Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 2/2)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
2020-06-09 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (42)

Nota Editor:

“Apa itu hayat? Hayat ialah sesuatu yang dalam kamu; apabila orang mengambilnya pergi, kamu tidak dapat hidup lagi. Kristus ialah hayat saya. Jika Kristus diambil pergi daripada saya, saya tidak dapat hidup lagi.

“Jayeng bererti Tuan Yesus hidup dalam kita. Tuan hidup dalam saya, maka Dia dapat menggantikan saya untuk jayeng. Tidak ada satu godaan yang tidak dapat diatasi-Nya. Tuhan bukannya memberi Kristus kepada kamu sebagai teladan, tetapi memberi Kristus kepada kamu sebagai hayat.”

CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)

Tarikh: 19 Disember 1936, malam
Tempat: Foochow 

(CWWN SET 2, JIL 42, BAB 56)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Kol. 3:4 “Apabila Kristus hayat kita termanifestasi, maka kamu juga akan dimanifestasikan bersama dengan-Nya dalam kemuliaan.”

Flp. 1:21a “Kerana bagi aku, hidup adalah Kristus.”

1 Kor. 1:30 “Tetapi daripada-Nya, kamu berada dalam Kristus Yesus yang telah menjadi kearifan kepada kita daripada Tuhan: keadilbenaran, pengudusan, dan penebusan.”

Semalam kita membicarakan bahawa apabila manusia berusaha menggunakan kekuatan diri untuk jayeng, dia akan gagal, dan Tuhan juga tidak dapat berbuat apa-apa. Oleh itu, Tuhan terpaksa membiarkan manusia jatuh agar dia sedar akan siapanya dia. Sebenarnya Tuhan tidak berniat agar manusia jatuh, cuma jika manusia tidak jatuh, manusia tidak dapat melihat dirinya, dan tidak akan mengakui bahawa dirinya adalah tidak berdaya.

Kita melihat daripada Bible bahawa apa yang disediakan Tuhan untuk manusia adalah yang terbaik. Darah Kristus telah menggantikan kita untuk menanggung penghakiman adilbenar Tuhan. Salib Kristus telah menyalibkan manusia lama kita bersama dengan-Nya. Tuhan juga mengagihkan hayat Anak-Nya kepada kita. Walaupun begitu, banyak orang menyangka bahawa hayat Kristus dalam kita sekadar untuk memberi kita kekuatan. Mereka kurang jelas tentang penyelamatan Kristus. Selepas mereka diselamatkan, mereka ingin belajar daripada Yesus; mereka meniru Dia seperti menyurih tulisan kaligrafi. Jika mereka belajar dengan baik, mereka menjadi orang Kristian yang baik. Jika mereka tidak belajar dengan baik, mereka bukanlah orang Kristian yang baik. Mereka memohon kepada Tuan agar memberi mereka kekuatan supaya mereka dapat menjadi seperti Tuan Yesus, menjadi kudus dan rendah hati seperti Tuan, dan menjalani kehidupan syurgawi, serta mempunyai kehidupan berdoa seperti-Nya.

Manusia berharap agar dia sendiri dapat melakukannya. Jika kamu berkata kepadanya, “Kamu tidak mampu melakukannya. Kamu terlalu jahat,” dia tidak suka mendengar kata-kata ini. Banyak orang yang telah memarahi saya dan mengatakan Watchman Nee itu jahat. Saya bukan sahaja tidak marah, malah saya memberitahu mereka, “Kamu tidak marah saya dengan cukup. Watchman Nee jauh lebih jahat daripada apa yang kamu katakan.” Hati saya yang kecil ini mampu melakukan dosa sedunia. Oleh itu, Tuhan telah sama sekali putus asa terhadap saya. Dia tidak lagi menaruh apa-apa harapan pada saya. Adakah kamu melihat hal ini? Inilah segala-gala yang dimiliki manusia. Oleh yang demikian, Tuhan tidak menghendaki manusia berhidupkan hayat sendiri. Tuhan ingin memberi Kristus kepada manusia supaya Dia menjadi hayat manusia dan supaya manusia menghidup keluar hayat-Nya. Inilah cara penyelamatan Tuhan. 

