Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Penyakit (Bahagian 1/4)
Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 4/4)
Penyakit (Bahagian 2/4)
Penyakit (Bahagian 1/4)
2020-05-04 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (6)

Nota Editor:

Dalam bab dua tentang “Penyakit”, Dikbang Nee mencahayai kita berkenaan bagaimana seseorang percayawan harus melihat penyakit, agar dia mengetahui sikapnya yang sepatutnya terhadap penyakit, dan bagaimana dia menanggulangi penyakit. Yang berikut ialah beberapa petikan penting daripada bacaan harian hari ini.

“Bible mewahikan bahawa penyakit dan dosa mempunyai perkaitan yang rapat. Kesudahan muktamad dosa ialah kematian. Penyakit terletak di antara dosa dan kematian. Penyakit ialah akibat dosa dan juga perintis kematian. Sekiranya tidak ada dosa di dunia, maka kematian dan penyakit pasti tidak wujud. Ada seperkara yang pasti: Jika Adam tidak berbuat dosa, maka tidak ada penyakit di dunia pada hari ini. Sama seperti kesengsaraan yang lain, penyakit dibawa masuk oleh dosa.”

“Yesaya 53:5 berkata, ‘Hukuman demi damai sejahtera kita dikenakan pada-Nya, / Dan melalui bilur-Nya kita disembuhkan.’ Di sini kita melihat dengan jelas bahawa penyembuhan tubuh dan damai sejahtera ‘sukma’ diberikan kepada kita secara serentak. Satu lagi butir yang lebih ketara ialah perkataan ‘menanggung’ dalam bab ini mempunyai dua penggunaan yang berbeza. Ayat 12 berkata, ‘Dia sendiri menanggung dosa banyak orang.’ Ayat 4 berkata, ‘Sesungguhnya Dia telah menanggung penyakit kita.’ Tuan Yesus menanggung dosa kita, tetapi Dia juga menanggung penyakit kita. Sebagaimana kita tidak perlu menanggung dosa kita sendiri kerana Tuan Yesus telah menanggungnya, begitu juga kita tidak perlu menanggung penyakit kita sendiri kerana Tuan Yesus telah menanggungnya.”

“Orang pada zaman itu mempercayai Tuan Yesus mempunyai kuasa menyembuhkan penyakit tetapi mereka meragui kurnia-Nya untuk mengampunkan dosa. Percayawan hari ini pula mempercayai kuasa-Nya untuk mengampunkan dosa tetapi mereka meragui kurnia-Nya untuk menyembuhkan penyakit.”

“Kerja penebusan Tuan Yesus yang agung termasuk pengampunan dosa dan juga penyembuhan penyakit.”

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB DUA

PENYAKIT (Bahagian 1/4)

Bacaan Bible:

Yes. 53:5b “Hukuman demi damai sejahtera kita dikenakan pada-Nya, / Dan melalui bilur-Nya kita disembuhkan.”

Yes. 53:12b “Dia sendiri menanggung dosa banyak orang...”

Yes. 53:4a “Sesungguhnya Dia telah menanggung penyakit kita.”

Penyakit merupakan perkara yang paling lumrah dalam hidup manusia. Jika kita hendak mengetahui bagaimana memelihara tubuh kita dalam keadaan yang memuliakan Tuhan, kita harus mengetahui sikap kita yang sepatutnya terhadap penyakit, bagaimana kita dapat mempergunakan penyakit kita, dan bagaimana menyembuhkan penyakit kita. Disebabkan penyakit begitu lumrah, maka sekiranya kita tidak tahu bagaimana menghadapinya, kita sememangnya mempunyai satu kekurangan yang besar dalam kehidupan kita.

PENYAKIT DAN DOSA

Bible mewahikan bahawa penyakit dan dosa mempunyai perkaitan yang rapat. Kesudahan muktamad dosa ialah kematian. Penyakit terletak di antara dosa dan kematian. Penyakit ialah akibat dosa dan juga perintis kematian. Sekiranya tidak ada dosa di dunia, maka kematian dan penyakit pasti tidak wujud. Ada seperkara yang pasti: Jika Adam tidak berbuat dosa, maka tidak ada penyakit di dunia pada hari ini. Sama seperti kesengsaraan yang lain, penyakit dibawa masuk oleh dosa.

Kita mempunyai sifat rohani dan sifat fizikal; kedua-dua ini telah terjejas selepas manusia jatuh. “Sukma” (buat masa ini, saya akan menggabungkan roh dengan sukma dan memanggilnya sebagai satu perkara, iaitu “sukma” ) dirosakkan oleh dosa, manakala tubuh diserang oleh penyakit. Dosa di dalam “sukma” dan penyakit di dalam tubuh membuktikan bahawa manusia ditakdirkan untuk mati.

