Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian DIA YANG JAYENG (Bahagian 1/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 4/4)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 2/4)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 1/4)
2020-06-22 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (55)

Nota Editor:

“Kebanyakan daripada kita akan bersetuju bahawa Kristianiti luaran pada masa ini berada dalam keadaan yang menyedihkan. Semua penyakit dan kelemahan dunia diperlihatkan padanya. Kerja Kristianiti tinggal sekadar sedikit pemberitaan injil dan sedikit kebajikan sosial. Pengaruhnya terhadap manusia sangat kecil sehinggakan boleh diabaikan. Inilah hakikatnya; tetapi apa yang membuat kita lebih risau dan sedih ialah terhadap hakikat ini, kita sebagai umat Tuhan kekurangan perasaan tidak aman dalam zimah kita. Kita menganggap perkara itu sudah semestinya begitu, dan banyak yang nampaknya akur sahaja dengan keadaan ini, seolah-olah perkara itu semestinya begitu. Orang Kristian hari ini tidak percaya bahawa apa yang telah dibentangkan Paulus kepada kita itu boleh dicapai. Disebabkan ketidakpercayaan ini, kita terpaksa kembali kepada ministri Yohanes, dan meninjau sekali lagi ciri istimewa ministri ini.”

“Di banyak lokaliti seharusnya ada ekspresi praktikal yang sebenar bagi satu Tubuh itu, bukannya mengekspresikan banyak Tubuh yang berbeza. Inilah hasrat divin dan titik tolak gereja. Namun demikian, sedih sekali kerana kita tahu bahawa gereja telah gagal, maka Tuan sendiri perlu berbicara lagi dari syurga...Dalam bab-bab itu [Wahi 2 dan 3], menerusi Yohanes, Tuan Yesus memperlihatkan bekalan divin yang lebih lanjut untuk gereja-Nya. Saya merujuk kepada tujuh janji pada akhir tujuh surat itu. Dalam janji-janji itu ada mesej khas Yohanes sewaktu situasi umum menunjukkan penyimpangan daripada Tuhan. Mesejnya ialah: Di tengah-tengah kemunduran dan kemerosotan secara umum, Tuhan mencari sesetengah orang dalam kalangan umat-Nya untuk menjadi pejayeng-Nya dalam gereja-gereja.”

“Apakah maksud ‘pejayeng’? Untuk mengelak daripada salah faham, kita harus terlebih dahulu jelas bahawa golongan ini bukan orang Kristian yang luar biasa dan terunggul. Mereka bukannya lebih baik daripada orang lain secara individu, dan dengan itu mereka ditakdirkan untuk menerima kemuliaan yang lebih besar. Sila ingat, pejayeng ialah orang Kristian yang normal. Semua yang lain, buat masa ini, telah menjadi tidak normal.”

DIA YANG JAYENG
(Bahagian 1/4)

(CWWN SET 2, JIL 40, BAB 11)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

1 Yoh. 2:13b “Pemuda-pemuda, aku menulis kepadamu kerana kamu telah jayeng atas yang jahat itu.”

Yos. 14:11, 14 “Pada hari ini, aku masih kuat sama seperti pada hari Musa mengutus aku keluar. Sebagaimana tenagaku pada masa itu, demikianlah tenagaku sekarang untuk bertempur dan untuk keluar dan masuk...Oleh itu, Hebron menjadi warisan Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, hingga hari ini kerana dia mengikut Yehova Tuhan Israel dengan sepenuhnya.”

