Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian KEHENTARAN (Bahagian 3/4)
KEHENTARAN (Bahagian 2/4)
KEHENTARAN (Bahagian 4/4)
KEHENTARAN (Bahagian 3/4)
2020-07-10 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (73)

Nota Editor:

“Di mata Tuhan, kehentaran merupakan amanat yang telah diberikan-Nya kepada manusia. Dia memberi kemuliaan dan kehormatan kepada manusia serta menjunjung manusia apabila Dia memanggilnya menjadi hentar...Terdapat banyak orang yang menganggap bahawa jika mereka mempersembahkan diri mereka kepada-Nya, mereka sebenarnya memberi penghormatan kepada Tuhan...Tetapi ini satu kebutaan, kejahilan dan kegelapan semata-mata!”

“Jika Tuhan di syurga memanggil kita menjadi hentar untuk melayani-Nya, maka dengan merangkak pun kita harus pergi ke hadapan-Nya untuk menerima panggilan-Nya, kerana ini kemuliaan terbesar yang diberikan kepada kita. Tuhan telah menjunjung kita. Ini bukan bermaksud bahawa kita dapat memberi sesuatu kepada Tuhan. Sebaliknya, hal ini bermaksud bahawa perkenan Tuhan dan penerimaan Tuhan merupakan kemuliaan kita. Orang seperti kita pun boleh melayani Tuhan. Hal ini merupakan kemuliaan yang teramat besar. Inilah kurnia semata-mata! Sesungguhnya, inilah injil! Injil bukan sahaja merujuk kepada penyelamatan Yesus, malah injil juga memberitahu kita bahawa orang seperti kita kini dapat melayani Tuhan. Inilah injil yang agung.”

“Kini, kita harus sedar bahawa sama ada kita langsung tidak menjadi orang Kristian, ataupun kita menjadi orang Kristian yang mempersembahkan segalanya kepada Tuan. Selagi kita orang Kristian, kita perlu menjadi hentar.”

KEHENTARAN
(Bahagian 3/4)

(Sabda untuk Percayawan Baru—Kehentaran)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Kel. 19:6 “Dan kamu akan menjadi kingdom hentar dan bangsa yang kudus bagi-Ku. Inilah sabda-sabda yang harus engkau bicarakan kepada bani Israel.”

V.  KEMULIAAN KEHENTARAN

Tidak lama selepas saya percaya kepada Tuan, saya sentiasa mempunyai tanggapan bahawa tidaklah mudah untuk menggalakkan percayawan muda melayani Tuan. Nampaknya saya perlu cuba sedaya upaya untuk memohon, merayu, dan meminta orang lain melayani Tuhan. Namun demikian, pandangan Tuhan sama sekali berbeza daripada pandangan kita. Apabila umat Israel berdosa, Tuhan mengalihkan kehentaran daripada mereka. Di mata Tuhan, melayani-Nya merupakan keuntungan yang terbesar dan juga kemuliaan yang tertinggi. Jika seseorang itu gagal atau jatuh, Tuhan akan mengalihkan kehentaran daripadanya. Tuhan tidak berhasrat untuk meminta, merayu kepada manusia atau mendapatkan kesudiannya. Manusia dapat menjadi hentar Tuhan merupakan kemuliaannya, bukan kemuliaan Tuhan.

A.  Menjadi Hentar Bermaksud Diberi Penghormatan oleh Tuhan

Oleh itu, sila ingat bahawa orang yang mempersembahkan api asing akan dibakar hingga mati. Ada orang mati apabila mereka masuk ke dalam tempat kudus. Ada pula mati ketika mereka cuba mempersembahkan korban kepada Tuhan. Dengan kata lain, selain hentar, Tuhan tidak membenarkan sesiapa datang kepada-Nya. Di mata Tuhan, kehentaran merupakan amanat yang telah diberikan-Nya kepada manusia. Dia memberi kemuliaan dan kehormatan kepada manusia serta menjunjung manusia apabila Dia memanggilnya menjadi hentar. Seseorang itu akan mati jika dia sendiri ingin berbahagian dalam kehentaran menurut kehendaknya sendiri. Uza yang menghulurkan tangannya untuk menahan tabut yang hampir tumbang itu, mati dibunuh dengan serta-merta.

