Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Penyakit (Bahagian 2/4)
Penyakit (Bahagian 1/4)
Penyakit (Bahagian 3/4)
Penyakit (Bahagian 2/4)
2020-05-05 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (7)

Nota Editor:

Pekudus yang dikasihi, seseorang percayawan mungkin jatuh sakit malah mati (secara fizikal) pada suatu hari nanti. Akan tetapi, perbezaan antara kita dengan seorang yang tidak percaya ialah biarpun kita akan jatuh sakit, atau kita perlu menghadapi kematian, namun kita tidak takut akan penyakit dan kita tidak takut akan kematian (Ibr. 2:14b; 1 Kor. 15:54b-55); kerana Tuan memberitahu kita dengan jelas bahawa Dialah kebangkitan dan hayat (Yoh. 11:25). Petikan-petikan yang berikut menyingkapkan cahaya selanjutnya berkenaan penyakit, yang harus kita semua lihat supaya kita sama sekali tidak akan meragui Tuhan dan kasih-Nya untuk kita, sekiranya suatu hari nanti kita menderita daripada penyakit, terutamanya jenis penyakit yang serius. 

“Apa yang ingin disempurnakan Tuhan dalam kalangan anak-Nya ialah mereka akan mengambil kehendak-Nya sebagai kepuasan mereka dan mengambil kehendak yang ditetapkan-Nya itu sebagai kenikmatan mereka. Tuhan tidak mahu mereka merungut terhadap kehendak-Nya—terutamanya pengaturan-Nya—disebabkan perasaan mereka sendiri. Oleh itu, sekali-sekala Dia akan membenarkan penyakit-penyakit menimpa anak-anak-Nya yang dikasihi untuk melihat sikap mereka terhadap kehendak yang ditetapkan-Nya.”

“Apabila kita mengatakan Tuhan memberi penyakit, kita bermaksud bahawa Tuhan mengizinkan penyakit menimpa kita. Syaitanlah yang menyebabkan penyakit secara langsung. Namun penyakit menimpa kita atas keizinan Tuhan, dan penyakit datang dengan satu tujuan. Pengalaman Ayub ialah contoh terbaik.”

“Tuhan menghendaki anak-anak-Nya menyedari bahawa segala sesuatu yang menimpa mereka itu diberikan oleh-Nya. Tidak kira bagaimana berbahayanya keadaan tubuh dan sekitaran, semua itu diukur oleh tangan-Nya. Segala hal yang berkaitan dengan mereka, bahkan sehelai rambut yang jatuh, tertakluk di bawah kehendak-Nya. Jika seseorang percayawan menentang perkara yang menimpanya, dia pasti juga menentang Tuhan yang mengizinkan perkara sebegitu menimpanya. Jika dia berasa pahit disebabkan penderitaan penyakitnya, dia pasti juga menentang Tuhan yang mengizinkan penyakit sebegitu menimpanya. Persoalannya bukanlah sama ada percayawan patut jatuh sakit atau tidak, tetapi sama ada dia patut menentang Tuhan atau tidak. Tuhan mahu percayawan melupakan penyakitnya semasa dia sakit dan hanya memandang kepada-Nya.”

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB DUA

PENYAKIT (Bahagian 2/4)

Bacaan Bible:

Mat. 26:39 “...Bapa-Ku,...bukan sebagaimana yang Aku kehendaki, tetapi sebagaimana yang Engkau kehendaki.”

1 Ptr. 5:5b-6 “Tuhan menentang yang sombong tetapi memberi kurnia kepada yang rendah diri. Oleh itu, hendaklah kamu rendah diri di bawah tangan Tuhan yang perkasa supaya Dia dapat menjunjung kamu apabila tiba masanya.”

