Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Penyakit (Bahagian 3/4)
Penyakit (Bahagian 2/4)
Penyakit (Bahagian 4/4)
Penyakit (Bahagian 3/4)
2020-05-06 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (8)

Nota Editor:

Dalam bacaan harian hari ini, Dikbang Nee menyoroti hal berkenaan perubatan dan penyakit. Kata-katanya amat diperlukan dalam dunia hari ini yang penuh kekeliruan; kata-kata yang memberikan suatu keseimbangan halus antara kepercayaan kepada Tuhan dengan keperluan praktikal yang dihadapi seseorang dalam hidupnya.

“Banyak orang asyik mahu berdebat sama ada perubatan patut digunakan atau tidak; seolah-olahnya asalkan soalan ini terjawab, semua soalan lain juga selesai. Mereka tidak menyedari bahawa prinsip kehidupan rohani bukan soal sama ada boleh atau tidak, tetapi sama ada terdapat pimpinan Tuhan atau tidak, dan sama ada aktiviti itu berasal daripada diri sendiri atau bukan.”

“Perbezaan yang amat ketara wujud antara penyembuhan melalui perubatan dengan penyembuhan melalui sandaran pada Tuhan. Keupayaan perubatan adalah alamiah, manakala kudrat Tuhan adalah divin. Cara memperoleh dua jenis penyembuhan ini juga sama sekali berbeza. Penyembuhan daripada perubatan bergantung pada kecerdikan manusia, manakala penyembuhan daripada sandaran pada Tuhan bergantung pada pencapaian dan hayat Tuan Yesus.”

“Kita harus mengambil iktibar ini: Matlamat Tuhan dalam semua penyakit ialah kita menghentikan aktiviti diri sendiri dan bersandar sepenuh pada-Nya.”

“Tuhan hendak anak-anak-Nya mengetahui bahawa tubuh yang kuat bukan untuk kegembiraan sendiri dan juga bukan untuk bergerak-hidup mengikut hasrat sendiri; tubuh yang kuat adalah untuk Tuhan...Kita tidak perlu diselamatkan daripada penyakit terlebih dahulu, tetapi diselamatkan daripada diri kita.”

“Walau bagaimanapun, kita juga harus berhati-hati agar tidak menjadi ekstrem. Sungguhpun Tuhan mahu kita bersandar sepenuh pada-Nya, tetapi apabila kita benar-benar menyangkal perbuatan sendiri dan menaruh keyakinan penuh pada-Nya, Dia juga berkenan jika kita menggunakan sedikit sarana alamiah untuk membantu tubuh kita. Kita dapat melihat hal ini dalam kisah wain Timotius. Selera Timotius tidak berapa baik. Dia kerap kali jatuh sakit. Paulus tidak menegur Timotius bahawa dia kekurangan iktikad sehinggakan tidak dapat disembuhkan secara langsung oleh Tuhan. Sebaliknya, Paulus menasihati Timotius agar mengambil sedikit wain kerana wain adalah baik untuknya.”

“Daripada kes ini kita boleh mengambil suatu iktibar: Kita harus mempercayai Tuhan, bersandar pada Tuhan. (Timotius berbuat demikian.) Namun pada masa yang sama, kita tidak harus bersikap ekstrem. Sekiranya badan kita mempunyai kelemahan, barangan yang bermanfaat untuk tubuh kita juga harus kita gunakan mengikut pimpinan Tuan. Jika kita mengambil makanan berzat mengikut pimpinan Tuan, tubuh kita akan dikuatkan. Sebelum tibanya masa penebusan tubuh, kita masih manusia yang mempunyai tubuh, dengan itu kita masih perlu memberi perhatian kepada aspek alamiah.”

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB DUA

PENYAKIT (Bahagian 3/4)

Bacaan Bible:

Roma 8:11 “...Dia yang membangkitkan Kristus daripada yang mati juga akan memberi hayat kepada tubuhmu yang akan mati menerusi Roh-Nya yang menghuni kamu secara dalaman.”