Dutus Yohanes menegaskan bahawa matlamat Tuhan adalah pasti, dan bahawa jalan-jalan-Nya sekarang selaras dengan matlamat itu. Pada akhirnya, prinsip-prinsip Tubuh Kristus mencapai perkembangan dan ekspresi yang sepenuhnya di kota syurgawi. Begitu juga, kita boleh mengatakan yang sebaliknya. Setiap kali hayat abadi mempunyai jalan bebas dalam kita hari ini, kita akan mendapati bahawa setiap ciri kota syurgawi, setiap ciri Tuan Yesus yang sejati, akan diekspresikan menerusi Tubuh-Nya di bumi ini. Siapakah yang setelah melihat manusia baru syurgawi kepunyaan Tuhan ini, dapat berpuas hati dengan apa-apa yang kurang daripada ini?

Akan tetapi, sekarang kita harus bersifat praktikal dan melihat keadaan di sekeliling kita. Kebanyakan daripada kita akan bersetuju bahawa Kristianiti luaran pada masa ini berada dalam keadaan yang menyedihkan. Semua penyakit dan kelemahan dunia diperlihatkan padanya. Kerja Kristianiti tinggal sekadar sedikit pemberitaan injil dan sedikit kebajikan sosial. Pengaruhnya terhadap manusia sangat kecil sehinggakan boleh diabaikan. Inilah hakikatnya; tetapi apa yang membuat kita lebih risau dan sedih ialah terhadap hakikat ini, kita sebagai umat Tuhan kekurangan perasaan tidak aman dalam zimah kita. Kita menganggap perkara itu sudah semestinya begitu, dan banyak yang nampaknya akur sahaja dengan keadaan ini, seolah-olah perkara itu semestinya begitu. Orang Kristian hari ini tidak percaya bahawa apa yang telah dibentangkan Paulus kepada kita itu boleh dicapai. Disebabkan ketidakpercayaan ini, kita terpaksa kembali kepada ministri Yohanes, dan meninjau sekali lagi ciri istimewa ministri ini.

Kita sudah melihat sebelum ini bahawa apa yang diwahikan Tuan menerusi Paulus tentang Tubuh Kristus seharusnya direalisasikan dalam gereja-gereja lokal; setiap gereja lokal harus mengekspresikan Tubuh. Di banyak lokaliti seharusnya ada ekspresi praktikal yang sebenar bagi satu Tubuh itu, bukannya mengekspresikan banyak Tubuh yang berbeza. Inilah hasrat divin dan titik tolak gereja. Namun demikian, sedih sekali kerana kita tahu bahawa gereja telah gagal, maka Tuan sendiri perlu berbicara lagi dari syurga. Semasa Tuan berbicara lagi, Dia memberikan nota penjelasan baru tentang gereja Tuhan dan gereja-gereja, dan inilah sebabnya Wahi bab dua dan tiga amat membantu kita. Dalam bab-bab itu, menerusi Yohanes, Tuan Yesus memperlihatkan bekalan divin yang lebih lanjut untuk gereja-Nya. Saya merujuk kepada tujuh janji pada akhir tujuh surat itu. Dalam janji-janji itu ada mesej khas Yohanes sewaktu situasi umum menunjukkan penyimpangan daripada Tuhan. Mesejnya ialah: Di tengah-tengah kemunduran dan kemerosotan secara umum, Tuhan mencari sesetengah orang dalam kalangan umat-Nya untuk menjadi pejayeng-Nya dalam gereja-gereja.

Apakah maksud “pejayeng”? Untuk mengelak daripada salah faham, kita harus terlebih dahulu jelas bahawa golongan ini bukan orang Kristian yang luar biasa dan terunggul. Mereka bukannya lebih baik daripada orang lain secara individu, dan dengan itu mereka ditakdirkan untuk menerima kemuliaan yang lebih besar. Sila ingat, pejayeng ialah orang Kristian yang normal. Semua yang lain, buat masa ini, telah menjadi tidak normal.

Dalam keabadian lampau Tuhan mempunyai satu rancangan yang pasti, satu pelan yang sama sekali tidak akan digugurkan-Nya. Pejayeng ialah orang yang telah melihat pelan itu, dan berdiri untuknya dengan bergantung pada kurnia Tuhan. Mereka bukan tokoh legenda tertentu yang telah melangkaui Paulus, atau yang menerima wahi berbeza daripada yang diterima Paulus. Saya ulangi, mereka sekadar normal di mata Tuhan; mereka tidak mempunyai apa-apa kelebihan khas yang boleh dimegahkan.

