Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
2020-06-27 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (60)

Nota Editor:

“Banyak orang Kristian mengatakan bahawa mereka telah diselamatkan, tetapi kehidupan mereka nampaknya tidak berbeza dengan orang yang belum diselamatkan. Saya sering mengatakan bahawa sesetengah orang Kristian ‘tidak begitu diselamatkan’. Jangan salah faham akan kata-kata saya. Saya bukan bermaksud bahawa mereka tidak diselamatkan. Saya mengatakan bahawa mereka kelihatannya tidak begitu diselamatkan. Ini bermaksud bahawa mereka belum mencapai tahap penyelamatan seperti yang dikatakan Bible.” 

“Kristus yang dibicarakan dalam Bible ialah Dia yang dapat memuaskan hati kamu. Dia akan membuat hati kamu sentiasa dahaga, namun Dia akan terus-menerus memuaskan kedahagaan kamu...Keadaan ini bukan seperti kita mendengar khutbah seminggu sekali pada hari Ahad, kemudiannya kehabisan bekalan selepas berlalunya enam hari. Dia merupakan mata air dalam diri kita yang memancur keluar ke dalam hayat abadi.”

“Sumber air paip datang dari tangki air, bukan dari rumah itu sendiri. Begitu juga, sumber kehidupan orang Kristian ialah Kristus, bukan dirinya sendiri. Betapa berbezanya hal ini daripada manusia dalam Roma 7 itu, yang bertekad namun gagal berulang kali.”

“Sekiranya kamu berdoa untuk yang lain, Tuhan mungkin akan menjawab kamu. Tetapi jika kamu berdoa agar Tuhan memberi kamu kekuatan untuk mengatasi dosa kamu, Dia tidak akan menjawab. Dia tidak akan memberi kamu kekuatan untuk mengatasi dosa kamu.”

“Kristus bukan di sini untuk menopang kita atau menguatkan kita untuk jayeng atas dosa. Dia di sini untuk menyisihkan kita dan hidup dalam kita menggantikan kita. Dia jayeng atas dosa bagi kita. Inilah sebabnya Paulus mengatakan bahawa baginya hidup ‘adalah’ Kristus.

HAYAT YANG JAYENG
(Bahagian 2/3)

Tarikh: 23 November 1935, malam
Tempat: Chuanzhou

(CWWN SET 2, JIL 21, BAB 8)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Yoh. 14:18 “Aku tidak akan meninggalkan kamu sebagai anak yatim; Aku sedang datang kepadamu.”

Flp. 1:21a “Kerana bagi aku, hidup adalah Kristus.”

CARA PENYELAMATAN TUHAN

Hari ini saya bukannya ingin membicarakan konsep orang Kristian yang salah. Saya hanya menyebut tiga konsep di atas, tetapi prinsipnya sama bagi konsep yang lain. Tujuan saya mengemukakan konsep-konsep yang salah ini adalah untuk menunjukkan kepada kamu bahawa semua ini jalan buntu bagi orang Kristian, dan semua ini bukan cara yang ditunjukkan dalam Bible. Tuhan tidak menghendaki orang Kristian hidup sedemikian. Jika kamu hidup menurut prinsip ini, kamu pasti akan selalu gagal. Tuhan memberi kita hayat baru yang bukan sahaja termasuk pengetahuan baru dan kedambaan baru; Dia memberi kita hayat baru dan kudrat baru yang dapat memenuhi kedambaan dan tuntutan baru ini. Kedambaan dan tuntutan baru datang daripada hayat baru, dan sumber bekalan baru untuk memenuhi kedambaan dan tuntutan baru ini juga datang daripada hayat baru. Semasa kita dilahirukan, kita bukan sahaja beroleh kedambaan baru dan pengetahuan baru agar kita berhasrat untuk menanggulangi nafsu dan doa, malah kita juga beroleh kudrat baru untuk memuaskan segala tuntutan hayat baru ini.

TUHAN BERHASRAT AGAR KRISTUS MENJADI HAYAT DAN KEPUASAN KITA

Hayat dan kudrat baru yang diberikan Tuhan kepada kita hanyalah Kristus sendiri. Hari ini Kristus hidup dalam kita. Apakah yang dilakukan-Nya dalam diri kita? Dia berada dalam kita sebagai hayat kita, dan Dia berada dalam kita untuk bersama dengan kita sepanjang masa. Tuan mengatakan bahawa Dia tidak akan meninggalkan kita sebagai anak yatim (Yoh. 14:18). Kita boleh mengatakan bahawa manusia yang sengsara dalam Roma 7 itu seorang anak yatim, dan kita boleh menggelar Roma 7 sebagai bab tentang anak yatim. Manusia dalam Roma 7 mempunyai tuntutan dan kedambaan baru, namun dia tidak dapat memenuhi keperluan ini. Dia seperti anak yatim yang mendambakan makanan tetapi tidak mempunyai makanan. Dia memerlukan pakaian semasa cuaca sejuk namun dia tidak mempunyai pakaian. Dia terpaksa mencari jalan sendiri untuk mendapatkan semua benda ini. Akan tetapi, sungguhpun dia bertekad, dia tetap tidak dapat memilikinya. Tuan mengatakan bahawa Dia akan hidup dalam kita dan memenuhi semua keperluan kita. Malam ini saya bukan hanya memberitakan Kristus yang telah mati dan menumpahkan darah bagi kamu. Saya bukan hanya memberitakan Kristus yang disalibkan tetapi Kristus yang sentiasa hidup dalam kita dan membekali semua keperluan kau.

