Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian HUKUM HAYAT (Bahagian 11/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 10/11)
Bacaan Harian untuk Para Pekudus (144)
HUKUM HAYAT (Bahagian 11/11)
2020-09-18 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (143)

Nota Editor:

“Kita haruslah jelas bahawa apabila kita menyembah Tuhan dan membenarkan Tuhan menjadi Tuhan, kita tidak harus berbuat demikian menurut doktrin atau hukum-hukum hurufiah, sebaliknya kita harus melakukan hal ini dalam hayat Tuhan atau dalam hukum hayat Tuhan...Mengapakah Tuhan harus menjadi Tuhan kita dalam hukum hayat-Nya, dan kita juga harus menjadi umat-Nya dalam hukum hayat-Nya? Ini kerana hubungan kita dengan Tuhan seharusnya hidup. Apabila hayat-Nya beroperasi dan mengawal tertib dalam kita, hukum hayat-Nya membawa Dia kepada kita dan membawa kita kepada-Nya. Dalam operasi hukum hayat inilah kita dapat memperoleh Dia dan Dia dapat memperoleh kita.” 

“Setelah melihat butir-butir utama bagi setiap aspek hukum hayat, kita tahu betapa pentingnya hukum hayat ini kepada pengalaman hayat rohani kita. Oleh itu, berkenaan setiap butir utama bagi subjek ini, kita harus mengenalinya dengan jelas dan memahaminya secara menyeluruh. Dengan itu, barulah kita dapat mempunyai pengalaman yang sejati dalam hayat.”

HUKUM HAYAT
(Bahagian 11/11)

(Pengetahuan Hayat, Bab 10)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Ibr. 8:10 “Kerana inilah waadah yang akan Kuwaadkan dengan kaum Israel selepas hari-hari itu, sabda Tuan: Aku akan menaruh hukum-hukum-Ku ke dalam minda mereka, dan akan menulis hukum-hukum ini pada hati mereka; Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.”

IX. TUHAN INGIN MENJADI TUHAN DALAM HUKUM HAYAT (samb.)

C. Tuhan Ingin Menjadi Tuhan dalam Hukum Hayat 

Tuhan ialah Bapa kita kerana kita mempunyai hayat-Nya. Memandangkan hayat-Nya telah masuk ke dalam kita, maka hayat-Nya juga membawa hukum hayat ini ke dalam kita. Apabila hukum ini beroperasi, ia mengawal tertib Tuhan sendiri daripada kita. Oleh itu, Tuhan ingin menjadi Tuhan kita dalam hukum hayat ini. 

Kita harus mengetahui bahawa hari ini Tuhan bukan menjadi Tuhan kita secara objektif, sebagai Tuhan yang tinggi di atas dan di luar kita, tetapi Dia menjadi Tuhan kita di dalam kita dan dalam hayat-Nya. Ini bermaksud bahawa semasa hukum hayat-Nya mengawal tertib kita di dalam, Dia menjadi Tuhan kita dalam hukum hayat-Nya ini.

Sesungguhnya orang Islam menyembah Tuhan di syurga; penganut agama Yahudi lebih-lebih lagi menyembah Tuhan di syurga. Namun mereka hanya menyembah satu Tuhan yang objektif, satu Tuhan yang tinggi melangkaui segala-galanya; mereka tidak membenarkan Tuhan menjadi Tuhan mereka di dalam mereka. Bahkan dalam kalangan orang Kristian hari ini, banyak yang hanya menyembah Tuhan yang objektif dan tinggi di atas. Mereka hanya menyembah Tuhan yang di luar mereka menurut sesetengah ajaran atau peraturan hurufiah di luar. Mereka tidak membenarkan Tuhan menjadi Tuhan yang hidup kepada mereka dalam hayat yang berada dalam mereka. Akan tetapi, kita haruslah jelas bahawa apabila kita menyembah Tuhan dan membenarkan Tuhan menjadi Tuhan, kita tidak harus berbuat demikian menurut doktrin atau hukum-hukum hurufiah, sebaliknya kita harus melakukan hal ini dalam hayat Tuhan atau dalam hukum hayat Tuhan. Hukum ini ialah fungsi yang dinyatakan oleh hayat Tuhan. Apabila hukum hayat Tuhan ini mengawal tertib dalam kita, atau apabila Tuhan beroperasi dalam kita, Tuhan menjadi Tuhan kita dalam hukum ini, iaitu dalam operasi-Nya ini. 

