Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian NADA KEHIDUPAN YANG JAYENG
GODAAN, KEGAGALAN, DAN KEMAJUAN DALAM KEHIDUPAN YANG JAYENG (Bahagian 2/2)
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 1/3)
NADA KEHIDUPAN YANG JAYENG
2020-07-04 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (67)

Nota Editor:

“Jenis kemenangan dalam Bible ialah kemenangan yang lebih daripada jayeng (Roma 8:37), bukan kemenangan yang cukup-cukup jayeng sahaja.”

“Mazmur 20:5 berkata, ‘Semoga kami bersorak-sorai dengan jayeng atas penyelamatan-Mu,’ yang boleh juga diterjemahkan sebagai ‘Semoga kami bergirang dalam kemenangan-Mu.’...Tuan telah meraih kemenangan, dan kita sedang bersorak-sorai dalam kemenangan. Inilah nada kehidupan yang jayeng. Setiap daripada kita harus mempunyai nada yang jayeng ini dalam kehidupan harian kita. Jika kita mempunyai nada yang jayeng, kita mempunyai kehidupan yang jayeng. Tanpa nada yang jayeng, kehidupan harian kita masih lagi suatu kegagalan. Lebih daripada jayeng bererti menang secara berterusan dan sentiasa mempunyai nada kemenangan.”

“Sorak-sorai kemenangan yang datang selepas kemenangan ialah sorak-sorai yang sentiasa bergirang, bersyukur, dan sentiasa memuji. Sorak-sorai kemenangan bukan usaha secara paksa, bukan juga suatu tindakan menahan atau bersabar-tahan. Bersorak-sorai untuk kemenangan bererti kamu dapat memuji tidak kira apa jua sekitaran atau hal yang kamu hadapi. Inilah maksud lebih daripada jayeng. Kebanyakan orang beranggapan bahawa berdiam diri ketika mereka dicerca bererti jayeng...Kemenangan yang sebenar bererti kita bersyukur dan memuji Tuan biarpun didatangi segala jenis kesusahan dan keperitan.”

“Kesabartahanan yang jayeng bererti bersabar-tahan dengan riang, dan hanya mereka yang menerima kehendak Tuhan dengan sepenuhnya yang dapat bersabar-tahan dan menderita dengan riang.”

NADA KEHIDUPAN YANG JAYENG

Tarikh: 19 November 1935, malam
Tempat: Chuenchow

(CWWN, SET 2, JIL 21, BAB 20)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Roma 8:37 “Namun dalam segala hal ini kita lebih daripada jayeng menerusi Dia yang mengasihi kita.”

Mzm. 20:5a “Semoga kami bersorak-sorai dengan jayeng atas penyelamatan-Mu.”

Malam ini kita perlu melihat satu perkara lagi—nada kehidupan yang jayeng. Sebelum kita masuk ke dalam perkara ini, kita perlu mengimbas kembali apa yang telah kita lihat. Pertama-tamanya kita melihat bahawa cara manusia mencapai kemenangan ialah menahan, bergelut, berdoa, dan sebagainya. Sebenarnya tidak ada satu cara pun yang berkesan. Kedua, kita melihat bahawa Kristus ialah kemenangan kita. Kemenangan ialah Kristus sendiri. Hayat yang jayeng yang diberikan Tuhan kepada kita ialah Kristus sendiri. Ketiga, ciri yang terpenting bagi hayat yang jayeng ialah hayat ini merupakan suatu penukargantian dan bukannya suatu perubahan. Keempat, kita melihat bahawa terdapat dua perkara yang perlu kita lakukan—lepas tangan dan percaya. Kelima, kita melihat bahawa terdapat dua perkara juga yang perlu kita lakukan selepas jayeng—membereskan segala dosa dan mempersembahkan diri secara sepenuhnya. Keenam, kita melihat bahawa Tuan menjaga kita semasa kita menjalani kehidupan yang jayeng; Tuan sentiasa jayeng untuk kita. Kita perlu menyerahkan diri kita ke dalam tangan Tuan setiap hari. Kita perlu menaruh keyakinan kepada-Nya dan menyerahkan diri kita kepada-Nya hari demi hari dan saat demi saat, membenarkan kemenangan-Nya termanifestasi dalam kita. Jika sesiapa belum berbuat demikian, saya berharap agar kamu akan berbuat demikian hari ini.

