingin menjadikan tubuh kita kuat, supaya tubuh dapat memenuhi segala tuntutan bagi kerja dan kehidupan Tuhan, dan supaya hayat kita atau kingdom Tuhan tidak akan menderitai sebarang kerugian disebabkan tubuh.

“Tubuh...untuk Tuan.” Penyataan ini sangat penting. “Tuan [juga adalah] untuk tubuh.” Kata-kata ini begitu menakjubkan!

Dalam konteks tubuh kita adalah untuk Tuan, Tuan juga adalah untuk tubuh kita. Di sini kita melihat hubungan antara Tuhan dengan manusia. Tuhan menyerahkan diri-Nya sepenuhnya kepada kita, agar kita juga menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada-Nya. Selepas kita menyerahkan diri kita kepada-Nya, menurut setakat mana penyerahan diri kita, Dia pun menyerahkan diri-Nya kepada kita. Tuhan mahu kita tahu bahawa Dia telah menyerahkan tubuh-Nya untuk kita. Dia juga mahu kita tahu bahawa jika tubuh kita betul-betul adalah untuk-Nya, kita pasti akan mengalami bahawa Dia adalah untuk tubuh kita. “Tubuh untuk Tuan” bermakna kita mempersembahkan tubuh sendiri kepada Tuan sepenuhnya untuk hidup demi Tuan. “Tuan untuk tubuh” bermakna Tuan sudah memperkenan persembahan kita. Tuan ingin memberi hayat dan kudrat-Nya kepada tubuh kita. Dia ingin menjaga, memelihara, dan mengkhasiati tubuh ini.

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB SATU

PERCAYAWAN DAN TUBUHNYA (Bahagian 3/4)

Bacaan Bible:

Roma 8:11 “Dan jika Roh kepada Dia yang membangkitkan Yesus daripada yang mati huni dalam kamu, maka Dia yang membangkitkan Kristus daripada yang mati juga akan memberi hayat kepada tubuhmu yang akan mati menerusi Roh-Nya yang menghuni kamu secara dalaman.”

1 Kor. 6:13 “...tubuh...untuk Tuan, dan Tuan untuk tubuh.”

1 Kor. 6:17 “Tetapi dia yang digabungkan kepada Tuan ialah satu roh.”

1 Kor. 6:20b “...Jadi, muliakan Tuhan dalam tubuhmu.”

MEMULIAKAN TUHAN

Satu Korintus 6:12-20 menambah agak banyak cahaya kepada perkara tubuh percayawan. Sekarang kita akan melihat ayat demi ayat secara ringkas. 

Ayat 12 berkata, “Segala sesuatu boleh kulakukan, tetapi bukan segala sesuatu itu bermanfaat; segala sesuatu boleh kulakukan, tetapi aku tidak akan dikuasai apa-apa.” Di sini Paulus sedang membicarakan soal tubuh. (Hal ini akan dijelaskan kemudian.) Dia mengatakan bahawa segala sesuatu boleh dilakukan kerana menurut sifat tabii, segala keinginan tubuh seperti makan, minum, seks, dan lain-lain adalah alamiah, wajar, dan sah (ay. 13). Akan tetapi, dia mengatakan bahawa hal-hal ini (1) bukan semuanya bermanfaat dan (2) tidak harus menguasai orang. Dengan kata lain, dari segi keinsanan, terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan seseorang percayawan berhubungan dengan tubuhnya, namun dia boleh memilih untuk tidak melakukannya kerana dia kepunyaan Tuan dan ingin memuliakan Tuhan.

Ayat 13 berkata, “Makanan adalah untuk perut, dan perut untuk makanan; tetapi Tuhan akan memansuhtiadakan kedua-dua ini. Sebaliknya, tubuh bukanlah untuk pekendakan tetapi untuk Tuan, dan Tuan untuk tubuh.” Bahagian atas ayat ini sejajar dengan bahagian atas ayat yang sebelumnya. Makanan adalah sesuatu yang sah, namun makanan dan tubuh kedua-duanya akan dimansuhtiadakan, jadi bukan semuanya bermanfaat. Bahagian bawah ayat ini pula sejajar dengan bahagian bawah ayat yang sebelumnya. Seseorang percayawan boleh bebas sepenuhnya daripada kawalan nafsu seks dan mempersembahkan tubuhnya kepada Tuan dengan sepenuhnya (7:34).