Hari ini apabila kita melayan Tuhan, kita harus melayan-Nya dalam hukum hayat ini, dalam operasi-Nya ini. Bila-bila sahaja kita membenarkan hayat-Nya beroperasi dalam kita dan hukum hayat-Nya mengawal tertib dalam kita, pelayanan kita ialah pelayanan hayat, pelayanan rohani, atau pelayanan yang hidup. Apabila kita membenarkan Tuhan menjadi Tuhan kita dengan sedemikian dalam hukum hayat-Nya, Tuhan yang kita sembah ini bukanlah satu Tuhan dalam doktrin atau imaginasi, tetapi Tuhan yang hidup, Tuhan yang praktikal, Tuhan yang boleh disentuh. Dalam pengalaman hayat kita, dalam kehidupan harian kita, dan dalam aktiviti kerja kita, memang terdapat Tuhan yang hidup, yang boleh disentuh dan yang boleh ditemui untuk menjadi Tuhan kita. Dia bukan menjadi Tuhan kita dari segi kepercayaan, dan Dia juga bukan menjadi Tuhan kita dalam peraturan; tetapi Dia menjadi Tuhan kita dalam hukum hayat yang hidup, dalam fungsi hayat yang hidup. 

Namun kadangkala, disebabkan sesetengah masalah dalam hati kita, kita tidak mengasihi-Nya mahupun membenarkan hukum hayat-Nya mengawal tertib kita. Pada masa ini, meskipun kita mempunyai Tuhan, tetapi Tuhan menjadi Tuhan dalam doktrin atau kepercayaan. Apabila kita memulihkan kasih kita terhadap-Nya dan sekali lagi membenarkan Dia mengawal tertib dalam kita dengan memutarkan roda hayat-Nya, maka fungsi roda hayat-Nya sekali lagi ternyata, dan hukum hayat-Nya sekali lagi melakukan kerjanya secara berterusan untuk memutar dan mengawal tertib dalam kita. Pada masa ini, Dia sekali lagi menjadi Tuhan kita secara praktikal; Dia bukan sekadar satu nama ataupun doktrin tetapi Tuhan yang hidup.

Oleh itu, kita harus meletakkan diri kita di tangan Tuhan, membiarkan hukum hayat Tuhan mengawal tertib kita; dengan itu, barulah kita benar-benar mempunyai Tuhan sebagai Tuhan kita. Bila-bila masa kita tidak membenarkan hukum hayat ini mengawal tertib kita, Tuhan tidak dapat menjadi Tuhan kita, dan kita tidak dapat menjadi umat-Nya. Untuk membolehkan Dia menjadi Tuhan kita secara praktikal dan untuk membolehkan kita menjadi umat-Nya secara praktikal, kita harus membenarkan hukum hayat-Nya mengawal tertib kita dan membenarkan Dia menjadi Tuhan kita dalam hukum hayat-Nya. 

Mengapakah Tuhan harus menjadi Tuhan kita dalam hukum hayat-Nya, dan kita juga harus menjadi umat-Nya dalam hukum hayat-Nya? Ini kerana hubungan kita dengan Tuhan seharusnya hidup. Apabila hayat-Nya beroperasi dan mengawal tertib dalam kita, hukum hayat-Nya membawa Dia kepada kita dan membawa kita kepada-Nya. Dalam operasi hukum hayat inilah kita dapat memperoleh Dia dan Dia dapat memperoleh kita. Bila-bila sahaja hukum hayat-Nya dalam kita berhenti mengawal tertib, hubungan hidup bagi Dia menjadi Tuhan kita dan kita menjadi umat-Nya juga berhenti. Oleh itu, kita harus membenarkan hukum hayat Tuhan mengawal tertib kita; dengan itu barulah kita dapat mempunyai Tuhan sebagai Tuhan kita dan kita menjadi umat-Nya dengan cara yang ternyata hidup. 

