Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian HUKUM HAYAT (Bahagian 10/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 9/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 11/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 10/11)
2020-09-17 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (142)

Nota Editor:

“Sewaktu kita menerima hayat Kristus menerusi kelahiruan, Kristus hanya dilahirkan dalam kita; ini sekadar lengkap dari segi organik, tetapi masih tidak lengkap dari segi bentuk. Kemudian, oleh sebab hukum hayat ini beroperasi berulang kali dalam pelbagai bahagian dalaman kita, maka elemen hayat ini makin bertambah dalam pelbagai bahagian kita, dan Kristus juga makin bertumbuh dalam kita hingga hayat-Nya terbentuk secara lengkap dalam kita.”

“Kristus terbentuk dalam kita bermaksud sifat kita ditransform menjadi rupa Tuan. Apabila kita ditransform daripada roh melewati pemahaman ke tingkah laku, ini bermaksud bahawa rupa kita ditransform menjadi rupa Tuan. Hasil bagi transformasi sedemikian selalunya menyebabkan kita menjadi serupa dengan Tuan Yesus, atau dengan kata lain, serupa dengan sifat insani Tuan yang mulia itu. Inilah apa yang disebut dalam Roma 8:29: “Pengkonforman kepada imej Anak-Nya”. Ertinya kita dibentuk daripada acuan Anak Tuhan. Oleh yang demikian, transformasi ialah proses, dan menjadi serupa dengan Tuan atau mempunyai imej dan sifat yang sama dengan Tuan pula ialah hasil muktamad bagi transformasi. Inilah kerja “daripada kemuliaan kepada kemuliaan” yang dilakukan Tuan pada kita. Kita benar-benar perlu memuji Tuan!” 

HUKUM HAYAT
(Bahagian 10/11)

(Pengetahuan Hayat, Bab 10)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Gal. 4:19 “Anak-anakku, untukmu, aku sekali lagi menderitai sakit bersalin, hingga Kristus terbentuk dalam kamu.”

Ibr. 8:10 “Kerana inilah waadah yang akan Kuwaadkan dengan kaum Israel selepas hari-hari itu, sabda Tuan: Aku akan menaruh hukum-hukum-Ku ke dalam minda mereka, dan akan menulis hukum-hukum ini pada hati mereka; Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.”

VIII. HASIL HUKUM HAYAT 

Apabila kita membenarkan hukum hayat Tuhan beroperasi secara tidak terhalang dalam kita dengan lebih meluas lagi, hayat Tuhan dalam kita dapat menyebar ke tahap “Kristus terbentuk” dalam kita (Gal. 4:19). Apabila Kristus beransur-ansur terbentuk dalam kita dengan sedemikian, kita beransur-ansur ditransform menjadi imej Tuan (2 Kor. 3:18) dan mempunyai imej Anak Tuhan (Roma 8:29) hingga akhirnya kita menjadi “serupa dengan-Nya” sepenuhnya (1 Yoh. 3:2). Inilah hasil mulia bagi operasi hukum hayat dalam kita. 

Apakah maksudnya “Kristus terbentuk” dalam kita? Kita akan menggunakan satu contoh yang simpal. Di dalam sebiji telur, terdapat hayat ayam. Namun dalam beberapa hari yang pertama apabila anak ayam sedang dibentuk, jika kita menggunakan cahaya elektrik untuk melihat tembus telur itu, kita tidak dapat membezakan bahagian mana ialah kepala dan bahagian mana ialah kaki. Apabila menjelangnya tempoh menetas, dan anak ayam di dalam sudah mahu memecahkan cangkerang dan keluar, jika kita menggunakan cahaya elektrik sekali lagi untuk melihat tembus ke dalam cangkerang, kita akan melihat bentuk seekor anak ayam yang sudah lengkap. Ini bermaksud bahawa anak ayam sudah terbentuk di dalam telur. Begitu juga, apabila Kristus terbentuk dalam kita, maksudnya ialah bentuk Kristus sudah lengkap dalam kita. Sewaktu kita menerima hayat Kristus menerusi kelahiruan, Kristus hanya dilahirkan dalam kita; ini sekadar lengkap dari segi organik, tetapi masih tidak lengkap dari segi bentuk. Kemudian, oleh sebab hukum hayat ini beroperasi berulang kali dalam pelbagai bahagian dalaman kita, maka elemen hayat ini makin bertambah dalam pelbagai bahagian kita, dan Kristus juga makin bertumbuh dalam kita hingga hayat-Nya terbentuk secara lengkap dalam kita. 

