Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 3/3)
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 2/3)
KEHENTARAN (Bahagian 1/4)
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 3/3)
2020-07-07 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (70)

Nota Editor:

“Manusia mengatakan bahawa yang betul itu sudah cukup baik, tetapi Tuhan mengatakan bahawa hanya hayat yang mencukupi. Kita harus melakukan hal sehinggakan keriangan dan kedamaian terhasil secara dalaman. Inilah perbezaan antara jalan hayat dengan jalan betul dan salah. Seakan-akan betul dan salah sudah mencukupi dan tidak ada apa-apa lagi yang diperlukan. Akan tetapi, Tuhan tidak berpuas dengan sekadar betul. Dia menuntut kita berpuas dengan hayat divin.”

“Biarpun kita telah meyakinkan diri bahawa kita betul, namun perkara ini bukan berkenaan betul atau salah. Perkara ini berkenaan sama ada hayat Tuhan membenarkan kita atau tidak.”

“Dikbang dan dikkak, apabila kita hidup di hadapan Tuhan, tindakan kita tidak harus ditentukan oleh baik atau jahat, tetapi oleh hayat dalam kita. Apa-apa sahaja yang dikehendaki hayat untuk kita lakukan semuanya adalah bernilai. Segala yang kita lakukan tanpa hayat, tidak kira betapa baiknya hal itu, hanya akan membawa pengutukan dalaman. Seseorang Kristian tidak harus hanya bertaubat di hadapan Tuhan atas dosa-dosa yang dilakukannya; dia juga harus bertaubat di hadapan Tuhan atas hal-hal baik yang dilakukannya. Prinsip kehidupan kita bukanlah membezakan antara baik dengan jahat. Kita harus datang kepada Tuhan untuk membezakan antara hayat dengan maut. Apabila kita mempunyai hayat di dalam dan merasakan bahawa hayat sedang bangkit, maka kita melakukan perkara yang betul. Apabila hayat tidak bangkit dan kita tidak merasai pengurapan dalam diri kita, kita tidak harus mengendahkan sama ada hal yang kita buat itu betul atau salah. Sebaliknya, kita harus mengaku dosa di hadapan Tuhan dan memohon pengampunan-Nya.”

“Standard betul dan salah tidaklah jahat; ini merupakan standard yang baik, tetapi tidak memadai bagi seseorang Kristian. Standard orang Kristian melangkaui betul dan salah. Perkara yang salah tetap salah, tetapi perkara yang betul tidak selalunya betul. Jika kita bertindak menurut hayat Tuhan, Dia akan menunjukkan kepada kita bahawa tuntutan-Nya adalah lebih tinggi daripada hukum manusia.”

“Kita berharap agar setiap daripada kita dapat berkata kepada Tuhan, “Berilah aku kurnia agar aku dapat hidup melalui pohon hayat, bukan melalui pohon pengetahuan baik dan jahat. Aku ingin terus memberi perhatian kepada hayat. Aku ingin bertanya, ‘Apakah perasaan hayat?’” Jika kita hidup melalui prinsip ini, kita akan melihat perubahan yang besar dalam kehidupan Kristian kita.”

DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH
(Bahagian 3/3)

Catatan Mesej Hari Tuan

(CWWN, SET 3, JIL 10, Terbitan No. 37)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

2 Kor. 5:7 “Kerana kami bergerak-hidup berdasarkan iktikad, bukan berdasarkan apa yang tampak.”

1 Kor. 4:3-4 “Tetapi bagiku, perkara ini amat kecil, bahawa aku ini kamu periksa atau diperiksa oleh hari manusia; bahkan aku pun tidak memeriksa diri sendiri. Meskipun aku tidak berasa diriku bersalah, namun bukan kerana ini aku dijustifikasikan, tetapi Dia yang memeriksa aku ialah Tuan”.