Oleh yang demikian, kita dapat melihat dengan jelas bahawa soal berkenaan Tuhan menjadi Tuhan kepada manusia dalam Wasiat Lama dan dalam Wasiat Baru amatlah berbeza. Dalam Wasiat Lama, Tuhan ialah Tuhan kepada umat Israel di atas takhta-Nya yang tinggi melangkaui segala, dan menurut peraturan hukum. Dia juga mahu umat Israel menjadi umat-Nya menurut peraturan-peraturan ini. Dengan demikian, asalkan mereka mematuhi peraturan-peraturan ini, mereka tidak ada masalah di hadapan Tuhan. Namun dalam Wasiat Baru, Tuhan masuk ke dalam kita untuk menjadi hayat kita, dan dalam hukum hayat inilah Dia menjadi Tuhan kita dan kita menjadi umat-Nya. Oleh sebab itu, kita perlu hidup melalui hukum hayat ini. 

X. KESIMPULAN

Setelah melihat butir-butir utama bagi setiap aspek hukum hayat, kita tahu betapa pentingnya hukum hayat ini kepada pengalaman hayat rohani kita. Oleh itu, berkenaan setiap butir utama bagi subjek ini, kita harus mengenalinya dengan jelas dan memahaminya secara menyeluruh. Dengan itu, barulah kita dapat mempunyai pengalaman yang sejati dalam hayat. Oleh yang demikian, kita tidak takut berulang untuk menyimpulkan butir-butir utama ini sekali lagi supaya kita mempunyai suatu tanggapan yang mendalam.

Sewaktu kita dilahirukan, kita menerima hayat Tuhan. Pada masa ini, meskipun kita mempunyai hayat Tuhan dalam kita, tetapi hayat ini hanya lengkap dari segi organik, tetapi masih belum lengkap dari segi pertumbuhan dan kematangan. Atas sebab ini kita perlu membenarkan kudrat hayat ini beroperasi dalam kita secara berterusan dan tidak henti-henti supaya mencapai matlamat-Nya yang sempurna berkenaan pertumbuhan dan kematangan. Operasi hayat ini berasal daripada fungsi semula jadi dan ciri-ciri hayat ini, iaitu berasal daripada hukum hayat ini. 

Sekiranya hukum hayat ini ingin mengawal tertib isi kandungan hayat ini daripada kita, maka ia harus melewati hati kita; dengan itu, operasi hukum hayat dalam kita ini memerlukan kerjasama hati kita. Sebaik sahaja hati kita bekerjasama, hukum hayat ini pun mempunyai peluang untuk mengawal tertib dalam kita secara bebas. Hasilnya, ia menyebabkan kita mempunyai perasaan yang tertentu di dalam. Apabila kita mempunyai perasaan ini, kita harus mematuhinya melalui kudrat hayat ini. Bila-bila masa kita patuh, kita membiarkan hukum ini mempunyai satu peluang lagi untuk mengawal tertib kita, dan dengan itu memberi kita suatu perasaan lagi agar kita patuh dengan selanjutnya. Semakin kita patuh, semakin kita memberi Dia peluang untuk beroperasi. Apabila interaksi punca dan kesan ini terus-menerus beroperasi dalam kita, fungsi bagi dua elemen dalam hayat ini, yakni kematian dan kebangkitan, akan dinyatakan secara berterusan. Fungsi kematian ialah menyingkirkan segala yang tidak harus ada dalam kita. Fungsi kebangkitan pula menambahkan segala yang daripada hayat Tuhan. Tambahan pula, operasi hukum ini dan dua fungsi ini, iaitu kematian dan kebangkitan, juga penuh dengan kudrat untuk membolehkan kita memenuhi tuntutan Tuhan yang tidak terbatas itu lalu menghidup keluar segala yang terdapat dalam hayat Tuhan. Dengan demikian, kita membenarkan hayat Tuhan bertumbuh secara beransur-ansur dan matang dalam kita. 

Pada masa yang sama, apabila hayat ini beroperasi dalam kita, mengawal tertib kita secara berterusan, kecenderungan kita terhadap Tuhan, kepatuhan kita kepada Tuhan, dan pelayanan kita terhadap Tuhan akan menjadi semula jadi dan mudah, hidup dan segar. Dalam hukum hidup inilah Tuhan menjadi Tuhan kita yang hidup dan kita menjadi umat-Nya yang hidup. Kita boleh mengatakan bahawa hubungan kita dengan Tuhan wujud dalam hukum hayat ini. Hal ini benar-benar patut kita pandang berat!

HUKUM HAYAT (Bahagian 10/11)
Bacaan Harian untuk Para Pekudus (144)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)