Apa itu hayat? Hayat ialah sesuatu yang dalam kamu; apabila orang mengambilnya pergi, kamu tidak dapat hidup lagi. Kristus ialah hayat saya. Jika Kristus diambil pergi daripada saya, saya tidak dapat hidup lagi. Paulus bukan mengatakan bahawa dia ingin menjadi mirip Kristus, dia ingin bersandar pada Kristus, dia ingin bertopangkan kudrat-Nya, dia ingin belajar daripada Kristus, atau dia ingin mengambil Kristus sebagai teladan. Paulus mengatakan bahawa Kristus ialah hayatnya (Kol. 3:4) dan baginya, hidup adalah Kristus (Flp. 1:21). Paulus menganggap bahawa hayatnya ialah Kristus. Dia dapat hidup kerana Kristus ialah hayatnya. Jika Kristus diambil daripadanya, dia tidak dapat hidup lagi.

HAYAT YANG JAYENG IALAH KRISTUS

Persediaan Tuhan bagi setiap orang dalam injil ialah menjadikan Kristus sebagai hayat kita. Sekarang kita harus bertanyakan satu soalan, “Apakah maksudnya hayat kita ialah Kristus?” Galatia 2:20 berkata, “Aku telah disalibkan bersama dengan Kristus.” Kata-kata ini bukan suatu matlamat untuk kita capai. Kita pasti tidak dapat mencapai matlamat ini kerana hal ini hanya dapat dilakukan Tuan. Ayat ini bersambung, “Bukan lagi aku yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalamku.” Dengan kata lain, “Kristus hidup dalamku menggantikan aku.” Hati kita lebih licik daripada segala sesuatu dan sangat jahat. Melainkan Kristus hidup dalam kita, kita tidak dapat tidak berbuat dosa. Memandangkan hati manusia begitu jahat sampai tidak dapat diubati lagi, maka Tuhan harus mengetepikan manusia dan meletakkan Anak-Nya Kristus dalam manusia untuk menjadi hayatnya.

Oleh itu, apakah hayat yang jayeng? Hayat yang jayeng ialah Anak Tuhan yang berada dalam kita untuk mengatasi dosa bagi pihak kita—inilah hayat yang jayeng. Hayat yang jayeng bukan Tuan memberi saya kekuatan agar saya menjadi kudus dan agar minda saya dimurnikan. Tidak! Hayat yang jayeng bererti Kristuslah yang tunduk bagi pihak saya, Kristus berdoa bagi pihak saya, dan Kristus menjadi lembut halus bagi pihak saya. Kristus melakukan segala-gala bagi pihak saya dalam saya. Dua perkara ini jauh berbeza. Dapatkah kamu melihat perbezaan dua perkara ini? Satu ialah menggunakan kekuatan Kristus untuk membolehkan saya rendah diri, dan satu lagi ialah Kristus hidup dalam saya dan merendah diri bagi pihak saya. Jika kamu dapat melihat perbezaannya, kamu adalah berberkat.

Dalam suatu persidangan di Cheefoo pada tahun yang lalu, isteri Dikbang Witness Lee berkata kepada saya, “Saya telah jayeng dalam pelbagai aspek. Saya sudah mengaku dosa kepada ibu mertua saya, dan ibu mertua tidak ada masalah dengan saya lagi. Cuma dua anak kecil saya selalu membuat bising. Keadaan ini tidak mudah saya atasi. Setiap kali mereka bising, saya cuba bersabar. Saya masih dapat bersabar selama lima atau enam kali, tetapi pada kali ketujuh atau kelapan, saya tidak dapat bersabar lagi. Bolehkah dikbang berdoa untuk saya agar Tuhan memberi saya sekitaran yang lebih baik supaya saya dapat jayeng?” Saya menjawab, “Tidak boleh. Saya tidak boleh berdoa agar Tuhan membuat kamu jayeng, kerana Tuhan tidak akan membuat kamu jayeng. Sebaliknya, Tuhan akan membuat kamu gagal. Jayeng itu hanya dapat dilakukan Tuhan. Kristus dalam kamu ialah kemenangan kamu. Tuhan tidak akan membantu kamu jayeng. Sekiranya kejayengan bergantung pada kamu, maka apabila anak-anak membuat bising pada kali keempat, kamu masih dapat jayeng, namun sampai kali kelima, kamu tidak dapat jayeng lagi. Akan tetapi, jika Tuanlah yang pergi ke rumah kamu untuk menjaga anak bagi pihak kamu, adakah kamu masih akan hilang sabar? Jangankan lima atau sepuluh kali, biarpun lima puluh atau seratus kali mereka membuat bising pun kamu dapat menjadi lebih daripada jayeng.”