Dalam penulisan Yohanes, jayeng bukan hanya merujuk kepada jayeng dari segi perseorangan. Hal ini bukan merujuk kepada jayeng atas dosa (ungkapan yang lebih baik ialah “pembebasan”), dan juga bukan merujuk kepada kekudusan peribadi (yang kononnya digelar “kehidupan yang menang”). Jayeng yang dibicarakan oleh Yohanes merupakan sejenis kemenangan dalam situasi tertentu ketika orang berdiri demi Tuhan dan menjaga kepentingan Tuhan. Apabila kebanyakan orang menolak mesej Paulus, orang Kristian akan tergoda untuk berkata, “Beginilah keadaannya. Apakah yang dapat kita lakukan mengenainya? Kita seharusnya cuba memelihara ketulusan kita dalam aspek tertentu, tetapi terhadap perkara yang lain, kita sudah tidak ada harapan, jadi terpaksalah kita membiarkan perkara itu berlalu. Perkara-perkara itu tidak mungkin dapat dipulihkan. Tidak ada apa-apa yang dapat kita lakukan untuk memperbaikinya.” Semasa kita terkurung oleh keadaan tertentu, sama ada keadaan itu suatu kenyataan atau sekadar andaian, dan kita tidak ada jalan untuk menanganinya, maka amat mudah bagi kita menyerah dan menganggap bahawa keadaan kita yang khusus itu tidak dapat dipulihkan lagi. Terlalu banyak perkara dalamnya yang perlu dibetulkan, terlalu banyak kerja susah yang perlu dilakukan. Perkara itu adalah mustahil.

Pada saat-saat seperti inilah pejayeng yang akan menegaskan melalui kehidupan dan kesaksian mereka bahawa Tuhan itu bukan seperti manusia dan Dia tidak berubah. Mereka mengesahkan bahawa standard Tuhan tetap tidak berubah, dan Dia masih menetapkan hendak memperoleh satu manusia syurgawi pada hari ini, serta memperoleh kota syurgawi pada akhirnya. Bagi segala yang seharusnya dilakukan seluruh gereja namun tidak dilakukan, Tuhan akan membangkitkan pejayeng untuk melakukannya sebagai mewakili gereja dan untuk gereja. Mereka ini kekal setia terhadap Manusia syurgawi yang menang itu, dan tetap berdiri di kedudukan mereka. Inilah “jayeng” yang diperkatakan di sini dalam Sabda.

Dalam buku Wahi, Yohanes menyatakan bahawa lingkungan bagi para pejayeng adalah dalam gereja yang tertewas pada hari ini. Dalam situasi setiap orang yang tersendiri, orang yang menjaga kepentingan Tuhan ialah mereka yang penting bagi Tuhan. Dalam rancangan Tuhan, terdapat sebahagian yang berkaitan dengan kita secara peribadi di tempat yang kita berada, dan untuk ini Dia memerlukan pejayeng. Saya ingin mengulang lagi bahawa jayeng bukan bererti cemerlang, tetapi tidak seburuk dengan yang tidak normal! Inilah satu-satunya perbezaan pejayeng dengan yang lain! Mereka mematuhi standard Tuhan; itu sahaja. Namun demikian, oleh sebab mereka mengenali hayat orang Kristian, panggilan syurgawi Tubuh, dan peperangan gereja, mereka menjadi seperti alat di tangan Tuhan untuk menggulingkan Syaitan dari takhtanya. Mereka mempersiapkan diri bagi pihak gereja dan berjuang untuk gereja. Mereka berusaha sedaya upaya, bukan untuk diri sendiri tetapi demi Tubuh; oleh sebab mereka sudah bersiap sedia, Tuhan melihat gereja sebagai pengantin perempuan yang bersiap sedia. Mereka umpama obor yang menyalakan api. Apa-apa yang diwarisi pejayeng turut diwarisi seluruh gereja.

