Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 2/2)
KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 1/2)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 2/2)
2020-06-08 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (41)

Nota Editor:

“Kemenangan tidak datang dengan bergelut menerusi kekuatan sendiri. Kristus dalam kitalah yang menjadi kemenangan kita. Kemenangan atas dosa hanyalah satu kerja kecil bagi Kristus yang huni dan hidup dalam kita.”

“Tuhan membenarkan kita bertekad berkali-kali dan gagal berkali-kali untuk menunjukkan kepada kita bahawa kita tidak dapat jayeng. Tuhan mengatakan bahawa kita tidak dapat jayeng; kita langsung tidak dapat jayeng atas dosa-dosa kita.”

“Kita telah pun bertahun-tahun menjadi orang Kristian. Mengapakah Tuan membenarkan kita gagal berkali-kali? Kita harus mengenali bahawa Tuan mempunyai niat yang baik. Niatnya adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa kita tidak dapat melakukannya.”

“Jika kita berbuat dosa sehinggakan kita tidak dapat berbuat apa-apa melainkan mengeluh, maka kita sudah menghampiri kemenangan.”

KEMENANGAN BUATAN MANUSIA 
(Bahagian 2/2)

Tarikh: 18 Disember 1936, malam
Tempat: Foochow

(CWWN SET 2, JIL 42, BAB 55)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Gal. 2:20 “Aku telah disalibkan bersama dengan Kristus, dan bukan lagi aku yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalamku, dan hayat yang kini aku hidup dalam tubuh, aku hidup dalam iktikad, iaitu iktikad Anak Tuhan yang mengasihi aku dan menyerahkan diri-Nya untukku.”

1 Kor. 1:30 “Tetapi daripada-Nya, kamu berada dalam Kristus Yesus yang telah menjadi kearifan kepada kita daripada Tuhan: keadilbenaran, pengudusan, dan penebusan.”

Memerangi Dosa

Sekumpulan orang lagi menanggulangi dosa dengan memerangi dosa dan cuba menahannya. Mereka bergelut untuk menentang dosa dengan harapan agar mereka akan mengatasinya. Namun usaha, pertarungan, dan pergelutan mereka berakhir dengan kegagalan. Orang ini sering beranggapan bahawa mereka gagal kerana tidak cukup lama berperang dengan dosa dan tidak cukup tegas semasa menolak dosa. Mereka cuba berjuang dengan lebih kuat lagi dan berusaha dengan sedaya upaya untuk menentang. Akan tetapi, berapa banyakkah antara mereka yang berjaya mengatasi dosa mereka dengan memerangi dosa? Bible memberitahu kita agar berdiri menentang iblis, tetapi tidak pernah memberitahu kita agar berdiri menentang godaan. Bible juga memberitahu kita agar berdiri menentang kejahatan, namun tidak pernah memberitahu kita agar berdiri menentang dosa. Tidak ada apa-apa godaan dan cubaan yang kita hadapi itu dapat diatasi dengan menentangnya.

Ada seorang dikbang muda yang bekerja untuk Tuan di suatu lokaliti. Pada suatu kali perhimpunan, dia membantu orang agar mempunyai pengalaman untuk jayeng. Seorang doktor yang berumur tujuh puluh sembilan tahun turut datang dan mendengar pemberitaannya. Doktor ini telah menghisap rokok selama lima puluh satu tahun. Dia memberitahu orang, “Menghisap rokok ialah tabiat saya; sejak muda lagi saya sudah menghisap rokok. Pada asalnya saya menghisap dua belas batang rokok sehari. Sekarang telah tambah sehingga dua puluh batang sehari. Saya telah merokok selama lima puluh satu tahun, dan tidak dapat mengatasinya.” Dikbang muda itu bertanya, “Bagaimanakah kamu menanganinya?” Doktor itu berkata, “Sudah dua puluh tahun saya bergelut dengan rokok tetapi tidak pernah berjaya.” Seorang lagi dikbang muda yang hadir di situ tersenyum dan berkata, “Saya mengatasinya tanpa sebarang pergelutan dari pihak saya. Jika kamu ingin mengatasi dosa, kamu langsung tidak dapat melakukannya melalui diri kamu. Kamu harus bersandar pada penyelamatan Tuhan. Kamu tidak perlu bergelut sendiri.” Dikbang itu seterusnya menjelaskan kepada doktor itu tentang cara untuk jayeng. Akhirnya mereka berdoa. Dalam doa doktor itu, dia berkata, “Tuan, mulai sekarang, aku akan menghentikan semua pergelutanku. Tuan, aku bersandar pada-Mu. Kemenangan itu kepunyaan-Mu. Aku tidak dapat jayeng dengan bergelut melalui kekuatan aku sendiri.” Tiga bulan kemudian, dia bersaksi dengan berkata, “Saya telah menghisap rokok selama lima puluh satu tahun. Namun dalam sekelip mata sahaja saya telah dibebaskan daripadanya. Dahulu, sewaktu bangun pagi, sebelum saya membuka mata, tangan saya sudah pun mencapai batang rokok. Namun pada hari itu, saya berhenti secara tiba-tiba; rasa ingin merokok terus hilang. Kristus sesungguhnya kemenangan saya.” Kemenangan tidak datang dengan bergelut menerusi kekuatan sendiri. Kristus dalam kitalah yang menjadi kemenangan kita. Kemenangan atas dosa hanyalah satu kerja kecil bagi Kristus yang huni dan hidup dalam kita.

