Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Injil Kisah Injil Kisah Injil 4: Melihat Yesus
Kisah Injil 3: Mukjizat Berjalan di Atas Laut
Kisah Injil 5: Seisi Keluarga Pengawal Penjara Diselamatkan
Kisah Injil 4: Melihat Yesus
2022-09-17 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Kisah Injil 4

MELIHAT YESUS

    Lukas 19:1-10 berkata, “Kemudian Yesus masuk ke Yerikho, dan ketika Dia sedang merentasi tempat itu, lihatlah, ada seorang yang bernama Zakheus; dia seorang ketua pemungut cukai dan dia kaya. Dan dia berikhtiar hendak melihat Yesus, siapakah Dia ini, namun tidak dapat disebabkan banyak orang, kerana tubuh badannya kecil. Maka dia berlari mendahului yang lain dan memanjat pohon sikamor agar dapat melihat-Nya, kerana Dia sudah hendak melewati jalan itu. Apabila Yesus tiba di tempat itu, Dia melihat ke atas dan berkata kepadanya, Zakheus, turunlah cepat, kerana hari ini Aku mesti tinggal di rumahmu. Maka turunlah dia tergesa-gesa dan menyambut Yesus dengan girang. Apabila orang banyak melihat hal ini, bersungut-sungutlah mereka semua dengan berkata, Dia telah masuk untuk menumpang dengan seorang yang berdosa. Dan Zakheus berdiri dan berkata kepada Tuan, Lihatlah Tuan, separuh daripada harta milikku akan kuberikan kepada yang miskin, dan jika aku telah mengambil apa-apa daripada sesiapa melalui dakwaan palsu, aku akan mengembalikannya empat kali ganda banyaknya. Yesus berkata kepadanya, Hari ini penyelamatan sudah sampai ke rumah ini, kerana dia juga seorang anak Abraham. Kerana Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan yang sesat.”

    Zakheus seorang ketua pemungut cukai dan dia kaya kerana berdosa, namun dia ingin melihat siapakah Yesus. Walaupun dia seorang yang kaya, namun di dalamnya terdapat satu keperluan, kedahagaan yang tidak dapat dipuaskan oleh duit yang banyak dan dia tidak beroleh rehat yang sebenar. Dia dipandang hina oleh orang Yahudi dan dipinggirkan oleh orang Farisi. Oleh itu, apabila Yesus memasuki Yerikho, dia ingin melihat Yesus, dia memerlukan Yesus.

    Akan tetapi, Zakheus pendek. Oleh itu, dia memilih untuk memanjat ke atas pohon sikamor untuk melihat Yesus. Bible tidak mengatakan bahawa dia telah melihat Tuan, tetapi Tuan telah melihatnya dan menyuruh dia turun, dan berjanji untuk tinggal di rumahnya. Tindakannya memanjat pohon telah menyebabkan Tuan melihatnya. Tuan tidak menyelamatkan orang yang tidak pedulikan-Nya, tetapi orang yang mendamba dan mencari-Nya. Atas sebab ini, Tuan melihat Zakheus, seorang pendosa, bahkan tinggal di rumahnya. 

    Setelah Zakheus diselamatkan, setelah dia menyentuh Tuan, dia berubah. Seumur hidupnya berubah. Dia membahagikan separuh daripada hartanya kepada orang miskin, mengembalikan empat kali ganda kepada mereka yang telah didakwanya. Dahulu, dia merasuah dan kedekut, dia menerima daripada memberi; sekarang, dia memberi dengan lebih banyak lagi. Inilah kerja penyelamatan Tuan. Penyelamatan Tuan yang melewatinya menyebabkan dia menanggulangi kewangannya dan membersihkan kehidupan lamanya yang berdosa. 

    Pembaca yang dikasihi, penyelamatan Tuan sebenarnya ialah Tuan sendiri. Tuan tinggal di rumah Zakheus, maka dia berkata, “Hari ini Aku mesti tinggal di rumahmu.” Tuan telah datang, penyelamatan datang, di mana Dia berada, di situlah penyelamatan. Tuan juga berkata, “Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan yang sesat.” Di sini kita melihat Zakheus bukan sahaja seorang pendosa, dia juga seorang yang sesat. Tuan penyelamat sengaja datang ke Yerikho, untuk mencari orang yang sesat. Begitu juga dengan hari ini, Tuan sengaja datang untuk mencari dan menyelamatkan kita yang merupakan pendosa yang sesat. Adakah kita dijumpai-Nya? Bukalah hati kita dan terimalah-Nya sebagai penyelamat kita.


Kisah Injil 3: Mukjizat Berjalan di Atas Laut
Kisah Injil 5: Seisi Keluarga Pengawal Penjara Diselamatkan
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)