Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2) (Bahagian 2/2)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2) (Bahagian 1/2)
DUA ASAS TEGUH TUHAN
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2) (Bahagian 2/2)
2020-06-15 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (48)

Nota Editor:

“Apa jua yang dikatakan sabda Tuhan adalah benar. Perasaan saya adalah tipu, pengalaman saya juga tipu. Saya hanya percaya bahawa sabda Tuhan adalah benar. Jika kita mempercayai sabda Tuhan dengan teguh, kita bahkan boleh berkata, ‘Kalaulah cubaan datang dengan lebih banyak lagi. Tengoklah sama ada aku resah atau tidak!’”

“Terdapat seorang lagi Dikbang Lee yang bersaksi bahawa tiap-tiap hari dia menjalani kehidupan yang duduk di haluan perahu, kerana Tuan tidur di buritan. Oleh itu, dia memandang ringan akan semua cubaan dan godaan.”

“Oleh itu, untuk berhidupkan hayat yang jayeng, setiap hari kita harus belajar mengenali dosa dan perkara-perkara yang tidak memuliakan Tuhan. Jika kita berbuat demikian, kita akan maju hari demi hari.”

“Kemenangan dalam Kristus adalah sempurna dari segi sifatnya dan tidak boleh dimajukan. Walau bagaimanapun, tahap dan ukuran kemenangan sentiasa bertumbuh dan bertambah. Semakin banyak kita dicahayai, semakin banyak kita bertumbuh; semakin sedikit kita dicahayai, semakin sedikit kita bertumbuh. Semakin banyak kita mengenali dosa-dosa, semakin berlimpahlah bekalan yang kita terima daripada Tuhan.”

BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2)
(Bahagian 2/2)

Tarikh: 21 Disember 1936, malam
Tempat: Foochow 

(CWWN SET 2, JIL 42, BAB 59)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

1 Ptr. 1:7 “Agar pengujilulusan iktikadmu, jauh lebih berharga daripada emas yang boleh musnah meskipun diuji dengan api, boleh didapati membawa kepada pujian dan kemuliaan dan kehormatan sewaktu penampakan Yesus Kristus.”

BAGAIMANA MENANGGULANGI CUBAAN

Ada kalanya kita bukan sahaja menghadapi godaan, malah didatangi cubaan. Andai kata seorang dikkak ditindas oleh suaminya yang tidak membenarkannya menghadiri perhimpunan. Cara menanggulangi cubaan seperti ini adalah melalui iktikad. Jika emas adalah tulen, api yang lebih marak hanya akan membuktikan sifat emasnya; emas tulen tidak akan dibakar menjadi tembaga. Semua iktikad yang sejati akan bertahan lama. Oleh itu semasa kamu menghadapi cubaan, janganlah berputus asa dan berundur, sebaliknya berdiri lebih teguh di atas sabda Tuhan, dan percaya bahawa Tuhan dapat memanifestasikan kemenangan-Nya menerusi kamu. 