Sekarang mari kita melihat nada kehidupan harian seorang pejayeng. Ketika kita menyanyi kidung, kita mempunyai seni kata dan juga nada. Banyak orang menyanyi dengan kata yang betul tetapi dengan nada yang salah. Sila ingat bahawa hayat yang jayeng juga mempunyai nadanya. Jika seseorang yang telah melepasi halangan untuk jayeng namun tidak mempunyai nada kemenangan dalam kehidupan hariannya, maka dia tidak dapat jayeng. Jika nada salah, segala-galanya salah. Orang Fukien dan orang Xiamen masing-masing bercakap dengan nada yang berlainan. Namun hanya terdapat satu nada bagi hayat yang jayeng. Jenis kemenangan dalam Bible ialah kemenangan yang lebih daripada jayeng (Roma 8:37), bukan kemenangan yang cukup-cukup jayeng sahaja. Perkataan cukup-cukup sahaja ialah perkataan saya sendiri; Bible tidak pernah menggunakan perkataan sedemikian. Akan tetapi, hakikatnya ialah banyak orang Kristian hanya cukup-cukup jayeng sahaja. Kemenangan mereka bukan kemenangan yang lebih daripada jayeng. Kemenangan sedemikian bukan kemenangan yang sejati.

BERSORAK-SORAI DALAM KEMENANGAN

Penyelamatan dan kemenangan ialah perkataan yang sama dalam bahasa Ibrani. Bersorak-sorai dan bergirang juga perkataan yang sama dalam bahasa Ibrani. Oleh itu, Mazmur 20:5 berkata, “Semoga kami bersorak-sorai dengan jayeng atas penyelamatan-Mu,” yang boleh juga diterjemahkan sebagai “Semoga kami bergirang dalam kemenangan-Mu.” Apakah perbezaan antara kemenangan dengan bersorak-sorai untuk kemenangan? Katakan dua pasukan pelajar sedang bertanding bermain bola dan satu pasukan telah menang. Inilah kemenangan; pasukan itu telah menang. Pasukan penyorak pula bersorak-sorai dengan suara yang kuat untuk pasukan yang menang. Pelajar-pelajar yang bermain itu telah menang. Rakan sekelas yang lain tidak menang, namun mereka boleh bersorak-sorai dalam kemenangan. Dengan cara yang sama, Kristuslah yang menang; hal ini tidak ada kena-mengena dengan kita. Kita tidak bertanggungjawab atas kemenangan-Nya, tetapi kita bertanggungjawab atas satu perkara—bersorak-sorai dalam kemenangan. Tuan telah meraih kemenangan, dan kita sedang bersorak-sorai dalam kemenangan. Inilah nada kehidupan yang jayeng. Setiap daripada kita harus mempunyai nada yang jayeng ini dalam kehidupan harian kita. Jika kita mempunyai nada yang jayeng, kita mempunyai kehidupan yang jayeng. Tanpa nada yang jayeng, kehidupan harian kita masih lagi suatu kegagalan. Lebih daripada jayeng bererti menang secara berterusan dan sentiasa mempunyai nada kemenangan.

Banyak orang menang tetapi secara terpaksa. Kemenangan itu sekadar cukup sahaja dan secara diam-diam. Misalnya, apabila orang mencerca kamu, kamu mungkin tidak bereaksi dan berdiam diri sahaja. Kamu mungkin beranggapan bahawa dengan menahan secara diam-diam, kamu telah menang. Memang benar bahawa itu suatu kemenangan, tetapi itu kemenangan yang sekadar cukup sahaja, bukan kemenangan yang membolehkan kamu lebih daripada jayeng, dan bukan juga sorak-sorai kemenangan. Sorak-sorai kemenangan yang datang selepas kemenangan ialah sorak-sorai yang sentiasa bergirang, bersyukur, dan sentiasa memuji. Sorak-sorai kemenangan bukan usaha secara paksa, bukan juga suatu tindakan menahan atau bersabar-tahan. Bersorak-sorai untuk kemenangan bererti kamu dapat memuji tidak kira apa jua sekitaran atau hal yang kamu hadapi. Inilah maksud lebih daripada jayeng. Kebanyakan orang beranggapan bahawa berdiam diri ketika mereka dicerca bererti jayeng. Namun itu bukan kemenangan yang sebenar. Kemenangan yang sebenar bererti kita bersyukur dan memuji Tuan biarpun didatangi segala jenis kesusahan dan keperitan. Ini bukan sekadar kemenangan, tetapi sorak-sorai kemenangan. Kita perlu ingat bahawa piala yang diberikan Tuhan kepada kita ialah piala yang melimpah-ruah (Mzm. 23:5), bukan piala yang hanya berisikan beberapa titis air sahaja. Piala kita melimpah-ruah; inilah sorak-sorai untuk kemenangan. Jika orang lain meminta saya berjalan satu batu, dan saya berjalan satu batu, ini bukan kemenangan. Lebih daripada jayeng bererti orang lain meminta saya berjalan satu batu, tetapi saya berjalan dua batu. Jika orang lain meminta tunik saya, dan saya memberi mereka tunik saya, ini bukan kemenangan. Namun jika orang lain meminta tunik, dan saya menyerahkan jubah juga, maka inilah kemenangan yang sebenar. Apabila orang lain mencerca saya, saya bukan sekadar cuba menahan diri atau cuba bersabar. Sebaliknya, saya berkata kepada Tuhan, “Aku bersyukur kepada-Mu,” dan saya mengatakannya tanpa sebarang keberatan atau ragu-ragu. Inilah kemenangan yang membolehkan kita lebih daripada jayeng. Kita harus berkata kepada Tuan, “Segala keperitan yang menimpa aku ialah penanggulangan Engkau yang penuh kurnia. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku dapat menderita untuk-Mu.” Inilah nada kemenangan. Tuan memberi kamu kemenangan agar kamu akan bersyukur dan memuji-Nya. Banyak orang nampaknya telah jayeng, namun mereka tidak mempunyai nada kemenangan. Contohnya, seseorang mungkin dalam kesusahan dan berkata kepada Tuan, “Aku sedang menderita.” Ini bermaksud bahawa dia telah kehilangan nada kemenangan. Kemenangan bagi mereka yang tidak dapat bersyukur dan memuji dalam penderitaan ialah kemenangan yang cukup-cukup sahaja, bukan lebih daripada jayeng.