B.  Orang Bodoh Menganggap Pelayanan sebagai Memberi Bantuan yang Istimewa kepada Tuhan

Terdapat banyak orang yang menganggap bahawa jika mereka mempersembahkan diri mereka kepada-Nya, mereka sebenarnya memberi penghormatan kepada Tuhan. Dalam belasan tahun yang lalu, saya sering berasa sedih apabila melihat perhimpunan kepulihbangkitan. Manusia seolah-olah perlu dipujuk supaya mempersembahkan diri mereka untuk melayani Tuhan. Banyak orang memberi sedikit wang kepada Tuhan dan menganggap bahawa mereka telah memberi bantuan yang istimewa kepada-Nya. Banyak orang mempersembahkan diri mereka untuk melayani Tuhan dan menganggap ini sebagai bantuan kepada Tuhan. Ada orang yang berfikir bahawa mereka memberi penghormatan kepada Tuhan apabila mereka meninggalkan kedudukan mereka di dunia yang tidak seberapa itu. Hati mereka seolah-olah berkata, “Aku mempersembahkan diriku, seorang yang begitu penting, untuk melayani Tuhan hari ini!” Ada orang pula meninggalkan jawatan mereka yang rendah itu lalu menganggap bahawa mereka telah memberi penghormatan kepada Tuan. Hati mereka seolah-olah berkata, “Orang seperti aku pun rela melayani Tuan.” Tetapi ini satu kebutaan, kejahilan dan kegelapan semata-mata! 

C.  Melayani Tuhan Merupakan Kemuliaan Kita yang Terbesar

Jika Tuhan di syurga memanggil kita menjadi hentar untuk melayani-Nya, maka dengan merangkak pun kita harus pergi ke hadapan-Nya untuk menerima panggilan-Nya, kerana ini kemuliaan terbesar yang diberikan kepada kita. Tuhan telah menjunjung kita. Ini bukan bermaksud bahawa kita dapat memberi sesuatu kepada Tuhan. Sebaliknya, hal ini bermaksud bahawa perkenan Tuhan dan penerimaan Tuhan merupakan kemuliaan kita. Orang seperti kita pun boleh melayani Tuhan. Hal ini merupakan kemuliaan yang teramat besar. Inilah kurnia semata-mata! Sesungguhnya, inilah injil! Injil bukan sahaja merujuk kepada penyelamatan Yesus, malah injil juga memberitahu kita bahawa orang seperti kita kini dapat melayani Tuhan. Inilah injil yang agung. 

VI.  PEMELIHARAAN KEHENTARAN

A.  Tidak akan Ada Gereja Tanpa Kehentaran secara Umum

Justeru, kini dalam gereja, kehentaran tidak lagi hanya terhad kepada beberapa orang; kehentaran telah menjadi kehentaran secara umum. Kingdom Israel telah gagal; hari ini gereja tidak boleh gagal lagi. Kingdom Israel gagal kerana umat Tuhan dan hentar Tuhan terasing. Kita harus memohon rahmat Tuhan supaya dalam gereja hari ini tidak akan ada pengasingan lagi antara umat Tuhan dan hentar-Nya. Kini dalam gereja, umat Tuhan merupakan hentar-Nya. Semua umat Tuhan ialah hentar Tuhan. Sebanyak mana dikbang dan dikkak yang ada, sebanyak itulah bilangan hentar yang harus ada. Semua orang harus datang kepada Tuhan untuk mempersembahkan korban rohani. Semua orang harus datang kepada Tuhan untuk mempersembahkan korban pujian. Semua orang harus datang kepada Tuhan untuk menguruskan hal-hal rohani. Ministri ini bukan untuk golongan yang terpilih sahaja. Setiap orang harus datang kepada Tuhan untuk melayani-Nya. Jika dalam gereja, bukan semua orang datang kepada Tuhan, maka itu bukan gereja.

Kita harus ingat bahawa sekiranya kehentaran tidak bersifat umum, maka tidak akan ada gereja. Bangsa Israel telah gagal; gereja tidak patut gagal lagi. Sepanjang dua ribu tahun yang lalu, lingkungan kehentaran belum pernah dipulihkan sehingga dapat merangkumi semua umat Tuhan. Sejarah gereja selama dua ribu tahun menunjukkan kepada kita pengasingan yang kerap berlaku ke atas umat dan ministri kehentaran. Golongan perantara telah wujud antara Tuhan dan umat-Nya dari semasa ke semasa. Perkara ini merupakan kerja dan ajaran pengikut Nikolaus.

B.  Tidak Harus Bertoleransi Lagi dengan Golongan Perantara

Saya berharap supaya dikbang dan dikkak dapat melihat dengan jelas bahawa kita tidak harus bertoleransi lagi dengan golongan perantara. Kita tidak harus menerima hierarki lagi. Kita tidak harus terus membenarkan hentar ada di antara Tuhan dan anak-anak-Nya sebagai golongan perantara; kita tidak harus menerima golongan perantara. Kita perlu melihat apa itu gereja. Gereja bererti setiap anak Tuhan merupakan hentar. Tidak harus ada satu orang ataupun beberapa orang yang dilantik untuk menguruskan pelayanan rohani. Mereka tidak harus menjadi satu-satunya golongan yang menerusi mereka Tuhan bersabda, ataupun satu-satunya golongan yang menerusi mereka kita mendekati Tuhan untuk menguruskan perkara rohani. Golongan perantara sedemikian tidak boleh diterima dalam gereja. 

