Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 4/4)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
2020-06-26 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (59)

Nota Editor:

“Dalam kehendak abadi-Nya, Tuhan menghendaki manusia hidup dalam hayat-Nya. Di Taman Eden, manusia tidak melihat hal ini, ataupun manusia telah melihatnya namun enggan menerimanya. Oleh yang demikian, pada suatu hari, Kristus datang ke dunia menjadi manusia, disalibkan, mati dan bangkit, lalu turun sebagai Roh Kudus supaya manusia beroleh hayat Tuhan.”

“Semua orang Kristian telah menerima hayat Tuhan sewaktu mereka percaya kepada Tuan. Akan tetapi, banyak orang kekurangan pengetahuan yang betul tentang bagaimana Kristus menjadi hayat kita dan bagaimana Dia hidup dalam kita. Kekurangan pengetahuan yang betul ini telah menimbulkan banyak konsep yang salah.”

“Sesetengah orang boleh berpura-pura menjadi orang Kristian yang baik di hadapan orang, tetapi mereka sendiri jelas bahawa mereka adalah tidak baik di hadapan Tuhan. Sesetengah orang boleh berpura-pura bersungguh hati dan melayan Tuan dengan setia di hadapan orang, tetapi mereka sendiri tahu bahawa kehidupan mereka sentiasa gagal.”

“Kita menyangka bahawa sebagai orang Kristian, memang patut kita bertindak menurut kedambaan baru ini. Kita menyangka bahawa beroleh hayat baru hanyalah beroleh sikap baru, harapan baru, dan kecenderungan baru. Selain itu, kita masih perlu menggunakan kekuatan sendiri untuk memenuhi semua tuntutan baru ini. Ini merupakan satu kesilapan besar.”

“Hayat yang baru merupakan hukum Tuhan yang baru. Dengan hukum baru, sudah tentu adanya tuntutan baru. Jika saya ingin bertindak menurut hukum baru ini, maka saya perlu berusaha untuk berjaya. Akan tetapi, tuntutan baru yang diberikan Tuhan kepada kita ini langsung tidak dapat dijayakan melalui diri kita sendiri. Hal ini kerana manusia hanya mempunyai hayat manusia, dan hayat ini adalah alamiah dan umum. Hayat ini tidak mampu membekali keperluan hukum baru. Hayat lama tidak dapat memenuhi tuntutan hukum baru.”

HAYAT YANG JAYENG
(Bahagian 1/3)

Tarikh: 23 November 1935, malam
Tempat: Chuanzhou

(CWWN SET 2, JIL 21, BAB 8)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Flp. 1:21a “Kerana bagi aku, hidup adalah Kristus.”

Kol. 3:4 “Apabila Kristus hayat kita termanifestasi, maka kamu juga akan dimanifestasikan bersama dengan-Nya dalam kemuliaan.”

1 Kor. 1:30 “Tetapi daripada-Nya, kamu berada dalam Kristus Yesus yang telah menjadi kearifan kepada kita daripada Tuhan: keadilbenaran, pengudusan, dan penebusan.”

KEHENDAK ABADI TUHAN

Tuhan tidak pernah menghendaki manusia berhidupkan hayatnya sendiri. Dalam keabadian lampau, Tuhan telah menetapkan bahawa manusia harus menjalani kehidupan yang berhidupkan Tuhan. Oleh itu, Tuhan tidak akan membiarkan manusia sekadar menjadi manusia. Dalam kehendak abadi-Nya, Tuhan menghendaki manusia hidup dalam hayat-Nya. Di Taman Eden, manusia tidak melihat hal ini, ataupun manusia telah melihatnya namun enggan menerimanya. Oleh yang demikian, pada suatu hari, Kristus datang ke dunia menjadi manusia, disalibkan, mati dan bangkit, lalu turun sebagai Roh Kudus supaya manusia beroleh hayat Tuhan. Dengan demikian, Kristus menjadi Kristus yang boleh diterima. Kita yang percaya kepada-Nya telah menerima Kristus sedemikian. Banyak orang beranggapan bahawa menerima Kristus menyebabkan dosa-dosa kita terampun. Sebenarnya, Tuhan bukan hanya ingin mengampunkan dosa-dosa kita, Dia juga tidak mahu kita hidup dalam dosa. Dia mengingini kita menerima Kristus yang boleh diterima itu sebagai hayat kita, supaya kita dapat menjalani kehidupan yang jayeng.

