Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2) (Bahagian 1/2)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 2/2)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2) (Bahagian 2/2)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2) (Bahagian 1/2)
2020-06-14 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (47)

Nota Editor:

“Kita hanya perlu datang ke hadapan Tuan dengan keadaan kita yang seadanya. Dengan itu, tidak ada lagi perkara yang mustahil. Haleluya! Selepas kamu melepasi halangan untuk jayeng, hari demi hari kamu akan mendapati bahawa Tuan dapat menggantikan kamu untuk jayeng atas dosa yang tidak dapat kamu atasi.”

“Sebelum mengalami hayat yang jayeng, gagal adalah lazim sedangkan jayeng hanya sekali-sekala. Namun apabila kamu melepasi halangan untuk jayeng, jayeng adalah lazim sedangkan gagal hanya berlaku sekali-sekala; jayeng ialah pengalaman normal, manakala gagal ialah pengalaman abnormal…Alangkah berbezanya keadaan sekarang berbanding dengan keadaan sebelum kamu mengalami hayat yang jayeng!”

BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2)
(Bahagian 1/2)

Tarikh: 21 Disember 1936, malam
Tempat: Foochow 

(CWWN SET 2, JIL 42, BAB 59)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Ef. 6:16 “Selain semua ini, setelah mengangkat perisai iktikad yang dengannya kamu akan dapat memadamkan segala panah berapi daripada iblis.

Mat. 6:13 “Dan janganlah bawa kami ke dalam godaan, tetapi selamatkan kami daripada yang jahat itu. Kerana kingdom, kudrat, dan kemuliaan ialah milik-Mu buat selama-lamanya. Amen.”

Kita sudah melihat bahawa untuk seseorang memperoleh Tuan hidup dalamnya, iaitu untuk dia mengalami hayat yang jayeng, syaratnya sangat mudah. Dia hanya perlu berundur, berhenti kerja, memberi laluan, lepas tangan, dan membiarkan Kristus menggantikannya; dengan itu dia akan jayeng. Kita telah berhimpun selama sembilan waktu malam ini. Sekarang biar saya bertanya, sudahkah kamu lepas tangan? Kalau belum, kamu harus berkata kepada Tuan, “Tuan, aku tidak dapat melakukannya, aku juga tidak berniat untuk mencuba lagi. Aku lepas tangan, aku menyerah kepada-Mu. Engkaulah yang jayeng untukku.” Barangkali ada orang berasa bahawa lepas tangan adalah sangat susah, ada pula tidak tahu bagaimana lepas tangan. Kamu harus tahu bahawa jika kamu tidak dapat betul-betul lepas tangan, kamu tidak dapat jayeng sepenuhnya. Oleh itu, malam ini kita perlu melihat sekali lagi bagaimana kita boleh lepas tangan dan menyerahkan segala-gala kepada-Nya.

LEPAS TANGAN

Semasa saya di Chefoo, seorang dikkak datang berjumpa dengan saya dan mengatakan bahawa dia tidak dapat lepas tangan kerana tidak tahu bagaimana melepas. Saya bertanyakan sama ada dia pernah naik lanca untuk pergi ke rumah kawan atau tidak. Dia berkata ya. Saya seterusnya bertanya, “Pernahkah sekali apabila kamu menaiki lanca dan sampai ke depan rumah kawan kamu, dan sedang kamu mengeluarkan wang untuk membayar penarik lanca, kawan kamu bergegas keluar hendak membayar untuk kamu? Kamu ingin bayar tetapi kawan kamu juga ingin bayar, akhirnya kamu cuba mengembalikan wang kepadanya, dan dia pula memulangkan wang kepada kamu. Pernahkah kamu mengalami keadaan ini?” Dia menjawab ya. Saya berkata, “Katakan dia telah membayar tambang dua puluh sen untuk kamu, dan penarik lanca itu menerima wangnya lalu beredar dari situ. Memandangkan kamu tidak mahu kawan kamu menggunakan wangnya, maka semasa kamu meminta diri, kamu pun cepat-cepat menyumbat dua puluh sen ke dalam tangannya. Ketika dia menghantar kamu di pintu, tiba-tiba dia pula menyumbat dua puluh sen itu ke dalam tangan kamu. Kamu berdua saling menyumbat wang, akhirnya terpaksalah kamu meletakkan wang di atas jalan dan mengucapkan selamat tinggal. Namun kamu tertanya-tanya pula, ‘Adakah kawan saya akan mengutip wang itu? Jika dia tidak mengambil, jangan-jangan ada pejalan kaki yang mengutipnya, atau penarik lanca yang lalu mengutipnya, atau kanak-kanak ternampak dan mengutipnya.’ Maka kamu menoleh ke belakang untuk melihat sama ada kawan kamu mengambil wang itu atau tidak. Kamu mendapati dia tidak mengambil wang itu, maka selepas seketika kamu menoleh lagi untuk melihat. Biar saya beritahu kamu, selagi kamu menoleh dan mengintai, kawan kamu pasti tidak akan mengutip wang itu. Akan tetapi, jika kamu meletakkan wang di jalan dan berkata kepada kawan kamu, ‘Wang ada di sini, ambillah,’ lalu kamu terus berlari dari tempat itu tanpa menoleh ke belakang, maka kawan kamu pasti akan mengutip wang itu.” Setelah saya memberitahu misalan ini, dikkak itu menjadi jelas dan akhirnya dia memasuki hayat yang jayeng.