HAYAT DIVIN HARUS DIPUASKAN

Saya ingat akan sebuah kisah dua orang adik-beradik yang juga orang Kristian. Mereka mempunyai sawah padi. Sawah padi memerlukan pengairan. Sawah mereka berada di lereng bukit, manakala sawah orang lain berada di kaki bukit. Pada suatu hari yang panas terik, mereka mengangkut air untuk memenuhi sawah waktu siang. Pada waktu malam, mereka tidur. Namun ketika mereka tidur, seorang petani di kaki bukit menggali lubang pada benteng saliran yang mengelilingi sawah dua saudara itu sehinggakan semua air mengalir ke sawahnya. Pada pagi berikutnya, saudara berdua itu sedar apa yang sudah berlaku tetapi mereka tidak berkata apa-apa. Sekali lagi mereka memenuhi saliran dengan air. Pada hari yang berikutnya, mereka mendapati sawah mereka masih tidak berair, tetapi mereka tetap tidak berkata apa-apa. Mereka orang Kristian dan mereka berasa bahawa mereka harus bersabar-tahan tanpa bersuara. Kejadian ini berlaku untuk tujuh hari berturut-turut. Ada orang yang mencadangkan agar mereka berkawal di sawah pada waktu malam untuk menangkap pencuri air itu dan memukulnya. Mereka tidak berkata apa-apa; mereka hanya bersabar-tahan kerana mereka orang Kristian.

Air mereka dicuri tetapi mereka tidak berkata apa-apa sebaliknya terus mengangkut air hari demi hari. Menurut konsep manusia, mereka sepatutnya berjalan dengan sangat riang, gembira, dan jayeng kerana mereka begitu bersabar-tahan. Akan tetapi pelik sekali, walaupun mereka mengangkut air setiap hari dan berdiam diri apabila orang lain mencuri air mereka, mereka tidak ada kedamaian dalam hati. Mereka pergi berjumpa dengan seorang dikbang yang berpengalaman dalam kerja Tuan dan berkata, “Kami tidak faham mengapa kami tidak ada kedamaian selepas bersabar-tahan selama tujuh atau lapan hari. Orang Kristian sepatutnya bersabar-tahan dan membiarkan sahaja apabila orang lain mencuri daripada mereka, tetapi kami tidak ada kedamaian dalam hati kami.” Dikbang ini sangat berpengalaman, lalu dia berkata, “Kamu belum buat dengan cukup lagi, dan kamu tidak cukup bersabar-tahan. Kamu sepatutnya mengisi sawah pencuri itu dahulu dengan air, kemudian baru mengisi sawah kamu sendiri. Cubalah buat demikian, dan lihatlah sama ada kamu ada kedamaian atau tidak.” Mereka bersetuju. Pada hari berikutnya, mereka bangun lebih awal daripada biasa dan memenuhi sawah orang yang mencuri air mereka, dan selepas itu memenuhi sawah mereka. Pelik sekali, mereka menjadi semakin riang semasa mereka memenuhi sawah pencuri itu. Apabila sampai masa untuk memenuhi sawah sendiri, mereka mempunyai kedamaian dalam hati. Mereka berasa damai sahaja apabila memikirkan kes kecurian air itu. Biarlah orang itu mencuri. Selepas dua atau tiga hari mereka berbuat demikian, orang yang mencuri air itu datang memohon maaf daripada mereka dengan berkata, “Jika inilah Kristianiti, saya sudi mendengar tentangnya.”

Ini menunjukkan kepada kita bahawa dalam alam betul dan salah, bersabar-tahan itu adalah betul. Apa lagi yang dapat kita minta daripada seseorang? Mereka ini telah menghabiskan sehari suntuk untuk menimba air, bukan dalam cuaca biasa, tetapi cuaca panas terik. Mereka bukan orang berpelajaran; mereka sekadar petani. Mereka telah melakukan hal yang betul dan baik. Apa lagi yang boleh diminta daripada mereka? Namun mereka tidak ada kedamaian secara dalaman. Ini menggambarkan jalan hayat. Inilah jalan yang kita ambil. Jalan betul dan salah ialah jalan yang lain. Manusia mengatakan bahawa yang betul itu sudah cukup baik, tetapi Tuhan mengatakan bahawa hanya hayat yang mencukupi. Kita harus melakukan hal sehinggakan keriangan dan kedamaian terhasil secara dalaman. Inilah perbezaan antara jalan hayat dengan jalan betul dan salah. Seakan-akan betul dan salah sudah mencukupi dan tidak ada apa-apa lagi yang diperlukan. Akan tetapi, Tuhan tidak berpuas dengan sekadar betul. Dia menuntut kita berpuas dengan hayat divin.