Kamu Pemuda-pemuda

Buku Keluaran, Imamat, Bilangan—tiga buku Wasiat Lama ini memperlihatkan suatu keselarian yang menarik dengan pengalaman orang Kristian. Saya pernah menyamakannya dengan “duduk”, “jalan”, dan “berdiri” dalam buku Efesus (lihat Ef. 1:20; 4:1; 6:13). Buku Keluaran memperlihatkan orang Israel dibebaskan dari Mesir melalui tangan Tuhan yang perkasa, dan mereka dibina menjadi umat Tuhan melalui kerja yang tidak dapat dibalikkan. Buku Imamat meletakkan asas persekutuan orang Israel dengan Tuhan melalui darah, dan gerak-hidup yang kudus melalui salib. Buku Bilangan mengatur mereka dalam barisan untuk peperangan, dengan tujuan mereka dapat menikmati warisan yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka. Butir terakhir ini dinyatakan dengan jelas pada permulaan Bilangan. Dalam 1:3, Harun disuruh menghitung “semua yang boleh keluar untuk khidmat tentera di Israel”.

Sejurus sebelum pernyataan ini, iaitu dalam bab terakhir Imamat, seolah-olah Tuan ingin menilai anak-anak-Nya untuk melihat siapa yang paling berharga bagi-Nya. Saya merujuk kepada arahan yang diberikan tentang nazar sukarela (Im. 27: 1-8). Kita harus jelas membezakan petikan di sini dengan petikan dalam Keluaran 30 yang berbicara tentang wang perak penebusan bagi setiap orang. Petikan dalam Keluaran 30 merupakan perintah bagi setiap orang Israel; setiap orang mempunyai nilai yang sama, iaitu setengah syikal perak. Saya fikir bahawa hal itu membicarakan apa yang akan dilakukan Tuhan untuk kita. Akan tetapi, Imamat 27 di sini merupakan persoalan tentang apa yang dapat kita persembahkan bagi Dia. Oleh itu, hal ini bukan suatu perintah tetapi suatu tindakan sukarela. “Apabila seseorang membuat nazar khusus kepada Yehova, nazar itu harus menurut penilaian engkau terhadap orang itu. Jika penilaian engkau adalah…” (ay. 2-3), berikutan ini ialah nilai-nilai dalam syikal menurut umur dan jantina, yang boleh kita taburkan seperti berikut:

Umur Untuk Lelaki Untuk Perempuan
Di bawah 5 tahun 5 syikal 3 syikal
5-20 tahun 20 syikal 10 syikal
20-60 tahun 50 syikal 30 syikal
60 tahun ke atas 15 syikal 10 syikal

Tuhan tidak mengabaikan sesiapa pun, bahkan kanak-kanak dan bayi, tetapi kita mungkin bertanya: Mengapa golongan yang berumur lebih daripada dua puluh tahun mempunyai penilaian tertinggi? Seperti yang baru kita lihat, hal ini pastinya kerana buku seterusnya, yakni Bilangan, bermula dengan pentakrifan mereka yang mampu pergi berperang yang merupakan orang berumur “dari dua puluh tahun ke atas”. Sudah tentu ini bermaksud bahawa nilai persembahan diri kita—hati, minda, tekad dan hayat—kepada Tuhan diukur-Nya berdasarkan kesesuaian kita untuk berperang. Dari pihak kita, itu hanyalah nazar (Tuhan tidak mengizinkan kita menjadi orang Kristian yang tidak bernazar!) tetapi dari pihak Tuhan, terdapatnya nilai-nilai yang pasti. Ya, sememangnya baik untuk menyelamatkan sukma, untuk memiliki kekudusan peribadi, dan untuk melakukan seratus dan satu perkara yang berguna bagi Tuhan, tetapi lebih daripada segala ini, yang paling berharga bagi Tuhan ialah kita layak untuk berbahagian dalam peperangan Tuan yang sudah lama berlarutan ini, untuk menggulingkan musuh-Nya dan membawa umat-Nya ke dalam kenikmatan terhadap warisan mereka dalam-Nya. Yehova ialah pahlawan perang, dan kekuatan untuk berperang merupakan sesuatu yang sangat dihargai-Nya.