Malam kelmarin saya mengisahkan seorang dikkak yang suka makan makanan ringan. Beberapa hari selepas saya berbual-bual dengannya, dia telah menjemput tetamu untuk makan bersama-sama. Semasa dia makan, dia menangis sekali lagi. Dia berasa dirinya masih tertewas dan belum jayeng. Dia masih belum lepas tangan. Ada pepatah Cina yang berbunyi, “Lepas tangan lalu mati”. Sebaik sahaja seorang lepas tangan, Tuhan senang bekerja. Manusia asyik cuba melakukan sesuatu dan mencari jalan penyelesaian, padahal Tuhan sudah hilang harapan terhadap kita. Dia hanya menuntut kita lepas tangan. Selagi kita masih mahu mengerjakan sesuatu, Tuhan akan membiarkan kita. Sehingga suatu hari nanti, kamu akan berkata, “O Tuan, aku bersyukur kepada-Mu, aku tidak berupaya, namun aku percaya Engkau berupaya.” Jika kita beriktikad, kita akan melihat kerja Tuan. Banyak orang telah menyerah kepada Tuhan dari satu segi, tetapi dari segi yang lain, hati mereka masih tidak lega. Mereka masih menoleh ke belakang, takut-takut kalau Tuhan tidak menerima persembahan mereka. Ini bukan penyerahan yang sebenar. Tuhan mahu memikul tanggungjawab penuh. Akan tetapi, jika kamu mengambil kawalan, Dia tidak akan mengambil kawalan. Jika kamu tidak mengambil kawalan, Dia pasti akan mengelola. Selepas menyerah kepada Tuhan, kamu tidak perlu peduli atau risau tentang apa-apa lagi. Kamu harus berkata kepada Tuhan, “O Tuhan, segala-galanya telah diserahkan kepada-Mu. Mulai sekarang, aku tidak mengambil kisah lagi sama ada aku baik atau jahat.” Sejurus kamu menyerah, Tuhan pasti menyambut; Dia pasti bertanggungjawab atas segala-gala. Jika kita lepas tangan, Tuhan akan mengambil alih. 

PERCAYA

Selepas mengenali makna lepas tangan, banyak orang masih akan gagal kerana mereka tidak percaya. Selepas seseorang lepas tangan, dia harus terus percaya. Lepas tangan hanya aspek negatif; dari segi positif, kita harus percaya. Kita harus percaya bahawa kita telah jayeng. Lebih tepat lagi, kita harus percaya bahawa Tuan sedang hidup dalam kita, bahawa kita mempunyai persekutuan yang tidak terhalang dengan Tuan, bahawa kita beroleh hayat yang berdoa, mempunyai hati yang tunduk kepada Tuhan, memiliki kudrat yang jayeng atas dosa, dan mempunyai Kristus hidup di dalam kita. 

