Setelah Yehezkiel 36:26 mengatakan bahawa Tuhan memberi kita hati baru, ayat ini seterusnya mengatakan bahawa Tuhan juga meletakkan roh baru dalam kita. Oleh itu, kelahiruan bukan sahaja menyebabkan kita beroleh hati baru, tetapi juga menyebabkan kita beroleh roh baru.
Apakah itu roh baru? Roh baru bermaksud roh lama kita yang mati itu telah diperbarui dan dihidupkan. Masalah hati lama kita ialah kekerasan, manakala masalah roh lama kita ialah kematian. Oleh itu, ketika Tuhan melahirukan kita, sebagaimana Dia memperbarui hati lama kita yang keras itu dengan melembutkannya agar menjadi hati baru, begitu juga Dia memperbarui roh lama kita yang mati itu dengan menghidupkannya agar menjadi roh baru.
Pada asalnya, roh manusia yang dicipta ialah organ untuk manusia menghubungi Tuhan. Manusia bersekutu dengan Tuhan dan berhubung dengan Tuhan menerusi dan melalui rohnya. Kemudian, disebabkan kejatuhan manusia, rohnya dirosakkan oleh Syaitan dan kecemaran dosa. Lantaran itu, roh manusia kehilangan fungsinya terhadap Tuhan dan menjadi roh yang mati. Oleh sebab roh menjadi mati, maka roh menjadi lama. Sewaktu kita dilahirukan, disebabkan darah Tuan Yesus membasuh kecemaran yang dialami roh kita, maka Roh Tuhan meletakkan hayat Tuhan, iaitu elemen Tuhan, dalam roh kita dan menghidupkan roh kita (lihat Kol. 2:13). Dengan cara ini, roh lama kita yang mati itu diperbarui dan menjadi roh baru yang hidup.
Pembaca yang dikasihi, memandangkan Tuhan telah memberi kita hati baru sewaktu kita dilahirukan, mengapakah Dia masih meletakkan roh baru dalam kita? Hal ini kerana hati hanya dapat mengingini Tuhan dan mengasihi Tuhan tetapi tidak dapat menghubungi Tuhan atau menyentuh Tuhan. Oleh itu, tidaklah memadai bagi Tuhan memberi kita hati baru sahaja; Dia juga perlu meletakkan roh baru dalam kita. Jika Tuhan hanya memberi kita hati baru, maka Dia hanya dapat membuat kita mengingini-Nya dan mengasihi-Nya; Dia tidak dapat membolehkan kita menghubungi-Nya. Oleh sebab itu, Dia perlu meletakkan roh baru dalam kita agar kita dapat menghubungi-Nya dan bersekutu dengan-Nya.
Katakan saya ada sebatang pen yang bagus. Hati saya amat menyukai pen itu tetapi hati saya tidak dapat menyentuhnya atau mengambilnya kerana hati saya tidak mempunyai keupayaan sebegini. Hanya tangan saya yang dapat berbuat demikian. Tangan menggambarkan roh. Walaupun hati kita mengasihi Tuhan dan mendahagai-Nya tetapi hati kita tidak dapat menghubungi Tuhan atau bersekutu dengan-Nya. Hanya roh kita yang dapat berbuat demikian. Oleh itu, sewaktu kita dilahirukan, Tuhan bukan sahaja memberi kita hati baru, Dia juga meletakkan roh baru dalam kita.
Dahulunya kita tidak mengasihi Tuhan dan juga tidak menyukai hal-hal rohani Tuhan; lagipun, kita tidak dapat menghubungi Tuhan atau memahami hal-hal rohani Tuhan. Sekarang kita mempunyai hati baru dan roh baru, maka kita bukan sahaja dapat mengasihi Tuhan dan hal-hal Tuhan, tetapi kita juga dapat menghubungi Tuhan serta memahami Tuhan dan hal-hal Tuhan. Inilah tujuan Tuhan memberi kita roh baru selain hati baru.
Bacaan lanjut: Pengetahuan Hayat, bab 4