Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 48: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (4)
Mesej 47: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (3)
Mesej 49: Hayat Dalam Kebangkitan (1)
Mesej 48: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (4)
2022-07-31 | 0 Komen
A- A+ Simpan

HAYAT DIPROSES DEMI PELIPATGANDAAN (4)

Ayat-ayat Bible: Yoh. 20:14-17 

Kajian-hayat: Mesej 45

Petikan Bacaan:     

Ditemukan oleh Orang yang Mencari

Walaupun fakta berkenaan kebangkitan Tuan telah disempurnakan, namun hal ini perlu ditemukan dan dilihat. Sebelum Maria orang Magdala datang ke kubur, kebangkitan dalam hayat sebenarnya telah disempurnakan. Namun, Maria orang Magdala perlu menemukannya dengan mengasihi dan mencari Tuan. 

Maria orang Magdala tidak mempunyai pengetahuan. Dia sama sekali berada dalam hayat dan langsung tidak berada dalam pohon pengetahuan. Dia tidak tahu tentang apa-apa. Dalam pandangan orang, dia memang jahil kerana dia datang ke kubur bahkan pada waktu awal pagi. Akan tetapi, dialah orang pertama yang menemukan fakta berkenaan kebangkitan Tuan. 

Dikkak sekalian, kamu mungkin amat mengasihi Tuan dan mungkin orang pertama yang melihat fakta berkenaan kebangkitan-Nya. Namun, seperti Maria, kamu masih memerlukan bantuan daripada dikbang-dikbang. Dengan serta-merta, Maria berlari mendapatkan dua orang dikbang yang memimpin, iaitu Petrus dan Yohanes, dan memberitahu mereka tentang penemuannya. Hanya Petrus dan Yohanes sahaja yang berlari ke kubur untuk melihat apa yang ditemukan Maria. Yohanes yang mungkin lebih muda daripada Petrus, berlari lebih cepat daripadanya dan tiba dahulu di kubur. Namun, atas sebab tertentu, dia tidak masuk ke dalam kubur. Petrus yang lebih berpengalaman merupakan orang pertama yang masuk ke dalam kubur. Apabila kedua-dua orang dikbang melihat kain linen dan sapu tangan yang dilipat kemas dan ditinggalkan di dalam kubur, mereka jelas bahawa Tuan semestinya sudah bangkit daripada yang mati. Mereka lebih jelas daripada dikkak mereka yang jahil; Maria sebelum ini berkata kepada mereka, “Mereka telah mengambil Tuan dari kubur dan kami tidak tahu di mana mereka telah membaringkan-Nya" (20:2). 

Apabila dua orang dikbang melihat kubur yang kosong, kain linen, dan sapu tangan, mereka amat jelas bahawa Tuan semestinya telah bangkit. Walaupun mereka nampak fakta itu, sedar akan fakta itu, dan mempercayainya secara objektif, namun mereka tidak mempunyai pengalaman yang subjektif. Setelah berpuas dengan fakta yang objektif, mereka meninggalkan kubur. Walau bagaimanapun, Maria dikkak itu terus berada di situ kerana dia masih menunggu, melihat, dan mengharapkan sesuatu. 

Lazimnya dalam kehidupan gereja, dikbang-dikbang tidak dapat membantu dikkak-dikkak. Mereka beranggapan bahawa dikkak-dikkak amat jahil, maka mereka membiarkan dikkak-dikkak berada di tempat yang asal dan terus balik ke rumah untuk berehat. Inilah keadaan yang sebenar dalam setiap gereja lokal. Semua dikbang yang memimpin adalah orang yang waras, manakala semua dikkak adalah orang yang menangis. Walau bagaimanapun, akhirnya, orang yang jahil dan menangis ialah orang yang mendapat pengalaman. Mereka tidak mengambil berat terhadap kebenaran, fakta, malah iktikad. Mereka hanya mengambil berat terhadap sentuhan yang sebenar pada Tuan yang hidup, dengan mengisytiharkan, “Aku tidak mengambil berat terhadap kain balut. Aku hanya mengambil berat terhadap Tuan. Aku ingin bersama dengan-Nya dan menyentuh-Nya. Beritahulah aku di mana kamu meletakkan-Nya.” 

Barangkali Tuan Yesus sendiri tidak ingin dijumpai oleh disipal-disipal-Nya. Sebagai buah sulung kebangkitan, Dia harus dipersembahkan kepada Bapa dalam keadaan yang segar. Dia pertama-tamanya tidak harus dijumpai oleh sesiapa pun melainkan Bapa. Namun disebabkan desakan dan hati dikkak ini yang mencari, Tuan Yesus tidak dapat menjauhkan diri daripadanya. Justeru, Dia menampakkan diri kepadanya. Apabila Maria cuba sedaya upaya untuk menyentuh-Nya, Tuan seolah-olah berkata, “Jangan, kamu hanya boleh melihat Aku. Jangan sentuh Aku. Kesegaran Aku dalam kebangkitan haruslah dipersembahkan kepada Bapa. Setelah Aku mempersembahkan kesegaran kebangkitan-Ku kepada Bapa-Ku, Aku akan kembali kepadamu. Itulah masanya untuk engkau menikmati kebangkitan-Ku.”  

