Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 1/3)
NADA KEHIDUPAN YANG JAYENG
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 2/3)
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 1/3)
2020-07-05 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (68)

Nota Editor:

“Apakah yang dimaksudkan dengan seseorang hidup menurut betul dan salah? Apakah yang dimaksudkan dengan seseorang hidup menurut hayat? Kebanyakan orang hanya mempunyai pohon pengetahuan baik dan jahat dalam kehidupan mereka. Ada yang mempunyai pohon hayat dalam kehidupan mereka. Sesetengah orang pula mempunyai kedua-dua pohon. Namun, sabda Tuhan memberitahu kita bahawa orang yang makan pohon pengetahuan baik dan jahat pasti akan mati, manakala orang yang makan pohon hayat akan hidup...Jika manusia ingin terus hidup di hadapan Tuhan, dia harus memahami erti makan buah daripada pohon hayat.”

“Di sini, saya ingin menambah satu lagi prinsip kehidupan: prinsip dosa. Kamu boleh mengatakan bahawa setiap orang di dunia hidup menurut sekurang-kurangnya tiga prinsip: Mereka boleh hidup melalui dosa, atau mereka boleh hidup melalui betul dan salah, atau mereka boleh melalui hayat.”

“Apakah maksud ini? Maksudnya senang sahaja. Banyak orang hidup di bumi dengan menuruti nafsu tubuh daging mereka. Mereka merupakan anak murka yang terbelenggu oleh arus dunia. Mereka hidup dan bertindak menurut operasi roh-roh jahat dalam hati mereka. Prinsip kehidupan mereka ialah mereka hidup melalui dosa (Ef. 2:1-3).”

“Apakah prinsip betul dan salah? Jika gerak laku kita dikawal oleh prinsip betul dan salah, maka setiap kali kita membuat keputusan, kita akan bertanya sama ada perkara itu betul atau salah. Adakah melakukan perkara ini baik atau jahat? Apabila kita bertanya sama ada sesuatu itu baik atau tidak, kita sebenarnya bertanya kepada diri kita, ‘Adakah betul jika saya melakukan hal ini?’”

“Kristianiti bukanlah suatu standard tertentu dengan adanya kebaikan luaran dan kejahatan luaran. Hari ini, saya boleh memilih yang baik dan menolak yang jahat, tetapi perbuatan ini bukan Kristianiti. Ini merupakan Wasiat Lama, hukum, agama duniawi, moral manusia, dan etika manusia, namun bukan Kristianiti.”

“Kristianiti tidak menuntut kita bertanyakan sama ada sesuatu itu betul atau salah, baik atau jahat. Sebaliknya, setiap kali kita melakukan sesuatu, terdapat hayat yang bangkit dalam kita untuk berbicara kepada kita. Apabila secara dalaman kita berasa betul, kita berasa ada pergerakan hayat, kita berasa kuat dan ada pengurapan, maka kita tahu bahawa kita mempunyai hayat. Sering kali sesuatu itu betul dan baik di mata manusia, tetapi peliknya hayat dalaman tidak memberi respons malah menjadi dingin dan berundur.”

“Apakah yang dikatakan oleh hayat dalaman kita? Jika hayat dalam kita kuat dan aktif, kita boleh melakukan hal itu; jika hayat dalam kita itu sejuk dan mundur, kita tidak harus melakukan hal itu.”

DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH
(Bahagian 1/3)

Catatan Mesej Hari Tuan

(CWWN, SET 3, JIL 10, Terbitan No. 37)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Kej. 2:9b “Pohon hayat di tengah-tengah taman itu, dan pohon pengetahuan baik dan jahat.”

Kej. 2:16-17 “Dan Yehova Tuhan memerintahkan manusia, dengan bersabda, Daripada setiap pohon di taman ini engkau boleh makan secara bebas, tetapi daripada pohon pengetahuan baik dan jahat, daripadanya janganlah engkau makan kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti akan mati.” (Pohon pengetahuan baik dan jahat juga boleh diterjemahkan sebagai “pohon pengetahuan betul dan salah”.)

Selepas Tuhan mencipta manusia, Dia memikirkan soal makanan untuk manusia. Pemberian hayat merupakan permulaan hayat, tetapi makanan diperlukan untuk meneruskan hayat. Selepas Tuhan mencipta seorang manusia yang hidup, Dia membuat pertimbangan bagi pihak manusia tentang apa yang harus dilakukannya untuk terus hidup. Manusia bukan sahaja harus hidup, malah perlu menjalani kehidupan. Tuhan ingin manusia bergantung pada-Nya untuk kehidupannya sebagaimana dia bergantung pada makanan untuk kehidupannya. “Kerana dalam-Nya kita hidup, bergerak, dan wujud” (Kis. 17:28). Oleh itu, Tuhan berbicara kepada kita dengan menggunakan dua pohon sebagai ibarat. Pohon hayat dan pohon pengetahuan baik dan jahat ialah sejenis ibarat. Dua pohon ini menunjukkan kepada kita bahawa terdapat dua jenis makanan bagi manusia dan manusia dapat hidup sama ada melalui hayat atau melalui pengetahuan baik dan jahat, iaitu pengetahuan betul dan salah. Banyak orang pernah membaca tentang dua pohon tersebut dalam Kejadian 2, tetapi kita ingin menekankan bahawa dua pohon itu diletakkan di situ untuk menunjukkan kepada kita bahawa manusia sejagat, terutamanya orang Kristian, hidup di bumi menurut dua prinsip yang berlainan. Manusia mungkin hidup menurut prinsip betul dan salah atau menurut prinsip hayat. Sesetengah orang Kristian mengambil prinsip betul dan salah sebagai standard kehidupan mereka, manakala orang Kristian yang lain mengambil prinsip hayat sebagai standard kehidupan mereka.

