Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 2/2)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 1/2)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2) (Bahagian 1/2)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 2/2)
2020-06-13 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (46)

Nota Editor:

“Tuhan tidak pernah melakukan apa-apa untuk membantu kerja manusia; Dia juga tidak mahu manusia membantu-Nya. Dia mahu memperoleh semua kemuliaan. Inilah sebabnya Dia hendak melakukan semua kerja. Jika kita cuba melakukan apa-apa melalui diri kita, Tuhan tidak akan melakukan apa-apa. Kita harus lepas tangan barulah Tuhan akan memulakan kerja-Nya.”

“Apabila Syaitan datang, dia mula-mula tidak menggoda kita untuk berbuat dosa. Dia hanya mahu membuat kita bertindak dengan sendiri. Asalkan kita bergerak, dia akan ada jalan. Kemenangan kita bergantung pada kita tidak bergerak dan tidak mendedahkan kepala kita. Kita langsung tidak perlu cuba menentang. Semakin kita menentang, semakin cepat kita akan gagal. Apa yang perlu kita lakukan ialah menyerah diri ke tangan Tuan dan melupakan tentang melakukan atau menguruskan apa-apa hal. Inilah kemenangan, dan inilah maksudnya lepas tangan.”

“Oleh itu, rahsia untuk jayeng tertakluk pada: (1) menyedari bahawa kita tidak dapat melakukannya, (2) sama sekali lepas tangan, (3) melihat bahawa Tuan dapat melakukannya, dan (4) mempunyai iktikad yang hidup setiap hari, percaya bahawa Tuan hidup dalam kita. Setiap pagi jika kita bangun dengan perasaan gembira, kita harus percaya bahawa Tuan hidup dalam kita. Setiap pagi jika kita bangun dengan perasaan tidak gembira, kita tetap harus percaya bahawa Tuan hidup dalam kita. Jika kita berbuat demikian, kita akan sentiasa menjalani kehidupan yang jayeng dan mulia.”

BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1)
(Bahagian 2/2)

Tarikh: 20 Disember 1936, malam
Tempat: Foochow 

(CWWN SET 2, JIL 42, BAB 58)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

2 Kor. 12:9 “Dan Dia berkata kepadaku, Kurnia-Ku cukup bagimu; kerana kudrat-Ku disempurnakan dalam kelemahan orang. Oleh itu, aku sukacita sekali bermegah dalam kelemahanku supaya kudrat Kristus dapat bertabernakal atasku.”

TIDAK CUBA MELAKUKANNYA (samb.)

Dua Korintus 13:5 berkata, “Tidakkah kamu sedar berkenaan dirimu bahawa Yesus Kristus berada dalam kamu, melainkan kamu tidak teruji lulus?” Orang yang datang kepada Tuan bukannya tidak teruji lulus; mereka mempunyai Tuan hidup dalam mereka. Tuan berada dalam kamu, tetapi manusia lama kamu juga berada dalam kamu. Kedua-duanya wujud dalam kamu pada masa yang sama. Kristus dan manusia lama kamu tinggal dalam kamu. Ini menjadi satu masalah. Apakah yang harus kamu lakukan? Salah seorang penghuni harus berpindah keluar. Cara penyelamatan Tuhan ialah memindahkan manusia lama keluar. Dia telah menyalibkan manusia lama dan meletakkan Kristus di dalam kamu. Inilah kemenangan.

Tahun lepas saya bertemu dengan seorang dikkak dari negara Barat di Chefoo yang mempunyai tiga orang anak. Anak-anaknya selalu membuat dia marah. Dia datang kepada saya dan berkata, “Saya tidak dapat bersabar. Apakah yang harus saya buat?” Saya berkata, “Jika kamu tidak dapat bersabar, jangan cuba bersabar. Kamu harus berkata kepada Tuan, ‘Aku tidak dapat bersabar. Mulai sekarang, aku tidak akan cuba bersabar. Tuan, Engkau jadilah kesabaran untukku. Aku tidak akan cuba bersabar lagi.’” Jika kamu belajar lepas tangan dengan cara ini dan tidak cuba melakukannya melalui diri kamu, tetapi percaya kepada kudrat Tuan, kamu akan mengalami kemenangan sepanjang masa. Cara kemenangan ini adalah mulia.