1 Ptr. 5:7 “Menyerahkan segala kekhuatiranmu kepada-Nya kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”

PENYAKIT DAN DIRI

Semua sekitaran kita yang teruk dan bermusuhan itu mendedahkan keadaan kita yang sebenar. Sekitaran ini tidak akan mendatangkan dosa-dosa yang tidak kita miliki. Sekitaran ini hanya akan mendedahkan keadaan yang sebenar dalam kita. Penyakit juga satu daripada sekitaran ini, dan penyakit membuat kita memahami keadaan kita yang sebenar.

Kita tidak mengetahui sejauh mana kita hidup untuk Tuhan dan sejauh mana kita hidup untuk diri kita. Hanya apabila kita jatuh sakit, terutamanya dalam tempoh penyakit yang berpanjangan, barulah kita menyedarinya. Pada waktu biasa, kita boleh mengatakan bahawa kita rela patuh sepenuhnya kepada Tuhan dan kita akan berpuas hati tidak kira bagaimana Tuhan memperlakukan kita. Akan tetapi, ketika kita jatuh sakit, barulah kita akan tahu sama ada apa yang biasa kita katakan itu benar atau tidak. Apa yang ingin disempurnakan Tuhan dalam kalangan anak-Nya ialah mereka akan mengambil kehendak-Nya sebagai kepuasan mereka dan mengambil kehendak yang ditetapkan-Nya itu sebagai kenikmatan mereka. Tuhan tidak mahu mereka merungut terhadap kehendak-Nya—terutamanya pengaturan-Nya—disebabkan perasaan mereka sendiri. Oleh itu, sekali-sekala Dia akan membenarkan penyakit-penyakit menimpa anak-anak-Nya yang dikasihi untuk melihat sikap mereka terhadap kehendak yang ditetapkan-Nya.

Malang sekali, apabila seseorang percayawan diuji Tuhan, dia merungut kerana dia mempunyai hasratnya sendiri dan dia mempersoalkan mengapa dia jatuh ke dalam keadaan sedemikian. Dia tidak menganggap apa yang diberikan Tuhan kepadanya itu sebagai yang terbaik. (Apabila kita mengatakan Tuhan memberi penyakit, kita bermaksud bahawa Tuhan mengizinkan penyakit menimpa kita. Syaitanlah yang menyebabkan penyakit secara langsung. Namun penyakit menimpa kita atas keizinan Tuhan, dan penyakit datang dengan satu tujuan. Pengalaman Ayub ialah contoh terbaik.) Hatinya dipenuhi harapan agar dia cepat-cepat beroleh penyembuhan. Oleh itu, Tuhan terpaksa memanjangkan tempoh penyakit pada tubuhnya kerana Dia tidak akan menyingkirkan sarana-Nya sehinggalah matlamat-Nya tersempurna. Matlamat Tuhan dalam komunikasi-Nya dengan para percayawan ialah mereka patuh kepada-Nya tanpa syarat, agar tidak kira bagaimana Dia memperlakukan mereka, mereka akan patuh secara rela hati. Tuhan tidak berkenan apabila Dia melihat seseorang percayawan memuji-Nya ketika waktu senang tetapi merungut terhadap-Nya, meragui-Nya, atau menyalahfahami kerja-Nya ketika waktu susah. Tuhan menghendaki percayawan patuh kepada-Nya sehingga tahap dia tidak menentang sekalipun dia diletakkan dalam kematian.