“Tubuh...untuk Tuan.” Penyataan ini sangat penting. Dutus baru sahaja menyebut tentang soal makanan. Soal makan dan minum memberi satu peluang untuk percayawan mengamalkan ajaran “tubuh adalah untuk Tuan”. Kejatuhan manusia berpunca daripada makanan. Tuan Yesus juga digoda di gurun tandus dalam hal makanan. Banyak percayawan tidak tahu memuliakan Tuhan dalam hal makan dan minum. Mereka tidak berfikir bahawa makan dan minum sebenarnya adalah untuk menjadikan tubuh itu sesuai digunakan oleh Tuan. Mereka makan dan minum untuk memuaskan idaman mereka. Kita harus tahu bahawa tubuh adalah “untuk Tuan”, bukan untuk diri sendiri. Oleh itu, kita tidak harus menggunakan tubuh kita untuk menggembirakan diri sendiri. Makan dan minum tidak harus menghalang persekutuan kita dengan Tuhan; makan dan minum hanyalah untuk memelihara tubuh kita dalam keadaan normal. 

Dutus juga menyebut soal pekendakan. Dosa jenis ini mencemari tubuh, dengan itu sama sekali berlawanan dengan ajaran “tubuh...untuk Tuan”. Pekendakan yang disebut di sini bukan sahaja merangkumi pemuasan nafsu tubuh daging di luar nikah, tetapi juga antara suami isteri. Tubuh adalah untuk Tuan; ini bermakna tubuh adalah sama sekali untuk Tuan dan bukan untuk diri sendiri. Oleh itu, pemuasan nafsu yang sah juga harus dilarang.

Dutus ingin menunjukkan kepada kita bahawa segala hal yang melampaui batas atau tanpa batas—tidak kira apa perkara itu—harus ditentang secara mutlak. Memandangkan tubuh adalah untuk Tuan, maka selain Tuan, tidak ada sesiapa yang patut menggunakan tubuh ini. Sesiapa yang menggunakan tubuh, tidak kira bahagian mana, untuk menghiburkan diri sendiri, adalah tidak diperkenan Tuhan. Selain menjadi wadah keadilbenaran, tubuh tidak harus digunakan untuk tujuan lain. Seperti seluruh diri kita, tubuh tidak harus melayan dua tuan. Walaupun makanan dan seks ialah hal-hal tabii, namun hal-hal ini hanya boleh dipuaskan bila ada keperluan. Sungguhpun keperluan itu telah dipenuhi, tubuh itu tetap adalah untuk Tuan, bukan untuk makanan atau seks. Hari ini banyak percayawan hanya mengejar pengudusan dalam roh dan sukma. Namun mereka tidak sedar bahawa banyak aspek pengudusan roh dan sukma sebenarnya bergantung pada pengudusan tubuh. Mereka lupa bahawa semua saraf, perasaan, tindakan, kehidupan, kerja, pemakanan, peminuman, pertuturan, dan sebagainya dalam tubuh mereka seharusnya untuk Tuan sepenuhnya. Jika tidak, mereka tidak akan mencapai kesempurnaan.

“Tubuh...untuk Tuan” bererti tubuh adalah kepunyaan Tuan. Walau bagaimanapun, tubuh diserahkan ke dalam tangan manusia agar dia menjaganya untuk Tuan. Akan tetapi, hari ini amat sedikit orang yang menyedari perkara ini atau mengamalkan perkara ini! Banyak anak Tuhan menderitai kelemahan, penyakit, dan kesengsaraan, kerana Tuhanlah yang mendisiplinkan mereka dan memanggil mereka agar mempersembahkan tubuh mereka sepenuhnya kepada-Nya. Selepas mereka berbuat demikian, barulah Dia menyembuhkan mereka. Dia mengingini mereka tahu bahawa tubuh bukan milik mereka, tetapi milik Tuan. Jika hari ini mereka masih hidup menurut kehendak sendiri, maka mereka akan melihat bahawa sebatan Tuhan tidak akan meninggalkan mereka. Sekiranya ada dalam kalangan kita yang sakit, mereka benar-benar perlu memberi perhatian kepada kata-kata ini.