Berazam dan Mengekang Diri

Cara keempat menanggulangi dosa ialah berazam dan mengekang diri. Orang sedemikian berazam dan berikrar akan berbuat sekian-sekian. Banyak orang Kristian yang sering mengambil cara ini. Mereka berkata kepada Tuan, “O Tuan, aku tidak akan berbuat demikian lagi. Aku berjanji bahawa aku tidak akan melakukannya lagi.” Namun kemarahan, kesombongan, dan kekhuatiran mereka tidak menghormati ikrar mereka. Manusia tidak dapat jayeng atas dosa-dosanya dengan berazam. Setiap kali seseorang memutuskan untuk tidak melakukan hal tertentu, akhirnya dia melakukannya juga. Seseorang yang sentiasa berazam mungkin menetapkan banyak azam sepanjang tahun, tetapi mereka sentiasa berakhir dengan kegagalan. Paulus jelas menunjukkan kepada kita dalam Roma 7 bahawa bertekad ada pada kita, tetapi mengerjahasilkan kebaikan tidak (ay. 18). Tuhan membenarkan kita bertekad berkali-kali dan gagal berkali-kali untuk menunjukkan kepada kita bahawa kita tidak dapat jayeng. Tuhan mengatakan bahawa kita tidak dapat jayeng; kita langsung tidak dapat jayeng atas dosa-dosa kita. Jalan penyelamatan-Nya ialah menyingkirkan kita, menyingkirkan orang yang berbuat dosa. Persepaduan kita dengan kematian Tuan di atas salib menyingkirkan orang yang berbuat dosa. Kita disepadukan dengan Tuan dalam penyaliban-Nya; oleh itu, kita tidak perlu lagi menjadi abdi kepada dosa. Seseorang yang cuba untuk jayeng melalui kekuatan sendiri sememangnya tidak akan berkesan.

CARA PENYELAMATAN TUHAN

Roma 7 terletak di antara bab enam dan bab lapan. Bab enam menunjukkan kepada kita doktrin berkenaan penyaliban dan kehidupan kita bersama dengan Kristus. Bab lapan pula memberitahu kita tentang hayat yang jayeng. Akan tetapi, jika kita tidak mempunyai pengalaman dalam bab tujuh, iaitu jika kita tidak melihat kegagalan sendiri, kita tidak dapat jayeng. Kita telah pun bertahun-tahun menjadi orang Kristian. Mengapakah Tuan membenarkan kita gagal berkali-kali? Kita harus mengenali bahawa Tuan mempunyai niat yang baik. Niatnya adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa kita tidak dapat melakukannya. Sebelum diselamatkan, kita tidak dapat melakukannya; selepas diselamatkan, kita juga tidak dapat melakukannya. Tuan ingin kita mengaku, “Aku tidak dapat melakukannya.” Jika kita dapat berkata sebegini, kita sudah menghampiri kemenangan. Dalam Roma 7 kita melihat pengalaman Paulus yang jayeng dalam dua ayat terakhir. Dia menjerit, “Aku manusia yang sengsara! Siapakah yang akan menyelamatkan aku daripada tubuh kepunyaan maut ini?” (ay. 24). Sejurus selepas itu dia berteriak dalam kemenangan, “Syukur kepada Tuhan, menerusi Yesus Kristus, Tuan kita!” (ay. 25). Jika kita berbuat dosa sehinggakan kita tidak dapat berbuat apa-apa melainkan mengeluh, maka kita sudah menghampiri kemenangan. Sebaik sahaja kita berhenti berazam dan berusaha, kemenangan kita sudah menjelang. Kita boleh mendengar semua ajaran tentang kemenangan; akan tetapi, jika kita tidak menghentikan usaha diri, kita tidak akan mengalami kemenangan. Saya dapat membuat jangkaan: Malam ini sekiranya sesiapa yang mendengar mesej ini masih beranggapan bahawa dia itu agak baik, dia pasti tidak akan jayeng.

