Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 23: Keperluan Orang Yang Haus- Kehausannya Dihilangkan Hayat (1)
Mesej 22: Keperluan Orang Yang Lapar- Diberi Makan oleh Hayat (2)
Mesej 24: Keperluan Orang Yang Haus— Kehausannya Dihilangkan Hayat
Mesej 23: Keperluan Orang Yang Haus- Kehausannya Dihilangkan Hayat (1)
2022-03-12 | 0 Komen
A- A+ Simpan

KEPERLUAN ORANG YANG HAUS—KEHAUSANNYA DIHILANGKAN HAYAT

Ayat-ayat Bible: Yoh. 7:1-36

Kajian-hayat: Mesej 17

Petikan Bacaan:  

Sekarang dalam bab tujuh kita sampai ke kes keenam — keperluan orang yang haus. Kes ini berlawanan dengan kes kelima, iaitu keperluan orang yang lapar. Dalam kes sebelum ini Tuan jelas diwahikan sebagai roti hayat untuk memuaskan kelaparan kita, tetapi dalam kes ini Tuan membawa aliran air hidup untuk menghilangkan kehausan kita!

SENARIO PERAYAAN TABERNAKAL 

Berlawanan dengan Senario Perayaan Paskah dalam Bab Enam 

Kes keenam adalah kesinambungan kepada kes kelima kerana soal makanan berkaitan dengan air. Dalam senario kes kelima, terdapat perayaan Paskah. Dalam senario kes ini dalam bab tujuh, terdapat perayaan Tabernakal. Perayaan Paskah ialah perayaan pertama dalam perayaan tahunan orang Yahudi dan perayaan Tabernakal ialah perayaan terakhir (Im. 23:5, 34). Sebagai perayaan pertama dalam setahun, perayaan Paskah mengimplikasikan permulaan kehidupan manusia (bd. Kel. 12:2-3, 6) berkenaan manusia mencari kepuasan dan hasilnya ialah kelaparan. Sebagai perayaan terakhir dalam setahun, perayaan Tabernakal mengimplikasikan kelengkapan dan kejayaan kehidupan manusia (bd. Kel. 23:16) yang akan berakhir dan menghasilkan kehausan manusia. Dalam senario perayaan Paskah, Tuan mengatakan bahawa Dia ialah roti hayat yang memuaskan kelaparan manusia. Dalam senario perayaan Tabernakal, Tuan berjanji bahawa Dia akan mengalir keluar air hidup yang menghilangkan kehausan manusia.

Menandakan Kelengkapan dan Kejayaan dalam Seumur Hidup berserta Kenikmatannya dengan Cara yang Bersifat Agama 

Dalam Yohanes 6 terdapat permulaan hayat dan akibatnya ialah kelaparan; dalam Yohanes 7 terdapat kejayaan dan kelengkapan hayat, dan kesudahannya ialah kehausan. Kes yang sebelum ini memaparkan bahawa orang berjerih lelah, bekerja, dan bergelut untuk mencari sesuatu yang dapat memuaskan kelaparan mereka, tetapi mereka gagal memperolehnya. Kes ini memaparkan bahawa orang sudah memperoleh segala yang diperlukan mereka, tetapi mereka mendapati bahawa segala ini tidak dapat menghilangkan kehausan mereka. Mereka telah memperoleh segala-galanya; mereka telah menikmati segala-galanya. Namun segala kejayaan mereka, segala pencapaian mereka, bahkan segala hal yang berkait dengan perayaan mereka agama dan bait mereka—tidak dapat menghilangkan kehausan mereka. Oleh itu, dua kes ini membandingkan orang yang bekerja dengan orang yang berehat. Walau bagaimanapun, tidak kira kamu bekerja atau berehat, kamu tidak dapat memuaskan kelaparan kamu atau menghilangkan kehausan kamu. 

