Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 27: Keperluan Orang Buta dalam Agama- Penglihatan Hayat dan Penggembalaan Hayat (2)
Mesej 26: Keperluan Orang Buta Dalam Agama—Penglihatan Hayat dan Penggembalaan Hayat (1)
Mesej 28: Keperluan Orang Mati- Dibangkitkan Hayat (1) & (2)
Mesej 27: Keperluan Orang Buta dalam Agama- Penglihatan Hayat dan Penggembalaan Hayat (2)
2022-03-25 | 0 Komen
A- A+ Simpan

KEPERLUAN ORANG BUTA DALAM AGAMA- PENGLIHATAN HAYAT DAN PENGGEMBALAAN HAYAT (2)

Bacaan Bible: Yohanes 10:1-42

Kajian-Hayat: Mesej 22

Petikan Bacaan: 

Sekarang, kita melihat Yohanes 10. Tuan membicarakan kiasan tentang kandang domba sejurus selepas Dia menyembuhkan orang buta yang dicampak keluar oleh orang Yahudi dari sinagog. Oleh yang demikian, peristiwa ini menjadi latar belakang bagi ibarat kandang domba. 

PENGGEMBALAAN HAYAT BAGI PERCAYAWAN YANG BERADA DI LUAR AGAMA 

Kandang Domba, Pintu, dan Padang Rumput untuk Domba

Kandang domba, menurut penggunaan yang lebih baik, melambangkan hukum dalam Wasiat Lama, tetapi menurut penggunaannya yang umum dan biasa, kandang domba melambangkan agama Yahudi, iaitu agama hukum. Galatia 3:23-26 mewahikan tujuan Tuhan memberi hukum. Sebelum datangnya kepercayaan dalam Kristus, kita dipelihara di bawah hukum. Dengan kata lain, kita dipelihara seperti domba di dalam kandang. Sebelum Kristus datang, kita diletakkan di bawah tangan hukum yang merupakan penjaga kita. Hukum bertanggungjawab untuk menjaga dan melindungi umat pilihan Tuhan dan akhirnya membawa mereka kepada Kristus. Sebaik sahaja kita dibawa kepada Kristus, kita dijustifikasi berasaskan kepercayaan. Memandangkan kepercayaan telah datang—iaitu memandangkan Kristus telah datang —kita tidak lagi berada di bawah jagaan abdi. 

Domba Melambangkan Umat Pilihan Tuhan 

Domba ialah umat pilihan Tuhan. Dalam keabadian lampau, Tuhan telah memilih umat-Nya melalui prapenglihatan-Nya. Dalam masa, sebelum Kristus datang, Tuhan meletakkan umat pilihan-Nya di bawah jagaan hukum. Setelah Kristus datang, Dia mahu semua umat-Nya keluar daripada jagaan hukum. Orang buta yang dicampak keluar dari sinagog Yahudi dan yang datang kepada Tuan Yesus itu merupakan seorang daripada umat pilihan Tuhan. Dia berada di bawah jagaan hukum, tetapi dia telah dibawa keluar daripadanya dan kembali kepada Tuan sendiri.

Pintu Melambangkan Kristus untuk “Masuk” dan “Keluar” 

Apakah maksudnya apabila kita mengatakan bahawa Kristus ialah pintu? Kebanyakan orang Kristian menyangka bahawa pintu itu adalah untuk orang masuk ke syurga. Tuan ialah pintu kandang domba. Tuan bukan sahaja merupakan pintu untuk masuk ke dalam hukum; Dia juga merupakan pintu untuk orang keluar daripada hukum. Ayat 9 berkata, “Akulah pintu itu; jika sesiapa masuk menerusi Aku, dia akan diselamatkan dan akan masuk dan keluar, dan akan menemui padang rumput.” Kristus ialah pintu, bukan sahaja untuk umat pilihan Tuhan, seperti Musa, Daud, Yesaya, dan Yeremia, dan lain-lain lagi, masuk ke dalam jagaan hukum, pada zaman Wasiat Lama sebelum Kristus datang; tetapi juga untuk umat pilihan Tuhan seperti Petrus, Yohanes, Yakobus, dan Paulus keluar dari kandang hukum selepas Kristus datang. Dengan demikian, Tuan menunjukkan dalam ayat 9 bahawa Dia ialah pintu, bukan sahaja untuk umat pilihan Tuhan masuk, tetapi juga untuk mereka keluar. Kandang hukum yang telah menjadi agama Yahudi mengurung semua umat pilihan-Nya. Akan tetapi, Kristus adalah pintu untuk percayawan dalam Wasiat Baru keluar daripada agama Yahudi dan masuk ke dalam Dia yang merupakan padang rumput. 