Tiga belas tahun yang lalu, semasa saya berada di Foochow, seorang dikbang telah menjemput lebih daripada dua puluh orang dikbang pergi ke Yang-Shu-Pu untuk memberitakan injil. Kami perlu memasak, membeli sayur, dan membasuh pakaian sendiri. Kami semua mandi di Sungai Pu-Tsai kerana tidak ada tempat mandi. Pada suatu hari, ketika Dikbang Lee Teh-yuen sedang mandi, tiba-tiba kakinya kejang. Biarpun dia pandai berenang, saya mendapati bahawa dia sedang bergelut dan hampir tenggelam. Dikbang Wei-san sangat pandai berenang. Oleh itu, saya menjerit kepada dia supaya menyelamatkan dikbang kita. Namun demikian, dia berdiri di situ dan tidak melakukan apa-apa melainkan memerhati Dikbang Lee. Semua orang berasa cemas dan berharap dia cepat-cepat menyelamatkan Dikbang Lee, namun dia tidak berganjak. Saya amat marah. Apabila Dikbang Lee sudah berhenti bergelut dan hampir-hampir tenggelam, Dikbang Wei-san cepat-cepat berenang ke sisinya. Dengan mendakap Dikbang Lee di sebelah tangan dan berenang dengan sebelah tangan lagi, dia membawa Dikbang Lee ke tebing dengan cepat. Dengan serta-merta saya melakukan bantuan pernafasan kecemasan pada Dikbang Lee. Apabila keadaan dia stabil, saya berpaling dan menegur Dikbang Wei-san dengan berkata, “Kalau kamu pergi lebih awal, dia tidak perlu begitu menderita.” Kemudian dia berkata kepada saya, “Terdapat satu rahsia untuk menyelamatkan orang yang hampir lemas. Jangan selamatkan yang hidup dan jangan selamatkan yang mati; hanya selamatkan yang separuh mati. Jika orang itu sudah mati, tidak guna kamu menyelamatkannya. Jika dia masih hidup, dia akan mencekau apa-apa sahaja yang dapat dicapainya kerana terdesak. Apabila dia nampak kamu, dia akan mencekau kamu dengan erat dan kamu berdua akan tenggelam bersama-sama. Kita dapat menyelamatkan orang yang sedang lemas hanya ketika dia kehabisan tenaga dan hampir tenggelam. Pada saat itu, kamu mendakap dia tetapi dia tidak dapat mencekau kamu. Dengan demikian, kamu dapat membawa dia ke tebing.”

Inilah cara Tuhan menyelamatkan manusia. Kita perlu melalui banyak kegagalan dalam proses bergelut untuk jayeng atas dosa. Akhirnya kita terpaksa berhenti bergelut dan mengaku bahawa kita tidak dapat melakukannya. Pada saat itulah Tuhan akan datang menyelamatkan kita. Cara penyelamatan Tuhan berbeza daripada konsep manusia. Roma 6:14 mengatakan bahawa dosa tidak akan mempertuani kita, kerana kita bukan di bawah hukum tetapi di bawah kurnia. Apakah maksud berada di bawah hukum? Apakah maksud berada di bawah kurnia? Berada di bawah hukum bermaksud bahawa manusia melakukan sesuatu untuk Tuhan, sementara berada di bawah kurnia bermaksud bahawa Tuhan melakukan sesuatu untuk manusia. Jika manusia yang mematuhi perintah Tuhan, dia pasti gagal dan berbuat dosa. Kemenangan kita atas dosa bukan bergantung pada berapa banyak yang kita lakukan, tetapi bergantung pada berapa banyak yang telah dilakukan Tuhan. Kita jangan sekali-kali salah faham dengan menyangka bahawa penyelamatan ialah kurnia Tuhan, tetapi kemenangan bergantung pada usaha manusia. Tidak. Sebagaimana penyelamatan ialah kurnia Tuhan, begitu juga kemenangan ialah kurnia-Nya. Segala-galanya disempurnakan Tuan sendiri. Tuhan ingin memperoleh semua kemuliaan; oleh itu, Dia menyempurnakan segala-gala melalui diri-Nya. Tidak ada apa-apa cara kita yang berkesan; semuanya tidak dapat menyempurnakan apa-apa. Kita harus mengetepikan konsep dan cara kita.

Semua yang saya bicarakan malam ini adalah dari aspek negatif. Kata-kata ini dibicarakan dengan tujuan untuk menunjukkan kepada kamu kesilapan manusia. Semua konsep dan cara yang salah ini menghalang manusia mengalami kemenangan. Malam esok kita akan melihat aspek positif. Aspek positif amat penting. Kita harus berdoa lebih banyak dan memohon agar Tuhan membuka mata kita untuk melihat apa itu hayat Anak Tuhan serta melihat bahawa Dia bukan hanya menjadi Penyelamat kita secara luaran, malah menjadi Penyelamat kita secara dalaman.

KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 1/2)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
Sing yuan pada 2020-06-11
Mengapakah Tuan membenarkan kita gagal berkali-kali? Kita harus mengenali bahawa Tuan mempunyai niat yang baik. Niatnya adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa kita tidak dapat melakukannya.” Jika saya berhenti pergelutan, berazam and berusaha dalam mengatasi dosa saya, saya akan mengalami kemenangan yang dilakukan oleh Tuan sebagai kurnia.