“Tuan [juga adalah] untuk tubuh.” Kata-kata ini begitu menakjubkan! Lazimnya kita menganggap bahawa Tuan datang untuk menyelamatkan sukma, tetapi ayat ini mengatakan “Tuan [juga adalah] untuk tubuh”. Sesungguhnya banyak percayawan terlalu memandang ringan akan tubuh. Mereka menyangka bahawa Tuan Yesus hanya datang menyelamatkan sukma, dan tubuh adalah tidak berguna. Mereka menganggap tubuh tidak bernilai dalam lingkungan hayat rohani dan tidak ada persediaan kurnia untuknya dalam penyelamatan Tuhan. Akan tetapi, ayat ini memberitahu kita bahawa “Tuan [juga adalah] untuk tubuh.” Tuhan mengatakan bahawa Tuan juga adalah untuk tubuh yang dipandang ringan oleh manusia.

Oleh sebab percayawan memandang ringan akan tubuh, mereka menyangka bahawa Tuan Yesus hanya menanggulangi dosa dalam roh dan sukma dan tidak menanggulangi penyakit dalam tubuh. Oleh itu, apabila tubuh mereka lemah dan sakit, mereka hanya mencari penawar mengikut cara manusia. Walaupun mereka membaca Empat Injil dan mengetahui Tuan Yesus lebih banyak menyembuhkan tubuh daripada menyelamatkan sukma, namun mereka mentafsirkan semua tindakan ini secara rohani. Mereka menganggap bahawa semua penyakit itu merujuk kepada penyakit rohani. Mereka mengaku bahawa sewaktu Tuan Yesus berada di bumi, Dia memang menyembuhkan penyakit tubuh, tetapi mereka percaya bahawa hari ini Tuan Yesus hanya menyembuhkan penyakit rohani mereka. Mereka rela menyerahkan penyakit rohani mereka kepada Tuan untuk memohon penyembuhannya, tetapi mereka menyangka bahawa Tuan tidak prihatin terhadap penyakit tubuh, dan mereka harus mencari jalan penyembuhan sendiri. Mereka lupa bahawa “Yesus Kristus tetap sama, baik kelmarin mahupun hari ini, bahkan buat selama-lamanya” (Ibr. 13:8). Mereka menganggap bahawa Tuan Yesus menyembuhkan penyakit tubuh semasa dia berada di bumi, manakala Dia hanya menyembuhkan penyakit rohani pada hari ini.

Dalam kalangan percayawan hari ini, kita melihat bahawa tubuh telah diketepikan. Seolah-olah Tuhan tidak membuat apa-apa persediaan untuk tubuh percayawan, dan semua penebusan Kristus terhad dalam roh dan sukma sahaja, manakala tubuh tidak ada apa-apa bahagian dalam hal ini. Mereka tidak memerhatikan bahawa Tuan Yesus menyembuhkan pesakit ketika Dia berada di bumi, dan dutus-dutus juga terus mengalami kudrat penyembuhan. Satu-satunya sebab untuk hal ini ialah ketidakpercayaan. Walau bagaimanapun, Sabda Tuhan menunjukkan bahawa Tuan juga adalah untuk tubuh. Tuan adalah untuk tubuh. Segala apanya Tuan adalah untuk tubuh.