Tuhan menghendaki anak-anak-Nya menyedari bahawa segala sesuatu yang menimpa mereka itu diberikan oleh-Nya. Tidak kira bagaimana berbahayanya keadaan tubuh dan sekitaran, semua itu diukur oleh tangan-Nya. Segala hal yang berkaitan dengan mereka, bahkan sehelai rambut yang jatuh, tertakluk di bawah kehendak-Nya. Jika seseorang percayawan menentang perkara yang menimpanya, dia pasti juga menentang Tuhan yang mengizinkan perkara sebegitu menimpanya. Jika dia berasa pahit disebabkan penderitaan penyakitnya, dia pasti juga menentang Tuhan yang mengizinkan penyakit sebegitu menimpanya. Persoalannya bukanlah sama ada percayawan patut jatuh sakit atau tidak, tetapi sama ada dia patut menentang Tuhan atau tidak. Tuhan mahu percayawan melupakan penyakitnya semasa dia sakit dan hanya memandang kepada-Nya. Persoalannya ialah: Jika Tuan mahu kamu jatuh sakit dengan cara ini dan terus sakit dalam masa akan datang, adakah kamu rela menerima perkara ini atau tidak? Dapatkah kamu patuh kepada tangan-Nya yang maha perkasa, dan tidak menentang? Sewaktu dalam penderitaan, adakah kamu akan mendambakan kesihatan di luar kehendak semasa-Nya? Dapatkah kamu patuh sehingga Dia berjaya menyempurnakan segala yang ingin disempurnakan-Nya, kemudian barulah kamu memohon penyembuhan menurut kehendak-Nya? Apabila kamu didisiplinkan, adakah kamu akan menahan diri daripada mencari penyembuhan selain daripada-Nya? Pada waktu penderitaan yang amat sangat, adakah kamu dengan tidak sengaja akan cuba mendapatkan sesuatu yang tidak diberikan-Nya kepada kamu? Semua persoalan ini harus menusuk sedalam-dalamnya dalam hati setiap percayawan yang sakit.

Tuhan tidak suka melihat anak-anak-Nya jatuh sakit. Hati-Nya yang penuh kasih lebih sanggup melihat anak-anak-Nya menjalani hidup yang senang. Akan tetapi, Dia mengetahui bahayanya: Apabila percayawan hidup senang, semua kasih mereka terhadap-Nya, semua kata pujian kepada-Nya, dan segala hal yang dilakukan mereka untuk-Nya itu dilakukan hanya kerana keadaan yang senang. Dia mengetahui bahawa hati kita amat mudah berpaling daripada-Nya dan kehendak-Nya lalu berpaling kepada berian-Nya. Oleh itu, Dia membenarkan penyakit dan hal-hal lain yang serupa menimpa kita agar kita akan melihat sama ada kita ini untuk Tuhan atau untuk berian-Nya. Jika dalam setiap sekitaran yang buruk, kita tidak mencari apa-apa melalui diri kita atau untuk diri kita, maka sesungguhnya kita ini mencari Tuhan. Penyakit dapat menyatakan sama ada seseorang itu menuntut kehendaknya sendiri atau pengaturan Tuhan.

Kita masih mempunyai kehendak kita sendiri, kerana kehidupan harian kita terlalu dipenuhi dengan kehendak kita sendiri. Dalam kerja Tuhan, dalam cara kita berurusan dengan orang dan perkara, dalam pemikiran dan pendapat kita, terdapat terlalu banyak kehendak yang tidak dapat dialahkan. Oleh itu, Tuhan terpaksa membawa kita ke ambang maut agar kita melihat betapa celakanya orang yang menentang-Nya. Tuhan membiarkan kita melalui kepedihan dan kepiluan yang mendalam untuk menghancurkan kita dan menyebabkan kita melepaskan kehendak diri yang amat tidak disukai-Nya. Terlalu banyak percayawan yang seolah-olah tidak mendengar apa yang dikatakan Tuan kepada mereka pada waktu kebiasaan, tetapi ketika Tuan membuat tubuh mereka menderita, barulah mereka rela patuh sepenuhnya. Beginilah cara Tuan: Apabila cara nasihat dalam kasih tidak berkesan, maka cara menyebat akan dipakai. Tujuan sebatan Tuan ialah menghancurkan kehendak diri kita. Adalah baik sekiranya setiap percayawan yang sakit memeriksa diri sendiri berkenaan perkara ini.