1 Tim. 5:23 “Jangan hanya minum air, tetapi gunakan sedikit wain untuk perutmu dan sakitmu yang kerap.”

2 Kor. 12:7 “...diberikan kepadaku suatu duri dalam tubuh daging, iaitu utusan Syaitan...”

2 Kor. 12:9a “Dan Dia berkata kepadaku, Kurnia-Ku cukup bagimu.”

PERUBATAN

Sayang diri secara spontannya menghasilkan usaha diri. Disebabkan percayawan sangat menyayangi diri dan tidak menyelesaikan akar masalah ini dengan Tuhan, mereka mencari rawatan perubatan di dunia apabila mereka jatuh sakit. Di sini, kita bukan hendak menilai sama ada perubatan patut digunakan atau tidak. Kita tidak mempunyai masa di sini untuk berdebat tentang soal ini. Walau bagaimanapun, disebabkan Tuan Yesus telah menyediakan penyelamatan untuk kita di atas salib agar tubuh kita boleh menerima penyembuhannya, jika kita masih berpaling kepada dunia untuk mencari bantuan perubatan, seolah-olahnya kita jahil ataupun tidak percaya. 

Banyak orang asyik mahu berdebat sama ada perubatan patut digunakan atau tidak; seolah-olahnya asalkan soalan ini terjawab, semua soalan lain juga selesai. Mereka tidak menyedari bahawa prinsip kehidupan rohani bukan soal sama ada boleh atau tidak, tetapi sama ada terdapat pimpinan Tuhan atau tidak, dan sama ada aktiviti itu berasal daripada diri sendiri atau bukan. Jadi soalan kita ialah: Semasa percayawan berusaha mencari rawatan, bergantung pada perubatan kerana menyayangi diri, adakah perbuatan ini berasal daripada aktiviti sendiri atau dipimpin Roh Kudus? Berkenaan penyelamatan, manusia menurut sikap alamiahnya mahu bergantung pada kerja sendiri untuk diselamatkan. Hanya selepas melalui banyak penanggulangan daripada Tuhan, barulah manusia rela diselamatkan menerusi iktikad. Bukankah manusia juga begitu dalam hal penyembuhan tubuh? Saya bimbang bahkan dalam kes kedua, pergelutannya lebih kuat daripada pergelutan untuk pengampunan dosa. Seseorang mengetahui bahawa selain penyelamatan Tuan Yesus, tidak ada cara lain untuk membuka pintu syurga. Akan tetapi, dalam hal penyembuhan tubuh masih lagi terdapat banyak teknik penyembuhan yang boleh diguna pakai. Mengapakah dia perlu bergantung pada penyelamatan Tuan Yesus? Sekarang kita bukan menitikberatkan soal sama ada perubatan boleh digunakan atau tidak. Pertimbangan kita ialah apabila kita menggunakan perubatan, sama ada aktiviti itu berasal daripada “diri” atau tidak? Sama ada aktiviti itu mengabaikan penyelamatan Tuhan atau tidak? Bukankah orang di dunia juga mendakwa ada banyak cara untuk menyelamatkan orang daripada dosa? Bukankah manusia mempunyai falsafah, ilmu psikologi, etika, nila-nilai moral, pengajaran, peraturan, dan pendidikan untuk meningkatkan taraf manusia dan menyelamatkan manusia daripada dosa? Adakah kita percaya bahawa kaedah-kaedah ini dapat menjadikan kita sempurna? Adakah kita mencari penyelamatan yang digenapi Tuan Yesus di atas salib, atau kita mencari kaedah-kaedah duniawi ini? Dengan cara yang sama, orang di dunia juga mempunyai banyak perubatan untuk menyelamatkan orang daripada penyakit. Di atas salib, Tuan Yesus juga telah menyempurnakan penyelamatan yang dapat menyelamatkan orang daripada penyakit. Adakah kita mahu disembuhkan menurut cara manusia, atau bergantung pada Tuan Yesus?

Kita mengakui bahawa ada kalanya Tuhan juga menggunakan sarana untuk memanifestasikan kudrat dan kemuliaan-Nya. Namun berdasarkan ajaran Bible dan pengalaman percayawan, sejak manusia jatuh, perasaannya telah mengawal seluruh kehidupannya sehinggakan dia lebih mempercayai sarana Tuhan daripada Tuhan sendiri. Oleh itu, apabila seseorang percayawan jatuh sakit, dia lebih mementingkan perubatan daripada kudrat Tuhan. Sungguhpun mulutnya mengatakan bahawa dia bergantung pada kudrat Tuhan, namun hatinya sama sekali menghala ke perubatan. Seakan-akan tanpa perubatan, kudrat Tuhan tidak dapat diekspresikan. Pada masa begini, timbulnya keadaan tidak tenang, resah, khuatir, dan panik. Dia pergi ke merata-rata tempat untuk mencari-cari rawatan yang terbaik. Dia tidak mempunyai damai sejahtera yang hanya terhasil daripada sandaran pada Tuhan. Disebabkan perubatan menduduki hatinya, dia kehilangan hadirat Tuhan dan berpaling kepada dunia. Akibatnya, penyakit yang sepatut membawanya lebih mendekati Tuhan telah menjauhkannya daripada Tuhan. Barangkali ada orang yang menggunakan perubatan tetapi tidak mengalami apa-apa kemudaratan. Akan tetapi, saya risau bilangan orang ini amat sedikit. Kebanyakan pekudus tidak dapat elak daripada memudaratkan hayat rohani ketika menggunakan perubatan. Mereka selalu menganggap sarana lebih penting daripada kudrat Tuhan. 