Semasa Kristus terbentuk secara beransur-ansur dalam kita, kita juga ditransform secara beransur-ansur. Ke tahap mana Kristus terbentuk dalam kita, ke tahap itulah kita ditransform. Pembentukan Kristus dan transformasi kita ini boleh dikatakan maju serentak di dalam dan di luar. Sebagaimana pembentukan Kristus ialah pertambahan elemen Kristus dalam pelbagai bahagian kita dari dalam ke luar, begitu juga dengan transformasi kita dalam pelbagai bahagian ini hingga kita beransur-ansur menjadi serupa dengan Kristus. Oleh yang demikian, transformasi maju dari roh ke pemahaman (atau sukma), kemudian ke tingkah laku (atau tubuh). Apabila roh kita dihidupkan melalui kelahiruan, ia ditransform melalui pembaruan. (Lihat bab 4, berkenaan roh baru.) Selepas itu, melalui operasi hukum hayat, pemahaman dalam sukma juga ditransform melalui pembaruan. Kemudian, melalui pemancaran cahaya hayat Tuhan, kita mengenali diri kita, kita menolak diri kita, dan kita mematikan diri kita melalui Roh Kudus, lalu hanya membenarkan hayat Tuhan dihidup keluar daripada kita. Dengan demikian, dalam pengalaman rohani kita, kita makin menanggalkan manusia lama dan memakai manusia baru dalam tingkah laku kita; dengan demikian, tingkah laku luaran kita juga beransur-ansur diperbarui dan ditransform. Dengan itu, Kristus terbentuk dalam kita bermaksud sifat kita ditransform menjadi rupa Tuan. Apabila kita ditransform daripada roh melewati pemahaman ke tingkah laku, ini bermaksud bahawa rupa kita ditransform menjadi rupa Tuan. Hasil bagi transformasi sedemikian selalunya menyebabkan kita menjadi serupa dengan Tuan Yesus, atau dengan kata lain, serupa dengan sifat insani Tuan yang mulia itu. Inilah apa yang disebut dalam Roma 8:29: “Pengkonforman kepada imej Anak-Nya”. Ertinya kita dibentuk daripada acuan Anak Tuhan. Oleh yang demikian, transformasi ialah proses, dan menjadi serupa dengan Tuan atau mempunyai imej dan sifat yang sama dengan Tuan pula ialah hasil muktamad bagi transformasi. Inilah kerja “daripada kemuliaan kepada kemuliaan” yang dilakukan Tuan pada kita. Kita benar-benar perlu memuji Tuan!

Kita juga harus menyedari bahawa matlamat transformasi bukanlah sekadar membuat kita serupa dengan Tuan atau menyebabkan kita mempunyai imej dan sifat yang sama seperti Tuan, tetapi lebih-lebih lagi membuat kita betul-betul “serupa dengan-Nya”. Inilah “penebusan tubuh kita” yang dibicarakan dalam Roma 8:23. Apabila Tuan datang sekali lagi dan menampakkan diri kepada kita, Dia akan “mentransfigur tubuh kita yang hina supaya dikonform kepada tubuh kemuliaan-Nya, menurut operasi-Nya yang melaluinya Dia berupaya malah menundukkan segala sesuatu kepada diri-Nya” (Flp. 3:21). Oleh yang demikian, Dia membuat kita serupa dengan-Nya bukan hanya dalam sifat roh kita dan dalam bentuk sukma dan tingkah laku kita, tetapi bahkan serupa sepenuh dengan-Nya dalam tubuh, yakni tubuh yang mulia, tidak korup, dan tidak fana buat selama-lamanya. Inilah hasil muktamad bagi operasi hukum hayat Tuhan dalam kita. Oh, sungguh ajaib! Sungguh mulia! Oleh itu, sesiapa daripada kita yang mempunyai harapan ini harus menyucikan diri kita sebagaimana Dia adalah suci (1 Yoh. 3:3). Kita harus, melalui cahaya hayat Tuhan, mengenali diri kita dan segala yang di luar Tuhan, lalu menanggulangi dosa kita, dunia, tubuh daging, dan segala daripada ciptaan lama setiap hari agar kita dapat menjadi suci tanpa campur aduk. Dengan itu, Tuhan dapat mencapai tujuan-Nya yang mulia tidak lama lagi, dan kita pula dapat menikmati kemuliaan bersama dengan Tuan tidak lama lagi.

