Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian HUKUM HAYAT (Bahagian 3/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 2/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 4/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 3/11)
2020-09-10 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (135)

Nota Editor:

“Hayat Tuhan ialah hayat yang tertinggi, hayat yang melangkaui segala-galanya, dengan itu ciri-ciri dan kebolehan bagi hayat ini semestinya paling tinggi dan melangkaui segala-galanya. Memandangkan ciri-ciri dan kebolehan yang tertinggi dan melangkau ini membentuk hukum hayat Tuhan, maka hukum ini secara semula jadi adalah paling tinggi dan melangkau.”

“Pada zaman Wasiat Baru, ketika Tuhan melahirukan kita menerusi Roh Kudus, Dia meletakkan hayat-Nya sendiri, bersama-sama dengan hukum hayat, ke dalam kita. Hukum hayat ini merupakan satu hukum dalaman yang diberikan Tuhan secara istimewa kepada kita pada zaman Wasiat Baru. Ini menggenapi janji Tuhan yang tertulis dalam Wasiat Lama, ‘Aku akan meletakkan hukum-Ku ke dalam bahagian dalaman mereka’ (Yer. 31:33).”

“Hukum hayat ini berasal daripada hayat Tuhan dan kepunyaan hayat Tuhan; oleh itu, menurut sifatnya, ia merupakan satu hukum hayat, maka ia boleh membekali manusia. Ia bukan seperti hukum Wasiat Lama yang kepunyaan huruf dan merupakan hukum hurufiah, yang hanya menuntut tetapi tidak dapat membekali manusia. Hukum hayat dalam kita ini, iaitu ciri-ciri dan kebolehan semula jadi bagi hayat Tuhan, secara semula jadi dapat mengawal tertib semua kandungan dalam hayat Tuhan itu butir demi butir. Hasil mengawal tertib ini betul-betul memenuhi tuntutan bagi hukum Tuhan di luar.”

HUKUM HAYAT
(Bahagian 3/11)

(Pengetahuan Hayat, Bab 10)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Yer. 31:33 “Tetapi inilah waadah yang akan Aku dirikan dengan kaum Israel selepas hari-hari itu, isytihar Yehova: Aku akan meletakkan hukum-Ku ke dalam bahagian dalaman mereka dan menulisnya pada hati mereka; Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.”

Roma 8:2 “Kerana hukum Roh hayat telah membebaskan aku dalam Kristus Yesus daripada hukum dosa dan maut.”

III. MAKNA HUKUM HAYAT 

Jika kita ingin mengetahui makna hukum hayat, maka kita harus mengetahui apa itu hukum. Hukum ialah satu penetapan semula jadi, satu peraturan yang tetap tidak berubah. Satu hukum tidak semestinya berasal daripada satu hayat, tetapi satu hayat pasti diiringi satu hukum. Hukum yang mengiringi hayat ini dipanggil hukum hayat. Hukum hayat ini juga merupakan sejenis ciri semula jadi, sejenis fungsi semula jadi bagi satu hayat yang tertentu. Contohnya, kucing boleh menangkap tikus, dan anjing boleh menjaga malam; atau telinga kita boleh mendengar, hidung kita boleh menghidu, lidah kita boleh merasa, dan perut kita boleh menghadam. Semua kebolehan ini ialah ciri semula jadi dan fungsi semula jadi bagi sejenis hayat. Asalkan sesuatu hayat itu wujud dan bebas, ia secara semula jadi dapat memperkembangkan ciri-cirinya dan menyatakan kebolehannya. Ini tidak memerlukan ajaran atau desakan manusia; sebaliknya, ia berkembang dengan amat semula jadi tanpa sedikit paksaan pun. Ciri-ciri semula jadi dan kebolehan semula jadi dalam suatu hayat ini membentuk hukum bagi hayat itu. 

Hayat Tuhan ialah hayat yang tertinggi, hayat yang melangkaui segala-galanya, dengan itu ciri-ciri dan kebolehan bagi hayat ini semestinya paling tinggi dan melangkaui segala-galanya. Memandangkan ciri-ciri dan kebolehan yang tertinggi dan melangkau ini membentuk hukum hayat Tuhan, maka hukum ini secara semula jadi adalah paling tinggi dan melangkau. Oleh sebab kita telah menerima hayat Tuhan melalui kelahiruan, maka daripada hayat Tuhan ini, kita secara semula jadi telah menerima hukum yang paling tinggi dan melangkau bagi hayat ini. 

