Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 2/3)
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 1/3)
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 3/3)
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 2/3)
2020-07-06 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (69)

Nota Editor:

“Standard kehidupan orang Kristian bukan sahaja menanggulangi hal-hal yang jahat tetapi juga hal-hal yang baik dan betul. Banyak hal adalah betul menurut standard manusia, tetapi standard divin mengatakan hal-hal itu salah kerana hal-hal itu kekurangan hayat divin.”

“Kunci bagi segala sesuatu ialah butir ini: Orang lain mungkin mengatakan bahawa sesuatu itu betul. Kita juga mungkin mengatakan hal itu betul, tetapi adakah hayat Tuan bangkit dalam kita atau mengundur dalam kita apabila kita mula melakukan sesuatu? Apabila kita mula melakukan sesuatu, adakah kita merasai pengurapan ataupun kita berasa keberatan? Semasa kita melakukan hal itu, adakah kita semakin mempunyai perasaan bahawa kita betul, ataupun terdapat sesuatu yang memberitahu kita bahawa kita salah? Sila ingat bahawa keputusan bukan dibuat menurut betul atau salah di luar, tetapi menurut sama ada itu perasaan hayat Tuhan yang kuat atau perasaan maut di dalam.”

“Dua kesalahan terbesar anak-anak Tuhan ialah banyak orang menentukan betul dan salah menurut pandangan mata mereka. Banyak orang juga menentukan betul dan salah menurut latar belakang mereka dan berdasarkan bertahun-tahun pengalaman mereka. Oleh itu, mereka tidak tahu apa yang benar-benar betul dan apa yang benar-benar salah. Sila ingat bahawa kehidupan Kristianiti adalah berdasarkan hayat dalaman. Banyak orang hanya memiliki keadaan luaran di hadapan Tuhan. Banyak orang menentukan betul atau salah menurut hal-hal luaran. Akan tetapi, hayat merupakan perkara berlainan. Orang yang memiliki hayat akan memahami hal ini.”

DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH
(Bahagian 2/3)

Catatan Mesej Hari Tuan

(CWWN, SET 3, JIL 10, Terbitan No. 37)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Mat. 17:3 “Lihatlah, Musa dan Elia muncul kepada mereka; kedua-duanya sedang berbual dengan Yesus.”

Mat. 17:8 “Apabila memandang ke atas, mereka tidak nampak sesiapa pun kecuali Yesus seorang diri.”

Mat 17:5b “Dengarlah Dia!”

STANDARD HAYAT LEBIH TINGGI DARIPADA STANDARD BAIK

Selepas perkara ini menjadi jelas, kita akan melihat bahawa bukan sahaja hal yang jahat tidak boleh dilakukan, malah hal yang baik semata-mata juga tidak boleh dilakukan. Orang Kristian hanya boleh melakukan hal yang berasal daripada hayat. Di sini kita melihat bahawa terdapatnya hal-hal jahat, hal-hal baik, dan hal-hal hayat. Kita bukan bermaksud bahawa orang Kristian harus melakukan hal-hal baik dan hal-hal hayat. Maksud kita ialah orang Kristian tidak harus melakukan hal-hal baik dan hal-hal jahat. Tuhan bersabda, “Daripada pohon pengetahuan baik dan jahat, daripadanya janganlah engkau makan kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti akan mati.” Perhatikan “baik dan jahat” diletakkan bersama-sama sebagai satu jalan, sementara “hayat” merupakan jalan lain. Orang Kristian tidak harus sekadar menolak jahat, mereka juga perlu menolak baik. Terdapat satu standard yang lebih tinggi daripada standard baik; itulah standard hayat.