Menghasilkan Dikbang yang Banyak

Tuan Yesus juga memberitahu Maria, “Pergilah kepada dikbang-dikbang-Ku.” Di sini, kita datang kepada salah satu butir yang paling penting dalam Injil Yohanes; tidak banyak orang Kristian yang melihat butir ini dengan jelas. Sebelum kebangkitan-Nya, Tuan tidak pernah memanggil disipal-disipal-Nya “dikbang-dikbang”. Panggilan yang paling intim yang digunakan Tuan sebelum ini ialah “sahabat-sahabat”. Dalam 15:14 dan 15, Dia berkata, “Kamulah sahabat-Ku jika kamu melakukan apa yang Kuperintahkan kepadamu. Aku tidak lagi memanggil kamu abdi, kerana abdi tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tuannya; tetapi Aku memanggil kamu sahabat, kerana segala yang telah Kudengar daripada Bapa-Ku, Aku beritahu kepadamu.” Namun sekarang, selepas kebangkitan-Nya, “sahabat-sahabat-Nya” telah menjadi “dikbang-dikbang-Nya”. Satu Petrus 1:3 mengatakan bahawa kita dilahirukan menerusi kebangkitan Kristus. Menerusi kebangkitan-Nya, Tuan menyalurkan diri-Nya sebagai Roh ke dalam semua disipal-Nya. Dengan menerima hayat-Nya, mereka semua telah dilahirukan menjadi dikbang-dikbang-Nya. 

Tuan ialah sebiji gandum yang jatuh ke dalam tanah dan mati lalu bertumbuh dalam kebangkitan untuk membuahkan banyak biji demi menghasilkan satu roti, iaitu Tubuh-Nya (1 Kor. 10:17). Sebelum kematian-Nya, Dia hanyalah satu-satunya biji gandum yang unik. Akan tetapi, selepas kebangkitan-Nya, satu-satunya biji gandum yang unik itu menjadi banyak biji. Inilah pelipatgandaan hayat menerusi kematian dan kebangkitan Kristus. 

Sebelum kebangkitan-Nya, Kristus, iaitu Anak Tunggal Bapa, merupakan ekspresi Bapa secara individu. Kini, menerusi kematian dan kebangkitan-Nya, ekspresi Bapa secara individu telah menjadi ekspresi Tuhan Bapa secara korporat dalam Anak. 

Mari kita pertimbangkan Ibrani 2:10-12 dengan lebih terperinci. Ayat 10 berkata, “Kerana memang sesuai bagi Dia—bagi-Nya dan menerusi-Nya segala sesuatu ada—memimpin anak yang banyak ke dalam kemuliaan, untuk menjadikan Pengasas penyelamatan mereka sempurna menerusi penderitaan.” Yang diperkatakan sebagai “bagi-Nya dan menerusi-Nya segala sesuatu ada” ialah Bapa, manakala Pengasas penyelamatan ialah Anak. Bapa sedang membawa anak yang banyak ke dalam kemuliaan. 

Ayat 11 berkata, “Kerana Dia yang menguduskan dan mereka yang dikuduskan itu semuanya berasal daripada Satu; atas sebab ini, Dia tidak malu memanggil mereka dikbang.” Dalam ayat ini, “Dia yang menguduskan” ialah Anak yang menguduskan, manakala “mereka yang dikuduskan itu” ialah anak-anak yang dikuduskan. “Satu” di sini merujuk kepada Bapa. Dengan itu, “Dia tidak malu memanggil kita dikbang.” Bilakah Dia memanggil kita “dikbang” buat kali pertama? Dia memanggil kita “dikbang” buat kali pertama dalam Yohanes 20:17, ketika Dia memberitahu Maria, “Pergilah kepada dikbang-dikbang-Ku.” Mengapakah Dia tidak malu memanggil kita dikbang? Ini kerana kita semua telah menerima hayat Bapa-Nya. Selepas kebangkitan-Nya, semua disipal-Nya menerima hayat Bapa. Kini, memandangkan Dia dan kita berasal daripada sumber yang sama dan mempunyai hayat yang sama serta sifat yang sama, Dia tidak malu memanggil kita dikbang. 

Ayat 12 bersambung, “Bersabda, Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada dikbang-dikbang-Ku; di tengah-tengah gereja, Aku akan menyanyikan kidung pujian kepada-Mu.” Ayat ini turut memberitahu kita bahawa Anak menyanyikan kidung pujian kepada Bapa di tengah-tengah gereja. Dari sini, kita melihat bahawa Tuan Yesus menyanyikan kidung pujian kepada Bapa. Akhirnya, disebabkan saya tidak menemukan ayat lain yang mengatakan hal ini, saya sedar bahawa setiap kali dikbang-dikbang-Nya menyanyikan kidung pujian kepada Bapa, Dia bernyanyi dalam penyanyian mereka. Semasa kita bernyanyi, Dia bernyanyi dalam penyanyian kita. 

Menjadikan Bapa-Nya dan Tuhan-Nya sebagai Bapa Mereka dan Tuhan Mereka 

Dari segi hayat dan sifat secara dalaman, serta dari segi kedudukan secara luaran, dikbang-dikbang-Nya adalah sama seperti Dia. Secara dalaman, kita ada realiti, dan secara luaran pula, kita ada kedudukan. Bapa bukan sahaja ialah Bapa Tuan sendiri; Dia juga Bapa disipal-disipal. Justeru, semua disipal ialah anak-anak Tuhan. Kita sama seperti Anak Sulung, dan Dia sama seperti kita. Inilah gereja dalam kebangkitan-Nya. Puji Dia! 


Mesej 47: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (3)
Mesej 49: Hayat Dalam Kebangkitan (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)