Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 26: Keperluan Orang Buta Dalam Agama—Penglihatan Hayat dan Penggembalaan Hayat (1)
Mesej 25: Keperluan Orang Yang Di Bawah Belenggu Dosa- Dibebaskan Hayat
Mesej 27: Keperluan Orang Buta dalam Agama- Penglihatan Hayat dan Penggembalaan Hayat (2)
Mesej 26: Keperluan Orang Buta Dalam Agama—Penglihatan Hayat dan Penggembalaan Hayat (1)
2022-03-22 | 0 Komen
A- A+ Simpan

KEPERLUAN ORANG BUTA DALAM AGAMA—PENGLIHATAN HAYAT DAN PENGGEMBALAAN HAYAT (1) 

Ayat-ayat Bible: Yoh. 9:1-41

Kajian-hayat: Mesej 21

Bacaan Bible: Yohanes 9: 5 Semasa Aku berada di dunia, Akulah cahaya dunia. 

Petikan Bacaan:   

Seperti yang telah kita nyatakan sebelum ini, sembilan kes dalam Injil Yohanes terbahagi kepada dua kumpulan. Enam kes pertama menunjukkan bagaimana Tuan yang merupakan hayat kita dapat menangani perkara-perkara positif. Tiga kes terakhir pula menangani perkara-perkara negatif, iaitu dosa, kebutaan, dan kematian. Kebutaan berpunca daripada dosa, dan kematian adalah kesudahan muktamad dosa. Dalam mesej ini, kita akan membincangkan kebutaan. 

PENGLIHATAN HAYAT BAGI ORANG BUTA

Dilahirkan Buta

    Mari kita baca 9:1-3, “Semasa Dia berlalu di situ, Dia nampak seorang yang buta sejak lahir. Dan disipal-disipal Yesus bertanya kepada-Nya dengan berkata, Rabi, siapa yang berbuat dosa: orang ini ataupun ibu bapanya, sehinggakan dia dilahirkan buta? Yesus menjawab, Orang ini tidak berbuat dosa, begitu juga dengan ibu bapanya, tetapi dia dilahirkan begini agar kerja-kerja Tuhan dapat dimanifestasikan dalamnya.” Soalan ini ditanya oleh disipal-disipal-Nya menurut pengetahuan agama mereka. Mereka beranggapan bahawa kebutaan semestinya berpunca daripada dosa orang itu atau dosa ibu bapanya. Soalan ini, seperti soalan dalam 4:20-25 dan 8:3-5, adalah berkenaan ya atau tidak yang kepunyaan pohon pengetahuan, dan akibatnya ialah maut (Kej. 2:17). Kita telah melihat bahawa dalam Injil Yohanes, Tuan tidak pernah menjawab soalan sedemikian dengan ya atau tidak, betul atau salah. Sebabnya ialah Injil Yohanes adalah buku hayat, bukan buku pengetahuan baik dan jahat. Oleh itu, Tuan mengatakan bahawa orang itu buta agar “kerja-kerja Tuhan dapat dimanifestasikan dalamnya”. 

Menerima Cahaya 

1. Melalui Cahaya Hayat

    Apabila Tuan Yesus melihat orang buta ini, Dia berkata, “Semasa Aku berada di dunia, Akulah cahaya dunia” (9:5). Tuan ialah cahaya hayat (8:12). Kebutaan berpunca daripada kekurangan cahaya hayat. Setiap orang mati adalah orang buta. Orang mati sememangnya tidak dapat melihat apa-apa. Justeru, kebutaan menandakan kekurangan hayat. Jika kamu mempunyai hayat, kamu mempunyai penglihatan, kerana cahaya membuka mata kamu. Oleh itu, Tuan terlebih dahulu menunjukkan bahawa orang buta itu memerlukan cahaya hayat. 

2. Melalui Pengurapan Sabda Hayat yang Dibaurkan dengan Keinsanan

    Ayat 6 amat menarik. “Selepas Dia mengatakan hal ini, Dia meludah ke tanah lalu membuat tanah liat daripada air ludah dan mengurapi matanya dengan tanah liat itu.” Sewaktu saya masih orang Kristian muda, saya tidak faham makna ayat ini, justeru saya mengetawakan apa yang dilakukan oleh Tuan. Apa yang dilakukan-Nya amat pelik. Tidak ada sesiapa yang suka menyentuh air ludah orang. Akan tetapi, Tuan Yesus mencampurkan air ludah-Nya dengan tanah dan membuat tanah liat. Kemudian, Dia menggunakan tanah liat tersebut untuk mengurapi mata orang itu. Injil Yohanes adalah sebuah buku yang penuh dengan gambaran, dan kejadian ini merupakan suatu gambaran. Kita tidak harus memahaminya secara hurufiah. Kita harus berdoa dan memandang kepada Tuan agar kita mendapat maknanya yang sebenar. 

    Saya tidak dapat memberitahu kamu berapa banyak masa yang telah saya gunakan untuk mengkaji butir ini. Hampir dua puluh lima tahun yang lalu, pada suatu hari, saya melihat pembauran hayat divin dengan keinsanan. Perkataan pembauran digunakan dalam Imamat 2:5. “Dan jika persembahanmu adalah persembahan sajian yang dibakar di atas pinggan datar, persembahan itu haruslah daripada tepung halus tidak beragi yang dibaur dengan minyak.” Ini merupakan satu tamsil. Tepung halus mentamsilkan keinsanan Tuan Yesus, dan minyak mentamsilkan Roh Kudus, iaitu kedivinan Tuan Yesus. Justeru, dalam Persona Tuan Yesus, terdapat pembauran kedivinan dengan keinsanan. 