Saya telah membicarakan cerita ini kepada banyak orang dikbang muda, tetapi saya ingin mengulanginya lagi hari ini. Sewaktu saya mula-mula melayan Tuan, saya berusaha untuk mengelakkan segala yang jahat dan saya berusaha melakukan hal-hal yang baik. Menurut sudut pandangan manusia, kemajuan saya sangat baik kerana saya menghindari kejahatan dan melakukan kebaikan. Namun demikian, timbul suatu masalah. Disebabkan saya mengejar betul dan salah, maka dalam setiap hal, saya ingin jelas tentang apa yang betul dan apa yang jahat sebelum saya membuat apa-apa. Pada masa itu saya mempunyai seorang rakan sekerja yang dua tahun lebih tua daripada saya, dan kami sering berselisih pendapat. Perselisihan pendapat kami bukan berkenaan urusan peribadi, tetapi berkenaan urusan awam, malah perselisihan kami juga terbuka. Saya selalu berkata kepada diri sendiri: Itu salah; jika dia hendak membuat mengikut cara dia, saya akan bantah. Tetapi tidak kira betapa banyaknya saya membantah, dia tidak akan bertolak ansur. Satu-satu alasannya ialah dia adalah dua tahun lebih tua daripada saya. Saya boleh bertikai dengan apa-apa alasan yang lain, namun saya tidak dapat mempertikaikan hakikat bahawa dia memang dua tahun lebih tua daripada saya. Saya tidak dapat memenangi pertengkaran, tetapi dalam hati, saya tetap tidak akur. Lalu saya menceritakan hal kami kepada seorang dikkak yang berusia, yang sangat kaya dalam pengalaman rohani. Saya juga memintanya untuk menilai, adakah dia betul atau saya betul? Dikkak itu tidak mengatakan siapa yang betul dan siapa yang salah, dia cuma merenung saya dan berkata, “Lebih baik kamu mendengar kata-kata dia.” Saya berasa tidak gembira di dalam dan berfikir, “Jika saya yang betul, cakaplah saya betul. Jika saya yang salah, cakaplah saya salah. Mengapa pula mengatakan lebih baik saya mendengar kata-kata dia?” Saya meminta dia memberi alasan untuk jawapannya. Dia berkata, “Dalam Tuan, yang muda harus tunduk kepada yang tua.” Saya membalas, “Tetapi dalam Tuan, kalau yang muda itu betul dan yang tua itu salah, patutkah yang muda itu masih tunduk kepada yang tua?” Pada masa itu saya masih belajar di sekolah menengah dan belum belajar untuk dihadkan, jadi saya melepaskan sahaja kegeraman saya. Dia tetap senyum dan berkata, “Lebih baik kamu mendengar kata-kata dia.”

Pada suatu kali, beberapa orang ingin dibaptis, dan kami bertiga sedang melayan. Saya yang paling muda, dikbang yang dua tahun lebih tua daripada saya, dan seorang lagi Dikbang Wu, yang tujuh tahun lebih tua daripada dia. Saya berfikir, “Kamu dua tahun lebih tua daripada saya, jadi saya perlu tunduk kepada kamu dalam segala hal. Dikbang itu lagi tua. Lihatlah sama ada kamu akan mendengar kata-katanya.” Kami datang bersama-sama untuk berbincang, tetapi dia enggan menerima sebarang kata-kata Dikbang Wu. Dalam setiap butir, dia berkeras dengan caranya. Akhirnya dia berkata, “Jika kamu tidak mahu buat, biar saya seorang sahaja yang uruskan perkara ini.” Saya berfikir, “Apa pula logik ini? Kalau begitu, lenyaplah betul dan salah di dunia ini.” Dengan segera saya pergi berjumpa dengan dikkak itu dan bertanya kepadanya, “Sekarang hal sebegini sudah berlaku. Apa kata kamu?” Saya berasa marah apabila dia langsung tidak memberi perhatian kepada betul dan salah. Dia pun berdiri dan berkata, “Sampai sekarang kamu masih tidak melihat apa itu hayat Kristus? Beberapa bulan ini kamu asyik mengatakan kamu betul, dan dikbang kamu salah. Tidak tahukah kamu erti salib? Kamu pertikaikan betulnya sesuatu perkara, tetapi saya pertikaikan soal hayat salib.” Saya mempertikaikan betul atau tidak betul. Saya tidak melihat apa itu hayat, dan saya juga tidak melihat apa itu salib. Jadi dia bertanya kepada saya, “Adakah kamu ingat kamu betul dengan melakukan ini? Adakah kamu ingat kamu betul dengan berfikir begini? Adakah kamu ingat kamu betul dengan berkata begini? Adakah kamu ingat kamu betul dengan memberitahu saya bahawa kamu betul? Secara munasabah kamu memang betul, tetapi biar saya tanya, bagaimanakah dengan dalaman kamu? Bagaimana dengan perasaan dalaman kamu?” Saya hanya boleh mengaku bahawa saya adalah betul dari segi kemunasabahan, tetapi saya memang salah dari segi hayat dalaman.

