Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 22: Keperluan Orang Yang Lapar- Diberi Makan oleh Hayat (2)
Mesej 21: Keperluan Orang yang Lapar- Diberi Makan oleh Hayat
Mesej 23: Keperluan Orang Yang Haus- Kehausannya Dihilangkan Hayat (1)
Mesej 22: Keperluan Orang Yang Lapar- Diberi Makan oleh Hayat (2)
2022-03-09 | 0 Komen
A- A+ Simpan

KEPERLUAN ORANG YANG LAPAR—DIBERI MAKAN OLEH HAYAT (2)

Ayat-ayat Bible: Yoh. 6:16-71 

Kajian-hayat: Mesej 16

Petikan Bacaan:  

DUNIA YANG GELISAH DAN KRISTUS YANG MEMBERI DAMAI SEJAHTERA

Kita hidup dalam dunia yang gelisah. Dunia ini sama sekali menggelisahkan orang. Kehidupan keluarga, kehidupan sekolah, dan setiap jenis pekerjaan—semuanya menggelisahkan orang. Siapakah yang mempunyai damai sejahtera—presiden, ahli senat, anggota kongres? Tidak ada sesiapa pun yang mempunyai damai sejahtera. Tidak kira siapa kamu, kamu tetap gelisah. Kita semua mempunyai kesusahan. 

Kristus datang ke dunia yang gelisah ini sebagai Kristus yang memberi damai sejahtera (6:16-21). Yohanes bukan sahaja menggambarkan dunia yang lapar, tetapi juga dunia yang gelisah. Dunia ini membuat setiap orang gelisah, tetapi tidak dapat membuat Dia gelisah. 

Laut Bergelora dan Angin Kencang Menandakan Kesusahan dalam Kehidupan Manusia 

Laut bergelora dan angin kencang menandakan kesusahan dalam kehidupan manusia. Di dalam laut ada demon dan di udara ada roh jahat. Itulah sebabnya kita mengalami kesusahan. Bagaimanakah kita dapat mengharapkan hari yang damai sejahtera? Kita mengharapkan damai sejahtera, namun kita berada di tempat yang salah. 

Yesus Berjalan di Atas Laut Menandakan Dia Mengatasi Semua Kesusahan dalam Kehidupan Manusia

Yesus berjalan di atas laut (6:19). Ini menandakan bahawa Tuan dapat mengatasi semua kesusahan dalam kehidupan manusia. Apabila disipal-disipal menerima-Nya naik ke perahu mereka, dengan segera perahu itu sampai ke tempat yang hendak ditujui mereka (6:21). Inginkah kamu beroleh kehidupan yang damai sejahtera? Jika kamu ingin, kamu harus menerima Yesus ke dalam “perahu” kamu. Jika kamu menerima Kristus ke dalam perkahwinan kamu, perkahwinan kamu akan menjadi aman damai. Jika kamu menerima-Nya ke dalam keluarga kamu, keluarga kamu akan menjadi aman damai. Jika kamu menerima-Nya ke dalam kerjaya kamu, kerjaya kamu akan menjadi aman damai. Tanpa Kristus, dunia adalah lapar. Tanpa Kristus, dunia juga adalah gelisah. Akan tetapi, dengan adanya Kristus, kita beroleh kepuasan dan damai sejahtera. Dia ialah Kristus yang memberi makan dan Kristus yang memberi damai sejahtera. Puji Tuan! 

ROTI HAYAT

Makanan yang Kekal hingga Hayat Abadi

Tidak kira makanan jenis apa yang dicari oleh manusia, mereka semua sedang mencari kepuasan. Dalam ayat 32 hingga 71, kita melihat makanan yang kekal hingga hayat abadi. Jika kita membaca bahagian ini secara teliti, kita akan mendapati bahawa Tuan telah berinkarnat, disalibkan, bangkit untuk menghuni kita, dan naik ke syurga. Kita juga melihat bahawa Dia telah menjadi Roh beri-hayat dan akhirnya Roh ini dijasadkan dalam Sabda-Nya yang hidup. 

Datang kepada Manusia melalui Inkarnasi untuk Memberi Hayat kepada Manusia 

Dibunuh untuk Dimakan oleh Manusia

Dalam ayat 54, Tuan berkata, “Dia yang makan daging-Ku dan minum darah-Ku mempunyai hayat abadi, dan Aku akan membangkitkannya pada hari terakhir.” Di sini daging dan darah disebut secara berasingan. Apabila darah dipisahkan daripada daging, ini menunjukkan kematian. Justeru, di sini Tuan jelas menunjukkan kematian-Nya, iaitu dibunuh. Dia menyerahkan tubuh-Nya dan menumpahkan darah-Nya untuk kita agar kita dapat beroleh hayat abadi. Makan daging-Nya bererti menggunakan iktikad untuk menerima segala yang telah dilakukan-Nya melalui penyerahan tubuh-Nya untuk kita. Minum darah-Nya pula bererti menggunakan iktikad untuk menerima segala yang telah disempurnakan-Nya melalui penumpahan darah-Nya untuk kita. 