Oleh itu, hari ini saya ingin meluangkan sedikit masa untuk melihat dua prinsip kehidupan ini. Apakah yang dimaksudkan dengan seseorang hidup menurut betul dan salah? Apakah yang dimaksudkan dengan seseorang hidup menurut hayat? Kebanyakan orang hanya mempunyai pohon pengetahuan baik dan jahat dalam kehidupan mereka. Ada yang mempunyai pohon hayat dalam kehidupan mereka. Sesetengah orang pula mempunyai kedua-dua pohon. Namun, sabda Tuhan memberitahu kita bahawa orang yang makan pohon pengetahuan baik dan jahat pasti akan mati, manakala orang yang makan pohon hayat akan hidup. Tuhan juga menunjukkan kepada kita bahawa orang yang hidup dengan bergantung pada pohon pengetahuan baik dan jahat akan kehilangan kedudukannya di hadapan Tuhan. Jika manusia ingin terus hidup di hadapan Tuhan, dia harus memahami erti makan buah daripada pohon hayat.

DUA PRINSIP KEHIDUPAN ORANG KRISTIAN

Di sini, saya ingin menambah satu lagi prinsip kehidupan: prinsip dosa. Kamu boleh mengatakan bahawa setiap orang di dunia hidup menurut sekurang-kurangnya tiga prinsip: Mereka boleh hidup melalui dosa, atau mereka boleh hidup melalui betul dan salah, atau mereka boleh melalui hayat.

Apakah maksud ini? Maksudnya senang sahaja. Banyak orang hidup di bumi dengan menuruti nafsu tubuh daging mereka. Mereka merupakan anak murka yang terbelenggu oleh arus dunia. Mereka hidup dan bertindak menurut operasi roh-roh jahat dalam hati mereka. Prinsip kehidupan mereka ialah mereka hidup melalui dosa (Ef. 2:1-3). Pagi ini saya tidak mahu membicarakan prinsip ini. Saya percaya bahawa banyak antara kita yang telah meninggalkan prinsip dosa. Apa yang akan kita pertimbangkan pagi ini berada di luar prinsip dosa. Dua pohon ini mewakili dua prinsip kehidupan. Setelah menjadi orang Kristian, sesetengah orang hidup melalui prinsip betul dan salah, sementara yang lain hidup melalui prinsip hayat.

Semasa membicarakan hal ini, saya membuat anggapan bahawa kita telah meninggalkan prinsip dosa dan sedang bergerak-hidup di hadapan Tuhan. Jika kita membuat pemerhatian, kita akan melihat bahawa sesetengah orang hidup menurut prinsip betul dan salah atau baik dan jahat. Ingatlah bahawa prinsip betul dan salah, prinsip baik dan jahat, bukanlah Kristianiti. Kristianiti merupakan perkara hayat, bukan menurut standard tertentu. Kristianiti membicarakan hayat, bukan baik dan jahat. Kristianiti mengajar hayat, bukan betul dan salah. Banyak yang hadir pagi ini ialah dikbang dan dikkak yang muda. Saya ingin memberitahu kamu bahawa setelah kamu menerima Tuan Yesus dan beroleh hayat baru, kamu beroleh sesuatu yang ajaib di dalam. Kamu menerima satu lagi prinsip kehidupan. Akan tetapi, jika kamu tidak menyedarinya, kamu akan mengetepikan prinsip hayat dan mula mengikut prinsip betul dan salah.

MAKNA MENGIKUT PRINSIP BETUL DAN SALAH

Apakah prinsip betul dan salah? Jika gerak laku kita dikawal oleh prinsip betul dan salah, maka setiap kali kita membuat keputusan, kita akan bertanya sama ada perkara itu betul atau salah. Adakah melakukan perkara ini baik atau jahat? Apabila kita bertanya sama ada sesuatu itu baik atau tidak, kita sebenarnya bertanya kepada diri kita, “Adakah betul jika saya melakukan hal ini?” Banyak orang membuat pertimbangan menurut sama ada sesuatu itu baik atau jahat. Mereka mempertimbangkan sama ada mereka boleh melakukan sesuatu perkara atau tidak. Mereka bertanya, “Adakah ini betul atau salah?” Sebagai orang Kristian, mereka mempertimbangkan sesuatu perkara dengan teliti, dengan menentukan sama ada perkara itu baik, elok, dan betul untuk dilakukan atau tidak. Jika mereka berasa perkara itu baik, mereka pun melakukannya. Malah mereka menganggap diri sebagai orang Kristian yang baik, kerana mereka memilih perkara yang baik dan betul serta melakukannya.