Apakah yang diajar kepada kita dalam Khutbah di Gunung dalam Matius 5—7? Kita diajar bahawa menjadi sekadar betul adalah tidak mencukupi. Kita harus melakukan hal dengan cara yang memuaskan hayat yang diberi Tuhan kepada kita. Inilah isi kandungan Matius 5—7, yakni Khutbah di Gunung. Khutbah di Gunung tidak mengatakan segala-galanya adalah baik asalkan dilakukan menurut apa yang betul. Manusia bertanyakan sebab dia perlu memalingkan sebelah pipi lagi apabila ditampar orang. Bukankah sudah cukup jika kita berdiam diri apabila orang menampar kita? Bukankah sudah cukup baik jika kita tidak menegurnya dan kita mengawal diri dengan baik? Namun Tuhan mengatakan bahawa bahkan menundukkan kepala dan beredar adalah tidak cukup ketika kita ditampar. Ini tidak memuaskan hayat dalaman. Kita harus memalingkan pipi yang sebelah lagi untuk ditampar orang itu. Ini bermakna kita tidak menyimpan rasa benci dalam hati kita. Kita tidak marah dan dapat menahan layanan ini buat kali kedua. Hayat adalah merendah diri. Hayat dapat memalingkan sebelah pipi lagi untuk satu lagi tamparan. Inilah jalan hayat.

Banyak orang mengatakan bahawa Matius 5—7 terlalu sukar bagi mereka. Saya mengaku memang demikian. Malah Matius 5—7 mustahil dilaksanakan. Jika kita cuba, kita akan mati kerana tidak dapat melakukannya. Namun begitu, kita mempunyai satu lagi hayat dalam kita. Hayat ini memberitahu kita bahawa kita tidak akan gembira jika kita tidak melakukannya. Hayat ini tidak mempedulikan betapa banyaknya kita tersinggung oleh seseorang dikbang atau dikkak. Jika kita tidak berlutut untuk berdoa bagi dia, kita tidak akan ada kegirangan dalaman. Bersabar-tahan secara diam-diam memang baik, tetapi jika kita tidak mengikut Khutbah di Gunung, kita tidak akan ada kegirangan dalaman. Khutbah di Gunung mengajar bahawa kita harus memuaskan hayat Tuhan dalam kita. Dengan melakukan hal-hal ini, hayat divin dipuaskan, terbebas, damai, dan gembira. Inilah pokoknya: Adakah kita bergerak-hidup dalam jalan hayat atau dalam jalan betul dan salah? Jika kita membaca Sabda Tuhan dengan jelas, kita akan melihat bahawa adalah salah untuk memutuskan perkara menurut prinsip betul dan salah, atau hidup, bertindak, dan berperilaku menurut hayat-diri kita.

DALAMAN HARUS DIPENUHI HAYAT

Kadang-kadang kita bertemu dengan seorang dikbang yang bertindak dengan cuai sekali. Menurut peraturan, kita harus menasihati atau menegurnya sebaik-baiknya. Kita berkata kepada diri sendiri bahawa orang ini memerlukan penanggulangan yang serius dan menyeluruh. Kita bersedia untuk menghadapinya kerana dia akan berada di sini untuk beberapa hari. Kita pergi mengetuk pintunya sambil bertanyakan sama ada kita betul atau salah. Dia telah bertindak secara cuai, apa lagi yang boleh kita lakukan melainkan menasihatinya? Kita sampai di depan pintu dan mengangkat tangan hendak mengetuk, tetapi timbul masalah di dalam. Tangan yang terangkat pun turun ke sisi. Biarpun kita telah meyakinkan diri bahawa kita betul, namun perkara ini bukan berkenaan betul atau salah. Perkara ini berkenaan sama ada hayat Tuhan membenarkan kita atau tidak. Kerap kali apabila kita pergi menasihati seseorang dikbang, dia akan menerima nasihat kita dengan sopan dan berjanji akan bertindak menurut sabda Tuhan. Namun semakin kita berbicara kepadanya, semakin susutnya diri dalaman kita. Apabila kita pulang ke rumah, kita terpaksa mengaku bahawa kita sudah salah dengan menasihati dikbang itu! Oleh itu, perkara ini bukan baik atau jahat tetapi soal dipenuhi hayat secara dalaman.