Selain keinginan dan hasrat kita sendiri, apa yang paling dibenci Tuhan ialah sayang diri kita. Sayang diri merosakkan hayat rohani dan memusnahkan kerja rohani. Jika Tuhan tidak dapat menyingkirkan sayang diri dari dalam kita, kita tidak akan dapat maju jaya dalam perjalanan rohani. Sayang diri khususnya berkaitan dengan tubuh kita; maksudnya kita menyayangi tubuh badan dan nyawa kita. Oleh itu, untuk melenyapkan sayang diri, Tuhan membenarkan banyak penyakit menimpa tubuh kita. Disebabkan kita menyayangi diri sendiri dan takut bahawa tubuh kita menjadi lemah, maka Tuhan membenarkan tubuh kita menjadi lemah. Kita takut melihat tubuh kita menderita, namun Tuhan mengizinkan tubuh kita menderita. Kita teringin hendak sembuh, tetapi penyakit kita semakin teruk hari demi hari. Kita hendak memelihara nyawa kita, tetapi akhirnya malah harapan untuk hidup pun hilang. Sudah tentu penanggulangan Tuhan adalah berbeza bagi setiap individu. Sesetengah penanggulangan adalah lebih berat, sedangkan yang lain lebih ringan. Walau bagaimanapun, niat Tuhan untuk menghapuskan sayang diri tetap sama. Banyak percayawan yang kuat perlu tunggu sehingga mereka menghampiri ambang maut barulah mereka melepaskan sayang diri mereka. Apabila tubuh sudah rosak, apabila nyawa sudah berbahaya, apabila penyakit sudah menelan kesihatan seseorang, apabila kesakitan sudah menghabiskan kekuatan seseorang, dan segala-galanya telah hancur, apa lagi yang tertinggal yang dapat disayangi? Pada saat ini, percayawan mungkin ingin mati, dan dia mungkin menyedari bahawa dia tidak berharapan lagi dan bahawa tidak ada apa-apa lagi yang boleh dipegang dalam sayang diri itu. Malangnya, bahkan sampai takat ini juga dia masih tidak mengetahui bagaimana berpaling dan menerapkan janji penyembuhan daripada Tuhan.

Keadaan menjadi paling sukar apabila hati percayawan jauh berbeza daripada hati Tuhan. Tujuan Tuhan ialah percayawan kehilangan sayang dirinya. Oleh itu, Dia membenarkan percayawan jatuh sakit. Akan tetapi, semakin dia sakit, semakin dia menyayangi dirinya. Semakin dia menjadi lemah, semakin dia menjaga dirinya. Matlamat Tuhan ialah dia akan melupakan dirinya, tetapi dia asyik memikirkan penyakitnya, kesakitan pada tubuhnya, cara untuk disembuhkan, dan sama ada penyakitnya sudah semakin pulih atau lebih teruk. Semua pemikirannya bertumpu pada dirinya! Dia memberi perhatian kepada makanannya dan bagaimana dia harus menahan diri daripada makanan ini dan mengelak daripada makan itu! Apabila dia berasa sedikit tidak selesa, dia menjadi amat resah! Dia memberi banyak perhatian kepada suhu badan dan tidurnya. Apabila dia demam sedikit, atau kesejukan sedikit kerana selesema, atau tidak tidur dengan baik semalaman, dia menjadi amat tidak selesa. Semua ini seolah-olah mengancam nyawanya. Dia amat sensitif tentang bagaimana orang melayannya. Dia amat sensitif tentang berapa kerap orang teringat akannya, prihatin akannya, dan datang melawatnya. Demikianlah dia menghabiskan banyak masa berfikir tentang tubuhnya sendiri serta keadaannya, dan bukan tentang Tuan dan apa yang ingin disempurnakan oleh Tuan dalam dia. Sesungguhnya, fikiran banyak percayawan sama sekali “dihantui” diri mereka sewaktu mereka sakit! Kita sememangnya tidak seberapa sedar betapa banyaknya kita menyayangi diri sendiri. Akan tetapi, ketika kita jatuh sakit, barulah kita sedar bahawa kita begitu menyayangi diri sendiri!