Standard kehidupan orang Kristian bukan sahaja menanggulangi hal-hal yang jahat tetapi juga hal-hal yang baik dan betul. Banyak hal adalah betul menurut standard manusia, tetapi standard divin mengatakan hal-hal itu salah kerana hal-hal itu kekurangan hayat divin. Sejak hari itu, buat kali pertama saya melihat cahaya, dan saya beransur-ansur melihat bahawa semasa saya hidup di hadapan Tuhan, adakah saya mengikut prinsip hayat atau prinsip betul dan salah? Semasa saya membuat pentamyizan, adakah saya melakukan sesuatu hal hanya kerana hal itu betul? Kunci bagi segala sesuatu ialah butir ini: Orang lain mungkin mengatakan bahawa sesuatu itu betul. Kita juga mungkin mengatakan hal itu betul, tetapi adakah hayat Tuan bangkit dalam kita atau mengundur dalam kita apabila kita mula melakukan sesuatu? Apabila kita mula melakukan sesuatu, adakah kita merasai pengurapan ataupun kita berasa keberatan? Semasa kita melakukan hal itu, adakah kita semakin mempunyai perasaan bahawa kita betul, ataupun terdapat sesuatu yang memberitahu kita bahawa kita salah? Sila ingat bahawa keputusan bukan dibuat menurut betul atau salah di luar, tetapi menurut sama ada itu perasaan hayat Tuhan yang kuat atau perasaan maut di dalam. Keputusan harus dibuat menurut hayat Tuhan, sama ada hayat ini bangkit atau mengundur dalam kita. Tidak ada seorang Kristian yang boleh mengatakan di sini bahawa sesuatu perkara itu sangat baik, jadi saya boleh melakukannya, atau sesuatu perkara itu sangat betul, jadi saya melakukannya. Kita harus bertanya apa yang dikatakan Tuan dalam kita? Apakah perasaan yang diberikan Tuan kepada kita dalam kita? Adakah kita berasa girang secara dalaman berkenaan hal ini? Adakah kita mempunyai kegembiraan dan kedamaian rohani? Perkara inilah yang menentukan jalan rohani kita.

Sewaktu saya berkunjung ke Honor Oak, terdapat seorang lagi dikbang yang juga tetamu di sana. Dia mempunyai banyak kritikan terhadap tempat itu. Dia pernah menjadi pastor dan merupakan seorang penginjil yang baik, dan dia mengetahui bahawa Honor Oak dapat memberikan banyak bantuan dari segi kerohanian. Walau bagaimanapun, dia tidak bersetuju dengan banyak perkara. Setiap kali kami bertembung, dia akan memberitahu saya banyak berkenaan keadaan tempatnya dan keadaan Honor Oak. Maksudnya ialah tempatnya lebih baik daripada Honor Oak. Selama kami bersama selama dua atau tiga bulan, kritikannya lebih banyak daripada orang lain. Pada suatu hari, dia mengatai dengan keterlaluan, jadi saya bertanya kepadanya, “Kamu mengatai Honor Oak dengan begitu buruk, bukankah lebih baik jika kamu tinggalkan tempat ini? Mengapa kamu masih di sini?” Dia menjawab dengan menunjuk pada hatinya, “Sebabnya di sini; dia (hati) mahu berada di sini. Setiap kali saya mengemas barang untuk pergi, hati saya menjadi tidak tenteram. Pernah sekali saya telah meninggalkan tempat ini selama dua minggu, tetapi saya terpaksa menulis surat untuk minta kembali lagi.” Saya berkata, “Dikbang, adakah kamu melihat dua jalan ini: jalan hayat dan jalan yang kamu anggap sebagai betul atau salah?” Dia berkata, “Beberapa kali saya pergi ke bilik untuk mengemas barang sebanyak tiga kali. Tetapi setiap kali saya ingin beredar, perasaan dalaman saya tidak ingin menurut dan menghalang. Secara dalaman, saya berasa mereka melakukan hal yang salah, tetapi saya juga berasa salah jika saya beredar.” Tuhan telah menunjukkan kepadanya bahawa jika dia ingin menerima bantuan rohani, dia harus tinggal di situ untuk bertemu dengan Tuhan. Kita semua dapat melihat bahawa hal ini bukan berkenaan pandangan kita dari sudut betul atau salah. Tuhan menggunakan hayat-Nya untuk mengawal anak-anak-Nya.