Saya akan memberi kamu satu lagi contoh. Saya bertemu dengan seorang dikbang beberapa hari yang lalu. Dia amat miskin dan memerlukan pertolongan. Saya berfikir bahawa saya perlu melakukan sesuatu untuknya kerana dia tidak menerima apa-apa bantuan daripada sumber lain. Pada waktu itu saya juga tidak ada kelebihan, jadi saya banyak berkorban untuk membantunya. Seolah-olah saya telah melampaui batas kemampuan saya dengan membantunya. Menurut peraturan, saya adalah betul. Saya sepatutnya gembira semasa saya memberi dia wang. Namun atas sebab yang tidak dapat dijelaskan, saya berasa mundur di dalam semasa saya memberi dia wang yang sudah saya janjikan. Suatu suara berbisik di dalam, “Kamu hanyalah membuat amal. Itu bukan tindakan daripada hayat; itu sekadar kesateriaan insani dan kebaikan alamiah. Itu tidak dilakukan dalam hayat tetapi dalam diri kamu sendiri.” Tuhan tidak menghendaki saya melakukannya. Saya menderita selama dua atau tiga minggu kerana hal ini. Biarpun saya telah memberi dikbang itu wang, saya perlu sujud di hadapan Tuhan, mengaku dosa saya, dan memohon pengampunan-Nya selepas saya pulang ke rumah.

GERAK-HIDUP KITA HARUS MENURUT PIMPINAN HAYAT

Dikbang dan dikkak, apabila kita hidup di hadapan Tuhan, tindakan kita tidak harus ditentukan oleh baik atau jahat, tetapi oleh hayat dalam kita. Apa-apa sahaja yang dikehendaki hayat untuk kita lakukan semuanya adalah bernilai. Segala yang kita lakukan tanpa hayat, tidak kira betapa baiknya hal itu, hanya akan membawa pengutukan dalaman. Seseorang Kristian tidak harus hanya bertaubat di hadapan Tuhan atas dosa-dosa yang dilakukannya; dia juga harus bertaubat di hadapan Tuhan atas hal-hal baik yang dilakukannya. Prinsip kehidupan kita bukanlah membezakan antara baik dengan jahat. Kita harus datang kepada Tuhan untuk membezakan antara hayat dengan maut. Apabila kita mempunyai hayat di dalam dan merasakan bahawa hayat sedang bangkit, maka kita melakukan perkara yang betul. Apabila hayat tidak bangkit dan kita tidak merasai pengurapan dalam diri kita, kita tidak harus mengendahkan sama ada hal yang kita buat itu betul atau salah. Sebaliknya, kita harus mengaku dosa di hadapan Tuhan dan memohon pengampunan-Nya. 

Paulus mengatakan bahawa dia tidak menghakimi diri sendiri, tetapi hanya Tuhan yang menghakimi dia (1 Kor. 4:3-4). Banyak yang tidak memahami petikan ini dalam 1 Korintus. Ayat ini mudah tetapi jika kita tidak mengenali hayat, ayat ini menjadi sangat sulit. Jika kita mempunyai standard baik dan jahat secara luaran, amat mudah untuk menghakim ketika kita salah atau betul. Paulus tidak bertindak menurut standard baik dan jahat secara luaran, jadi dia hanya dapat berkata, “Aku pun tidak memeriksa diri sendiri. Meskipun aku tidak berasa diriku bersalah, namun bukan kerana ini aku dijustifikasikan, tetapi Dia yang memeriksa aku ialah Tuan.” Dia yang memeriksa kita di hadapan tempat penghakiman ialah Tuan. Tambahan pula, kita memiliki hayat dalam kita yang memimpin kita untuk maju. Inilah sebabnya 2 Korintus 5:7 berkata, “Kami bergerak-hidup berdasarkan iktikad, bukan berdasarkan apa yang tampak.” Kita tidak menentukan hal melalui hukum luaran yang dapat dilihat. Kita hidup menurut pimpinan yang diberikan Tuan secara dalaman.