Akan tetapi, Sabda Tuhan berkata, “Daripada pohon pengetahuan baik dan jahat, daripadanya janganlah engkau makan kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti akan mati” (Kej. 2:17). Paling banyak, amalan ini hanya membezapastikan yang baik daripada yang jahat. Paling baik pun, amalan ini hanyalah memilih dan menolak—memilih yang baik dan menolak yang jahat. Ini bukan Kristianiti. Kristianiti bukanlah suatu standard tertentu dengan adanya kebaikan luaran dan kejahatan luaran. Hari ini, saya boleh memilih yang baik dan menolak yang jahat, tetapi perbuatan ini bukan Kristianiti. Ini merupakan Wasiat Lama, hukum, agama duniawi, moral manusia, dan etika manusia, namun bukan Kristianiti.

KRISTIANITI ADALAH BERDASARKAN HAYAT

Apakah Kristianiti? Kristianiti merupakan hayat. Kristianiti bukan hal bertanya sama ada sesuatu itu betul atau salah. Kristianiti ialah hal menyemak dengan hayat dalam kita setiap kali kita melakukan sesuatu. Apakah yang dikatakan oleh hayat baru yang diberi Tuhan kepada kita di dalam berkenaan perkara ini? Hairan sekali kebanyakan orang hanya melihat standard luaran, yakni standard baik dan jahat. Namun Tuhan tidak memberi kita standard luaran. Kristianiti bukan satu set baru Sepuluh Perintah. Dalam Kristianiti, kita tidak dibawa ke Gunung Sinai yang baru, dan Tuhan juga tidak memberi kita satu set hukum dan peraturan yang baru dengan senarai “haruslah engkau” dan “jangan engkau”. Kristianiti tidak menuntut kita bertanyakan sama ada sesuatu itu betul atau salah, baik atau jahat. Sebaliknya, setiap kali kita melakukan sesuatu, terdapat hayat yang bangkit dalam kita untuk berbicara kepada kita. Apabila secara dalaman kita berasa betul, kita berasa ada pergerakan hayat, kita berasa kuat dan ada pengurapan, maka kita tahu bahawa kita mempunyai hayat. Sering kali sesuatu itu betul dan baik di mata manusia, tetapi peliknya hayat dalaman tidak memberi respons malah menjadi dingin dan berundur. 

Sila ingat bahawa Sabda Tuhan memberitahu kita bahawa kehidupan Kristian kita adalah berdasarkan hayat dalaman, bukannya standard betul atau salah secara luaran. Bagi orang di dunia yang belum diselamatkan, standard kehidupan tertinggi yang dapat dicapai mereka ialah prinsip betul atau salah. Jika kamu atau saya juga hidup melalui prinsip betul atau salah, kita akan sama seperti orang duniawi. Orang Kristian berbeza daripada orang bukan Kristian kerana kita tidak hidup melalui standard luaran atau hukum luaran. Soal pokok kita bukan moral atau konsep manusia. Kita tidak memutuskan sama ada sesuatu itu betul atau salah berdasarkan kritikan atau pendapat manusia. Hari ini, kita hanya mempunyai satu pertanyaan: Apakah yang dikatakan oleh hayat dalaman kita? Jika hayat dalam kita kuat dan aktif, kita boleh melakukan hal itu; jika hayat dalam kita itu sejuk dan mundur, kita tidak harus melakukan hal itu. Prinsip kehidupan kita adalah bersifat dalaman, bukan bersifat luaran. Inilah satu-satunya prinsip kehidupan yang sebenar; prinsip-prinsip kehidupan yang lain adalah palsu. Orang mungkin mengatakan bahawa banyak hal boleh dilakukan, dan kita mungkin berasa bahawa melakukannya juga betul, tetapi apakah yang dikatakan oleh perasaan hayat dalaman kepada kita? Hayat dalaman tidak bersetuju. Jika kita melakukannya, kita tidak akan diberi ganjaran, dan jika kita tidak melakukannya, kita tidak harus berasa malu, kerana hal itu berada di luar kita. Kita hanya dapat melihat apa yang benar-benar betul apabila Roh Tuhan beroperasi dalam kita. Jika kita berasa ada hayat di dalam, maka perkara itu adalah betul. Jika kita tidak merasakan hayat di dalam, maka perkara itu adalah salah. Betul dan salah bukan diputuskan oleh standard luaran tetapi oleh hayat dalaman. (bersambung...)

NADA KEHIDUPAN YANG JAYENG
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 2/3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)