    Sekarang kita kembali kepada Yohanes 9 dan menerapkan konsep pembauran kedivinan dengan keinsanan padanya. Tanah liat dalam 9:6, seperti dalam Roma 9:21, melambangkan keinsanan. Manusia adalah tanah liat. Kita semua adalah tanah liat. Apakah itu air ludah? Air ludah di sini, iaitu sesuatu “yang keluar dari mulut” (Mat. 4:4) Tuan, melambangkan “kata-kata...[Tuan. Kata-kata-Nya] ialah roh dan ialah hayat” (Yoh. 6:63). Menurut makna kiasan, air ludah ialah Sabda yang merupakan roh dan hayat, yang keluar dari mulut Tuan. Sabda yang keluar dari mulut Kristus ialah roh. Justeru, membaurkan air ludah dengan tanah liat melambangkan pembauran keinsanan dengan Sabda hidup Tuan. Pembauran kedivinan dengan keinsanan adalah minyak urapan yang paling baik di seluruh bumi. Tidak ada minyak urapan lain yang dapat menandinginya. 

3. Melalui Kepatuhan kepada Sabda Hayat dan Pembasuhan Keinsanan Lama

    Selepas mata orang buta itu diurapi dengan tanah liat, dia lebih buta daripada dahulu. Sekarang, terdapat selapis tanah liat yang tebal menutupi matanya. Tuan memberitahunya, “Pergilah, basuh di kolam Siloam” (9:7). Orang itu pergi membasuh dan sesudah kembali, dia dapat melihat. Di sini, pembasuhan adalah pembersihan untuk menyingkirkan tanah liat. Ini menandakan pembasuhan keinsanan lama kita, seperti yang dialami dalam baptisan (Roma 6:3-4, 6). Orang buta itu pergi dan membasuh; ini bermaksud dia mematuhi Sabda beri-hayat kepunyaan Tuan. Oleh itu, dia menerima penglihatan. Justeru, dengan mematuhi pengurapan, kita memperoleh penglihatan. 

    Sekadar membaca atau mengkaji Bible adalah tidak memadai. Tanpa pembauran hayat divin dengan keinsanan kamu, kamu sama sekali tidak dapat melihat cahaya Sabda. Kamu mungkin membacanya, tetapi kamu tidak dapat melihatnya. Mungkin kamu telah banyak kali membaca satu ayat yang tertentu dalam Bible. Akan tetapi, kamu tetap tidak dapat melihat cahaya dalam ayat tersebut. Pada suatu hari, kamu mula melihat. Dengan serta-merta, mata kamu ditutupi dan buat sementara waktu, kamu lebih buta. Namun, jika kamu patuh kepada Sabda hidup dan berkata, “Amen, Tuan Yesus,” dengan serta-merta, kamu berasa bahawa sesuatu telah gugur dari mata kamu dan kamu mendapat cahaya. Keinsanan lama kamu telah ditanggalkan dan kamu dapat memandang ke syurga-syurga. Inilah caranya memperoleh cahaya. 

Ditindas oleh Agama

    Menerima penglihatan adalah perkara yang baik. Akan tetapi, bersedialah untuk menderitai penindasan di tangan agama yang buta. Orang buta yang menerima penglihatannya itu dicampak ke luar (9:34); ini bermakna dia dikucilkan, dipulaukan dari sinagog Yahudi. Ini bermakna dia dilepaskan dari kandang domba seperti yang dibicarakan Tuan dalam 10:3-4. Walaupun dia dikucilkan dari agama Yahudi, dia diterima oleh Tuan Yesus. 

Percaya kepada Anak Tuhan

    Orang buta itu percaya kepada Yesus sebagai Anak Tuhan (9:35-38). Orang buta itu menerima penglihatannya melalui kepercayaan yang kabur. Dia percaya, tetapi dia kurang jelas. Sesungguhnya dia tidak tahu apa-apa. Dia percaya tanpa benar-benar mengetahui siapa Yesus. Dia percaya secara jahil. Meskipun dia tidak berapa tahu siapa itu Yesus, dia percaya bahawa Yesus seorang yang istimewa dan dia berbalah dengan orang Farisi berkenaan hal ini. Akhirnya, orang Farisi mencampak dia keluar. Kemudian, Tuan Yesus menemuinya dan berkata, “Percayakah kamu ke dalam Anak Tuhan?” (9:35). Orang buta itu menjawab, “Tuan, siapakah Dia ini, supaya aku dapat percaya ke dalam-Nya?” (9:36). Dia percaya, namun dia tidak kenal Tuan Yesus. Kemudian Tuan berkata kepadanya, “Kamu telah melihat-Nya, dan Dia inilah yang sedang bercakap denganmu” (9:37). Kemudian, orang buta itu mengisytiharkan, “Tuan, aku percaya; dan dia menyembah-Nya” (9:38). Justeru, orang buta itu bukan sahaja menerima penglihatannya, tetapi dia sendiri juga diterima oleh Tuan Yesus. 

    Ini bermakna bahawa Tuan, sebagai gembala, masuk ke dalam kandang domba, nampak seekor domba kecil yang buta, membuka matanya dan kemudian memimpin domba itu keluar dari kandang domba. 

Mesej 25: Keperluan Orang Yang Di Bawah Belenggu Dosa- Dibebaskan Hayat
Mesej 27: Keperluan Orang Buta dalam Agama- Penglihatan Hayat dan Penggembalaan Hayat (2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)