Lepas tangan dan percaya ialah langkah-langkah khusus yang harus kita ambil. Setiap orang Kristian harus mengetahui tarikh dan masa dia lepas tangan dan percaya. Hari itu seharusnya sangat khusus seperti hari penyelamatannya. Kita harus mengalami hari lepas tangan dan percaya secara khusus, tetapi selepas sekali kita mengalaminya secara khusus, kita harus terus lepas tangan dan percaya. Lepas tangan dan percaya harus diteruskan hari demi hari; ini bukan hal sekali buat selama-lamanya. Ada orang yang berkata, “Hal ini susah. Bagaimanakah saya dapat sentiasa ingat? Saya mungkin dapat ingat selepas mendengar mesej, tetapi semasa saya sibuk, sewaktu saya belajar atau merawat pesakit, saya akan lupa. Apakah yang harus saya lakukan?” Kita mempunyai seorang dikbang yang mengendalikan sebuah kilang yang menggaji berpuluh-puluh orang pekerja wanita. Dia mengatakan bahawa dia sering pening diganggu oleh bunyi bising mesin. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh berada dalam Kristus pada setiap masa. Saya bertanya kepadanya, “Ketika kamu lupa bahawa kamu berada dalam Kristus, pada hakikatnya adakah kamu masih berada dalam Kristus?” Dia memikirkan sebentar lalu menjawab, “Ya, saya masih berada dalam Kristus.” Syukur kepada Tuan, soalnya bukan sama ada kita ingat atau tidak, tetapi adakah Tuan ingat akan kita? Kita akan lupa tetapi Tuan tidak akan melupakan kita. Kita harus melihat bahawa kita sendiri tidak ada masalah kerana sekarang kita sudah berada dalam Kristus. Kita boleh berehat dalam Tuan kerana Dia akan memikul segala tanggungjawab.

DATANG KEPADA TUHAN DENGAN KEADAAN KITA YANG SEADANYA

Seorang dikbang bertanya, “Macam mana kalau hari ini saya lepas tangan, tetapi keesokan hari saya tidak dapat lepas tangan?” Saya berkata, “Kamu boleh pergi kepada Tuan dan berkata, ‘Tuan, aku tidak dapat lepas tangan, aku juga tidak akan cuba melepas. Syukur kepada-Mu, Engkau dapat melepas untukku!’ Jika kamu tidak dapat percaya, kamu juga boleh memberitahu Tuan, ‘O Tuan, aku tidak dapat percaya, aku juga tidak akan cuba percaya. Syukur kepada-Mu, Engkau dapat percaya untukku.’” Tidak ada apa-apa kelemahan dalam kita yang mampu menghambat Tuhan. Kita hanya perlu datang ke hadapan Tuan dengan keadaan kita yang seadanya. Dengan itu, tidak ada lagi perkara yang mustahil. Haleluya! Selepas kamu melepasi halangan untuk jayeng, hari demi hari kamu akan mendapati bahawa Tuan dapat menggantikan kamu untuk jayeng atas dosa yang tidak dapat kamu atasi. 

Seorang dikbang yang lain bertanya, “Adakah ini bermaksud bahawa jika saya lepas tangan dan percaya pada hari ini, mulai sekarang saya tidak akan berbuat dosa lagi?” Tidak, kamu masih lagi mungkin berbuat dosa. Namun jauh bezanya situasi sebelum kamu lepas tangan dan percaya dengan selepas kamu lepas tangan dan percaya. Sebelum mengalami hayat yang jayeng, gagal adalah lazim sedangkan jayeng hanya sekali-sekala. Namun apabila kamu melepasi halangan untuk jayeng, jayeng adalah lazim sedangkan gagal hanya berlaku sekali-sekala; jayeng ialah pengalaman normal, manakala gagal ialah pengalaman abnormal. Dosa-dosa kamu yang lama sudah berlalu, nada kamu tidak sama lagi, segala-galanya sudah berlainan. Kamu dapat jayeng atas dosa yang dahulunya membelit kamu. Alangkah berbezanya keadaan sekarang berbanding dengan keadaan sebelum kamu mengalami hayat yang jayeng!

BAGAIMANA MENANGGULANGI GODAAN

Dalam kehidupan yang jayeng masih akan ada godaan. Apabila godaan tiba, bagaimanakah kita harus menanggulanginya? Terdapat dua jenis godaan yang menimpa orang Kristian sehari-hari: Jenis pertama datang secara beransur-ansur, jadi kamu ada masa untuk memikirkannya; jenis kedua pula datang secara tiba-tiba sehinggakan tidak ada masa untuk memikirkannya. Panjang pendek masa untuk dua jenis godaan ini berbeza; oleh itu, cara menghadapinya juga berbeza. Sekarang kita akan meneliti cara-cara untuk menanggulangi dua jenis godaan ini secara berasingan.