Semasa di Chefoo, pernah sekali isteri Dikbang Witness Lee datang berjumpa dengan saya dan berkata, “Aku telah melepasi halangan untuk jayeng, tetapi kemenangan saya sangat singkat, hanya bertahan selama seminggu. Selepas beberapa hari, aku gagal lagi. Apakah yang terjadi?” Saya memberinya satu gambaran. Saya berkata, “Bayangkan anak kamu bermain di luar rumah dan seorang penarik lanca datang dan berkata kepadanya, ‘Kamu dibeli oleh ibu kamu dari kedai ubat-ubatan. Anak kamu lari ke rumah dan bertanya kepada kamu, ‘Adakah saya ini anak kandung ibu, atau saya dibeli ibu?’ Kamu menjawabnya, ‘Kamu anak kandung ibu. Jangan percaya kata-kata orang luar.’ Kemudian dia keluar dan bertembung dengan orang itu lagi, dan orang itu masih mengatakan perkara yang sama kepadanya, ‘Bodohnya kamu. Kamu sudah ditipu ibu kamu. Kamu dibelinya, bukan dilahirkan olehnya. Saya melihat dengan mata sendiri ketika ibu kamu membeli kamu.’ Penarik lanca itu berkali-kali berkata kepada anak kamu bahawa dia bukan anak kandung kamu. Malah dia menyebut dua atau tiga orang saksi. Pada ketika ini, adakah anak kamu akan percaya kepada kata-kata kamu yang tidak mempunyai bukti, atau percaya kepada kata-kata bohong orang luar yang penuh dengan bukti? Jika anak kamu mempercayai kata-kata kamu, dia akan penuh dengan keyakinan dan langsung tidak mengendahkan semua kata bohong orang luar. Malah dia akan ketawa sendiri dalam hati dengan berkata, ‘Kamu semua pembohong cuba menipu aku. Semakin banyak kamu cakap, semakin saya tidak percaya.’ Begitu juga, kita percaya kepada sabda Tuhan dan tidak memerlukan bukti. Apa jua yang dikatakan sabda Tuhan adalah benar. Perasaan saya adalah tipu, pengalaman saya juga tipu. Saya hanya percaya bahawa sabda Tuhan adalah benar. Jika kita mempercayai sabda Tuhan dengan teguh, kita bahkan boleh berkata, “Kalaulah cubaan datang dengan lebih banyak lagi. Tengoklah sama ada aku resah atau tidak!”

Terdapat seorang lagi Dikbang Lee yang bersaksi bahawa tiap-tiap hari dia menjalani kehidupan yang duduk di haluan perahu, kerana Tuan tidur di buritan. Oleh itu, dia memandang ringan akan semua cubaan dan godaan. Inilah keyakinan orang yang beriktikad. Namun ini bukan jaminan bahawa kamu tidak akan gagal. Kita masih mungkin akan gagal. Sebaik sahaja kita gagal, kita harus mengaku dosa dengan segera, bertaubat kepada Tuan, dan memohon pembersihan darah adi Tuan. Kemudian kita harus kembali ke jalan yang wajar dengan serta-merta, dan menjalani kehidupan yang jayeng semula. Dengan demikian, jalan kemenangan ini akan bersinar dengan makin terang. 

KEMENANGAN ADALAH SEMPURNA DARI SEGI SIFAT, SEMENTARA PENGALAMAN JAYENG ADALAH PROGRESIF

Soalan: Adakah kemenangan ini sesuatu yang progresif atau sesuatu yang dialami sekali buat selama-lamanya?

Jawapan: Mengatakan bahawa kemenangan itu sesuatu yang progresif adalah betul, tetapi mengatakan kemenangan sebagai sesuatu yang sempurna juga tidak salah. Jika Tuhan hidup dalam kamu dan jayeng atas dosa tertentu untuk kamu, kita boleh mengatakan bahawa kemenangan itu sudah sempurna. Namun disebabkan ukuran yang berbeza, pemenuhan Tuhan juga berbeza. Misalnya cawan, pinggan, dan baldi semua boleh dipenuhi, tetapi setiap satu mempunyai ukuran yang berbeza. Setiap percayawan hanya dapat mengatasi dosa yang diketahuinya; dia tidak dapat jayeng atas dosa yang tidak diketahuinya. Contohnya, tahun lepas kamu masih tidak jelas bahawa sesuatu perkara itu merupakan dosa, maka kamu tidak mengambil kisah hendak jayeng atasnya. Sesampai tahun ini Tuhan mencahayai kamu, lalu kamu jelas bahawa perkara itu dosa, jadi kamu jayeng atas dosa itu. Disebabkan pencahayaan yang kamu terima dikumpulkan sedikit demi sedikit, jadi kemenangan kamu juga adalah progresif. Kemenangan bagi orang yang baru diselamatkan dan kemenangan bagi orang Kristian yang sudah diselamatkan empat puluh atau lima puluh tahun sama-sama merupakan kemenangan. Akan tetapi, golongan yang kedua mengalami kemenangan dalam tahap dan kekerapan yang lebih tinggi. Oleh itu, untuk berhidupkan hayat yang jayeng, setiap hari kita harus belajar mengenali dosa dan perkara-perkara yang tidak memuliakan Tuhan. Jika kita berbuat demikian, kita akan maju hari demi hari.  