Sudah tentu dalam Wasiat Lama, perkara yang tragik ialah bagi orang yang berusia, dalam keadaan normal, kekuatan fizikal mereka untuk berperang akan semakin merosot. Akan tetapi, di sini kita harus beralih pada pemikiran Wasiat Baru, yang berkata, “Meskipun manusia luaran kami mereput, namun manusia dalaman kami diperbarui hari demi hari” (2 Kor. 4:16). Pokok yang bertumbuh di tepi sungai tidak akan layu. Kehidupan orang Kristian yang sebenar tidak ada petang, tidak ada yang kemerosotan kekuatan. Kaleb merupakan pejayeng sebenar dalam buku Bilangan. Jika kita mengikuti Tuan dengan sepenuhnya, kita akan menjadi seperti dia, iaitu kekuatan kita untuk berperang pada usia lapan puluh tahun sama seperti sewaktu kita berusia empat puluh tahun.

Saya percaya bahawa inilah butir yang dibicarakan dan diperkembangkan oleh Yohanes dalam surat pertamanya. Dia berkata, “Pemuda-pemuda, aku menulis kepadamu kerana kamu telah jayeng atas yang jahat itu” (1 Yoh. 2:13). Orang muda secara alamiahnya penuh dengan kecergasan, dan ayat ini menunjukkan sekali lagi bahawa Tuhan berkenan akan tenaga rohani mereka dan buahnya. Namun kita harus ingat bahawa Yohanes mengelaskan pembacanya kepada anak-anak kecil, pemuda, dan bapa, yang tidak serupa dengan pengelasan dalam Imamat. Yohanes menulis kepada bayi rohani yang sudah memiliki jaminan pengampunan dosa-dosa; kepada pejuang rohani yang mempunyai Sabda Tuhan tinggal dalam mereka; dan kepada bapa rohani yang telah melalui peringkat bayi, budak, dan orang dewasa yang berperang, dengan itu mempunyai simpanan yang kaya dan mempunyai pengetahuan penuh terhadap Dia yang merupakan Asal segala sesuatu. Hari ini tidak ada satu kumpulan umur rohani yang dikecualikan daripada perang. Sesungguhnya, tidak seharusnya ada orang Kristian yang kematangannya tertangguh, sebagaimana seharusnya tidak ada usia bersara dalam hal-hal rohani. (Dalam penilaian dari segi ketenteraan, istilah “pemuda” turut merangkumi pemudi. Dalam erti kata tertentu, hal ini juga benar dalam Imamat.)

Walau apa pun, tidak kira berapa panjangnya sejarah rohani kita, soalan yang harus kita bertanya kepada diri sendiri ialah: Apakah nilai terkini saya di rumah kudus? Tuhan mempunyai anggaran yang pasti tentang nilai setiap daripada kita terhadap Dia. Dia mengenal kita secara individu, dan penilaian-Nya terhadap setiap orang di rumah kudus-Nya diukur berdasarkan ukuran kekuatan rohani. Tidak kira berapa umur kita, anggaran nilai sebenarnya kita boleh mencapai setinggi tiga puluh atau lima puluh syikal, dan bukannya sekadar lima belas syikal. Oh, kiranya setiap daripada kita minum daripada roh militan Kaleb! (bersambung...)

YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 4/4)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 2/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)