Dalam bab pertama, Apa itu Hayat?, kita telah mengatakan bahawa hanya hayat Tuhan yang merupakan hayat; oleh itu, hukum hayat yang kita bicarakan sekarang merujuk terutamanya kepada hukum hayat Tuhan. 

Hukum hayat diberikan Tuhan secara istimewa kepada kita di bawah Waadah Baru. Hukum ini sangat berbeza daripada hukum yang diberikan Tuhan di Gunung Sinai. Pada zaman Wasiat Lama, Tuhan memberi hukum yang tertulis pada loh-loh batu di luar tubuh manusia. Hukum itu hukum luaran, hukum hurufiah. Ia membuat tuntutan, satu perintah demi satu perintah, pada manusia secara luaran berkenaan apa yang harus dibuat oleh manusia dan apa yang tidak harus dibuat oleh manusia. Akan tetapi, hukum ini tidak berkesan langsung dan tidak ada seorang pun yang dapat mematuhinya. Meskipun hukum itu baik, namun manusia adalah jahat dan mati, serta tidak mempunyai kudrat hayat untuk memenuhi tuntutan hukum itu. Sebaliknya, dia jatuh ke bawah pengutukan hukum itu. Roma 8:3 menyebut tentang hal ini, dengan berkata, “Kerana apa yang tidak dapat dilakukan hukum, disebabkan hukum lemah menerusi tubuh daging…” 

Pada zaman Wasiat Baru, ketika Tuhan melahirukan kita menerusi Roh Kudus, Dia meletakkan hayat-Nya sendiri, bersama-sama dengan hukum hayat, ke dalam kita. Hukum hayat ini merupakan satu hukum dalaman yang diberikan Tuhan secara istimewa kepada kita pada zaman Wasiat Baru. Ini menggenapi janji Tuhan yang tertulis dalam Wasiat Lama, “Aku akan meletakkan hukum-Ku ke dalam bahagian dalaman mereka” (Yer. 31:33).

Hukum hayat ini diletakkan dalam kita; oleh itu, menurut lokasinya, ia merupakan satu hukum dalaman, tidak seperti hukum Wasiat Lama yang hanya berada di luar manusia dan merupakan hukum luaran. Tambahan pula, hukum hayat ini berasal daripada hayat Tuhan dan kepunyaan hayat Tuhan; oleh itu, menurut sifatnya, ia merupakan satu hukum hayat, maka ia boleh membekali manusia. Ia bukan seperti hukum Wasiat Lama yang kepunyaan huruf dan merupakan hukum hurufiah, yang hanya menuntut tetapi tidak dapat membekali manusia. Hukum hayat dalam kita ini, iaitu ciri-ciri dan kebolehan semula jadi bagi hayat Tuhan, secara semula jadi dapat mengawal tertib semua kandungan dalam hayat Tuhan itu butir demi butir. Hasil mengawal tertib ini betul-betul memenuhi tuntutan bagi hukum Tuhan di luar. 

Di sini kita boleh menggunakan dua contoh untuk menerangkan keadaan hukum hayat ini berfungsi. Pertimbangkan sebatang pohon pic yang sudah layu. Katakan kita menetapkan beberapa hukum dan membuat tuntutan terhadapnya: “Kamu harus menumbuhkan daun hijau, memekarkan bunga merah, dan menghasilkan buah pic.” Kita mengetahui bahawa tuntutan sedemikian, meskipun dibuat dari awal tahun hingga akhir tahun, adalah tidak berguna dan sia-sia belaka kerana pohon itu sudah layu dan tidak mempunyai kudrat hayat untuk memenuhi tuntutan daripada hukum luaran ini. Akan tetapi, jika kita dapat menyalurkan hayat ke dalamnya dan membuat ia hidup semula, biarpun kita tidak menuntut apa-apa daripadanya di luar, hayat itu akan mempunyai sejenis kebolehan semula jadi yang membolehkan pokok itu berdaun, berbunga, dan berbuah mengikut musim, dan bukan sahaja memenuhi, malah melangkaui tuntutan hukum luaran tersebut. Inilah fungsi hukum hayat.