Apabila Tuan Yesus datang menyelamat, Dia bukan sahaja mengampunkan dosa manusia, Dia juga menyembuhkan penyakit manusia. Dia menyelamatkan “sukma” manusia dan juga menyelamatkan tubuh manusia. Ketika Dia mula bekerja, Dia menyembuhkan penyakit orang; ketika kerja-Nya selesai, Dia menjadi korban propisiasi di atas salib demi dosa manusia. Semasa Dia berada di bumi, Dia menyembuhkan begitu banyak orang sakit! Tangan-Nya sentiasa bersedia untuk menyentuh dan membangunkan orang sakit. Apabila kita mempertimbangkan tindakan Dia sendiri ataupun perintah yang ditinggalkan-Nya kepada para dutus, kita mendapati bahawa penyelamatan yang dibawa-Nya sentiasa merangkumi penyembuhan penyakit. Injil-Nya ialah pengampunan dosa dan penyembuhan penyakit. Kedua-duanya adalah seiring. Tuan Yesus menyelamatkan manusia daripada dosa dan penyakit agar manusia mengenali kasih Bapa. Tidak kira dalam buku Injil, Kisah, Surat-surat, atau Wasiat Lama, kita dapat melihat bahawa penyembuhan penyakit dan pengampunan dosa adalah seiring.

Kita tahu bahawa Yesaya 53 merupakan petikan dalam Wasiat Lama yang menerangkan injil dengan jelas sekali. Banyak petikan dalam Wasiat Baru yang membicarakan penebusan Tuan Yesus sebagai penggenapan nubuat penyabda, lazimnya membuat rujukan kepada Yesaya 53. Ayat 5 berkata, “Hukuman demi damai sejahtera kita dikenakan pada-Nya, / Dan melalui bilur-Nya kita disembuhkan.” Di sini kita melihat dengan jelas bahawa penyembuhan tubuh dan damai sejahtera “sukma” diberikan kepada kita secara serentak. Satu lagi butir yang lebih ketara ialah perkataan “menanggung” dalam bab ini mempunyai dua penggunaan yang berbeza. Ayat 12 berkata, “Dia sendiri menanggung dosa banyak orang.” Ayat 4 berkata, “Sesungguhnya Dia telah menanggung penyakit kita.” Tuan Yesus menanggung dosa kita, tetapi Dia juga menanggung penyakit kita. Sebagaimana kita tidak perlu menanggung dosa kita sendiri kerana Tuan Yesus telah menanggungnya, begitu juga kita tidak perlu menanggung penyakit kita sendiri kerana Tuan Yesus telah menanggungnya. (Walau bagaimanapun, takat lingkungan Tuan Yesus menanggung dosa ada sedikit perbezaan dengan takat lingkungan Dia menanggung penyakit.) Dosa telah merosakkan “sukma” dan tubuh kita. Tuan Yesus hendak menyelamatkan kedua-duanya. Oleh itu, Dia bukan sahaja menanggung dosa untuk kita, malah Dia juga menanggung penyakit untuk kita. Dengan demikian, Dia bukan sahaja menyelamatkan kita daripada dosa, malah Dia juga menyelamatkan kita daripada penyakit. Percayawan sekarang boleh bergirang bersama dengan Daud, dengan berkata, “Pujilah Yehova, O sukmaku...Dia mengampunkan semua kesalahanmu; Dia menyembuhkan semua penyakitmu” (Mzm. 103:2-3). Sayang sekali kerana banyak percayawan hanya dapat memberikan pujian separa kerana penyelamatan mereka hanya separa. Mereka sendiri menderita, dan Tuhan juga yang rugi.