Saya ada seorang kawan yang merupakan mubaligh perempuan bagi China Inland Mission. Dia mengenali hayat yang jayeng. Ada seorang rakan sekerja yang selalu menyusahkan kawan saya ini dengan menyebarkan desas-desus tentangnya di England, sehinggakan semua rakan sekerja yang lain tidak menyukainya. Namun kawan saya bersabar dan tetap mengekalkan hubungan luaran yang mesra dengannya. Suatu hari dia membaca 1 Petrus 1:22 yang berbunyi, “Kasihilah satu sama lain daripada hati yang murni dengan penuh mesra”. Tuhan mencahayainya untuk melihat bahawa bukan sahaja membenci orang ialah dosa, bahkan tidak dapat mengasihi dikbang dengan penuh mesra juga dosa. Maka dia berdoa dan berkata, “O Tuan, Engkau menyuruh aku mengasihinya. Dia langsung tidak ada apa-apa yang boleh dikasihi. Dia bukan sahaja tidak boleh dikasihi, malah teruk sekali. Tuan, aku mengampuninya, tetapi aku tidak dapat mengasihinya, aku tidak dapat mengasihinya dengan penuh mesra. Aku mengaku bahawa ini dosa.” Selama dua hingga tiga hari, perhatiannya tertumpu pada dosa yang baru ini. Suatu hari dia berpuasa dan berdoa sepanjang hari, namun masih gagal mengasihinya. Dia berdoa secara bersungguh-sungguh lagi untuk sehari dan semalam. Petang hari yang berikutnya, Tuhan memberi dia kemenangan. Dia dapat mengasihi dikkak itu, malah mengasihinya dengan penuh mesra dan berdoa-pinta untuknya. Syukur kepada Tuan, selepas berlalunya seminggu lagi, rakan sekerja yang menyusahkan itu juga telah jayeng dan menerima pencurahan Roh Kudus. Selepas kita melepasi halangan untuk jayeng, masih lagi ada perjuangan, tetapi perjuangan selepas itu ialah peperangan iktikad. Cara di dunia ialah berperang untuk menang, namun cara Tuan ialah berperang selepas memperoleh kemenangan. 

Terdapat tiga orang dikkak dari negara Barat yang bekerja di Shansi. Dua orang membuat keputusan untuk membujang manakala seorang lagi telah bertunang. Tunangnya berada di England. Suatu hari dikkak yang sudah bertunang itu berdoa di dalam bilik, dan disebabkan rasa kesunyian, dia menangis seorang diri. Dikkak kedua melewati biliknya dan nampak dia sedang menangis. Dikkak kedua ini pun berkata kepada dikkak ketiga, “Kalau mahu menangis, sepatutnya kita berdua yang menangis. Tunangnya kerap menulis surat kepadanya. Kenapa pula dia menangis?” Tidak lama kemudian, mereka berdua juga dipengaruhi dan menangis kerana berasa sunyi. Pada suatu hari Tuan mengingatkan salah seorang tentang kata-kata dalam Matius 28:20: “Aku bersama dengan kamu setiap hari hinggalah kesudahan zaman.” Seorang lagi pula terbaca Mazmur 16:11 yang berkata, “Engkau akan memberitahu aku laluan hayat; / Dalam hadirat-Mu terdapatnya keriangan penuh; / Di sebelah kanan-Mu terdapatnya kegirangan buat selama-lamanya.” Mereka melihat suatu dosa yang baru, iaitu “berasa sunyi juga suatu dosa”. Oleh itu mereka berdoa, “O Tuan, ampunilah kami. Engkau sentiasa bersama dengan kami, namun kami pula berasa sunyi. Ini merupakan dosa.” Semenjak itu, dua orang dikkak itu sudah jayeng; selama tujuh tahun selepas itu, mereka tidak lagi menangis kesedihan disebabkan rasa sunyi.

