HAYAT DALAM KEBANGKITAN (1)
Ayat-ayat Bible: Yoh. 20:18-22
Kajian-hayat: Mesej 46
Petikan Bacaan:
NAIK KEPADA BAPA
Selepas menampakkan diri dalam kebangkitan kepada pencari-Nya, Dia naik kepada Bapa secara tersembunyi pada hari kebangkitan.
Kenaikan Tuan ke syurga secara tersembunyi menggenapi pemergian-Nya yang dinubuatkan dalam 16:7; di situ, Dia berkata, “Adalah berfaedah bagimu jika Aku pergi; kerana jika Aku tidak pergi, Pelipur itu tidak akan datang kepadamu; tetapi jika Aku pergi, Aku akan mengutus Dia kepadamu.” Yohanes 16:7 bukan digenapi dalam Kisah Para Dutus 2, tetapi dalam Yohanes 20. Kebanyakan orang Kristian beranggapan bahawa hal ini digenapi dalam Kisah Para Dutus 2, namun hal ini sebenarnya digenapi dalam Yohanes 20.
Menghembuskan Roh Kudus ke dalam Disipal-disipal
Jangan lupa bahawa Sabda yang abadi telah mengambil dua langkah: langkah menjadi tubuh daging (1:14) dan langkah menjadi Roh beri-hayat (1 Kor. 15:45). Langkah pertama ialah inkarnasi, manakala langkah kedua ialah kebangkitan. Setelah menjadi tubuh daging untuk menjadi Anak Domba Tuhan bagi menumpahkan darah-Nya demi menebus kita, Dia menjadi Roh beri-hayat dalam kebangkitan demi menyalurkan diri-Nya ke dalam kita sebagai hayat.
Berbeza dengan Penggenapan dalam Kisah Para Dutus 2
Penggenapan dalam Yohanes 20:22 berbeza dengan penggenapan dalam Kisah Para Dutus 2:1-4. Namun begitu, kebanyakan orang Kristian beranggapan bahawa janji dalam Yohanes 14, 15, dan 16 digenapi dalam Kisah Para Dutus 2 pada hari Pentakosta; mereka menyangka bahawa Pelipur akan datang pada hari Pentakosta. Apa yang digenapi dalam Kisah Para Dutus 2:1-4 ialah janji Bapa dalam Yoel 2:28-32; Tuan merujuk kepada janji ini dalam Lukas 24:49 dengan berkata, “Lihatlah, Aku mengutus janji Bapa-Ku ke atasmu; tetapi bagi kamu pula, tinggallah di kota hingga kamu memakai kudrat dari tempat tinggi.” Semua orang bersetuju bahawa janji Bapa berkenaan “memakai kudrat dari tempat tinggi” ini digenapi dalam Kisah Para Dutus 2. Janji dalam Yohanes 14, 15, dan 16 pula, bukan janji Bapa berkenaan kudrat tetapi janji Anak berkenaan Pelipur. Janji berkenaan Pelipur ini digenapi pada hari kebangkitan Tuan. Sebelum Tuan mengingatkan disipal-disipal berkenaan janji Bapa, janji berkenaan Pelipur dalam Yohanes telah pun digenapi. Selepas kebangkitan-Nya, pada masa Dia hampir naik ke syurga secara terbuka, Tuan mengingatkan disipal-disipal supaya menantikan janji Bapa berkenaan kudrat.
Garis Lukas ialah garis tentang kudrat demi aspek kerja, manakala garis Yohanes pula ialah garis tentang hayat demi aspek hayat. Menurut garis Lukas, Roh kudrat diumpamakan sebagai pakaian yang kita pakai. Menurut garis Yohanes pula, Roh itu diumpamakan sebagai air yang kita minum. Pakaian adalah sesuatu yang luaran untuk menutupi kita, manakala minuman ialah sesuatu yang dalaman untuk memenuhi kita. Menurut garis Lukas, apabila Roh itu datang, Roh itu turun ke atas kita (Kis. 1:8). Sebaliknya, menurut garis Yohanes, Roh itu masuk ke dalam kita kerana Roh realiti huni dalam kita (14:17). Justeru, garis Yohanes adalah untuk hayat yang berada dalam kita, manakala garis Lukas adalah untuk kudrat yang berada pada diri kita.