Apa yang harus kita perhatikan di sini ialah sekiranya Tuan Yesus hanya mengampunkan dosa kita tetapi tidak menyembuhkan penyakit kita, maka penyelamatan-Nya tidak lengkap. Hal ini sedemikian kerana meskipun Dia telah menyelamatkan “sukma” kita, Dia masih membiarkan tubuh kita dikuasai oleh penyakit. Oleh yang demikian, ketika Dia berada di bumi, Dia mementingkan kedua-dua perkara ini. Ada kalanya Dia mengampunkan dosa dahulu, kemudian menyembuhkan penyakit. Pada masa yang lain pula Dia menyembuhkan penyakit dahulu, kemudian mengampunkan dosa. Dia memberi kepada manusia menurut apa yang dapat diterimanya. Jika kita mengkaji buku Injil, kita akan melihat bahawa seolah-olah Tuan Yesus melakukan kerja penyembuhan lebih banyak daripada kerja yang lain. Hal ini sedemikian kerana pada masa itu lebih susah bagi orang Yahudi mempercayai Tuan dapat mengampunkan dosa daripada mempercayai Dia dapat menyembuhkan penyakit (Mat. 9:5). Akan tetapi, keadaan percayawan hari ini betul-betul sebaliknya. Orang pada zaman itu mempercayai Tuan Yesus mempunyai kuasa menyembuhkan penyakit tetapi mereka meragui kurnia-Nya untuk mengampunkan dosa. Percayawan hari ini pula mempercayai kuasa-Nya untuk mengampunkan dosa tetapi mereka meragui kurnia-Nya untuk menyembuhkan penyakit. Percayawan hari ini seolah-olah menyangka bahawa Tuan Yesus hanya datang menyelamatkan orang daripada dosa, tetapi mereka lupa bahawa Dia ialah Penyelamat yang menyembuhkan penyakit. Ketidakpercayaan manusia selalunya membelah Penyelamat yang sempurna itu menjadi dua. Walau bagaimanapun, Kristus sentiasa dan selama-lamanya ialah Penyelamat “sukma” dan tubuh manusia. Dia dapat mengampun dan juga menyembuh.

Bagi Tuan Yesus, tidaklah memadai sekiranya seseorang itu hanya diampuni tetapi tidak disembuhkan. Oleh itu, selepas Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Dosa-dosamu sudah diampunkan,” Dia juga berkata, “Bangun, angkatlah katilmu dan pulang ke rumahmu.” Bagi kita, meskipun kita penuh dengan dosa dan penyakit, namun seolah-olah kita berasa cukup asalkan kita menerima pengampunan daripada Tuan—kita harus menanggung penyakit kita sendiri atau memikirkan cara lain untuk memperoleh penyembuhan. Namun Tuan Yesus langsung tidak berniat agar orang lumpuh itu diangkat pulang lagi setelah dia melihat Tuan dan setelah dosanya diampunkan.

Persepsi Tuan Yesus berkenaan hubungan antara dosa dengan penyakit berbeza daripada kita. Pada pandangan kita, dosa merupakan perkara dalam alam rohani yang dibenci dan dikutuk oleh Tuhan, manakala penyakit sekadar suatu keadaan dalam kehidupan manusia yang seolah-olah tidak ada kena-mengena dengan Tuhan. Akan tetapi, Tuan Yesus memandang dosa dalam “sukma” dan penyakit dalam tubuh sebagai kerja Syaitan. Dia datang untuk “membinasakan kerja-kerja iblis” (1 Yoh. 3:8). Oleh itu, bila-bila sahaja Dia bertemu dengan demon, Dia mengusirnya. Bila-bila sahaja berdepan dengan penyakit, Dia menyembuhkannya. Di bawah dorongan Roh Kudus, dutus menulis tentang penyembuhan-Nya: “Menyembuhkan semua yang dianiayai oleh iblis” (Kis. 10:38). Dosa dan penyakit berkait rapat sama seperti “sukma” kita berkait rapat dengan tubuh kita. Oleh yang demikian, pengampunan dosa dan penyembuhan penyakit saling bergantung pada satu sama lain.

DISIPLIN TUHAN

Kita telah melihat secara umum sesuatu berkenaan penyakit. Sekarang kita hendak memberi perhatian khusus kepada punca penyakit.

Dutus berkata, “Disebabkan ini, banyak dalam kalangan kamu yang lemah dan sakit, dan tidak sedikit yang tidur. Tetapi jika kita membezapastikan diri kita, kita tidak akan dihakimi. Sebaliknya, bahawa kita dihakimi Tuan bererti kita didisiplinkan agar kita tidak dikutuk bersama dengan dunia” (1 Kor. 11:30-32). Di sini, dutus beranggapan penyakit sebagai sejenis disiplin daripada Tuan. Disebabkan percayawan telah melakukan kesilapan di hadapan Tuan, maka Tuan membiarkan mereka jatuh sakit. Hal ini bertujuan mendisiplinkan mereka agar mereka akan menghakimi diri sendiri dan membetulkan kesilapan mereka. Dengan mendisiplinkan anak-anak-Nya sebegini, Tuhan sebenarnya menaruh kurnia terhadap mereka supaya mereka tidak dikutuk bersama dengan dunia. Jika percayawan bertaubat, Tuhan tidak akan mendisiplinkan mereka lagi. Jika kita rela menghakimi diri sendiri, kita akan mengelak daripada penyakit.

