Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Roma Mesej 13: Pembelengguan Hukum Dalam Tubuh Daging Kita (2)
Mesej 12: Pembelengguan Hukum Dalam Tubuh Daging Kita (1)
Mesej 14: Pembebasan Roh Itu Dalam Roh Kita (1)
Mesej 13: Pembelengguan Hukum Dalam Tubuh Daging Kita (2)
2021-04-23 | 0 Komen
A- A+ Simpan

PEMBELENGGUAN HUKUM DALAM TUBUH DAGING KITA (2)

Ayat-ayat Bible: Roma 7:7-25

Kajian-hayat: Mesej 13

Bacaan Bible: 

Roma 7:22-23 Kerana menurut manusia dalaman, aku gemar akan hukum Tuhan, tetapi aku melihat satu hukum yang lain dalam anggota-anggotaku, berperang menentang hukum mindaku dan menjadikan aku tawanan kepada hukum dosa yang ada dalam anggota-anggotaku. 

Petikan Bacaan: 

Dalam mesej ini, kita akan mempertimbangkan tiga hukum yang diwahikan dalam 7:7-25. 

TIGA HUKUM

A. Hukum Tuhan

Hukum ini berada di luar kita atau kita boleh mengatakan bahawa hukum ini berada di atas kita. Hukum Tuhan ini mempunyai banyak permintaan dan tuntutan terhadap manusia yang jatuh supaya manusia ini didedahkan (ay. 7-11). 

B. Hukum Kebaikan 

Hukum Tuhan berada di atas kita, mengenakan tuntutan ke atas kita, sementara hukum kebaikan ada dalam minda kepunyaan sukma manusia (ay. 23,22). Setiap kali hukum Tuhan mengenakan tuntutan ke atas kita, hukum kebaikan dalam sukma kita akan memberi respons kepadanya. Jika hukum Tuhan berkata, “Hormatilah ibu bapamu,” hukum kebaikan dalam minda kita segera menjawab, “Amen! Aku akan melakukannya. Aku akan menghormati ibu bapaku.” Setiap kali hukum Tuhan mengenakan suatu tuntutan, hukum kebaikan dalam sukma kita akan memberi respons dan berjanji untuk melaksanakannya. 

C. Hukum Dosa (dan Maut)

Setiap kali hukum kebaikan memberi respons kepada hukum Tuhan dan cuba memenuhi tuntutan hukum Tuhan, hukum kejahatan dalam tubuh kita pun dirangsang. Jika kita membaca Roma 6 hingga 8 secara teliti, kita akan mendapati bahawa Roma 7 mengisahkan pengalaman Paulus sebelum dia diselamatkan. 

Mengapakah Paulus berasa perlu menghuraikan pengalamannya sebelum diselamatkan selepas Roma 6? Dia merangkumkan hal ini untuk membuktikan bahawa kita bukan lagi di bawah hukum. Seolah-olahnya Paulus berkata, “Pekudus sekalian, adakah kamu masih ingin berada di bawah hukum? Jika kamu masih ingin berada di bawah hukum, biar saya memberitahu kamu pengalaman yang pernah saya lalui. Hukum tidak akan memberi bantuan kepada kamu, sebaliknya hukum menipu kamu dan memberi peluang kepada dosa untuk bekerja pada kamu. Bahkan hukum membunuh kamu. Kamu tidak harus berhasrat untuk berada di bawah hukum lagi. Akan tetapi, bahkan jika kamu ingin berada di bawah hukum, kamu juga sama sekali tidak mampu mematuhinya.” Kemudian, Paulus menghuraikan cerita lengkap tentang pengalamannya sebelum dia diselamatkan. Catatan ini membuktikan bahawa kita tidak dapat mematuhi hukum dan juga menggalakkan kita supaya jangan cuba mematuhinya. 

Tuhan memberi kita hukum bukan dengan tujuan untuk membantu kita. Tujuan hukum ialah merangsang Syaitan agar menyusahkan kita. Tujuan Tuhan memberi kita hukum sebenarnya ialah mendedahkan hukum yang berdosa dalam kita. 

Walaupun manusia yang dicipta adalah baik, namun sifat Syaitan yang jahat telah disuntikkan ke dalam tubuhnya semasa dia makan buah daripada pohon pengetahuan. Prinsip Syaitan, iaitu faktor bagi setiap hal yang jahat, ialah hukum dosa. Dalam minda, kita mempunyai prinsip yang dicipta oleh Tuhan, iaitu hukum kebaikan. Dengan itu, jika kita memahami Roma 7 dengan secukupnya, kita akan mengetahui di mana kita berada dan apa yang kita miliki dalam diri kita. Sejurus selepas kita melihat gambaran ini, kita akan memuji Tuan kerana Dia tidak berniat agar kita mematuhi hukum-Nya.  

Soalan-soalan Kajian: 

1. Jelaskan tiga hukum yang terdapat dalam Roma 7:7-25. (Sila rujuk KH Roma, Mesej 13, ms. 169-182)

2. Mengapakah Paulus berasa perlu menghuraikan pengalamannya sebelum diselamatkan selepas Roma 6 dan apakah tujuan Tuhan memberi kita hukum? (Sila rujuk KH Roma, Mesej 13, m.s. 172-173) 


Mesej 12: Pembelengguan Hukum Dalam Tubuh Daging Kita (1)
Mesej 14: Pembebasan Roh Itu Dalam Roh Kita (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)