MENANGGULANGI GODAAN YANG DATANG SECARA BERANSUR-ANSUR

Cara menanggulangi godaan jenis pertama serupa dengan cara seseorang melepasi halangan untuk jayeng. Apabila godaan jenis ini datang, dia tidak menjulurkan kepalanya, tetapi bersembunyi di belakang Tuan. Dia tidak menentang atau memerangi godaan itu. Dia hanya perlu memberitahu Tuhan secara terus terang, “Aku tahu aku suka melepaskan kemarahan. Aku tidak berniat untuk cuba bersabar. Tuan, aku bersyukur kepada-Mu dan memuji-Mu kerana Engkau dapat bersabar untukku. Aku sendiri tidak dapat mengatasi godaan ini. Sebagaimana darah-Mu menyelamatkan aku, begitu juga daging-Mu, iaitu hayat-Mu, akan menyelamatkan aku.” Jika dia berdiri teguh dalam kedudukan ini, godaan akan menggerapak. Jika dia bergelut dengan godaan dan cuba menentangnya, godaan tidak akan meninggalkannya. Akan tetapi, apabila dia berkata, “Aku tidak berupaya, namun Tuhan berupaya”, apabila dia bermegah dalam kelemahannya dan dalam kekuatan Tuhan, godaan akan berlalu dengan serta-merta.

MENANGGULANGI GODAAN YANG DATANG SECARA TIBA-TIBA

Berkenaan menanggulangi godaan jenis kedua, kita harus mengetahui bahawa dosa, godaan, dan jerat yang datang secara tiba-tiba adalah seperti panah berapi yang menimpa kita pada saat yang tidak disangka-sangka. Untuk menanggulangi panah berapi yang menyerang secara mengejut, kita harus menggunakan iktikad sebagai perisai. Banyak orang menggunakan iktikad sebagai playar. Apabila panah berapi menyerang, mereka cuba mencabut panah itu dengan “playar iktikad”. Usaha ini sia-sia sahaja. Apa itu perisai? Perisai ialah sesuatu yang berada di antara panah berapi musuh dan kita. Setiap pagi kita harus berdoa dengan iktikad, memohon agar Tuhan menyelamatkan kita daripada godaan, supaya jangan kita ditimpa godaan yang tidak disangka-sangka. Selain itu, sepanjang hari kita harus percaya bahawa Kristus dapat menghidup keluar hayat-Nya daripada kita. Kita harus percaya bahawa dahulu ketika kita berada dalam Adam dan digabungkan dengan Adam, kita dapat melakukan dosa tanpa perlu bertekad. Begitu juga, kita harus percaya bahawa memandangkan sekarang kita berada dalam Kristus dan digabungkan dengan Kristus, kita dapat menghidup keluar kesabaran Kristus dan mengekspresikan kekudusan-Nya tanpa perlu bertekad. Apabila kita bangun setiap pagi, kita harus percaya bahawa Tuhan berupaya menyelamatkan kita daripada godaan yang langsung tidak memberi ruang kepada kamu untuk berfikir. Apabila kita bangun setiap pagi, kita juga harus percaya bahawa hayat Kristus akan memanifestasikan kemenangan-Nya menerusi kita tanpa disedari.

Jika seseorang mengatakan bahawa dia tidak dapat menjamin dia tidak akan gagal dalam sehari, maka dia pasti akan gagal. Jika seseorang mengatakan dia yakin dia akan jayeng hari ini, dia juga pasti akan gagal. Seandainya dia berkata, “O Tuan, aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mengatakan bahawa kurnia-Mu cukup bagiku. Tuan, aku lemah dan sentiasa adalah lemah. Aku tidak memiliki kekuatan, dan tidak berupaya mengatasi dosa. Namun Engkau mengatakan bahawa kurnia-Mu cukup bagiku. Aku menyerah diriku kepada-Mu. Aku percaya kepada-Mu, dan aku percaya bahawa kurnia-Mu adalah mencukupi.” Orang ini mempunyai sabda Tuan. Apabila dia percaya kepada sabda Tuan dan berdiri di atas sabda-Nya, dia pasti akan jayeng. Kita harus memakai perisai iktikad pada setiap masa. Doa Tuan kepada Bapa dalam Matius 6 ialah doa yang sangat baik. Dia berdoa agar Bapa menyelamatkan kita daripada godaan (ay. 13). Kita juga harus berdoa seperti Tuan dengan berkata, “O Tuan, selamatkanlah aku daripada godaan yang datang secara tiba-tiba.” Dengan demikian, kita akan melihat penyelamatan Tuan. (bersambung...) 

BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 2/2)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2) (Bahagian 2/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)