Sila ingat bahawa pertikaian kita dengan denominasi bukan berkisar pada formaliti luaran tetapi isi kandungan dalaman. Pada hari ini, terdapat hierarki dalam denominasi—satu kumpulan orang melayani Tuhan, sementara orang lain hanya menjadi anggota gereja yang biasa sahaja. Kumpulan itu melayani Tuhan secara khusus, manakala anggota yang lain, walaupun mereka juga anak Tuhan, perlu mendekati Tuhan menerusi mereka. Kini, banyak organisasi dalam Kristianiti membenarkan kewujudan golongan perantara sedemikian. Akan tetapi, kita tidak harus menerima sebarang golongan perantara. Kita tidak harus melepaskan kurnia yang diberi kepada gereja dalam Wasiat Baru, seperti mana yang dilakukan oleh orang Israel. 

C.  Golongan Perantara akan Dimansuhkan apabila Semua Orang Melayan

Justeru, kita perlu memansuhkan golongan perantara. Untuk memansuhkan golongan ini, kita semua harus menjadi sebahagian daripadanya. Apabila kita semua menjadi sebahagian daripada golongan ini, sistem hierarki akan dihapuskan. Bagaimana kita dapat menjadikan tiga kumpulan itu dua kumpulan? Bagaimana kita dapat mengubah hubungan tiga hala menjadi hubungan dua hala? Bagaimana ketiga-tiga pihak ini—Tuhan, hentar, dan umat—menjadi dua pihak? Tidak ada jalan lain melainkan bersujud di hadapan Tuan dan berkata, “Tuan, aku rela melayani-Mu. Aku rela menjadi seorang hentar.” Hanya apabila semua anak Tuhan menjadi hentar-Nya, barulah tiga kumpulan ini dapat menjadi dua kumpulan.

Sistem perantara berasal daripada dunia, tubuh daging, penyembahan berhala, dan kasih terhadap dunia. Sekiranya semua dikbang dari mulanya menyangkal dunia dan menolak penyembahan berhala, mereka akan mempersembahkan diri kepada Tuhan. Mereka akan berkata, “Mulai hari ini, saya akan hidup di bumi untuk satu tujuan sahaja, iaitu melayani Tuhan.” Dengan ini, golongan perantara akan lesap secara spontan. Jika semua dikbang menyedari bahawa satu-satunya pekerjaan mereka adalah melayani Tuhan dan mereka semua melayani Tuhan, golongan perantara ini tentu akan dihapuskan!

D.  Keperluan Seseorang untuk Menjadi Hentar Selagi Dia Seorang Kristian

Sehubungan itu, saya berharap agar kamu tidak akan membenarkan sebarang golongan perantara wujud. Berpeganglah pada hal ini dari mulanya. Golongan perantara hanya akan wujud semula di kalangan mereka yang gagal, jatuh, dan bergerak-hidup menurut cara mereka sendiri. Pada ketika itu, secara spontan akan wujudnya satu kumpulan orang yang melayani Tuan manakala kumpulan yang lain pula tidak melayani Tuan. Mereka yang tidak melayani Tuan itu menguruskan hal-ehwal duniawi, manakala mereka yang melayani Tuan pula menjaga hal-hal rohani. Orang yang tidak melayani Tuan ini, paling banyak hanya menderma sedikit wang untuk menyara mereka yang melayani Tuhan. Mereka mungkin merupakan ahli perniagaan, guru, atau doktor, tetapi mereka semua menguruskan hal-ehwal sendiri dan bergerak-hidup menurut jalan mereka sendiri. Mereka seolah-olah tidak mempunyai kaitan langsung dengan pelayanan Tuhan. Apa pula yang patut dilakukan mereka untuk menjadi seorang Kristian yang baik? Dia cuma perlu meluangkan sedikit masa setiap minggu untuk menghadiri persidangan penyembahan. Jika dia mempunyai wang, dia cuma perlu mempersembahkan sebahagian kecil daripadanya. Akan tetapi, hal ini dengan jelasnya memisahkan umat Tuhan dan hentar-Nya kepada dua kumpulan orang! Kini, kita harus sedar bahawa sama ada kita langsung tidak menjadi orang Kristian, ataupun kita menjadi orang Kristian yang mempersembahkan segalanya kepada Tuan. Selagi kita orang Kristian, kita perlu menjadi hentar. (bersambung...)

KEHENTARAN (Bahagian 2/4)
KEHENTARAN (Bahagian 4/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)