Kita sering sangka bahawa penyakit hanya masalah tubuh dan tidak ada kaitan dengan keadilbenaran, kekudusan, dan penghakiman Tuhan. Akan tetapi, dutus memberitahu kita dengan jelas sekali bahawa penyakit merupakan akibat daripada dosa kita dan merupakan disiplin daripada Tuhan. Disebabkan kisah orang buta dalam Yohanes 9, kebanyakan percayawan tidak menganggap bahawa penyakit mereka merupakan disiplin daripada Tuhan disebabkan mereka telah berbuat dosa. Mereka tidak menyedari bahawa Tuan Yesus tidak pernah mengatakan bahawa dosa dan penyakit tidak berkaitan. Tuan sekadar memperingatkan disipal-Nya agar jangan menggunakan dosa sebagai alasan untuk menyalahi setiap orang yang sakit. Sekiranya Adam tidak berbuat dosa, maka orang itu tidak akan buta. Tambahan pula, dia buta “sejak lahir”. Oleh itu, kes orang ini sama sekali berbeza daripada penyakit percayawan. Kemungkinan semua penyakit kita “sejak lahir” itu tidak ada kena-mengena dengan dosa kita. Namun menurut Bible, penyakit yang kita hidapi selepas percaya kepada Tuan adalah berkaitan dengan dosa. Yakobus 5:16 berkata, “Oleh itu, akuilah dosa-dosamu antara satu sama lain dan berdoa untuk satu sama lain agar kamu dapat disembuhkan. Permohonan seorang yang adilbenar amat berkuasa dalam pengerjaannya.” Seseorang itu perlu mengakui dosa terlebih dahulu sebelum dia dapat disembuhkan. Dosa merupakan akar penyakit.

Oleh yang demikian, penyakit biasanya merupakan disiplin Tuhan agar kita memberi perhatian kepada dosa yang kita abaikan dan agar kita menolaknya. Tuhan membenarkan penyakit menimpa kita untuk mendisiplinkan kita dan mentahirkan kita agar kita dapat melihat kesilapan kita. Kita mungkin berlaku tidak adilbenar dan terhutang sesuatu kepada orang tertentu. Kita mungkin telah menyinggung hati seseorang dan tidak membetulkan perbuatan kita. Kita mungkin mempunyai kesombongan dan kasih terhadap dunia. Dalam kita mungkin tertimbulnya hati yang memandai-mandai dan dahuk dalam kerja, atau kita ingkar setelah Tuan berbicara. Apabila semua ini berlaku, tangan Tuhan menimpa kita dengan berat sekali supaya kita memberi perhatian kepada perkara-perkara ini. Oleh itu, penyakit ialah penghakiman Tuhan yang jelas ke atas dosa. Hal ini tidak bermaksud bahawa sesiapa yang jatuh sakit itu telah berbuat dosa melebihi orang lain (bd. Luk. 13:2). Sebaliknya, orang yang didisiplinkan oleh Tuhan itu khususnya merupakan orang yang paling kudus. Ayub ialah satu contoh.

Setiap kali seseorang percayawan didisiplinkan oleh Tuhan dan jatuh sakit, kemungkinan besar dia akan beroleh berkat besar. “Bapa segala roh...mendisiplinkan kita...untuk manfaat kita, agar kita dapat berbahagian dalam kekudusan-Nya” (Ibr. 12:9-10). Ada kalanya penyakit akan menyebabkan kita mengimbas kembali dan menyemak kehidupan kita yang lampau, supaya kita sedar akan apa-apa dosa yang tersembunyi dan apa-apa ketegaran dan kehendak diri yang menyebabkan Tuhan mendisiplinkan kita. Dalam waktu sebegini barulah kita akan melihat halangan yang wujud di antara Dia dan kita. Dengan itu barulah kita akan menyelidiki lubuk hati kita dan menyedari bahawa dalam kehidupan yang lampau, hayat kita dipenuhi diri kita dan sungguh tidak berpadanan dengan hayat kudus Tuhan. Dengan demikian, kita akan dapat maju dalam hayat rohani dan menerima penyembuhan daripada Tuhan.