Perbezaan yang amat ketara wujud antara penyembuhan melalui perubatan dengan penyembuhan melalui sandaran pada Tuhan. Keupayaan perubatan adalah alamiah, manakala kudrat Tuhan adalah divin. Cara memperoleh dua jenis penyembuhan ini juga sama sekali berbeza. Penyembuhan daripada perubatan bergantung pada kecerdikan manusia, manakala penyembuhan daripada sandaran pada Tuhan bergantung pada pencapaian dan hayat Tuan Yesus. Bahkan seorang doktor percayawan yang memohon Tuhan agar memberinya kearifan dan memberkati perubatan yang digunakannya pun masih tidak mampu memberi berkat rohani kepada orang yang disembuhkannya. Hal ini kerana tanpa disedari, pesakit itu membenarkan hatinya berpaling kepada perubatan daripada kudrat Tuan. Oleh itu, meskipun tubuhnya disembuhkan, namun hayat rohaninya telah dimudaratkan. Jika percayawan bersandar kepada Tuhan, dia tidak memerlukan perubatan. Dia hanya perlu menyerahkan dirinya kepada kasih dan kudrat Tuhan. Dia akan meneliti punca penyakitnya di hadapan Tuhan dan menyemak kalau-kalau dia ada tempat yang tidak diperkenan Tuan. Hasilnya apabila dia disembuhkan, bukan sahaja tubuhnya menerima manfaat, bahkan rohnya juga menerima berkat. 

Kebanyakan percayawan menganggap perubatan sebagai sesuatu yang diberi Tuhan, dan mereka percaya bahawa mereka boleh menggunakannya. Akan tetapi, kita mahu memberi perhatian kepada sama ada kita menggunakan perubatan menurut pimpinan Tuhan atau tidak. Usah kita berdebat sama ada perubatan itu diberikan oleh Tuhan atau tidak. Kita hanya perlu bertanya: Bukankah Tuhan dengan terang-terang memberi Tuan Yesus kepada percayawan-Nya untuk menjadi Penyelamat kepada penyakit mereka? Patutkah kita mengikut orang yang tidak percaya di dunia untuk mencari perubatan atau rawatan melalui kekuatan alamiah, atau patutkah kita menerima Tuan Yesus yang disediakan oleh Tuhan, dan bersandar sepenuh pada nama-Nya?

Bergantung pada perubatan dan menerima hayat Tuan Yesus ialah dua perkara yang sama sekali berbeza. Kita mengakui bahawa perubatan juga boleh menyembuhkan orang. Ilmu perubatan dan ilmu farmasi telah mereka cipta banyak cara dan benda untuk merawat penyakit manusia. Namun penyembuhan sedemikian hanya bersifat alamiah, bukan penyembuhan terbaik yang disediakan Tuhan untuk anak-anak-Nya. Percayawan mungkin memohon kepada Tuhan agar memberkati ubatnya, dan dia pun disembuhkan; selepas sembuh, dia mungkin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan dan menganggap Tuhanlah yang menyembuhkannya. Walau bagaimanapun, cara penyembuhan ini bukan dengan menerima hayat Tuan Yesus. Keadaan ini ialah tanda seorang percayawan yang telah meninggalkan peperangan iktikad demi kesenangan sendiri. Jika dalam penyakit kita, kita bergelut dengan Syaitan dengan matlamat semata-mata mahu disembuhkan, maka apa-apa jua cara rawatan boleh diguna pakai. Namun sekiranya kita mahu mencapai sesuatu yang lebih penting daripada sekadar disembuhkan, bukankah kita perlu bertenang di hadapan Tuhan untuk menantikan cara dan masa-Nya? 