KONSEP ORANG KRISTIAN YANG SALAH TENTANG JAYENG

Cuba Mencapai Tuntutan Tuhan dengan Kekuatan Sendiri

Tanpa ragu-ragu, semua orang Kristian telah menerima hayat Tuhan sewaktu mereka percaya kepada Tuan. Akan tetapi, banyak orang kekurangan pengetahuan yang betul tentang bagaimana Kristus menjadi hayat kita dan bagaimana Dia hidup dalam kita. Kekurangan pengetahuan yang betul ini telah menimbulkan banyak konsep yang salah. Selepas seseorang Kristian dilahirukan, dia mempunyai kecenderungan baru. Dia mulai hendak hal-hal yang tidak dikehendakinya dahulu, dan mulai menolak hal-hal yang diingininya dahulu. Konsep salah yang pertama ialah manusia berhasrat untuk bergerak-hidup menurut kehendak Tuhan melalui usaha sendiri, serta bertekad untuk tidak lagi berbuat dosa dan menghidup keluar virtu-virtu Kristus. Sebenarnya, selepas banyak orang diselamatkan, selain mempunyai zimah baru, dan lebih peka terhadap dosa berbanding dahulu, mereka tidak berupaya untuk melaksanakan kehendak Tuhan dan tidak berdaya untuk mengatasi dosa. Akibatnya, mereka hidup dalam keadaan yang lebih sengsara daripada dahulu. Dahulu sewaktu mereka hidup dalam dosa, mereka masih boleh hidup sewenang-wenangnya kerana mereka tidak kenal dosa dan dengan itu tidak kenal sengsara. Namun kini setelah mereka menerima hayat baru, mempunyai sifat dan kecenderungan baru, Kristus yang menjadi hayat dalam mereka mempunyai tuntutan baru. Akan tetapi, mereka tidak dapat mencapai tuntutan baru ini. Oleh itu, dahulu mereka terseksa oleh dosa, kini mereka terseksa oleh kekudusan. Sebagai contoh, mereka tahu bahawa orang Kristian tidak harus sombong, cemburu, naik marah, maka mereka bertekad untuk tidak sombong, cemburu, dan naik marah. Akan tetapi, mereka mendapati diri mereka tidak mampu berbuat demikian. Dahulu mereka tidak tahu bahawa semua ini dosa. Mereka tidak tahu-menahu tentang kekudusan, dan juga tidak berhasrat untuk menjalani kehidupan yang kudus. Sekarang mereka telah mengetahui kekudusan dan ingin menjalani kehidupan yang kudus. Namun sungguhpun mereka tahu dan berkeinginan, mereka tidak dapat melakukannya. Banyak orang Kristian berasa sengsara setelah diselamatkan; inilah kesengsaraan untuk menjadi kudus. Kadang-kadang kesengsaraan ini lebih perit daripada kesengsaraan sebelum diselamatkan.

Sesetengah orang boleh berpura-pura menjadi orang Kristian yang baik di hadapan orang, tetapi mereka sendiri jelas bahawa mereka adalah tidak baik di hadapan Tuhan. Sesetengah orang boleh berpura-pura bersungguh hati dan melayan Tuan dengan setia di hadapan orang, tetapi mereka sendiri tahu bahawa kehidupan mereka sentiasa gagal. Pengalaman mereka berbolak-balik antara menang dengan gagal, gagal dengan menang. Menang dan gagal sentiasa berkitar-kitar tidak henti. Mereka amat jelas bahawa mereka tidak mempunyai kekuatan dalam sendiri untuk melakukan hal-hal yang ingin dilakukan mereka. Pemikiran dan konsep mereka sudah berubah, ternyata lebih baik daripada dahulu. Bahkan manusia dalaman mereka juga menuntut mereka berubah, tetapi hayat dan kekuatan mereka masih tidak berubah, yang tidak mampu membekalkan kudrat yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan dalaman. Hari demi hari mereka jelas tentang apa yang harus dilakukan, dan mereka juga ingin jayeng dan kudus, namun hari demi hari mereka gagal melakukannya.

Pada peringkat ini, semua orang Kristian mempunyai pengetahuan baru dan tuntutan baru di dalam. Pada peringkat ini, mereka juga bertindak dengan cara tertentu, iaitu selalu bertekad dengan sendiri untuk melakukan sesuatu. Mereka ingin memenuhi segala tuntutan di dalam dan bertindak menurut harapan baru. Oleh itu, mereka berusaha sungguh-sungguh untuk menanggulangi dosa sendiri dan cuba sedaya upaya untuk menjadi rendah diri dan lembut-halus di hadapan Tuan, serta berharap mereka akan terbebas daripada fikiran yang cemar di dalam dan kata-kata cerewet di luar. Mereka berharap dapat menjalani cara hidup yang dikehendaki Tuhan menurut Bible di hadapan orang. Mereka sering mengingatkan diri sendiri, “Aku mesti melakukannya. Aku mesti berusaha untuk berjaya.” Namun hairannya, apabila mereka tidak bertekad untuk melakukan hal-hal itu, kehidupan mereka masih biasa dan aman damai. Akan tetapi, sebaik sahaja mereka bertekad dan berazam, mereka mendapati mereka akan gagal tidak kira betapa nekadnya mereka. Pada masa ini, banyak orang Kristian akan menjadi amat kecewa dan putus asa, malahan ada yang meragui sama ada mereka sudah diselamatkan atau belum. Inilah pengalaman sepunya kebanyakan orang Kristian.