Seorang lagi dikkak mempunyai lima orang anak. Dikkak ini amat baik dalam banyak aspek, cuma dia selalu khuatir akan anak-anak. Pada mulanya dia menyangka bahawa dia memang patut khuatir, dia tidak melihat kekhuatiran sebagai dosa, jadi dia tidak dapat jayeng atas kekhuatiran. Pada suatu hari Tuan mencahayainya, barulah dia sedar bahawa kekhuatiran merupakan dosa. Selepas itu, dia telah jayeng atasnya. Jika kamu mempunyai Tuan hidup dalam kamu, setakat mana kamu menyedari dosa kamu, setakat itulah kamu akan jayeng.

Saya pernah dianiayai seseorang, dan saya terlanjur kata semasa bercakap dengannya. Tuan menunjukkan hal ini kepada saya dan menuntut saya menanggulanginya. Saya berfikir bahawa dia telah berbuat salah terhadap saya. Saya tidak membencinya, malah mengampuninya. Tuan masih menghendaki saya meminta maaf daripadanya. Saya tidak dapat berbuat demikian. Namun setiap kali Tuan berbicara, Dia tidak akan bertolak ansur. Setiap kali tangan Tuan menyentuh sesuatu, Dia tidak akan mengalihkan tangan-Nya. Suatu hari semasa saya membaca Bible sambil berdoa, saya terbaca “kasihilah musuhmu”. Asalnya saya sudah siap menulis sepucuk surat untuk meminta maaf daripada orang itu, namun saya sedar bahawa saya tidak dapat mengasihinya, maka saya tidak mengutus surat itu. Saya berdoa kepada Tuhan, “O Tuhan, jika Engkau tidak memberi aku kasih terhadap orang ini, aku tidak dapat mengasihinya melalui diri sendiri.” Pada hari saya mengaku dengan jujur bahawa saya tidak berupaya, hanya Tuhan yang berupaya, mulai hari itulah saya dapat mengasihinya secara ikhlas dari batin. Sudah dua bulan saya cuba menanggulangi perkara ini, tetapi perkara ini hanya dibereskan pada hari tersebut. Keesokan harinya saya mengutus surat untuk memohon maaf daripadanya.

Ada seorang dikkak yang amat mementingkan kebersihan. Dia pandai mengemas rumah tetapi dia tidak memberi perhatian kepada almari pakaiannya. Pada dua bulan yang lepas, dia bersaksi bahawa Tuan berbicara kepadanya, “Kamu harus mengemas almari pakaian kamu, barulah kamu dapat memuliakan Tuhan.” Maka dia mula mengemas almari pakaiannya. Apabila saya mendengar kesaksiannya, saya amat tersentuh dan Tuan berbicara kepada saya dengan serta-merta, “Kamu tidak melipat selimut. Bagaimana mungkin hal ini memuliakan Aku?” Maka saya mula melipat selimut. Sebelum itu, saya tidak pernah melipat selimut. Itulah kali pertama saya melipat selimut saya. Saya telah melipat selimut selama dua bulan ini. Syukur kepada Tuan dan puji-Nya.  

Kemenangan dalam Kristus adalah sempurna dari segi sifatnya dan tidak boleh dimajukan. Walau bagaimanapun, tahap dan ukuran kemenangan sentiasa bertumbuh dan bertambah. Semakin banyak kita dicahayai, semakin banyak kita bertumbuh; semakin sedikit kita dicahayai, semakin sedikit kita bertumbuh. Semakin banyak kita mengenali dosa-dosa, semakin berlimpahlah bekalan yang kita terima daripada Tuhan; semakin kurang kita mengenali dosa-dosa, semakin kuranglah bekalan yang kita terima daripada Tuhan. Kita harus akur di hadapan Tuhan setiap hari dengan berkata, “Aku tidak berupaya, aku juga tidak cuba untuk berupaya. Hanya Tuhanlah yang berupaya”, dan percaya bahawa Tuhan hidup dalam kita untuk menjadi kemenangan kita. Jika begitu, kita akan maju secara berterusan. Haleluya! Dari satu segi, kemenangan adalah sempurna kerana kemenangan ini tersempurna dalam Kristus. Dari segi lain, kemenangan adalah progresif kerana ukuran kemenangan kita akan bertambah sejajar dengan pertambahan cahaya yang kita terima.

BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (2) (Bahagian 1/2)
DUA ASAS TEGUH TUHAN
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)