Kita tidak akan mengatakan dengan tegas bahawa Tuhan tidak akan memberkati penggunaan perubatan. Tuhan pernah memberkati penggunaan perubatan dalam banyak situasi kerana Dia adalah baik dan sedia mengampuni. Akan tetapi, percayawan sedemikian tidak berdiri pada kedudukan penebusan; berkenaan penyakit, mereka hanya berdiri pada kedudukan yang sama seperti orang di dunia. Oleh itu, mereka tidak dapat bersaksi apa-apa untuk Tuhan. Menelan ubat, menyapu salap, dan menyuntik ubat tidak dapat memberi kita hayat Tuan Yesus. Apabila kita bersandar pada Tuhan, kita berdiri di tapak yang lebih tinggi daripada kedudukan alamiah. Kebanyakan masanya rawatan perubatan adalah perit dan lambat. Namun penyembuhan Tuhan adalah cepat dan penuh berkat.

Suatu perkara adalah pasti: Jika kita disembuhkan kerana bersandar pada Tuhan, manfaat rohani yang kita peroleh daripada penyembuhan sebegini sudah pasti tidak dapat diperoleh melalui rawatan perubatan. Bagi banyak orang, seolah-olahnya jatuh sakit lebih bermanfaat daripada disembuhkan. Apabila mereka terlantar di atas katil, mereka amat menyesal dengan kehidupan yang lampau; tetapi apabila disembuhkan, mereka lebih menjauhi Tuan daripada dahulu. Jika mereka bersandar pada Tuhan untuk disembuhkan, mereka tidak akan begini. Sebaliknya, mereka akan mengaku dosa, menyangkal diri, percaya kepada kasih Tuhan, dan bersandar pada kudrat Tuhan. Mereka akan menerima hayat dan kekudusan Tuhan dan menjalin hubungan yang baru dan tidak boleh berpisah dengan Tuhan. 

Kita harus mengambil iktibar ini: Matlamat Tuhan dalam semua penyakit ialah kita menghentikan aktiviti diri sendiri dan bersandar sepenuh pada-Nya. Sering kali kita berusaha mencari penyembuhan kerana didorong hati yang menyayangi diri. Disebabkan kita menyayangi diri, kita semata-mata mahu mencari penyembuhan tetapi mengabaikan Tuhan serta pelajaran yang ingin diajar-Nya. Jika anak-anak Tuhan tidak menyayangi diri, masakan mereka begitu sungguh-sungguh mencari penyembuhan? Jika mereka telah menghentikan aktiviti sendiri, masakan mereka masih berpaling kepada dunia untuk mendapatkan bantuan perubatan? Mereka akan menghakimi diri dengan tenang di hadapan Tuhan untuk memahami sebab Tuhan memberi mereka penyakit ini. Kemudian mereka akan memohon penyembuhan daripada-Nya menerusi kasih Bapa. Daripada ini kita melihat perbezaan antara bergantung pada bantuan perubatan dengan bersandar pada kudrat Tuhan. Yang pertama ialah percayawan terdesak untuk mencari rawatan; yang kedua ialah percayawan mencari kehendak Tuhan dengan tenang. Seseorang percayawan yang jatuh sakit akan mencari perubatan kerana dia mempunyai kecenderungan yang kuat dan kerana dia penuh dengan sikap sayangi diri serta cuba menggunakan kekuatan sendiri. Dia tidak akan berkelakuan begini kalau dia mencari kudrat Tuhan. Sekiranya percayawan ingin bersandar pada Tuhan untuk disembuhkan, dia perlu betul-betul mengaku dosa, menanggulangi dosa-dosa, dan rela mempersembahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan. 

Hari ini terdapat banyak pekudus yang jatuh sakit. Bagaimanapun Tuan mempunyai tujuan-Nya pada semua pekudus ini. Apabila kuasa “diri” hilang, Tuan akan melaksanakan penyembuhan-Nya. Jika percayawan tidak rela tunduk dan menerima penyakitnya, enggan menganggap apa yang diberikan Tuhan kepadanya adalah yang terbaik, sebaliknya mencari penyembuhan di luar Tuhan serta memberontak terhadap cara Tuhan menanggulanginya, maka Tuhan terpaksa membiarkan dia jatuh sakit lagi. Jika percayawan enggan meninggalkan hati yang menyayangi diri, dan masih terus mengambil berat, menjaga, menyayangi serta memikirkan diri sendiri, tidak menghilangkan diri dalam Tuhan, Tuhan akan menimpakan padanya lebih banyak hal yang membuat dia lebih-lebih lagi mengasihani dirinya. Jika percayawan enggan menghentikan cara dan aktiviti sendiri, sebaliknya mencari penyembuhan di luar penyelamatan Tuan Yesus, Tuhan akan menunjukkan kepadanya bahawa perubatan duniawi tidak menjanjikan rawatan yang berkekalan. Tuhan hendak anak-anak-Nya mengetahui bahawa tubuh yang kuat bukan untuk kegembiraan sendiri dan juga bukan untuk bergerak-hidup mengikut hasrat sendiri; tubuh yang kuat adalah untuk Tuhan. Roh penyembuhan ialah Roh kekudusan. Kita tidak kekurangan penyembuhan, tetapi kekudusan. Kita tidak perlu diselamatkan daripada penyakit terlebih dahulu, tetapi diselamatkan daripada diri kita.