LEPAS TANGAN DAN MENYERAH DIRI

Jayeng bererti berhenti bertindak, berhenti mengurus, tidak peduli, dan menghentikan semua aktiviti kita sendiri. Jayeng bererti melupakan diri kita dan menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan. kita harus berkata kepada Tuan, “Aku menyerahkan segala-galanya kepada-Mu. Mulai hari ini, aku tidak peduli sama ada aku ini baik atau buruk.” Sejurus selepas kita menyerah diri kepada Tuan dengan cara ini, Dia akan mengambil alih. Sebaik sahaja kita lepas tangan, Tuhan akan mengambil alih. Katakan saya memberi kamu satu cawan. Apabila saya lepas tangan dan kamu mengambilnya, pengalihan itu selesai. Namun jika saya menghidangkan secawan teh kepada kamu tetapi saya tidak melepaskan cawan itu, kamu tidak dapat mengambil cawan itu. Hal ini sama juga bagi Tuhan. Dia mahu kita lepas tangan barulah Dia akan mengambilnya. Akan tetapi, kita pula mengharapkan Tuhan mengambilnya terlebih dahulu sebelum kita lepas tangan. Namun Tuhan sedang menunggu kita lepas tangan barulah Dia akan mengambilnya. Tuhan tidak pernah melakukan apa-apa untuk membantu kerja manusia; Dia juga tidak mahu manusia membantu-Nya. Dia mahu memperoleh semua kemuliaan. Inilah sebabnya Dia hendak melakukan semua kerja. Jika kita cuba melakukan apa-apa melalui diri kita, Tuhan tidak akan melakukan apa-apa. Kita harus lepas tangan barulah Tuhan akan memulakan kerja-Nya.

Apabila godaan datang, kita boleh berkata kepada Tuan, “Di sini ada godaan. Aku tidak dapat berdiri menentangnya, dan aku tidak akan cuba berdiri menentangnya. Tuan, Engkau harus berdiri menentangnya untukku.” Sekiranya kita lepas tangan dengan cara ini dan membenarkan Tuan melakukannya untuk kita, Dia akan menjadi kemenangan kita. Setiap hari kita hidup, kita hidup melalui kurnia. Saya pernah melihat banyak orang, barangkali seribu atau dua ribu orang, yang telah diselamatkan daripada dosa dan sedang berjalan dalam laluan kekudusan.

Ada seorang dikbang yang bernama Lee di Tientsin pernah bertanya, “Bagaimanakah saya lepas tangan?” Saya berkata, “Dikbang, apakah pekerjaan kamu?” Dia berkata, “Saya pengurus di bahagian tekstil dalam syarikat.” Saya berkata, “Katakan bos kamu En. Lin memberitahu kamu bahawa lembaga pengarah syarikat telah memutuskan untuk memecat kamu, dan bahawa kamu harus mula menyerahkan kerja kamu kepada orang lain. Apakah yang harus kamu buat?” Dia berkata, “Saya tidak ada pilihan melainkan memulakan proses peletakan jawatan.” Saya berkata, “Jika jurujual datang menjual kain kepada kamu, adakah kamu akan membuat kira-kira dengan sempoa kamu? Adakah kamu masih perlu mengira berapa lagi stok yang tinggal, dan berapa banyak lagi yang perlu kamu beli?” Dia berkata, “Tidak. Saya akan memberitahu dia bahawa saya tidak lagi bekerja di sini, bahawa saya sudah meletakkan jawatan, dan bahawa dia harus berbincang dengan pengurus baru.” Inilah maksud lepas tangan. Kita telah dipecat oleh Tuhan; kita tidak perlu melakukan apa-apa lagi. Kita hanya perlu lepas tangan dan membiarkan Tuhan melakukan segala-galanya. Apabila Syaitan datang, dia mula-mula tidak menggoda kita untuk berbuat dosa. Dia hanya mahu membuat kita bertindak dengan sendiri. Asalkan kita bergerak, dia akan ada jalan. Kemenangan kita bergantung pada kita tidak bergerak dan tidak mendedahkan kepala kita. Kita langsung tidak perlu cuba menentang. Semakin kita menentang, semakin cepat kita akan gagal. Apa yang perlu kita lakukan ialah menyerah diri ke tangan Tuan dan melupakan tentang melakukan atau menguruskan apa-apa hal. Inilah kemenangan, dan inilah maksudnya lepas tangan.

Ada seorang dikbang mengatakan bahawa dia bergelut dengan dosa setiap hari. Seorang lagi dikbang yang muda memberitahu dia bahawa dia tidak pernah bergelut dengan dosa. Dikbang yang pertama berkata, “Setelah saya berperang dan menentang, saya masih gagal. Bukankah lebih teruk lagi jika saya tidak berperang dan menentang?” Dikbang yang muda itu berkata, “Tidak! Saya hanya berkata kepada Tuhan, ‘Aku tidak dapat melakukannya. Engkau harus melakukannya untukku. Aku menyerah diriku kepada-Mu.’” Inilah rahsia untuk menang. Sebaik sahaja kamu lepas tangan, Tuan akan menerima. Kemenangan bukan bergantung pada berapa banyak yang telah kamu lakukan, tetapi pada berapa banyak yang telah dilakukan oleh Tuhan.