Mula-mulanya Tuan ialah pintu, kemudian Dialah Gembala, dan akhirnya Dialah padang rumput. Gembala membawa semua domba keluar dari kandang menerusi diri-Nya sebagai pintu dan membawa mereka kepada diri-Nya sebagai padang rumput. Dialah Gembala yang membawa domba keluar dari kandang; Dialah pintu yang menerusi-Nya domba dibawa keluar; dan Dialah padang rumput yang kepada-Nya domba dibawa. Dia membawa domba keluar daripada agama Yahudi menerusi diri-Nya, agar mereka dibawa kepada diri-Nya dan untuk diri-Nya. Dia ialah segala-galanya — pintu keluar, Gembala, dan padang rumput.

Padang Rumput Melambangkan Kristus sebagai Tempat Makan bagi Domba 

Semakin kamu mengikut Tuan Yesus, semakin agama akan memaksa kamu keluar. Agama tidak tahan dengan Yesus, dan Yesus sama sekali tidak akan berada dalam agama. Kedua-dua ini berbeza sama sekali, dan tidak mungkin dapat diselaraskan. Yesus ialah hayat, manakala agama ialah sesuatu yang selain daripada hayat. Yesus yang hidup tidak dapat bertoleran dengan agama. Puji Tuan kerana kita semua telah keluar daripada agama dan sedang makan di padang rumput hijau! Padang rumput pastinya bukan berada di dalam kandang, tetapi berada di luar kandang. Jika kamu ingin menikmati padang rumput, kamu harus keluar dari kandang. Sebaik sahaja kamu keluar dari kandang, kamu akan mendapati bahawa kamu berada di padang rumput. Haleluya!

Kristus Menyerahkan Hayat Sukmawi-Nya supaya Domba Beroleh Hayat Divin 

Dalam ayat 10, Tuan berkata, “Aku datang supaya mereka beroleh hayat dan berolehnya dengan berlimpah-limpah,” dan dalam ayat 11, Dia berkata, “Akulah Gembala baik; Gembala baik menyerahkan nyawa-Nya untuk domba.” Perkataan hayat dan nyawa yang terdapat dalam dua ayat ini adalah dua perkataan yang berlainan dalam bahasa Yunani. Dalam ayat 10, perkataan dalam bahasa Yunani ialah zoe, yakni perkataan yang digunakan untuk hayat yang divin dan abadi dalam Wasiat Baru. Dalam ayat 11, perkataan dalam bahasa Yunani ialah psuche, yakni perkataan yang sama dengan perkataan bagi sukma, yang bererti hayat sukmawi, iaitu hayat insani. Dua ayat ini menunjukkan bahawa Tuan Yesus memiliki dua jenis hayat. Sebagai manusia, Tuan mempunyai hayat psuche, iaitu hayat insani. Sebagai Tuhan, Dia mempunyai hayat zoe, iaitu hayat divin. Dia menyerahkan sukma-Nya, iaitu hayat psuche-Nya, hayat insani-Nya untuk menyempurnakan penebusan bagi domba-Nya (10:15, 17-18) agar mereka dapat berbahagian dalam hayat zoe-Nya, iaitu hayat divin-Nya (10:10), hayat abadi (10:28). Dengan hayat ini, mereka dapat dibentuk menjadi satu kawanan di bawah diri-Nya yang merupakan satu Gembala. Sebagai Gembala baik, Dia memberi domba-Nya makan hayat divin dengan cara ini dan untuk tujuan ini. 

Kawanan domba dihasilkan, dipelihara, dikekalkan, dan dibentuk melalui hayat divin. Alangkah baiknya dikbang-dikbang tinggal bersama dalam kesatupaduan (Mzm. 133:1). Walau bagaimanapun, tinggal dalam kesatupaduan bermaksud tinggal dalam hayat divin. Puji Tuan kerana dalam hayat divin, kita benar-benar adalah satu dan mengasihi satu sama lain. Hal ini tidak mungkin berlaku dalam hayat manusia, hayat psuche kita, tetapi hanya mungkin berlaku dalam hayat divin, hayat zoe. Kita menerima hayat zoe ini menerusi penebusan yang disempurnakan oleh Gembala kita yang menyerahkan hayat psuche-Nya. Dia mengorbankan hayat psuche-Nya untuk menyempurnakan penebusan bagi kita semua supaya kita dapat menerima Dia sebagai hayat zoe kita. Sekarang, kita berada dalam hayat zoe, berada di bawah satu Gembala untuk menjadi satu kawanan. Ini bukan satu organisasi tetapi pengumpulan bersama-sama menjadi satu kawanan dalam hayat. Sungguh mengagumkan! Haleluya! Kawanan domba bukan soal agama, tetapi soal hayat.


Mesej 26: Keperluan Orang Buta Dalam Agama—Penglihatan Hayat dan Penggembalaan Hayat (1)
Mesej 28: Keperluan Orang Mati- Dibangkitkan Hayat (1) & (2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)