Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian KEPERLUAN MELATIH ROH SECARA PRAKTIKAL (Bahagian 1/2)
MEMUPUK KEHIDUPAN YANG MENYERU NAMA TUAN (Bahagian 2/2)
KEPERLUAN MELATIH ROH SECARA PRAKTIKAL (Bahagian 2/2)
KEPERLUAN MELATIH ROH SECARA PRAKTIKAL (Bahagian 1/2)
2020-07-28 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (91)

Nota Editor:

“Bible menyebut empat perkara utama berkenaan Tuhan...Tindakan utama yang pertama yang dilakukan Tuhan ialah Dia mencipta segala sesuatu, dan tindakan utama yang kedua ialah Dia sendiri menjadi manusia. Dia masuk ke dalam tubuh daging manusia, mengenakan sifat insani, dan menjadi seorang manusia yang bernama Yesus... Perkara utama yang ketiga berkenaan Tuhan ialah Dia menjadi Penebus kita dalam tubuh daging-Nya...Ketiga-tiga perkara utama ini adalah untuk perkara utama yang keempat, iaitu Dia menjadi Roh beri-hayat.”

“Dalam bahasa Yunani, terdapat tiga perkataan yang berbeza untuk ‘hayat’. Perkataan pertama ialah bios, yang merujuk kepada hayat fizikal kita. Perkataan kedua ialah psuche, yang merujuk kepada hayat-sukma kita...Perkataan ketiga ialah zoe, iaitu hayat Tuhan, hayat abadi.”

“Tuhan mencipta segala sesuatu, menjadi seorang manusia, mati di atas salib untuk menyempurnakan penebusan, dan menjadi Roh. Justeru, Roh ini ialah Tuhan yang mencipta segala sesuatu, yang menjadi manusia, dan yang mati di atas salib untuk menyempurnakan penebusan. Hari ini, Dia masuk ke dalam roh kita untuk menjadi hayat dan segala-gala bagi kita. Inilah perkara yang paling utama dalam Bible.”

KEPERLUAN MELATIH ROH SECARA PRAKTIKAL
(Bahagian 1/2)

(Pemulihan Tuan—Makan, Bab 5)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

1 Kor. 15:45b “Adam terakhir telah menjadi Roh beri-hayat.”

2 Kor. 3:17 “Dan Tuan ialah Roh itu; di mana sahaja Roh Tuan, di situlah kebebasan.” 

I. TUHAN IALAH SATU MISTERI

Tuhan ialah satu misteri. Tuhan merupakan misteri kerana Dia ialah Roh. Roh sememangnya penuh dengan misteri. Kita boleh menggunakan beberapa contoh untuk menggambarkan perkara ini. Misalnya hari ini, kita menggunakan banyak perkakas elektrik. Elektrik adalah sesuatu yang praktikal. Sekiranya pada malam ini, tidak ada bekalan elektrik, maka kita tidak akan mempunyai cahaya elektrik dan juga suara menerusi mikrofon; akibatnya kita tidak dapat mengadakan perhimpunan di sini. Walaupun elektrik adalah sesuatu yang begitu praktikal dan berguna, namun kita tidak dapat melihat elektrik, dan kita juga tidak dapat menunjukkan elektrik. Di manakah elektrik? Kamu mungkin mengatakan bahawa elektrik berada dalam mentol lampu, namun sebaik sahaja kamu membuka mentol, elektrik hilang. Selagi kamu tidak mengalihkan mentol ini, elektrik masih ada di sini. Akan tetapi, sebaik sahaja kamu mengalihkan mentol lampu, elektrik pun hilang. Perkara ini sememangnya ajaib. Oleh itu, kita dapat melihat bahawa elektrik ialah satu misteri.