Dalam konteks tubuh kita adalah untuk Tuan, Tuan juga adalah untuk tubuh kita. Di sini kita melihat hubungan antara Tuhan dengan manusia. Tuhan menyerahkan diri-Nya sepenuhnya kepada kita, agar kita juga menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada-Nya. Selepas kita menyerahkan diri kita kepada-Nya, menurut setakat mana penyerahan diri kita, Dia pun menyerahkan diri-Nya kepada kita. Tuhan mahu kita tahu bahawa Dia telah menyerahkan tubuh-Nya untuk kita. Dia juga mahu kita tahu bahawa jika tubuh kita betul-betul adalah untuk-Nya, kita pasti akan mengalami bahawa Dia adalah untuk tubuh kita. “Tubuh untuk Tuan” bermakna kita mempersembahkan tubuh sendiri kepada Tuan sepenuhnya untuk hidup demi Tuan. “Tuan untuk tubuh” bermakna Tuan sudah memperkenan persembahan kita. Tuan ingin memberi hayat dan kudrat-Nya kepada tubuh kita. Dia ingin menjaga, memelihara, dan mengkhasiati tubuh ini.

Tubuh kita adalah lemah, cemar, berdosa, dan fana. Seolah-olah susah untuk percaya bahawa Tuan adalah untuk tubuh kita. Akan tetapi, apabila kita melihat jalan penyelamatan Tuhan, kita akan faham. Semasa Tuan Yesus turun ke bumi, Dia berinkarnasi dalam tubuh daging. Dia mempunyai sebatang tubuh. Ketika Dia di atas salib, Dia menanggung dosa-dosa kita pada tubuh-Nya sendiri. Apabila kita bergabung dengan-Nya melalui iktikad, tubuh kita juga disalibkan bersama dengan-Nya. Oleh itu, Dia membebaskan tubuh kita daripada kuasa dosa. Dalam Kristus, tubuh ini kini telah bangkit dan naik ke syurga. Sekarang Roh Kudus huni dalam kita. Oleh itu, kita boleh mengatakan bahawa Tuan adalah untuk tubuh kita. Dia bukan hanya untuk roh dan sukma, tetapi juga untuk tubuh.

Kata-kata “Tuan [adalah] untuk tubuh” ini mengandungi beberapa makna. Pertama, Tuan adalah untuk tubuh bererti Tuan ingin menyelamatkan tubuh daripada dosa. Hampir semua dosa berkaitan dengan tubuh. Banyak tindakan berdosa berpunca daripada konstitusi fisiologi yang khas. Sebagai contoh, kemabukan berpunca daripada idaman tubuh. Berpesta pora berpunca daripada keinginan tubuh. Keberangan banyak orang juga dipengaruhi oleh konstitusi fisiologi mereka. Pembentukan fisiologi yang terlalu sensitif dan mudah terangsang menyebabkan orang mengeluarkan kata-kata yang dingin, keras, kesat, dan melukai orang. Banyak orang mempunyai pembawaan yang luar biasa kerana konstitusi fisiologi mereka adalah luar biasa. Banyak orang yang terutamanya cemar, gasang, berkendak, dan tidak mengendahkan hukum kerana konstitusi fisiologi mereka tidak sama dengan orang biasa. Oleh itu, apabila mereka dikuasai tubuh mereka, mereka melakukan semua dosa ini. Walau bagaimanapun, Tuan adalah untuk tubuh. Oleh itu, jika kita mempersembahkan tubuh kita kepada-Nya terlebih dahulu dan mengakui Dia sebagai Tuan segala, dan jika kita menerapkan janji-Nya melalui iktikad, kita akan melihat bahawa Tuan adalah untuk tubuh. Dia ingin menyelamatkan kita daripada dosa. Oleh yang demikian, tidak kira jenis konstitusi fisiologi kita—sama ada ia lebih lemah daripada orang lain atau tidak—kita dapat jayeng menerusi Tuan.

Kedua, Tuan juga adalah untuk penyakit tubuh kita. Sebagaimana Dia menghapuskan dosa, begitu juga Dia menyembuhkan penyakit. Dalam segala hal yang berkaitan dengan tubuh kita, Dia adalah untuk kita. Oleh itu, Dia juga adalah untuk penyakit kita. Penyakit sekadar menyatakan kuasa dosa pada tubuh kita. Tuan Yesus ingin menyelamatkan kita dengan menyeluruh. Oleh itu, tidak kira dosa atau penyakit, Dia ingin menyelamatkan kita daripada kedua-duanya.