IX. TUHAN INGIN MENJADI TUHAN DALAM HUKUM HAYAT 

Dalam Ibrani 8:10, selepas Tuhan bersabda, “Aku akan menaruh hukum-hukum-Ku ke dalam minda mereka, dan akan menulis hukum-hukum ini pada hati mereka,” Dia bersabda, “Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.” Ini menunjukkan kepada kita bahawa Tuhan menaruh hukum hayat-Nya dalam kita kerana Dia ingin menjadi Tuhan kita dalam hukum hayat ini, dan Dia juga mahu kita menjadi umat-Nya dalam hukum hayat ini. Hal ini mengungkapkan hasrat Tuhan dan juga tujuan Tuhan, dan ini merupakan satu perkara yang sangat penting; oleh itu, kita tidak boleh tidak meneliti hal ini. 

A. Tuhan Ingin Menjadi Tuhan kepada Manusia 

Mengapakah Tuhan mencipta manusia? Dan mengapakah iblis mencuri manusia? Hal-hal ini tidak diwahikan secara terus terang pada permulaan Bible. Ketika Tuhan mengumumkan sepuluh perintah di Gunung Sinai, barulah hasrat Tuhan pada manusia diwahikan dengan jelas. Dalam tiga perintah yang pertama, kita melihat bahawa Dia ingin menjadi Tuhan kepada manusia. Hingga masa kemudian, sewaktu iblis menggoda Tuan di gurun tandus dan menghendaki Tuan menyembah dia, barulah tersingkapnya hasrat iblis untuk mencuri manusia, iaitu dia hendak merampas kedudukan Tuhan dan menghendaki manusia menyembah dia sebagai Tuhan. Ini menunjukkan kepada kita dengan jelas bahawa pergelutan antara iblis dengan Tuhan terletak pada soal berkenaan siapa yang merupakan Tuhan kepada manusia dan siapa yang menerima penyembahan daripada manusia. Namun hanya Tuhan ialah Tuhan; hanya Dialah yang layak menjadi Tuhan kepada manusia dan menerima penyembahan daripada manusia. Pada zaman Wasiat Lama, Dia pernah hidup dalam kalangan umat Israel untuk menjadi Tuhan mereka. Pada zaman Wasiat Baru, menerusi inkarnasi, Dia hidup dalam kalangan manusia dan mengisytiharkan bahawa Dialah Tuhan. Kemudian, menerusi Roh Kudus, Dia hidup dalam gereja dan merupakan Tuhan kepada manusia dalam gereja. Pada masa kelak, dalam zaman milenium, Dia akan menjadi Tuhan kepada seluruh kaum Israel; malah Dia akan huni dalam kalangan manusia hingga keabadian di langit baru dan bumi baru dan selama-lamanya menjadi Tuhan kepada manusia.

B. Tuhan Ingin Menjadi Bapa Kemudian Tuhan 

Tuhan bukan sahaja ingin menjadi Tuhan kepada manusia, tetapi lebih-lebih lagi menjadi Bapa kepada manusia. Dia bukan sahaja mahu manusia mengambil Dia sebagai Tuhan, tetapi lebih-lebih lagi Dia mahu manusia beroleh hayat-Nya. Dia ingin menjadi Bapa kepada manusia, dan dengan itu menjadi Tuhan kepada manusia supaya Dia dapat menjadi Tuhan kepada manusia dalam hayat-Nya. Hanya apabila manusia mempunyai hayat-Nya dan menjadi anak-Nya, barulah manusia benar-benar dapat mengenali bahawa Dialah Tuhan dan benar-benar dapat mengizinkan Dia menjadi Tuhan. 

Pada waktu pagi hari kebangkitan-Nya, Tuan Yesus memberitahu Maria orang Magdala, “Aku naik kepada Bapa-Ku dan Bapamu, serta Tuhan-Ku dan Tuhanmu” (Yoh. 20:17). Di sini Tuan menyebut Bapa terlebih dahulu, kemudian menyebut Tuhan. Ini bermaksud bahawa Tuhan haruslah menjadi Bapa kita, kemudian barulah Dia dapat menjadi Tuhan kita. Lagipun Tuan Yesus dalam doa-Nya pada malam terakhir juga menyatakan dengan jelas bahawa hanya apabila kita mempunyai hayat abadi Tuhan, barulah kita dapat mengenali Dia, satu-satunya Tuhan yang benar (Yoh. 17:3). Oleh itu, kita harus mengalami Tuhan sebagai Bapa dalam hayat, barulah kita dapat mengenali Tuhan sebagai Tuhan. Semakin kita membenarkan hayat Bapa beroperasi dalam kita, semakin kita menyembah dan melayan Tuhan yang mulia ini! Tuhan ialah Bapa kepada kita kerana Dia ingin menjadi Tuhan kita dalam hayat Bapa ini. Hal ini juga bermaksud bahawa Dia ingin menjadi Tuhan kita dalam operasi hayat-Nya.  (bersambung...)

HUKUM HAYAT (Bahagian 9/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 11/11)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)