Namun begitu, Tuan ialah makanan bagi orang yang berjerih lelah dan Dia akan membekalkan air hidup kepada orang yang berehat. Sebenarnya, bangsa manusia hanya wujud dalam satu daripada dua keadaan. Yang satu ialah mereka mempunyai kekurangan, justeru mereka perlu mencari, bekerja, bergelut, dan berjerih lelah; yang satu lagi ialah mereka mempunyai segala-galanya, justeru mereka boleh bergirang dan menikmati kekayaan mereka. Dengan kata lain, pada mulanya kamu berasa bahawa kamu tidak mempunyai apa-apa, maka kamu harus bekerja dan berjerih lelah. Perayaan manakah yang sedang kamu raikan — perayaan Paskah atau perayaan Tabernakal? Tidak kira perayaan mana yang sedang kamu raikan, kamu masih lapar atau haus. Sama ada kamu miskin atau kaya, sama ada kamu dalam keadaan yang papa atau limpah, kamu akan menyedari bahawa kamu adalah lapar atau haus. 

Puji Tuan bahawa Kristus ialah roti hayat bagi orang yang berjerih lelah pada perayaan Paskah. Pendidikan di peringkat kolej sama sekali tidak dapat menjadi roti hayat. Hanya Tuan sendiri yang dapat menjadi kepuasan kita. Tambahan pula, hanya Kristus yang dapat menghilangkan kehausan untuk orang yang sedang berehat dan bergirang pada perayaan Tabernakal. Biarpun orang mempunyai segala-galanya, bijirin dan wain, mereka masih berasa haus di dalam. Mereka boleh bergirang dan menikmati hasil keluaran di tangan mereka, tetapi hanya Tuan yang mempunyai air hidup untuk menghilangkan kehausan mereka. 

Peringatan tentang Perlunya Tabernakal Abadi berserta Air Hayat yang Mengalir Dalamnya 

Tuhan menetapkan perayaan Tabernakal ini agar bani Israel memperingati bagaimana bapa-bapa leluhur mereka hidup di khemah semasa mereka berkelana di gurun tandus (Im. 23:39-43), menanti dengan harapan agar dapat masuk ke dalam rehat tanah permai. Justeru, perayaan ini juga merupakan suatu peringatan bahawa pada hari ini manusia masih berada di gurun tandus dan perlu masuk ke dalam rehat Yerusalem Baru, iaitu tabernakal abadi (Wahi 21:2-3). Abraham, Ishak, dan Yakub juga pernah tinggal di khemah dan menanti-nantikan tabernakal abadi ini (Ibr. 11:9-10). Dalam tabernakal ini, akan adanya “sungai air hayat, mengalir keluar dari takhta Tuhan dan Anak Domba” untuk menghilangkan kehausan manusia (Wahi 22:1, 17). Pada penghujung perayaan sedemikian, dengan latar belakang sedemikian, Kristus menyeru berkenaan janji sungai-sungai air hidup yang akan memuaskan harapan manusia hingga keabadian (Yoh. 7:37-39). 

Perayaan Tabernakal memperingatkan orang bahawa mereka memerlukan tabernakal abadi berserta sungai hayat yang mengalir dalamnya. Semua ini menandakan bahawa kehidupan manusia adalah di gurun tandus. Sama ada kamu pembuang sampah atau Presiden, buruh atau profesor, kamu sedang berkelana di gurun tandus. Sama ada kamu tinggal di rumah pangsa yang tinggi atau rumah batu, kamu sedang tinggal di khemah. Khemah melambangkan tempat tinggal yang sementara. Kita semua ialah musafir yang berkelana di gurun tandus, tinggal di khemah, dan perlu minum air hidup dari batuan. Ini memperingatkan kita bahawa satu hari nanti perayaan Tabernakal yang sebenar akan tiba. Itu akan berada di langit baru dan bumi baru; dalamnya terdapat Yerusalem Baru yang merupakan tabernakal abadi. Wahi 21:3 mengatakan bahawa Yerusalem Baru ialah tabernakal Tuhan bersama dengan manusia. Itu adalah tabernakal yang sebenar, kekal, dan abadi. Dalam tabernakal Yerusalem Baru, akan adanya sungai air yang mengalir secara berterusan untuk menghilangkan kehausan umat pilihan Tuhan.Kita sedang menjelajah ke arah matlamat akhir kita—tabernakal abadi Yerusalem Baru di langit baru dan bumi baru. Di sini kita tidak ada air yang benarbenar dapat menghilangkan kehausan; air itu hanya ada di Yerusalem Baru.

Mesej 22: Keperluan Orang Yang Lapar- Diberi Makan oleh Hayat (2)
Mesej 24: Keperluan Orang Yang Haus— Kehausannya Dihilangkan Hayat
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)