Hal ini benar-benar sesuatu yang menghairankan. Inilah kesilapan pertama yang kita lakukan dalam kehidupan Kristian. Kita menyangka bahawa Tuhan memberi kita hayat baru supaya kita mempunyai pengetahuan baru dan pemahaman baru tentang apa itu baik dan jahat, betul dan salah. Dahulu semasa kita hidup dalam dosa, kita tidak dapat membezakan betul dan salah. Sekarang kita ingin bergerak menurut standard Tuhan, namun kita salah faham lagi. Betapa sedihnya! Kita menganggap bahawa Tuhan memberi kita hayat baru hanyalah supaya kita mempunyai kedambaan baru, permintaan baru, dan kecenderungan baru, supaya kita mengharapkan sesuatu yang tidak pernah kita harapkan sebelum ini, dan supaya kita menyukai hal-hal yang syurgawi dan rohani. Kita menyangka bahawa sebagai orang Kristian, memang patut kita bertindak menurut kedambaan baru ini. Kita menyangka bahawa beroleh hayat baru hanyalah beroleh sikap baru, harapan baru, dan kecenderungan baru. Selain itu, kita masih perlu menggunakan kekuatan sendiri untuk memenuhi semua tuntutan baru ini. Ini merupakan satu kesilapan besar.

Hayat yang baru merupakan hukum Tuhan yang baru. Dengan hukum baru, sudah tentu adanya tuntutan baru. Jika saya ingin bertindak menurut hukum baru ini, maka saya perlu berusaha untuk berjaya. Akan tetapi, tuntutan baru yang diberikan Tuhan kepada kita ini langsung tidak dapat dijayakan melalui diri kita sendiri. Hal ini kerana manusia hanya mempunyai hayat manusia, dan hayat ini adalah alamiah dan umum. Hayat ini tidak mampu membekali keperluan hukum baru. Hayat lama tidak dapat memenuhi tuntutan hukum baru. Misalnya, saya meletakkan seekor ikan di sini dan saya mempunyai tuntutan baru terhadapnya. Katakan saya malah berupaya meletakkan keinginan baru ke dalam ikan ini supaya ikan ini suka terbang di langit, ikan itu tetap tidak dapat terbang di langit, kerana dalam hayat ikan tidak ada keupayaan untuk terbang. Sungguhpun ikan itu mahu terbang, ikan itu tetap tidak dapat berbuat demikian. Demikian juga dengan orang Kristian hari ini. Jika hayat baru memberinya kedambaan dan kecenderungan baru, namun hayat lama tidak dapat memenuhi tuntutan baru itu. Oleh itu, wujudlah orang Kristian yang tercatat dalam Roma bab 7. Orang Kristian dalam Roma 7 ialah orang Kristian yang sentiasa berharap dapat menggunakan kekuatan sendiri untuk mencapai tuntutan hukum Tuhan namun sentiasa gagal. Saya tidak pernah berjumpa dengan orang Kristian yang berjaya mencapai tuntutan Tuhan dengan menggunakan kekuatan sendiri. Tidak ada satu hal yang berasal daripada hayat lama yang dapat memuaskan tuntutan Tuhan.