Apabila percayawan tidak lagi menggunakan cara duniawi atau perubatan tetapi bersandar pada Tuhan dengan sepenuh hati, maka iktikadnya akan bertambah kuat berbanding sebelumnya, sehinggakan dia mempunyai hubungan yang baru dengan Tuhan dan menjalani kehidupan yang yakin dan percaya—sejenis kehidupan yang tidak pernah dialaminya. Bukan sahaja dia menyerahkan sukmanya, bahkan tubuhnya turut diserahkan ke dalam tangan Tuhan. Dia akan melihat bahawa kehendak Tuhan ialah memanifestasikan kudrat Tuan Yesus dan kasih Bapa. Tuhan menghendaki kita melatih dan berdiri teguh dalam iktikad dengan bersaksikan bahawa Tuan bukan sahaja menebus “sukma” kita, malah tubuh kita. Oleh yang demikian, “jangan khuatir akan tubuhmu” (Mat. 6:25). Kita sudah menyerahkannya kepada Tuan. Dia pasti menjaganya. Jika kita melihat penyelamatan dengan serta-merta, kita harus memuji Tuhan. Sekiranya penyakit bertambah serius, kita juga tidak harus ragu-ragu. Kita hanya harus menetapkan mata kita pada janji Tuhan dan tidak membenarkan sifat “sayang diri” bangkit semula. Tuhan cuba memeras setiap titisan sayang diri daripada kita. Jika kita menjaga tubuh, kita akan ada keraguan; jika kita menetapkan mata pada janji Tuhan, kita akan mendekati Tuhan, bertumbuh dalam iktikad, kemudian memperoleh kesembuhan. 

Walau bagaimanapun, kita juga harus berhati-hati agar tidak menjadi ekstrem. Sungguhpun Tuhan mahu kita bersandar sepenuh pada-Nya, tetapi apabila kita benar-benar menyangkal perbuatan sendiri dan menaruh keyakinan penuh pada-Nya, Dia juga berkenan jika kita menggunakan sedikit sarana alamiah untuk membantu tubuh kita. Kita dapat melihat hal ini dalam kisah wain Timotius. Selera Timotius tidak berapa baik. Dia kerap kali jatuh sakit. Paulus tidak menegur Timotius bahawa dia kekurangan iktikad sehinggakan tidak dapat disembuhkan secara langsung oleh Tuhan. Sebaliknya, Paulus menasihati Timotius agar mengambil sedikit wain kerana wain adalah baik untuknya. Perhatikan bahawa dutus menggalakkan Timotius untuk menggunakan sesuatu seperti wain, sesuatu yang berada di sempadan baik dan jahat.

Daripada kes ini kita boleh mengambil suatu iktibar: Kita harus mempercayai Tuhan, bersandar pada Tuhan. (Timotius berbuat demikian.) Namun pada masa yang sama, kita tidak harus bersikap ekstrem. Sekiranya badan kita mempunyai kelemahan, barangan yang bermanfaat untuk tubuh kita juga harus kita gunakan mengikut pimpinan Tuan. Jika kita mengambil makanan berzat mengikut pimpinan Tuan, tubuh kita akan dikuatkan. Sebelum tibanya masa penebusan tubuh, kita masih manusia yang mempunyai tubuh, dengan itu kita masih perlu memberi perhatian kepada aspek alamiah.

Makanan berzat boleh digunakan serentak dengan iktikad; dua perkara ini tidak semestinya bertentangan. Namun begitu, percayawan tidak harus sekadar mengambil makanan berzat tetapi gagal percaya kepada Tuhan. (bersambung…)

Penyakit (Bahagian 2/4)
Penyakit (Bahagian 4/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)