Satu lagi contoh ialah hayat dalam tubuh manusia kita. Di sini, saya dapat bercakap, bergerak, dan mengekspresikan diri kerana saya mempunyai hayat dalam saya. Andai kata saya sudah mati; saya mungkin berada di sini dengan kepala dan tangan, tetapi saya tidak dapat bergerak. Mengapa? Hal ini kerana saya tidak mempunyai hayat. Hayat memang sesuatu yang benar, namun tidak ada orang yang boleh menunjukkan hayat di depan mata kita. Bahkan sehingga hari ini, ahli fisiologi dan doktor perubatan masih tidak dapat menemui penjelasan yang memuaskan berkenaan apa itu hayat. Kita hanya dapat melihat ekspresi hayat, namun kita tidak dapat melihat hayat itu sendiri. Namun begitu, hayat lebih benar dan nyata daripada segala benda yang lain.

Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa Tuhan wujud di alam semesta. Cuba pertimbangkan alam semesta ini. Alam semesta ini sememangnya ajaib sekali. Alam semesta ini betul-betul satu teka-teki. Teka-teki ini hanya dapat dijelaskan dengan berbalik kepada Tuhan. Seluruh alam semesta bersandar pada Tuhan dan berada pada-Nya. Namun begitu, Tuhan tidak dapat dilihat, tidak dapat dihuraikan, dan juga tidak dapat dijelaskan; justeru, Tuhan ialah satu misteri.

II. EMPAT PERKARA UTAMA BERKENAAN TUHAN

Bible menyebut empat perkara utama berkenaan Tuhan. Pertama sekali, Tuhan mencipta. Tuhan mencipta segala sesuatu, dan Dia juga mencipta manusia. Kedua, Tuhan berinkarnasi. Orang di dunia dapat melihat segala sesuatu yang dicipta Tuhan, namun sebilangan kecil sahaja yang tahu bagaimana Tuhan menjadi manusia. Kita tahu nama Manusia ini ialah Yesus. Semua orang mengaku bahawa Yesus Seorang yang ajaib, Seorang yang paling istimewa. Yesus adalah luar biasa, namun Yesus juga biasa. Mengapakah demikian? Kerana Yesus ialah Tuhan. Dia ialah Tuhan, namun Dia menjadi manusia. Pada mulanya ada Sabda, Sabda ialah Tuhan, dan Sabda menjadi tubuh daging.

Tindakan utama yang pertama yang dilakukan Tuhan ialah Dia mencipta segala sesuatu, dan tindakan utama yang kedua ialah Dia sendiri menjadi manusia. Dia masuk ke dalam tubuh daging manusia, mengenakan sifat insani, dan menjadi seorang manusia yang bernama Yesus. Apabila Dia keluar untuk menjalankan ministri-Nya, orang sentiasa melihat sesuatu yang penuh misteri pada-Nya, iaitu sungguhpun memang nyata Dia manusia, namun Dia melakukan hal yang tidak dapat dilakukan oleh manusia, dan Dia membicarakan kata-kata yang tidak dapat dibicarakan oleh manusia. Sekali dengar, kata-kata-Nya nampak mudah, tetapi sebenarnya sungguh luar biasa. Sebagai contoh, Dia berkata, “Akulah roti hayat” (Yoh. 6:35). Dia juga berkata, “Akulah cahaya dunia” (8:12). Dia juga berkata, “Akulah jalan dan realiti dan hayat” (14:6). Kata-kata ini mudah, tetapi keagungannya luar biasa. Jika Yesus tidak membicarakan kata-kata ini, saya tidak percaya bahawa ada sesiapa di bumi yang akan membicarakan kata-kata ini. Tidak ada ahli falsafah dan cendekiawan yang pernah mengujarkan kata-kata sedemikian. Tidak ada seorang pun yang seajaib Yesus. Yesus adalah ajaib kerana Dialah Tuhan.

Perkara utama yang ketiga berkenaan Tuhan ialah Dia menjadi Penebus kita dalam tubuh daging-Nya. Kita semua jatuh dan korup. Tuan Yesus datang menyelamatkan kita dengan menanggung dosa kita menerusi kematian-Nya di atas salib. Salib itu unggul dan salib itu istimewa.

Penciptaan, inkarnasi, dan penyaliban adalah tiga perkara utama berkenaan Tuhan. Akan tetapi, ketiga-tiga perkara utama ini adalah untuk perkara utama yang keempat, iaitu Dia menjadi Roh beri-hayat. Tuhan mencipta kerana Dia hendak memberi hayat; Tuhan menjadi manusia kerana Dia hendak memberi hayat, dan Tuhan menebus kerana Dia hendak memberi hayat. Tujuan-Nya ialah memberi hayat kepada manusia.