Katakan sekarang kita membuat tuntutan ke atas seorang yang sudah mati, dengan berkata, “Kamu harus bernafas, kamu harus makan, kamu harus tidur, kamu harus bergerak.” Kita mengetahui bahawa tuntutan bagi hukum-hukum sedemikian ke atas orang mati ini tidak berkesan langsung; tidak ada satu pun daripada tuntutan itu yang dapat dipenuhi. Namun jika kita dapat meletakkan hayat kebangkitan ke dalamnya dan membuat dia hidup semula, dia akan bernafas, makan, tidur, dan bergerak dengan sangat semula jadi. Ini juga disebabkan oleh fungsi hukum hayat. 

Daripada dua contoh ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa seluruh kehidupan rohani kita di hadapan Tuhan tidak dapat disempurnakan dengan usaha kita sendiri, dan juga tidak dapat dicapai melalui pembaikan diri secara gigih; sebaliknya, hal ini merupakan tanggungjawab hayat Tuhan yang telah kita terima ke dalam kita. Hayat Tuhan berserta hukum hayat ini huni dalam roh kita; jika kita hidup dan bertindak menurut hukum hayat ini dalam roh kita, maka hukum hayat ini secara semula jadi dapat mengawal tertib segala kandungan dalam hayat Tuhan dari dalam kita, butir demi butir. Keadaan ini betul-betul sepadan dengan tuntutan hukum Tuhan di luar, malah melangkauinya tanpa apa-apa kekurangan. Roma 8:4 berbicara tentang hal ini: “Supaya tuntutan adilbenar hukum dapat digenapi dalam kita yang tidak bergerak-hidup menurut tubuh daging tetapi menurut roh.”

Hukum hayat yang tertulis pada loh hati dalam kita ini digelar sebagai “hukum Roh hayat” dalam Roma 8:2. Ini bermaksud bahawa hukum ini bukan sahaja berasal daripada hayat Tuhan dan kepunyaan hayat Tuhan, tetapi juga bergantung pada Roh Tuhan dan kepunyaan Roh Tuhan. Hal ini kerana hayat Tuhan bersandar pada Roh Tuhan, dan Roh Tuhan juga boleh dikatakan ialah hayat Tuhan. Apabila kita memperkatakan hayat Tuhan, yang ditekankan ialah apa yang merupakan hayat Tuhan sendiri; apabila kita memperkatakan Roh Tuhan, yang ditekankan ialah pelaksana hayat Tuhan. Dengan kata lain, hayat Tuhan bukanlah satu persona, tetapi Roh Tuhan ialah satu persona. Hayat yang bukan persona ini kepunyaan Roh yang merupakan persona, dan tidak dapat dipisahkan daripada Roh yang merupakan persona. Roh yang merupakan persona ini membawa hayat Tuhan ke dalam kita; dan hayat ini pula disertai satu hukum, iaitu hukum hayat, atau hukum Roh hayat yang dikatakan di sini. Hukum ini mempunyai hayat abadi Tuhan sebagai sumbernya, dan juga mempunyai Roh Tuhan, yang merupakan persona yang amat berkudrat, sebagai pelaksananya. Dengan itu, hukum Roh hayat ini mempunyai kudrat yang abadi dan tidak terbatas untuk memenuhi tuntutan Tuhan yang tidak terbatas itu. 

Oleh yang demikian, kita telah melihat bahawa hukum Wasiat Lama ialah hukum hurufiah yang tertulis pada loh-loh batu. Walaupun hukum ini membuat banyak tuntutan ke atas manusia, tetapi semuanya tidak berkesan sama sekali. Hukum Wasiat Baru pula ialah hukum hayat yang tertulis pada loh hati kita. Sungguhpun ia tidak membuat apa-apa tuntutan ke atas kita, namun pada akhirnya ia secara semula jadi dapat mengawal tertib segala kekayaan Tuhan daripada kita, dengan itu membuat kita lebih daripada sekadar memenuhi semua tuntutan Tuhan. Sungguh ajaib dan sungguh mulia! Inilah kurnia utama yang diberikan Tuhan kepada kita dalam Waadah Baru! Kita harus bersyukur dan memuji-Nya! (bersambung...)

HUKUM HAYAT (Bahagian 2/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 4/11)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)