Kita tidak boleh berpuas hati dengan Kristus yang kita kenal pada masa lalu. Dalam Yohanes 4, Tuan berkata kepada perempuan Samaria, “Sesiapa yang minum daripada air ini akan haus lagi, tetapi barang siapa yang minum daripada air yang akan Kuberikan kepadanya pasti tidak akan haus buat selama-lamanya; tetapi air yang akan Kuberikan kepadanya akan menjadi sumber mata air dalamnya, yang memancur keluar ke dalam hayat abadi” (ay. 13-14). Inilah hayat dalam Roh yang diberi Kristus kepada kita. Hayat ini ialah mata air. Kristus tidak memberi kita sesuatu yang boleh dicedok ke dalam timba atau habis diminum dalam beberapa hari sahaja. Kristus menyediakan mata air dalam kita. Kita dapat minum daripadanya sepanjang masa sampai “ke dalam hayat abadi.” Bahkan pada waktu kita bersemuka dengan Tuhan nanti, mata air itu masih tidak kehabisan. Inilah Kristus yang menjadi hayat dalam kita, dan membekali semua keperluan kita.

Banyak orang Kristian mengatakan bahawa mereka telah diselamatkan, tetapi kehidupan mereka nampaknya tidak berbeza dengan orang yang belum diselamatkan. Saya sering mengatakan bahawa sesetengah orang Kristian “tidak begitu diselamatkan”. Jangan salah faham akan kata-kata saya. Saya bukan bermaksud bahawa mereka tidak diselamatkan. Saya mengatakan bahawa mereka kelihatannya tidak begitu diselamatkan. Ini bermaksud bahawa mereka belum mencapai tahap penyelamatan seperti yang dikatakan Bible. Dapatkah kamu berkata, “Saya mempunyai Kristus sebagai Gembala saya, maka saya ‘tidak akan kekurangan’?” (Terjemahan Inggeris bagi ungkapan ini adalah lebih baik, yang bermaksud “tidak berkeinginan”.) Adakah Kristus Gembala kamu? Dapatkah kamu mengatakan bahawa kamu tidak mempunyai keinginan dan tidak akan kekurangan? Jika saya bertanya sebegini, mungkin kamu terpaksa mengaku bahawa kamu mempunyai terlalu banyak kekurangan. Sekiranya ini jawapan kamu, maka terbuktilah kamu perlu mengenal Kristus dengan lebih mendalam lagi. Kristus yang dibicarakan dalam Bible ialah Dia yang dapat memuaskan hati kamu. Dia akan membuat hati kamu sentiasa dahaga, namun Dia akan terus-menerus memuaskan kedahagaan kamu. Di sini saya mesti menambah Haleluya! Tuan telah memberi kita mata air. Keadaan ini bukan seperti kita mendengar khutbah seminggu sekali pada hari Ahad, kemudiannya kehabisan bekalan selepas berlalunya enam hari. Dia merupakan mata air dalam diri kita yang memancur keluar ke dalam hayat abadi. Seseorang Kristian tidak memerlukan timba kerana ada sumur dalam dirinya. Air dalam kebanyakan orang Kristian nampaknya diambil daripada timba kerana cepat habis. Akan tetapi, Bible mengatakan bahawa ada mata air dalam orang Kristian, yang memancur keluar ke dalam hayat abadi. Sumber air paip datang dari tangki air, bukan dari rumah itu sendiri. Begitu juga, sumber kehidupan orang Kristian ialah Kristus, bukan dirinya sendiri. Betapa berbezanya hal ini daripada manusia dalam Roma 7 itu, yang bertekad namun gagal berulang kali.