Adakah ini yang diperkenan Tuhan? Dia mahu kita menyedari bahawa sayangi diri merosakkan kita lebih daripada apa-apa yang lain. Dia juga mahu kita mengetahui bahawa kita amat menyayangi diri sendiri. Di tengah-tengah penyakit, Dia mahu kita belajar agar tidak memandang gejala penyakit kita dan memerhatikan kesakitan kita, sebaliknya memandang kepada-Nya dengan segenap hati. Dia mahu kita menyerahkan tubuh kita dengan sepenuhnya ke dalam tangan-Nya dan membiarkan Dia menjaganya. Setiap kali gejala buruk berlaku, gejala itu haruslah sentiasa menjadi amaran kepada kita agar jangan lagi memikirkan tubuh, sebaliknya memikirkan Tuan dengan sepenuhnya.

Akan tetapi, disebabkan sayangi diri, percayawan akan mencari penyembuhan sebaik sahaja dia jatuh sakit. Dia tidak pernah terfikir bahawa dia pertama-tamanya harus menyingkirkan perbuatan jahat dalam hatinya, kemudian barulah dia memohon penyembuhan. Dia hanya melihat harapan untuk disembuhkan. Dia tidak bertanya tentang sebab Tuhan mengizinkan penyakit itu menimpa tubuhnya, tentang apa yang perlu bertaubat, tentang apa yang perlu disingkirkannya, atau tentang apa yang harus ditolaknya supaya dia tidak membazirkan kerja Tuhan. Dia ini mementingkan dirinya. Dia tidak sanggup menjadi lemah dan ingin cepat-cepat kembali menjadi kuat. Oleh itu, dia mencari jalan penyembuhan. Dia bertanya kepada orang dan merayu kepada Tuhan, dengan harapan dapat sembuh segera. Di bawah keadaan ini, Tuhan tidak akan mencapai matlamat-Nya. Meskipun sering kali kita melihat percayawan jenis ini disembuhkan buat sementara waktu, namun penyembuhan itu tidak kekal lama. Selepas suatu ketika, penyakit lama itu timbul semula. Masakan penyembuhan jangka panjang dapat berlaku memandangkan akar penyakit tidak disingkirkan?

Penyakit ialah cara Tuhan berbicara kepada kita. Dia tidak berhajat agar kita mencari penyembuhan secara tergopoh-gopoh, tetapi agar kita patuh dan berdoa. Sayang sekali, percayawan tidak berkata kepada Tuan, “Berbicaralah, hamba-Mu mendengar.” Sebaliknya, dia berharap beroleh penyembuhan segera. Matlamat kita ialah diselamatkan daripada kesakitan dan kelemahan dengan segera. Dengan tergesa-gesa kita cuba sedaya upaya untuk mencari ubat yang terbaik. Seolah-olahnya penyakit mendesak kita mereka cipta segala jenis penawar. Sedikit gejala penyakit sahaja akan menakutkan kita dan memerah otak kita. Tuhan seolah-olah jauh daripada kita. Kita lupa akan keadaan rohani kita. Kita hanya berfikir tentang penderitaan kita dan penawarnya. Sekiranya penyakit berlanjutan, kita akan salah faham terhadap kasih Bapa. Sekiranya ubat berkesan, kita akan memuji kurnia Tuhan. Akan tetapi, kita harus bertanya, adakah usaha kita yang sepenuh hati untuk dilepaskan daripada kesakitan itu benar-benar adalah pimpinan Roh Kudus? Adakah usaha menggunakan kekuatan tubuh daging sebegini akan memuliakan Tuhan? (bersambung…)

Penyakit (Bahagian 1/4)
Penyakit (Bahagian 3/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)