Memohon Agar Tuhan Memberikan Kudrat untuk Jayeng

Sekumpulan orang lagi tahu bahawa mereka telah menerima hayat baru, standard baru, tuntutan baru, dan harapan baru. Mereka juga tahu bahawa mereka terlalu lemah dan kehidupan mereka penuh dengan kegagalan dan tidak berdaya untuk jayeng. Oleh itu, mereka menyangka bahawa mereka harus memohon agar Tuhan memberi mereka kekuatan untuk membantu mereka mengatasi dosa. Mereka harus memohon agar Tuhan memberi mereka kudrat untuk membekali kehidupan yang baru. Mereka menyangka bahawa dengan banyak berdoa, Tuhan akan memberi mereka kekuatan dengan lebih banyak lagi. Mereka berfikir bahawa jika Tuhan memakbulkan doa mereka, mereka tidak akan berbuat banyak dosa lagi, mereka dapat menjadi lebih baik, dan dapat berhidupkan tuntutan Tuhan. Orang Kristian sedemikian tahu bahawa bertekad adalah salah kerana mereka tidak akan berjaya dengan menggunakan kekuatan sendiri, jadi dia memohon kudrat daripada Tuhan. Mereka berfikir bahawa kekuatan sendiri tidak berguna, sudah tentu kekuatan Tuhan akan berkesan. Oleh itu, mereka memohon kepada Tuhan, berdoa, malah berpuasa. Mereka mungkin menutup pintu untuk berdoa, ataupun meninggalkan dunia sekular untuk pergi berdoa di gunung atau pantai. Mereka beranggapan bahawa dengan banyak berdoa, Tuhan akan mendengar. Namun peliknya Tuhan seolah-olah mendengar doa-doa yang lain; cuma doa untuk jayeng atas dosa ini tidak dimakbulkan. Mereka berasa hairan bahawa terdapat sejenis dosa yang dapat menyeksa mereka sampai mereka gagal sehabis-habisnya. Mereka menyangka mereka tidak cukup terdesak, jadi mereka berdoa siang dan malam, memohon agar Tuhan memberi mereka kekuatan untuk jayeng atas dosa. Semasa mereka terperap di dalam bilik untuk berdoa, mereka tidak berbuat dosa, jadi mereka sangka mereka telah jayeng. Akan tetapi, sebaik sahaja mereka habis berdoa dan melangkah keluar dari bilik, godaan dan Syaitan sedang menunggu di depan pintu, lantas mereka gagal lagi.

Malam ini saya tidak akan bertanyakan sama ada kamu pernah berdoa atau tidak, tetapi saya ingin bertanyakan sesuatu secara terus terang: Dalam kalangan kamu, pernahkah ada seorang yang jayeng atas dosa tertentu dengan berdoa? Ataupun kamu pernah berdoa kepada Tuhan, “O Tuhan, jadikanlah aku seorang Kristian yang kuat. Berilah aku kekuatan. Bantulah aku.” Tuhan mungkin mendengar doa kamu, dan menjadikan kamu seorang yang kuat, tetapi kamu masih tidak dapat tidak berbuat dosa. Hal ini agak menghairankan. Tuhan tidak membantu kamu untuk jayeng, dan Tuhan tidak membantu kamu untuk berhenti berbuat dosa.

Memohon Agar Tuhan Mengurniakan Virtu

Selepas berkali-kali mengalami kegagalan, banyak orang Kristian akan menjadi jelas tentang jenis dosa yang selalu dilakukannya, dan mereka juga tahu sebab mereka gagal. Saya khuatir banyak dalam kalangan kamu yang masih belum mencari dosa lazim kamu. Namun terdapat sesetengah orang yang lebih baik daripada kamu kerana mereka telah menemukan dosa yang lazim dilakukan mereka. Ada orang yang sedar bahawa mereka bercakap terlalu banyak dan cepat, dan ada pula yang sedar bahawa pemikiran mereka tercemar dan tidak boleh didedahkan kepada orang. Ada orang yang tahu bahawa sikapnya terlalu keras dan mudah melukai orang. Mereka tahu bahawa mereka tidak lembut halus. Ada orang pula sedar bahawa mereka mudah naik marah, manakala ada yang sedar bahawa mereka sombong. Banyak orang sudah mengenali dosa lazim mereka, jadi mereka berikhtiar untuk menuntut virtu-virtu yang berlawanan dengan dosa mereka. Sebagai contoh, orang yang sombong akan menuntut kerendahan hati, orang yang cemburu akan berikhtiar menjadi seorang yang rendah diri. Orang yang mudah naik marah pula menuntut kesabaran, manakala orang yang berfikiran kotor akan mencari hati yang murni. Mereka akan menuntut virtu yang berlawanan dengan dosa mereka. Namun yang pelik ialah ketika kamu memohon kesabaran, kamu berpendapat diri kamu masih tidak begitu teruk. Pada anggapan kamu, kamu hanya mempunyai sedikit kekurangan, umpama satu lubang kecil, yakni kesabaran. Oleh itu, kamu memohon kepada Tuhan agar menghantar satu bungkusan bergelar kesabaran untuk kamu. Akan tetapi, kesabaran itu tidak datang-datang. Tidak kira bagaimana kamu mohon pun kesabaran itu tetap tidak datang. Kamu tidak henti-henti berdoa dan berkata kepada Tuan bahawa kamu kekurangan virtu tertentu. Kamu sungguh-sungguh mengharapkan Tuan akan memakbulkan doa kamu menurut permohonan kamu. Akan tetapi, Tuan tidak memberi kamu apa yang kamu mohon itu. (bersambung...)

DIA YANG JAYENG (Bahagian 4/4)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)