Pernah sekali ada seorang dikbang hendak turun ke sebuah perigi yang sudah kering. Dia mengikat seutas tali pada mulut perigi lalu turun ke bawah dengan memegang tali itu. Sedang dia turun ke bawah, tiba-tiba dia mendapati dia sudah sampai ke hujung tali. Dia tidak tahu berapa dalam lagi barulah dia sampai ke dasar perigi, maka dia memutuskan untuk panjat balik ke permukaan. Namun dia mendapati bahawa dia sudah kehabisan tenaga. Memandangkan dia tidak dapat naik atau turun, dia menjerit meminta tolong. Akan tetapi, tempat itu tempat terbiar dan perigi itu amat dalam. Tidak kira betapa kuatnya dia menjerit, tidak ada orang yang datang menyelamatkan dia. Akhirnya, dia tidak larat bertahan lagi. Dia berfikir bahawa dia orang Kristian, maka dia pun berdoa, “O Tuhan, biarlah aku jatuh ke dalam keabadian.” Kemudian dia pun lepas tangan dan jatuh. Rupa-rupanya jarak dia jatuh sampai ke tanah cuma dua atau tiga inci sahaja! Dia menyesal kerana dia telah berpegang pada tali itu dan bergelut begitu lama. Sepatutnya awal-awal lagi dia sudah lepas tangan. Dikbang dan dikkak, jayeng bermaksud lepas tangan! Lepaslah tangan! Jangan takut; kamu tidak akan jatuh ke dalam keabadian. Sebaliknya, kamu akan jatuh ke atas Batuan abadi. Jika kamu lepas tangan dan tidak mengambil peduli, kamu akan jayeng. Kemenangan ialah sesuatu yang disempurnakan oleh Kristus, bukan kamu. Apa yang perlu kamu lakukan ialah lepas tangan dan tidak peduli lagi. Kristus akan mengambil alih dan segala-galanya akan disempurnakan. Hayat yang jayeng adalah untuk mereka yang telah lepas tangan sepenuhnya.

Sewaktu saya berada di Chefoo, ada seorang dikbang yang bekerja sebagai doktor bernama Shi yang datang mendengar pemberitaan saya. Dia mempunyai sejarah merokok selama lebih daripada sepuluh tahun. Dia telah diselamatkan pada empat tahun yang lalu, dan dia mengahwini seorang dikkak. Isterinya pernah belajar di seminari dan merupakan seorang yang bermoral tinggi. Dikbang Shi telah cuba berhenti merokok selama empat tahun ini. Setiap tahun dia cuba sebanyak tujuh atau lapan kali, tetapi paling lama dia cuma berupaya berhenti merokok empat hari sahaja. Apabila rokok tidak ada di tangannya, rokok menghantui mindanya. Dia tidak dapat berbuat apa-apa tentang perkara ini, maka akhirnya dia merokok lagi. Dia selalu merokok secara diam-diam di hospital. Apabila orang lain datang, dia akan memadamkan rokok dan menyumbat penyegar nafas ke dalam mulutnya untuk menyembunyikan bau rokok daripada orang lain. Dia memberitahu saya bahawa merokok menyebabkan dia banyak menderita. Dia telah mencuba pelbagai cara untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya. Dia datang bertanya kepada saya apa yang harus dilakukannya.

Selepas saya mendengar kisahnya, hati saya gembira kerana saya tahu bahawa ada seorang lagi yang akan melepasi halangan untuk jayeng. Saya berkata, “Dikbang Shi, kamu seorang doktor. Jika seorang yang sihat datang ke hospital dan meminta untuk masuk hospital, adakah kamu akan membenarkan dia masuk hospital?” Dia berkata, “Tidak. Jika dia tidak sakit, hospital tidak boleh menerima dia. Hospital hanya menerima orang yang sakit.” Apabila saya mendengar kata ini, saya lagi gembira kerana di sini ada seorang pesakit yang datang ke klinik Tuan, dan ini memberi Tuan satu lagi peluang untuk menunjukkan diri-Nya. Saya berkata kepadanya, “Sedarkah kamu bahawa Tuan Yesus hanya menerima kes yang tidak dapat diubati? Kamu mengatakan bahawa kamu tidak dapat berhenti merokok. Adakah kes kamu ini kes yang tidak dapat diubati?” Dia berkata, “Sudah tentu ya. Saya sudah cuba berhenti merokok selama tiga atau empat tahun tetapi tidak berjaya. Inilah penyakit yang tidak dapat diubati bagi saya.” Maka saya berkata, “Baiklah, sekarang sampailah masanya untuk kamu melihat apa yang dapat dilakukan oleh Tuan Yesus. Apakah yang harus kamu lakukan? Kamu hanya perlu berkata kepada Tuan, ‘Aku tidak dapat berhenti merokok. Aku tidak dapat melakukannya. Aku tidak akan cuba berhenti merokok lagi. Tuan Yesus, aku menyerah diriku kepada-Mu. Tuan, Engkau dapat melakukannya; selamatkan aku.’”