KEPUTUSAN BUKAN DITENTUKAN OLEH KEADAAN LUARAN

Dua kesalahan terbesar anak-anak Tuhan ialah banyak orang menentukan betul dan salah menurut pandangan mata mereka. Banyak orang juga menentukan betul dan salah menurut latar belakang mereka dan berdasarkan bertahun-tahun pengalaman mereka. Oleh itu, mereka tidak tahu apa yang benar-benar betul dan apa yang benar-benar salah. Sila ingat bahawa kehidupan Kristianiti adalah berdasarkan hayat dalaman. Banyak orang hanya memiliki keadaan luaran di hadapan Tuhan. Banyak orang menentukan betul atau salah menurut hal-hal luaran. Akan tetapi, hayat merupakan perkara berlainan. Orang yang memiliki hayat akan memahami hal ini.

Saya berharap agar kita melihat hal ini di hadapan Tuhan: Tidak ada seorang Kristian yang dapat menentukan apa-apa di luar hayat. Apa jua yang menambahkan hayat dalaman adalah betul, manakala apa jua yang mengurangkan hayat dalaman adalah salah. Tidak ada seorang yang harus menentukan sama ada sesuatu perkara itu betul atau salah melalui standard luaran.

Saya terfikir bahawa saya pernah mengunjungi suatu tempat. Dikbang-dikbang yang bekerja di tempat itu menghasilkan kerja yang berkesan, dan Tuhan benar-benar menggunakan mereka. Jika kamu bertanya kepada saya sama ada kerja mereka sempurna atau tidak, saya akan mengaku bahawa masih terdapat ruang kemajuan lagi. Dengan rendah hati mereka meminta saya menunjukkan hal-hal yang perlu diperbetul, maka saya menyebut hal ini dan hal itu. Beberapa kali mereka bertanya kepada saya, tetapi mereka langsung tidak mengubah apa-apa. Adakah saya marah? Tidak! Seorang yang bodoh akan naik marah, tetapi seorang yang mengenali Tuhan tidak akan naik marah. Saya hanya dapat menunjukkan hal-hal luaran yang memerlukan pembetulan, tetapi saya tidak dapat melihat apa yang sedang dilakukan Tuhan dalam mereka. Saya tidak boleh memberitahu Tuhan apa yang harus dilakukan-Nya dalam mereka.

Di satu tempat lagi yang saya lawat, dikbang-dikbang di situ tidak memberitakan injil. Mereka membincangkan hal itu dengan saya dan bertanyakan jika saya berasa mereka harus menginjil. Saya menjawab, “Dari segi doktrin, kita memang perlu menginjil.” Mereka juga bersetuju bahawa mereka patut menginjil, tetapi yang menghairankan Tuhan tidak memberi mereka hayat dalam perkara ini. Orang yang mengenali Tuhan hanya dapat berdiri ke tepi dan berdiam, kerana jalan kita ialah hayat-Nya, bukan betul dan salah. Perbezaan dua prinsip ini sememangnya sangat besar. Dikbang dan dikkak, perbezaan ini terlalu besar. Banyak orang hanya memikirkan betul atau salah mereka melakukan sesuatu. Namun hari ini kita tidak harus bertindak menurut apa yang betul dan apa yang salah. Satu-satunya soalan yang harus kita tanya hari ini ialah sama ada hayat divin dalam kita bangkit atau undur. Inilah yang harus menentukan jalan yang kita ambil. Segala-galanya ditentukan dalam hati kita.

“DENGARLAH DIA”

Di atas Gunung Transfigurasi, Musa ada di situ, yang mewakili standard moral secara luaran. Elia juga ada di situ, yang mewakili standard manusia yang luaran (Mat. 17:3). Kita semua tahu bahawa Musa mewakili hukum dan Elia mewakili penyabda. Terdapatnya standard hukum dan standard penyabda di sini. Dalam Wasiat Lama, hukum dan penyabda paling layak berbicara, tetapi di sini Tuhan mendiamkan mereka. Tuhan bersabda kepada Petrus, “Inilah Anak-Ku, Yang Dikasihi...Dengarlah Dia!” (ay. 5). Hari ini, standard kehidupan Kristian bukan lagi hukum atau penyabda. Standard kehidupan Kristian ialah Kristus sendiri, yakni Kristus yang huni dalam kita. Oleh itu, soal sekarang bukan sama ada kita betul atau salah tetapi sama ada hayat divin dalam kita bersetuju atau tidak dengan sesuatu perkara. Sering kali, kita beranggap kita boleh melakukan sesuatu, tetapi hayat dalam kita tidak bersetuju. Apabila hal ini berlaku, kita tidak boleh berkeras hendak melakukannya. (bersambung...)

DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 1/3)
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 3/3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)