III. TIGA JENIS HAYAT DAN ROH BERI-HAYAT

Apa itu hayat? Hayat ialah Tuhan sendiri. Dalam bahasa Yunani, terdapat tiga perkataan yang berbeza untuk “hayat”. Perkataan pertama ialah bios, yang merujuk kepada hayat fizikal kita. Perkataan kedua ialah psuche, yang merujuk kepada hayat-sukma kita. Dalam buku Injil, Tuan Yesus banyak kali menggunakan perkataan ini. Hayat-sukma ialah hayat manusia, diri manusia. Perkataan ketiga ialah zoe, iaitu hayat Tuhan, hayat abadi. Yohanes 3:16 mengatakan bahawa semua yang percaya ke dalam Anak tidak binasa, tetapi beroleh hayat abadi. Tuan Yesus berkata, “Aku datang supaya mereka beroleh hayat” (10:10). Perkataan “hayat” dalam petikan-petikan ini ialah zoe. Oleh itu, secara kesimpulannya, hayat fizikal ialah bios, hayat manusia ialah psuche, dan hayat Tuhan ialah zoe.

Dikbang dan dikkak yang dikasihi, sebelum kamu diselamatkan, atau sebelum kamu mengasihi Tuan, kehidupan kamu dan tindakan luaran kamu bergantung pada keputusan dalaman kamu. Perasaan dalaman kamu, pemikiran kamu, dan emosi kamu, termasuk kegirangan, kemarahan, kesedihan, dan kegembiraan, semuanya bergantung pada psuche. Apa-apa sahaja yang diputuskan oleh psuche kamu di dalam diekspresikan oleh bios kamu di luar. Kamu hidup melalui hayat-sukma dan hayat fizikal kamu. Namun pada suatu hari, kamu diselamatkan, dan kamu mula mengasihi Tuan. Jauh dalam diri kamu, iaitu dalam roh kamu, kamu menerima hayat yang satu lagi. Semenjak kamu percaya kepada Yesus dengan menyeru nama-Nya, terdapat sesuatu yang penuh misteri dalam kamu. Perkara yang penuh misteri ini ialah Tuhan sendiri yang menjadi hayat kamu. Hayat dalam kamu ini membekali kamu, menyokong kamu, dan mengawal kamu, malah ingin menghidup keluar daripada kamu. Kamu boleh memanggil hal ini sebagai pergerakan Roh Kudus; kamu juga boleh memanggilnya operasi Tuhan; ataupun kamu boleh mengatakan bahawa inilah Kristus hidup dalam kamu. Semua ini ialah ungkapan berbeza yang merujuk kepada perkara yang sama, iaitu Tuhan abadi masuk ke dalam kita untuk menjadi hayat kita. Tuhan yang menjadi hayat kita ini ialah Roh beri-hayat. Adam terakhir telah menjadi Roh beri-hayat (1 Kor. 15:45b).

Tuhan mencipta segala sesuatu, menjadi seorang manusia, mati di atas salib untuk menyempurnakan penebusan, dan menjadi Roh. Justeru, Roh ini ialah Tuhan yang mencipta segala sesuatu, yang menjadi manusia, dan yang mati di atas salib untuk menyempurnakan penebusan. Hari ini, Dia masuk ke dalam roh kita untuk menjadi hayat dan segala-gala bagi kita. Inilah perkara yang paling utama dalam Bible. Kamu boleh mengatakan bahawa Roh beri-hayat ini ialah Tuhan atau Tuan. Kamu juga boleh mengatakan bahawa Dialah Kristus, atau Yesus, atau Roh Kudus. Mereka semua merujuk kepada Persona yang sama. (bersambung...)

MEMUPUK KEHIDUPAN YANG MENYERU NAMA TUAN (Bahagian 2/2)
KEPERLUAN MELATIH ROH SECARA PRAKTIKAL (Bahagian 2/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)