Oleh itu, percayawan yang sakit pertama-tamanya tidak harus tergesa-gesa mencari penyembuhan atau cara penyembuhan. Dia tidak perlu gementar atau ketakutan. Apa yang harus dilakukannya ialah meletakkan dirinya dengan sepenuhnya dalam cahaya Tuhan untuk diperiksa, dengan ikhlasnya ingin mengetahui apa kekurangannya sehinggakan dia didisiplinkan oleh Tuhan. Dia harus menghakimi dirinya dan mengutuk dirinya. Dengan demikian, Roh Kudus akan mewahikan kepadanya di mana kegagalannya. Segala apa yang dilihatnya itu harus ditolak segera, dan dia harus mengaku dosa kepada Tuhan. Jika dosa ini telah mengakibatkan kerugian kepada orang lain, maka dia harus cuba sedaya upaya membayar ganti rugi dan percaya bahawa hal ini diperkenan Tuhan. Dia harus mempersembahkan dirinya kepada Tuhan semula dan rela melakukan segala kehendak-Nya.

Tuhan “bukan dengan rela hati Dia menyengsarakan / Atau mendukakan anak manusia” (Rat. 3:33). Oleh itu, apabila segala keinsafan diri yang dikehendaki-Nya itu telah tercapai, Dia akan berhenti menyebat. Apabila disiplin-Nya tidak lagi diperlukan, Dia amat gembira untuk menarik baliknya. Bible memberitahu kita bahawa jika kita menghakimi diri kita dengan sedemikian, Dia tidak akan mengutuk kita. Dia mahu kita dijauhkan daripada dosa dan diri. Oleh yang demikian, apabila hal ini tercapai, penyakit akan berhenti kerana penyakit telah menyempurnakan misinya. Hari ini, keperluan terbesar seseorang percayawan ialah mengetahui bahawa Tuhan mendisiplinkan kita untuk satu tujuan yang khusus. Dengan itu, dia harus membenarkan Roh Kudus menunjukkan dosanya agar tujuan Tuhan dapat digenapi. Apabila matlamat Tuhan tercapai, disiplin tidak diperlukan lagi; Tuhan dapat dan akan menyembuhkan dia.

Selepas seseorang percayawan mengaku dosa dan menyingkirkan dosanya serta percaya bahawa dosanya telah diampunkan, dia dapat percaya kepada janji Tuhan dan mengetahui secara berani bahawa Tuhan akan membangunkan dia. Zimahnya tidak akan menuduhnya lagi. Dengan itu, dia mempunyai keberanian untuk menghadap Tuhan bagi meminta kurnia. Apabila kita berjauhan daripada Tuhan, kita susah hendak percaya, atau kita tidak berupaya untuk percaya. Akan tetapi, dengan patuh kepada pencahayaan Roh Kudus, dengan menghapuskan dosa dan kejahatan, serta dengan beroleh pengampunan, kita akan dipimpin ke hadapan Tuhan. Sebaik sahaja punca penyakit disingkirkan, penyakit turut akan hilang. Pada masa ini tidak sukar untuk percayawan yang jatuh sakit itu percaya bahawa memandangkan Tuan menyebat tubuhnya disebabkan dosa, dan dosanya telah diampunkan, maka tubuhnya juga akan beroleh pengampunan dan kurnia. Pada masa sebegini, hadirat Tuan menjadi makin ketara, dan hayat-Nya akan memasuki tubuhnya untuk menghidupkannya.

Tahukah kita bahawa Bapa syurgawi kita tidak berpuas hati terhadap kita dalam banyak aspek dan hendak membetulkan kita? Melalui penyakitlah Dia membantu kita memahami kekurangan kita sendiri. Jika kita tidak menyekat suara zimah kita, Roh Kudus pasti akan memberitahu kita, menerusi zimah kita, satu demi satu sebab kita didisiplinkan. Tuhan berkenan untuk mengampunkan dosa-dosa kita dan menyembuhkan penyakit kita. Kerja penebusan Tuan Yesus yang agung termasuk pengampunan dosa dan juga penyembuhan penyakit. Namun begitu, Dia tidak menghendaki apa-apa jurang di antara kita dan Dia. Dia mahu kita hidup melalui-Nya. Oleh itu, sekaranglah masanya kita patuh dan yakin kepada-Nya dengan sepenuhnya. Bapa syurgawi lebih sanggup tidak menyebat kita. Dia amat rela menyembuhkan kita dan membawa kita ke dalam persekutuan yang lebih intim dengan-Nya menerusi kita melihat kasih dan kudrat-Nya dengan selanjutnya. (bersambung…)

Percayawan dan Tubuhnya (Bahagian 4/4)
Penyakit (Bahagian 2/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)