Bangkit untuk Menghuni Secara Dalaman

Ayat 56 mengimplikasikan kebangkitan. “Dia yang makan daging-Ku dan minum darah-Ku tinggal dalam Aku dan Aku dalamnya.” Hal ini menunjukkan bahawa Tuan perlu dibangkitkan supaya Dia dapat huni dalam kita untuk menjadi hayat dan bekalan hayat kita. Hanya selepas Dia bangkit, barulah Dia dapat huni dalam kita. Oleh itu, ayat 56 menunjukkan bahawa Dia akan dibangkitkan dan menjadi Roh yang menghuni secara dalaman. 

Naik ke Syurga

Kenaikan ke syurga menyusuli kebangkitan. Kenaikan ke syurga adalah bukti bahawa kerja penebusan-Nya telah sempurna (Ibr. 1:3). Tuan naik kepada Bapa dan Bapa menerima-Nya. Inilah bukti bahawa kerja-Nya di atas salib untuk menebus kita telah diperkenan oleh Bapa. 

Menjadi Roh beri-hayat

Apabila kita membaca Yohanes 20, kita akan melihat bahawa pada waktu malam hari kebangkitan-Nya, Dia datang kepada disipal-disipal-Nya dan menghembus ke dalam mereka, lalu berkata, “Terimalah Roh Kudus” (20:22). Itu adalah diri-Nya selepas kebangkitan kerana selepas Dia bangkit, Dia ditransfigur menjadi Roh itu. 

Apabila kita menerima Tuan Yesus, kita beroleh Roh yang memberi hayat. Kita dapat membuktikan hal ini melalui penyeruan nama Tuan Yesus. Apabila kita menyeru, “O Tuan Yesus,” kita menerima Roh itu. Kita menyeru Tuan Yesus, tetapi kita menerima Roh itu. Mengapa? Ini kerana Tuan Yesus hari ini ialah Roh itu. Di sini, kita perlu membaca Yohanes 14:26. “Tetapi Pelipur, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Bapa dalam nama-Ku, Dia akan mengajar kamu segala hal dan memperingatkan kamu tentang segala hal yang telah Kukatakan kepadamu.” Siapakah Roh itu? Roh itu ialah persona Yesus. Oleh yang demikian, kita mempunyai nama dan juga persona. Jalan yang terbaik untuk beroleh Roh itu ialah menyeru nama Tuan Yesus. Setiap kali kita menyeru, “O Tuan Yesus,” kita menerima persona ini dan persona ini ialah Roh itu. Setiap kali kita menyeru nama Tuan Yesus, kita mendapat Roh itu. Roh itu ialah persona Tuan Yesus yang dikasihi. 

Dijasadkan dalam Sabda Hayat 

Kristus yang merupakan roti hayat dijasadkan dalam Sabda hayat. Walaupun Roh itu sangat ajaib, namun Roh itu terlalu bermisteri. Kita memerlukan sesuatu yang padu, boleh dilihat, dan dapat disentuh—Sabda hayat. 

Sabda berada di luar kita. Apabila saya menerima Sabda ke dalam saya, Sabda serta-merta menjadi Roh. Apabila saya membicarakan Sabda, Roh menjadi Sabda sekali lagi. Apabila kamu menerima Sabda ke dalam kamu, Sabda menjadi Roh sekali lagi; apabila kamu membicarakan Sabda, Sabda menjadi Roh sekali lagi. Hal ini nampaknya sangat ajaib, apabila orang menerima Sabda, Sabda itu sebenarnya menjadi Roh dalam mereka. 

Apabila kita menerima Sabda dalam roh, kita sebenarnya menerima Kristus sendiri yang merupakan bekalan hayat yang kaya limpah. Kini, hari demi hari, kita berbahagian dalam Kristus yang ajaib dan terbangkit ini sebagai makanan, hayat, dan bekalan hayat kita. Dia ialah Roh yang memberi hayat dan Dia ialah Sabda hayat. 

Mesej 21: Keperluan Orang yang Lapar- Diberi Makan oleh Hayat
Mesej 23: Keperluan Orang Yang Haus- Kehausannya Dihilangkan Hayat (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)