Kita harus belajar di hadapan Tuhan supaya tidak bertindak hanya menurut standard betul dan salah. Standard betul dan salah tidaklah jahat; ini merupakan standard yang baik, tetapi tidak memadai bagi seseorang Kristian. Standard orang Kristian melangkaui betul dan salah. Perkara yang salah tetap salah, tetapi perkara yang betul tidak selalunya betul. Jika kita bertindak menurut hayat Tuhan, Dia akan menunjukkan kepada kita bahawa tuntutan-Nya adalah lebih tinggi daripada hukum manusia. Dengan demikian, amatlah mudah bagi kita menjalani kehidupan orang Kristian. Dalam setiap perkara, jika kita mencari pembicaraan Tuhan dalam kita, secara spontan akan terdapat penyinaran cahaya dalaman. Sila ingat bahawa kelahiruan kita merupakan suatu hakikat. Tuhan hidup dalam kita menerusi Tuan Yesus juga merupakan suatu hakikat. Tuan sentiasa mengekspresikan diri-Nya dalam kita. Kita berharap agar setiap daripada kita dapat berkata kepada Tuhan, “Berilah aku kurnia agar aku dapat hidup melalui pohon hayat, bukan melalui pohon pengetahuan baik dan jahat. Aku ingin terus memberi perhatian kepada hayat. Aku ingin bertanya, ‘Apakah perasaan hayat?’” Jika kita hidup melalui prinsip ini, kita akan melihat perubahan yang besar dalam kehidupan Kristian kita.

Banyak masalah timbul hari ini kerana kita hanya mempunyai standard betul dan salah. Banyak kesalahan dibuat kerana kita tidak ada standard hayat. Jika kita ada standard hayat, banyak masalah akan diselesaikan.

DOA

O Tuan, kami berdiri di hadapan-Mu, memohon agar Engkau berbicara lagi. Manusia adalah kosong dan tidak dapat melakukan apa-apa. Kami hanya memohon kurnia-Mu untuk membuka mata kami. Setiap kali kami membuka mulut atau membuat keputusan, biarlah kami datang ke hadapan-Mu dan bertanya sama ada keputusan kami adalah menurut betul dan salah atau menurut pimpinan hayat secara dalaman. Tuan, biarlah kami melihat perbezaan antara yang rohani dengan yang bersifat tubuh daging. Biarlah kami benar-benar melihat perbezaan antara cahaya dalaman dengan hukum luaran. Tuan, selamatkanlah kami daripada jalan maut. Tuan, memang salah bagi kami hidup dengan membezakan betul dan salah. Semoga kami melihat bahawa membezakan betul dan salah merupakan dosa dan maut, kerana hanya orang yang hidup dalam maut yang dapat melakukannya. Orang yang hidup dalam hayat haruslah dipimpin hayat. Hayatlah yang harus memimpin. Tuan, beradalah dalam kalangan kami agar kami melihat hal ini dengan jelasnya. Engkau telah mengatakannya banyak kali, dan kami ingin mengatakannya lagi: Semoga Sabda-Mu tidak menjadi sia-sia. Biarlah kami mengenali apa itu hayat dan apa itu hukum. Berkatilah pembicaraan yang berserpih-serpih ini. Rahmatilah kami, dan berilah kami kurnia. Pimpinlah kami di jalan hadapan. Dalam nama Tuan Yesus. Amen.

DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 2/3)
KEHENTARAN (Bahagian 1/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)