Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 28: Keperluan Orang Mati- Dibangkitkan Hayat (1) & (2)
Mesej 27: Keperluan Orang Buta dalam Agama- Penglihatan Hayat dan Penggembalaan Hayat (2)
Mesej 29: Hasil dan Pelipatgandaan Hayat (1)
Mesej 28: Keperluan Orang Mati- Dibangkitkan Hayat (1) & (2)
2022-03-29 | 0 Komen
A- A+ Simpan

KEPERLUAN ORANG MATI—DIBANGKITKAN HAYAT (1) & (2) 

Ayat-ayat Bible: Yoh. 11:1-57

Kajian-hayat: Mesej 23-24

Petikan Bacaan:    

HALANGAN DARIPADA PENDAPAT MANUSIA

Bab sebelas menyajikan satu tujuan yang khusus: bab ini menunjukkan kepada kita bahawa selain penentangan daripada agama, pendapat manusia juga merupakan halangan yang terbesar kepada hayat. Dalam bab-bab yang lepas, masalah yang dihadapi hayat ialah agama. Kita telah melihat dalam setiap bab bahawa hayat ditentang oleh agama. Namun begitu, dalam bab sebelas tidak ada agama, sebaliknya ada satu jenis lagi halangan—halangan daripada pendapat manusia. Apakah yang diwahikan dalam bab ini yang menghalang kudrat kebangkitan Tuan? Halangannya ialah pendapat manusia. Dalam bab satu hingga bab sepuluh, Kristus sebagai hayat diwahikan sepenuhnya, sementara agama pula didedahkan. Sekarang, dalam bab sebelas, Kristus sebagai hayat kebangkitan telah disingkapkan, namun pada masa yang sama, pendapat manusia pula ditonjolkan. 

Tuan ialah kebangkitan; hayat dan maut bukan masalah bagi-Nya. Mudah sahaja bagi Dia menelan maut. Maut mungkin merupakan masalah bagi kita, tetapi bukan masalah bagi Kristus. Dia sebagai kebangkitan dapat jayeng atas maut dan menelannya. Namun begitu, apabila kita ingin menerapkan Dia sebagai kebangkitan, kita menghadapi masalah pendapat manusia. 

Ketika saya mula-mula melihat cahaya dalam bab ini, saya tertawa. Tidak pernah saya melihat begitu banyak pendapat dalam bab ini. Sudah tentu Tuan tahu bahawa Lazarus sedang sakit, dan Dia benar-benar tahu bagaimana mengendalikan situasi tersebut sekalipun mereka tidak menyampaikan apa-apa khabar kepada-Nya. Akan tetapi, mereka menyampaikan khabar kepada-Nya, namun Dia tidak tergerak olehnya. 

A. Pendapat Disipal-disipal

        Dalam 11:8-16, kita melihat pendapat disipal-disipal. Apabila khabar tentang penyakit Lazarus disebarkan, hati Tuan tidak tergerak. Disipal-disipal semestinya berasa hairan dan bingung. Kamu dapat membayangkan betapa kecewanya mereka. Selepas dua hari, tiba-tiba Tuan menyatakan hasrat-Nya untuk melawat Lazarus. Di sini, kita melihat pendapat insani disipal. Apabila Tuan tidak mahu pergi, mereka bingung, dan apabila Tuan hendak pergi, mereka berasa Dia tidak perlu pergi. Sebaik sahaja Tuan menyatakan hasrat-Nya untuk pergi melawat Lazarus, semua disipal menyatakan pendapat mereka. Mereka memberitahu Tuan bahawa memang bahaya untuk pergi kerana orang Yahudi berikhtiar hendak merejam-Nya (11:8). Ini merupakan pendapat manusia yang sentiasa bercanggah dengan hasrat Tuan. 

B. Pendapat Marta

        Ketika Tuan sampai, Marta merupakan orang yang pertama bertemu dengan-Nya (11:20). Akan tetapi, sebelum Tuan dapat mengatakan apa-apa, Marta membuka mulutnya dan mengeluarkan satu lagi pendapat: “Tuan, jika Engkau ada di sini, saudaraku tidak akan mati” (11:21). Dia mengadu bahawa Tuan datang terlalu lambat. Tuan berkata kepadanya, “Saudaramu akan bangkit semula” (11:23). Akan tetapi, Marta berkata, “Aku tahu bahawa dia akan bangkit semula dalam kebangkitan pada hari terakhir” (11:24). Marta mentafsirkan kata Tuan ini dengan maksud menangguhkan kebangkitan masa kini ke hari terakhir. Betapa salahnya pentafsiran ini! Kemudian, Tuan bertanya kepada Marta, “Percayakah kamu akan hal ini?” Marta menjawab, “Ya, Tuan; aku percaya bahawa Engkaulah Kristus itu, Anak Tuhan, iaitu Dia yang datang ke dunia” (11:27). Apa yang dijawabnya sama sekali bukan apa yang ditanyakan Tuan. Dia tidak jelas tentang apa yang dikatakan Tuan. Selepas Marta mengatakan bahawa dia percaya kepada Tuan yang merupakan Kristus itu, iaitu Anak Tuhan, dia pergi memanggil adiknya Maria. 

C. Pendapat Maria

        Maria datang kepada Tuan selepas mendengar kata-kata Marta. Dia mengulang apa yang mula-mula diberitahukan Marta kepada Tuan: “Tuan, jika Engkau ada di sini, saudaraku tidak akan mati” (11:32). Kemudian, Tuan menanya mereka di mana mereka meletakkan Lazarus. Mereka berkata kepada-Nya, “Tuan, mari dan lihatlah” (11:34). Jawapan mereka ini baik sekali. Ini pendapat yang terbaik. 

DIBANGKITKAN HAYAT

Memerlukan Ketundukan dan Kerjasama Manusia

        Tuan mempunyai hayat kebangkitan, kudrat kebangkitan, tetapi ini memerlukan kerjasama kita, ketundukan kita. Apakah yang dimaksudkan dengan ketundukan kita? Ketundukan kita bermaksud mengetepikan pendapat kita. Kamu harus menolak pendapat kamu dan membenarkan Tuan berbicara. Apabila Dia memberitahu kita, “Alihkan batu,” kita harus mengalihkannya sahaja. Kita perlu tunduk, bekerjasama, dan berkoordinasi dengan-Nya. Kita perlu tunduk kepada sabda-Nya, bekerjasama dengan-Nya, dan berkoordinasi dengan kudrat kebangkitan. 


Mesej 27: Keperluan Orang Buta dalam Agama- Penglihatan Hayat dan Penggembalaan Hayat (2)
Mesej 29: Hasil dan Pelipatgandaan Hayat (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)