BERGIRANG SELALU

Ada beberapa tempat dalam Bible yang berbicara tentang bergirang. Matius 5:11-12 berkata, “Berberkatlah kamu, apabila orang mencela dan menindas kamu, dan dengan berbohong, mengeluarkan setiap kata yang jahat terhadapmu, kerana Aku. Bergirang dan bersorak rianglah kerana ganjaranmu di syurga-syurga adalah besar; kerana demikian juga mereka menindas penyabda sebelum kamu.” “Bergirang dan bersorak riang” bermaksud “bergirang dengan amat sangat”. Yakobus 1:2 berkata, “Dikbang-dikbangku, anggaplah ini sebagai keriangan besar setiap kali kamu jatuh ke dalam berbagai-bagai cubaan.” Apakah nada kita di tengah-tengah cubaan? Yakobus mengatakan bahawa kita harus menganggapnya sebagai keriangan besar. Inilah kemenangan yang sebenar. Ikan hanya dapat hidup dalam air. Begitu juga, hayat yang jayeng hanya dapat hidup dalam kesyukuran dan pujian. Jika hayat yang jayeng diletakkan dalam suasana dukacita, hayat ini tidak akan hidup. Bila-bila sahaja hati kita kehilangan kesyukuran dan pujian, kita kehilangan kemenangan. Filipi 4:4 mengatakan bahawa kita harus bergirang selalu. Bergirang dalam erti Wasiat Baru merupakan sesuatu yang berterusan dan bukannya sekali-sekala. Kegirangan kita tidak pernah bercuti. Bila-bila sahaja kita kehilangan keriangan kita, kita kehilangan kemenangan kita. Oleh itu, kita harus bergirang dalam Tuan sepanjang masa. Satu Petrus 4:13 mengatakan bahawa percayawan harus bergirang di bawah segala jenis sekitaran dan dipenuhi kesyukuran dan pujian. Banyak percayawan tidak ada senyuman di muka. Ini merupakan ekspresi tidak gembira. Pada suatu malam, Paulus dan Silas dipukul dan dirantai pada tangan dan kaki. Namun mereka masih dapat menyanyi. Semasa menyanyi, mulut mereka menghala ke bawah, tetapi hati mereka pastinya menghala ke atas. Kesyukuran dan pujian ini telah menggoyahkan bumi dan pintu penjara terbuka. Roh mereka telah keluar namun tubuh mereka masih di sana (Kis. 16:22-28). Inilah kemenangan yang dituntut oleh Tuan. Dia mahu mendengar lagu kita di tengah malam kerana Dia tahu bahawa matahari sudah hampir terbit.

