Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian HUKUM HAYAT (Bahagian 4/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 3/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 5/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 4/11)
2020-09-11 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (136)

Nota Editor:

“Hayat Tuhan yang kita terima pada waktu kita dilahirukan hanyalah lengkap dari segi organik. Jika kita menginginkan hayat ini lengkap dari segi kematangan, maka ia juga perlu bertumbuh secara beransur-ansur dan matang dalam setiap bahagian seluruh diri kita. Pertumbuhan dan pematangan bagi hayat ini berlaku menerusi operasi hukum hayat dalam setiap bahagian seluruh diri kita. Ini mewahikan bahawa tempat operasi hukum hayat ialah setiap bahagian seluruh diri kita. Inilah ‘bahagian dalaman’ kita yang disebut dalam Yeremia 31:33.”

“Kita telah melihat bahawa tempat hukum hayat beroperasi ialah pelbagai bahagian dalaman kita. Daripada pelbagai bahagian ini, hati ialah bahagian yang terutama. Ini kerana hati merupakan komposit bagi bahagian-bahagian dalaman manusia, dan merupakan wakil utama bagi manusia.” 

“Jika hayat ingin masuk ke dalam roh, maka ia perlu melewati hati; jika hayat ingin keluar dari roh, ia juga perlu melewati hati. Oleh yang demikian, hati ialah laluan yang mesti dilewati hayat, dan ia juga boleh dikatakan sebagai pintu masuk dan pintu keluar bagi hayat.”

HUKUM HAYAT
(Bahagian 4/11)

(Pengetahuan Hayat, Bab 10)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Yer. 31:33 “Tetapi inilah waadah yang akan Aku dirikan dengan kaum Israel selepas hari-hari itu, isytihar Yehova: Aku akan meletakkan hukum-Ku ke dalam bahagian dalaman mereka dan menulisnya pada hati mereka; Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.”

Roma 8:2 “Kerana hukum Roh hayat telah membebaskan aku dalam Kristus Yesus daripada hukum dosa dan maut.”

IV. TEMPAT HUKUM HAYAT 

A. Tempat Operasi bagi Hukum Hayat 

Hayat yang daripadanya hukum hayat berasal ialah hayat Tuhan. Sewaktu kita dilahirukan dan mula-mula menerima hayat ini, meskipun hayat dalam kita ini lengkap dari segi organik, tetapi ia masih belum bertumbuh dan matang dalam setiap bahagian seluruh diri kita. Ini sama seperti buah yang dihasilkan pada sebatang pohon. Walaupun hayat bagi buah ini sewaktu ia mula-mula dihasilkan adalah lengkap, tetapi ia hanya lengkap dari segi organik. Demi menjadi lengkap dalam setiap bahagian, ia harus tunggu hingga ia bertumbuh dan matang. Begitu juga, hayat Tuhan yang kita terima pada waktu kita dilahirukan hanyalah lengkap dari segi organik. Jika kita menginginkan hayat ini lengkap dari segi kematangan, maka ia juga perlu bertumbuh secara beransur-ansur dan matang dalam setiap bahagian seluruh diri kita. Pertumbuhan dan pematangan bagi hayat ini berlaku menerusi operasi hukum hayat dalam setiap bahagian seluruh diri kita. Ini mewahikan bahawa tempat operasi hukum hayat ialah setiap bahagian seluruh diri kita. Inilah “bahagian dalaman” kita yang disebut dalam Yeremia 31:33. 

B. Bahagian Dalaman dan Hukum 

Apakah itu bahagian dalaman kita? Ia terdiri daripada bahagian-bahagian bagi roh, sukma, dan hati kita. Hati ini bukan hati biologi tetapi hati psikologi. Dalam kita sebagai manusia, roh dan sukma ialah bahagian yang berdikari, tetapi hati terdiri daripada beberapa bahagian. Menurut catatan dalam Bible, hati sekurang-kurangnya mengandungi:

1. Minda. Misalnya: “memikirkan hal-hal jahat dalam hatimu” (Mat. 9:4), dan “pemikiran hati” (Ibr. 4:12).

2. Tekad. Misalnya: “bertekad hati” (Kis. 11:23), dan “niat hati” (Ibr. 4:12).

3. Emosi. Misalnya: “Jangan biarkan hatimu terganggu” (Yoh. 14:1), dan “hatimu akan girang” (Yoh. 16:22).

4. Zimah. Misalnya: “hati...zimah jahat” (Ibr. 10:22), dan “jika hati kita menyalahkan” (1 Yoh. 3:20).

Semua rujukan ini menunjukkan bahawa hati mengandungi minda, tekad, dan emosi yang merupakan tiga bahagian daripada sukma, dan zimah yang merupakan satu bahagian daripada roh. Hati mempunyai bahagian-bahagian ini sebagai komponennya. Oleh yang demikian, hati bukan sahaja terdiri daripada satu komponen daripada roh dan semua komponen sukma, tetapi ia sebenarnya menghubungkan roh dan sukma bersama-sama. 