Ketiga, Tuan juga adalah untuk kehidupan dalam tubuh. Tuan ingin menjadi kekuatan dan hayat tubuh kita supaya tubuh kita dapat hidup melalui-Nya. Dalam kehidupan harian kita, Dia mengingini kita mengalami kudrat kebangkitan-Nya dan melihat bahawa tubuh kita juga hidup melalui-Nya di bumi ini. (Dua butir di atas ini akan diliputi secara terperinci dalam bab yang lain.)

Keempat, Tuan juga adalah untuk pemuliaan tubuh kita. Hal ini adalah untuk masa depan. Titik tertinggi yang dapat dicapai oleh tubuh kita hari ini ialah hidup melalui-Nya. Namun ini tidak melibatkan perubahan sifat tubuh kita. Hari itu akan tiba, apabila Tuan akan menebus tubuh kita, menjadikan tubuh kita sama seperti tubuh-Nya yang mulia.

Kita tidak harus mengabaikan kepentingan kata-kata “tubuh...untuk Tuan”. Jika kita benar-benar ingin mengalami Tuan adalah untuk tubuh, kita harus terlebih dahulu mengamalkan tubuh adalah untuk Tuan. Jika kita tidak mempersembahkan tubuh kita secara menyeluruh untuk hidup demi Tuan, sebaliknya menggunakan tubuh kita mengikut kehendak diri demi kesenangan diri, maka mustahil bagi kita mengalami Tuan adalah untuk tubuh kita. Hanya apabila kita menyerahkan diri kita sepenuhnya ke dalam tangan Tuhan, bertindak menurut perintah Tuhan dalam segala hal, dan mempersembahkan anggota-anggota kita sebagai wadah kepada keadilbenaran, barulah kita dapat mengesahkan bahawa Tuan benar-benar adalah untuk tubuh kita. Dia akan memberi kita hayat dan kudrat. Jika tubuh kita bukan untuk Tuan, kita tidak dapat mengalami Tuan adalah untuk tubuh kita.

Ayat 14 berkata, “Dan Tuhan telah membangkitkan Tuan dan akan membangkitkan kita menerusi kudrat-Nya.” Ayat ini menjelaskan bahagian akhir ayat sebelumnya: “Tuan untuk tubuh.” Kebangkitan Tuan Yesus ialah kebangkitan tubuh-Nya. Kebangkitan kita pada masa yang akan datang juga kebangkitan tubuh. Tuhan telah membangkitkan tubuh Tuan Yesus, dan Dia juga akan membangkitkan tubuh kita. Kedua-dua kejadian ini merupakan hakikat yang pasti. Bagaimanakah Tuan adalah untuk tubuh kita? Menerusi kudrat-Nya, Dia akan membangkitkan kita. Inilah titik kemuncak bagi hal “Tuan untuk tubuh”. Hal ini akan berlaku pada masa akan datang. Namun bagaimana pula dengan hari ini? Hari ini kita harus mempunyai prarasa terhadap kudrat kebangkitan-Nya. 

Ayat 15 berkata, “Tidak tahukah kamu bahawa tubuhmu ialah anggota-anggota Kristus? Jadi, bolehkah aku mengambil anggota-anggota Kristus dan menjadikan semuanya anggota pelacur? Sama sekali tidak!” Soalan pertama ini sangat ajaib. Di tempat lain hanya berkata, “Sekarang kamu ialah Tubuh Kristus, dan anggota-anggota secara individu” (12:27). Namun hanya ayat ini berkata, “Tubuhmu ialah anggota-anggota Kristus.” Memang benar bahawa “kamu”, yakni seluruh diri kamu, ialah anggota Kristus, tetapi mengapakah tubuh disebut secara khusus di sini? Seolah-olah kita hanya percaya bahawa roh kita ialah anggota Kristus kerana roh adalah rohani. Bagaimanakah tubuh fizikal kita mungkin menjadi anggota Kristus? Di sini kita melihat satu perkara yang menakjubkan. (bersambung…)

Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 2/4)
Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 4/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)