BERSYUKUR DALAM SEGALA HAL

Dalam apakah kita bersyukur? Kolose 3:17 dan 1 Tesalonika 5:18 mengatakan bahawa kita harus bersyukur dalam segala hal. Kita harus mempunyai tabiat bersyukur. Ini bermaksud bahawa tidak kira apa yang mungkin berlaku—perkara besar, perkara kecil, perkara baik, atau perkara buruk—kita harus bersyukur. Ada seorang dikbang yang bekerja di landasan kereta api. Pada suatu kali ketika dia sedang bekerja, kemalangan berlaku. Disebabkan kurang berhati-hati, kakinya digilis kereta api yang lalu sampai terputus. Selepas dia terjaga di hospital, orang bertanyakan perasaannya. Dia menjawab, “”Syukur dan puji Tuan.” Orang bertanya, “Masakan kamu masih dapat bersyukur dan memuji Tuan pada saat ini?” Dia menjawab, “Saya tidak melihat berapa kaki saya yang hilang. Saya melihat berapa kaki saya yang tinggal.” Inilah nada kemenangan. Nada kemenangan bermaksud kita dapat bersyukur dan memuji di tengah-tengah cubaan. Hati kita haruslah tunduk kepada Tuan; kita harus menerima apa sahaja yang diberikan-Nya kepada kita secara riang, dan kita harus berehat dalam kehendak-Nya. Tidak cukup bagi kita sekadar bersabar-tahan dengan cubaan. Kesabartahanan yang dihuraikan dalam Bible bukan kesabartahanan yang pasif. Kolose 1:11 mengatakan bahawa kita diperkudratkan sehingga ke tahap segala kesabartahanan dan kesabarderitaan dengan riang. Bersabar-tahan dengan mengetapkan gigi adalah tidak berguna. Kesabartahanan yang jayeng bererti bersabar-tahan dengan riang, dan hanya mereka yang menerima kehendak Tuhan dengan sepenuhnya yang dapat bersabar-tahan dan menderita dengan riang.

BERSYUKUR DAN MEMUJI IALAH CARA UNTUK JAYENG

Bersyukur dan memuji ialah nada kemenangan. Kedua-duanya juga cara untuk menang. Dua Tawarikh 20:21-22 berbicara tentang orang Israel jayeng atas musuh mereka menerusi pujian. Yosafat Raja Yehuda melantik orang Lewi untuk memberi pujian dengan memakai pakaian kudus (ay. 21) dan berjalan di hadapan angkatan tentera sambil memberi syukur kepada Yehova. Mereka berpakaian kudus; mereka bukan memakai baju zirah atau membawa senjata. Orang lain tertakjub apabila melihat mereka. Dari satu segi, mereka harus berperang, tetapi dari segi yang lain, kemenangan bukan milik mereka. Mereka berperang selepas memperoleh kemenangan. Menang dahulu dan berperang kemudian—inilah kemenangan. Berperang dahulu dan menang kemudian bukanlah kemenangan tetapi kekalahan. Kita pertama-tamanya percaya bahawa kita telah jayeng, kemudian kita keluar berperang. Kita bukannya berperang untuk jayeng. Kedua-duanya mempunyai perbezaan yang besar. Bible mengatakan bahawa kita berperang kerana kita telah jayeng. Jika kita melihat hal ini, kita akan tahu bagaimana menerapkan hakikat ini pada masa yang akan datang. Katakan godaan datang kepada kita. Jika kita melihat bahawa Tuan ialah kemenangan kita dan bahawa Dia sudah jayeng, dan jika kita keluar berperang di atas asas ini, kita akan bersorak-sorai untuk kemenangan. Akan tetapi, jika kita berperang untuk menang, kita sudah ditewaskan. Kemenangan yang sebenar bererti mengenali bahawa kita telah jayeng, dan kemudian pergi berperang di atas asas pengetahuan tersebut.

Peperangan yang menang ini diraih dengan mengatasi musuh menerusi kesyukuran dan pujian. Sebaik sahaja kita memberi syukur dan pujian, musuh akan lari. Apabila kita percaya kepada Sabda Tuhan, kita dapat memuji. Mazmur 106:12 mengatakan bahawa selepas Tuhan melemaskan seluruh angkatan tentera Firaun di dalam Laut Merah, orang Israel percaya kepada sabda-Nya dan menyanyikan pujian terhadap-Nya. Bila-bila sahaja kita mempunyai iktikad, kita dapat jayeng dan menyanyikan pujian kepada Tuhan. Kita harus belajar bersyukur dan memuji-Nya tanpa henti. Kita tidak harus memendamkan kesyukuran dan pujian kita. Jika kita bersyukur dan memuji-Nya tanpa henti, kita akan menjalani kehidupan yang jayeng secara berterusan. 

GODAAN, KEGAGALAN, DAN KEMAJUAN DALAM KEHIDUPAN YANG JAYENG (Bahagian 2/2)
DUA PRINSIP KEHIDUPAN—PRINSIP HAYAT ATAU PRINSIP BETUL DAN SALAH (Bahagian 1/3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)