Antara pelbagai bahagian dalam kita, bahagian intuisi dan persekutuan dalam roh adalah lebih berhubung kait dengan Tuhan dan untuk Tuhan; bahagian zimah dalam roh pula, dengan keupayaan untuk membezakan betul dan salah, adalah lebih berhubung kait dengan manusia dan untuk manusia. Minda, tekad, dan emosi dalam sukma, iaitu tempat terletaknya personaliti manusia, juga adalah untuk manusia dan berhubung kait dengan manusia. Oleh sebab hati mengandungi minda, emosi, tekad, dan zimah, maka hati secara keseluruhannya lebih dapat mewakili manusia berbanding dengan roh dan sukma, dan boleh dikatakan bahawa hati ialah wakil utama bagi manusia. 

Hukum hayat dalam kita beroperasi secara berterusan dalam pelbagai bahagian ini. Sampai ke bahagian mana ia bekerja, ia pun menjadi hukum bahagian itu. Apabila ia beroperasi sampai ke minda, ia menjadi hukum minda. Apabila ia beroperasi sampai ke tekad, ia menjadi hukum tekad. Apabila ia beroperasi sampai ke emosi, ia menjadi hukum emosi. Apabila ia beroperasi sampai ke zimah, ia menjadi hukum zimah. Dengan cara ini, ia menjadi satu hukum bagi setiap bahagian dalaman kita. Oleh itu, Ibrani 8:10 dan 10:16 menggelar hukum ini sebagai “hukum-hukum”. “Hukum-hukum” ini sebenarnya merupakan satu hukum dalaman, iaitu hukum hayat, atau apa yang diperkatakan Tuhan sebagai “hukum” dalam Yeremia 31:33; tetapi hukum ini diletakkan ke dalam pelbagai “bahagian” dalam kita. 

Dalam buku Yeremia, hukum hayat ini digelar sebagai “hukum”, dan dalam buku Ibrani pula, ia digelar sebagai “hukum-hukum” — yang satu adalah mufrad, dan yang satu lagi adalah jamak. Ini kerana apabila berbicara tentang hukum itu sendiri, hanya terdapat satu, dengan itu ia adalah mufrad. Namun apabila berbicara tentang kesan operasi hukum ini, ia menyatakan kebolehan dan fungsinya dalam pelbagai bahagian bagi seluruh diri kita, maka ia menjadi pelbagai hukum, dengan itu ia adalah jamak. Sama ada Yeremia menggelar hukum ini sebagai hukum mufrad atau Ibrani menggelar hukum ini sebagai hukum jamak, kedua-dua ini sebenarnya merujuk kepada satu hukum ini. 

C. Hubungan antara Hati dengan Hukum Hayat 

Kita telah melihat bahawa tempat hukum hayat beroperasi ialah pelbagai bahagian dalaman kita. Daripada pelbagai bahagian ini, hati ialah bahagian yang terutama. Ini kerana hati merupakan komposit bagi bahagian-bahagian dalaman manusia, dan merupakan wakil utama bagi manusia. Oleh itu, hati sangat berkait rapat dengan hukum hayat yang beroperasi dalam pelbagai bahagian dalaman kita lalu menjadi pelbagai hukum. Atas sebab ini, kita akan membicarakan keadaan hati kita secara terperinci. 

1. Hati ialah Pintu Masuk dan Pintu Keluar bagi Hayat 

Kita telah menyebut bahawa hati menghubungkan roh dan sukma; oleh itu, hati berada di antara roh dan sukma. Jika hayat ingin masuk ke dalam roh, maka ia perlu melewati hati; jika hayat ingin keluar dari roh, ia juga perlu melewati hati. Oleh yang demikian, hati ialah laluan yang mesti dilewati hayat, dan ia juga boleh dikatakan sebagai pintu masuk dan pintu keluar bagi hayat. Contohnya, ketika seseorang mendengar Injil Tuan lalu merasakan keperitan disebabkan dosa atau merasakan kemanisan kasih Tuhan, emosi bagi hatinya pun tersentuh, zimahnya berduka, mindanya bertaubat, dan tekadnya berazam hendak percaya. Lantaran itu, hatinya terbuka kepada Tuan lalu menerima penyelamatan, dan hayat Tuhan pun masuk ke dalam rohnya. Sebaliknya, jika hatinya tidak bersetuju dan tidak terbuka, maka tidak kira bagaimana kamu menginjil kepadanya, hayat Tuhan tidak ada jalan untuk masuk ke dalam rohnya. Atas sebab inilah penginjil British yang agung, Encik Spurgeon, pernah mengatakan bahawa demi menggerakkan roh manusia, seseorang perlu menggerakkan hati manusia. Pernyataan ini memang benar; hanya apabila hati tergerak, barulah roh dapat menerima hayat Tuhan. 

Begitu juga, selepas manusia diselamatkan, jika hayat Tuhan ingin keluar daripada dia, maka ia perlu melewati hati dan mendapat kerjasama hati. Apabila hati bersetuju, hayat pun dapat melewatinya. Apabila hati tidak bersetuju, hayat tidak dapat melewatinya. Kadangkala hati bersetuju sebahagian sahaja. Mungkin hanya zimah yang bersetuju, dan bahagian-bahagian yang lain pula tidak bersetuju. Atau mungkin bahagian minda bersetuju, sedangkan bahagian emosi tidak bersetuju. Lantaran itu, hayat masih tidak dapat melewatinya. Oleh yang demikian, hati benar-benar merupakan pintu masuk dan pintu keluar bagi hayat. Sebagaimana penerimaan hayat bermula dengan hati, begitu juga kehidupan hayat bermula dengan hati. (bersambung...)

HUKUM HAYAT (Bahagian 3/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 5/11)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)