Selepas itu saya menunjukkan kata-kata Paulus dalam 2 Korintus 12:9, yang berkata, “Dan Dia berkata kepadaku, Kurnia-Ku cukup bagimu; kerana kudrat-Ku disempurnakan dalam kelemahan orang. Oleh itu, aku sukacita sekali bermegah dalam kelemahanku supaya kudrat Kristus dapat bertabernakal atasku.” Saya berkata, Sungguh baik kamu tidak berhenti merokok. Paulus bermegah dalam kelemahannya. Apa yang akan kamu buat dengan kelemahan kamu? Adakah kamu akan menangis? Tidak. Kamu harus berkata kepada Tuan, ‘Aku ini lemah. Aku sama sekali gagal dalam usaha berhenti merokok. Aku tidak dapat berhenti merokok. Aku akan sentiasa merokok, namun Tuan, Engkau berada dalamku. Aku tidak akan cuba berhenti merokok lagi. Engkau harus berhenti merokok untuk aku.’” Dia pun berdoa menurut kata-kata ini, dan selepas dia berdoa, dia pulang ke rumah. Keesokan harinya dia datang memberitahu saya apa yang dikatakannya kepada isterinya. Dia berkata, “Selama empat tahun kamu meleteri saya dan bergaduh dengan saya. Namun saya masih merokok. Semalam saya pergi menghadap Tuhan, dan dalam lima minit sahaja hal ini sudah beres.” Saya bertanya kepadanya, “Adakah kamu akan merokok lagi?” Dia berkata, “Sudah tentu! Saya akan sentiasa merokok. Tsai-lin Shi akan sentiasa merokok; dia akan merokok malah selepas lima tahun atau sepuluh tahun. Tuan Yesuslah yang menghentikan saya daripada merokok.” Dia benar-benar telah jayeng.

Ketika saya berada di Chefoo, seorang dikkak datang mencari saya. Saya bertanya kepada dia, “Percayakah kamu bahawa kamu dapat jayeng sepanjang masa?” Dia berkata, “Saya berasa saya memerlukan sedikit masa untuk menjawab soalan kamu.” Kata-katanya menunjukkan bahawa dia sudah ditewaskan. Kemenangan bukan sesuatu yang memerlukan masa untuk dibuktikan. Kemenangan bererti percaya bahawa Tuan hidup dalam kita dan bahawa Dia hidup untuk kita tidak kira apa yang mungkin berlaku. Kemenangan bergantung pada kita lepas tangan dan juga bergantung pada kepercayaan kita. Jika kita tidak jayeng, maka sama ada kita enggan lepas tangan atau kita tidak percaya. Sekiranya kita tidak gagal dalam dua perkara ini, sudah pasti kita akan jayeng.

Oleh itu, rahsia untuk jayeng tertakluk pada: (1) menyedari bahawa kita tidak dapat melakukannya, (2) sama sekali lepas tangan, (3) melihat bahawa Tuan dapat melakukannya, dan (4) mempunyai iktikad yang hidup setiap hari, percaya bahawa Tuan hidup dalam kita. Setiap pagi jika kita bangun dengan perasaan gembira, kita harus percaya bahawa Tuan hidup dalam kita. Setiap pagi jika kita bangun dengan perasaan tidak gembira, kita tetap harus percaya bahawa Tuan hidup dalam kita. Jika kita berbuat demikian, kita akan sentiasa menjalani kehidupan yang jayeng dan mulia. Sila ingat bahawa kita harus menyerah diri kita kepada Tuan dan meletakkan diri kita dalam tangan-Nya. Kita harus percaya bahawa Dia telah menerima kita dan akan menghidup keluar hayat-Nya yang jayeng untuk kita. Kita bukannya mengambil sikap mencuba untuk melihat sama ada cara ini berkesan atau tidak; sebaliknya, kita harus menyerah diri sepenuhnya kepada-Nya dan sama sekali percaya kepada-Nya. Tuan hanya akan bekerja apabila kita menyerah kepada-Nya dengan sepenuhnya. Kita harus percaya daripada hati kita bahawa Tuan akan hidup untuk kita sepanjang masa. Sekiranya kita tidak gagal dalam hal lepas tangan dan dalam hal percaya, kita pasti akan jayeng. 

BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 1/2)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2) (Bahagian 1/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)