TUHAN BERHASRAT AGAR KRISTUS MENJADI KEMENANGAN KITA

Banyak orang berpendapat bahawa mereka terlalu lemah dan sering gagal. Mereka meminta Tuhan untuk menguatkan mereka. Mereka berfikir bahawa asalkan mereka memiliki kudrat, mereka dapat jayeng atas dosa. Namun walaupun mereka mungkin beroleh kudrat, mereka masih tidak dapat jayeng atas dosa. Mereka sering berasa hairan apabila mereka diatasi oleh dosa. Sebenarnya, selain berbuat dosa, apakah yang mampu dilakukan mereka? Memang tidak menghairankan sekiranya mereka berbuat dosa. Seorang mubaligh Barat pernah berkata kepada saya, “Saya sering berdosa. Saya sudah muak dengan dosa-dosa saya. Saya tidak dapat jayeng tidak kira betapa gigihnya saya berusaha. Kerja saya di negara China ternyata sudah gagal.” Semasa saya mendengar, saya ketawa. Dia bertanya, “Kenapa kamu ketawa?” Saya berkata, “Kamu berasa hairan kerana kamu berbuat dosa. Tetapi saya sama sekali tidak berasa pelik. Bagi saya ini merupakan perkara yang biasa. Saya mungkin terkejut jika kamu melakukan dosa yang lebih besar, tetapi saya tidak hairan jika kamu melakukan dosa-dosa seperti ini.” Dia berkata, “Saya telah memberitakan injil di China selama tujuh tahun. Saya tahu bahawa Tuhan telah memanggil saya, dan saya juga mempunyai pengalaman tertentu terhadap-Nya. Namun saya selalu gagal. Bagaimana saya dapat bekerja lagi? Tuhan harus memberi saya kekuatan untuk mengatasi dosa-dosa saya.” Saya berkata, “Sekiranya kamu berdoa untuk yang lain, Tuhan mungkin akan menjawab kamu. Tetapi jika kamu berdoa agar Tuhan memberi kamu kekuatan untuk mengatasi dosa kamu, Dia tidak akan menjawab. Dia tidak akan memberi kamu kekuatan untuk mengatasi dosa kamu.”

Saya memberitahunya bahawa kesilapannya terletak pada usahanya untuk memperbaiki kekurangan ciptaan lama dengan menggunakan ciptaan baru. Dia lemah, lalu dia meminta kekuatan untuk mengatasi dosanya. Namun demikian, kudrat hayat baru, kudrat Tuhan, tidak diberikan kepada kita untuk menopang manusia lama kita supaya kita beroleh kekuatan yang lebih besar untuk mengatasi dosa. Tidak! Tuhan tidak bekerja dengan cara ini. Kita perlu memohon kepada Tuhan agar memberi kita cahaya dan wahi baru agar kita sedar bahawa kelemahan kita bukan sesuatu yang menghairankan. Kita sememangnya wajib jayeng atas dosa, tetapi masalahnya ialah hayat manusia akan sentiasa kekal sebagai hayat manusia. Hayat ini tidak mempunyai kudrat untuk jayeng atas dosa. Tuhan langsung tidak berniat untuk kita mengatasi dosa dengan hayat insani kita, dan Dia juga sama sekali tidak berniat untuk menopang hayat lama kita dengan kudrat-Nya. Tuhan berhasrat agar Kristus menjadi hayat kita, kekuatan kita, dan kemenangan kita.

CARA MENERIMA HAYAT YANG JAYENG

Bagaimana Tuhan memberi kita hayat yang jayeng? Dia memberi kita hayat yang jayeng dengan memberi kita Anak-Nya, yang menjadi kemenangan kita. Paulus berkata, “Kerana bagi aku, hidup adalah Kristus” (Flp. 1:21a). Paulus tidak mengatakan bahawa kita harus hidup melalui Kristus, bahawa kita harus hidup melalui kekuatan-Nya, atau bahawa kita harus hidup melalui hayat-Nya. Dia mengatakan bahawa baginya hidup adalah Kristus. Kesilapan kita yang terbesar ialah kita berfikir bahawa Tuhan memberi kita Kristus untuk menolong kita jayeng atas dosa. Memang benar bahawa kita wajib jayeng atas dosa, namun caranya bukanlah dengan Kristus memberi kita kekuatan untuk jayeng atas dosa. Cara Bible ialah mengetepikan diri kita dan membiarkan Kristus jayeng untuk kita. Di atas salib, Kristus mati menggantikan kita; di dalam kita, Kristus hidup menggantikan kita. Penggantian yang objektif berlaku di atas salib, manakala penggantian yang subjektif berlaku di dalam kita. Bukannya Kristus memberi kita kekuatan untuk hidup, tetapi Kristus hidup untuk kita. Sekiranya Kristus tidak hidup untuk kita dan jika Kristus hanya mati untuk kita di atas salib, mustahil kita dapat jayeng. Kristus bukan di sini untuk menopang kita atau menguatkan kita untuk jayeng atas dosa. Dia di sini untuk menyisihkan kita dan hidup dalam kita menggantikan kita. Dia jayeng atas dosa bagi kita. Inilah sebabnya Paulus mengatakan bahawa baginya hidup “adalah” Kristus. Hanya apabila Kristus hidup untuk kita, barulah kita dapat mengatakan bahawa bagi kita, hidup adalah Kristus. Sekiranya Kristus tidak hidup untuk kita, kita tidak boleh mengatakan bahawa bagi kita, hidup adalah Kristus. Kita bukannya hidup bergantung pada-Nya, dan kita bukannya hidup dengan meniru-Nya atau hidup dengan menggunakan kekuatan-Nya. Bagi kita, hidup “adalah” Kristus. Bukannya Kristus menguatkan kita, tetapi Kristus menjadi hayat kita. (bersambung...)

HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)