JAYENG BERERTI KRISTUS HIDUP DALAM KITA

Jayeng bererti Tuan Yesus hidup dalam kita. Tuan hidup dalam saya, maka Dia dapat menggantikan saya untuk jayeng. Tidak ada satu godaan yang tidak dapat diatasi-Nya. Tuhan bukannya memberi Kristus kepada kamu sebagai teladan, tetapi memberi Kristus kepada kamu sebagai hayat. Empat tahun yang lalu saya berada di New York, dan saya bertemu dengan seorang doktor dan isterinya daripada mazhab Presbyterian. Mereka mempunyai empat orang anak. Isterinya berumur empat puluhan dan sangat rendah hati. Dia datang berkata kepada saya, “Kamu haruslah berdoa untuk saya agar Tuhan memberi saya kesabaran. Empat orang anak saya ini betul-betul menyeksa saya. Apabila seorang membuat bising, saya masih dapat bertahan. Apabila dua orang membuat bising, saya masih dapat bertahan. Apabila tiga orang bising serentak, kemarahan saya mula bernyala. Jika keempat-empat orang bising pada masa yang sama, saya akan terus meletus dengan kemarahan.” Saya bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu kurang?” Dia berkata, “Sudah tentulah kesabaran!” Saya bertanya lagi, “Kalau begitu, apabila kamu berdoa agar Tuan memberi kamu kesabaran, adakah Dia memakbulkan doa kamu?” Dia berkata, “Tidak.” Saya berkata kepadanya, “Tuhan tidak memakbulkan doa kamu ini sebelum ini, dan Dia juga tidak akan memakbulkan doa ini pada masa akan datang. Kamu tidak dapat bersabar sebelum ini, dan kamu tidak akan bersabar pada masa yang akan datang. Yang kamu kurang bukan kesabaran.” Dia berkata, “Apakah maksud kamu? Jika saya bukan kurang kesabaran, apakah kekurangan saya?” Saya berkata, “Apa yang kamu kurang ialah Kristus, bukan kesabaran, kelembuthalusan, atau ketenangan.” Kesabaran ialah Kristus. Kerendahan hati, kelembuthalusan, dan kekudusan yang sebenar ialah Kristus.

Sewaktu di Shanghai, seorang dikbang berkata kepada saya, “Saya tidak dapat bersabar. Apa yang harus saya lakukan supaya saya dapat bersabar?” Saya memberitahunya bahawa di Shanghai terdapat sebuah kilang berus gigi. Mereka hanya menjual berus gigi secara borong, tidak secara runcit. Tuhan kita juga begitu. Dia hanya menjual secara borong, tidak secara runcit. Jika kamu ingin meminta sedikit kesabaran daripada-Nya, Dia tidak akan memberikannya kepada kamu. Dia telah meletakkan segala virtu dalam Kristus. Apabila kamu mempercayai dan menerima Kristus, Dia menjadi milik kamu, dengan itu semua virtu juga menjadi milik kamu. Satu Korintus 1:30 mengatakan bahawa Tuhan memberi Kristus kepada kita untuk menjadi pengudusan kita. Saya tidak dapat dikuduskan dalam diri saya, tetapi Kristus berada dalam saya dan menjadi pengudusan bagi pihak saya. Kamu mungkin tidak sedar betapa berharganya penggantian ini. Tuhan memberi Kristus kepada kita untuk menjadi pengudusan kita. Dia berada dalam kita untuk berhidupkan pengudusan bagi pihak saya. Malam ini sekiranya ada seseorang yang melihat hal ini, saya akan berjabat tangannya dan berkata kepadanya, “Kamulah orang yang paling bahagia di dunia.” Jika kamu hidup melalui diri sendiri, kamu tidak akan dikuduskan biarpun kamu mahu. Akan tetapi, jika Kristus hidup dalam kamu, kamu akan berjaya. Inilah kemenangan yang diberikan Tuhan kepada kita. (bersambung...)

KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 2/2)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)