Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 4/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 3/4)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 1/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 4/4)
2020-06-21 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (54)

Nota Editor:

“Syurga ialah asal usul dan juga tempat tinggal gereja; maka syurga bukan destinasinya. Memandangkan kedudukan gereja tidak pernah wujud dalam lingkungan lain melainkan syurga, maka soal gereja berusaha sampai ke syurga juga tidak timbul... gereja bukan sekumpulan orang Kristian yang mengerjakan jalan ke syurga, tetapi sekumpulan orang yang benar-benar merupakan warganegara di syurga pada hari ini. Ingatlah: ‘Tidak ada orang yang pernah naik ke syurga, melainkan...Anak Manusia yang berada di syurga.’ Gereja tidak perlu berdoa supaya ia menjadi mirip Kristus. Gereja hanya perlu melihat kedudukannya di syurga dalam penyatuan dengan Tuan.”

“Apabila kita menyedari sifat syurgawi sebenar gereja, kita akan melihat sifat kita yang diperbarui dan syurgawi...Gereja ialah lingkungan yang dalamnya Tuhan melaksanakan kuasa-Nya di bumi. Dalam alam semesta yang tercemar pada hari ini, Dia mempunyai lingkungan yang suci tidak tercemar sebagai tempat tinggal-Nya.”

YOHANES—DAN KEBENARAN
(Bahagian 4/4)

(CWWN SET 2, JIL 40, BAB 10)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Wahi 1:12 “Dan aku berpaling untuk melihat suara yang berbicara denganku; setelah aku berpaling, aku nampak tujuh kaki pelita emas.”

Wahi 21:10-11a “Dan dia membawa aku pergi dalam roh ke atas sebuah gunung yang besar dan tinggi dan menunjukkan kepadaku kota kudus itu, Yerusalem, turun dari langit daripada Tuhan, mempunyai kemuliaan Tuhan.”

Warganegara di Syurga (samb.)

Apa yang kita katakan di atas tentang realiti baptisan dan meja Tuan juga terpakai apabila kita membicarakan realiti gereja. Pada hari-hari ini apabila disebut sahaja perkataan “gereja”, banyak mubaligh Kristian menjadi gelisah. Sebaik sahaja subjek ini dibangkitkan, mereka mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjelaskan pendirian sendiri supaya jangan-jangan kekeliruan timbul dalam minda pendengar. Mereka sangat berhati-hati untuk membezakan gereja benar dengan gereja palsu. Namun dalam sabda Tuan dan dalam pemikiran Tuhan, langsung tidak ada perbezaan sebegini. Tuan tidak memberi nota kaki dalam Kitab ketika Dia berbicara tentang gereja. Dia tidak cuba melindungi realiti rohani dengan membezakan sifat dalaman dan sifat luaran, yang benar dan yang tidak benar. Bahkan Dia tidak menggariskan sempadan yang jelas antara gereja lokal dengan gereja universal. Dalam Sabda Tuhan cuma ada “gereja”. 

Sungguhpun demikian, subjek gereja terus dianggap secara umum sebagai subjek yang penuh kontroversi, dan sengaja dielakkan demi perpaduan injil. Dalam suatu konvensyen besar di England, saya bertanya kepada seorang pekerja, “Mengapakah dalam konvensyen ini tidak kedengaran sesiapa yang menyebut tentang gereja?” “Oh,” jawabnya, “Kerana konvensyen ini bertujuan untuk mengejar hayat rohani dengan lebih mendalam.” Jika pandangannya mewakili pandangan semua, maksudnya banyak orang beranggapan bahawa gereja tidak berkaitan dengan hayat rohani orang Kristian, walhal tidak ada apa-apa yang lebih berkait rapat dengan hayat rohani anak-anak Tuhan daripada soal gereja.

“Biar ku mirip-Mu!” ialah sebuah kidung yang boleh dinyanyi secara individu, namun bukan untuk gereja, kerana gereja sudah merupakan Tubuh Kristus yang syurgawi. Menyedari hal ini akan merevolusikan kehidupan Kristian seseorang. Meskipun kebanyakan orang Kristian mengakui bahawa bergelut dan berusaha mencapai kesyurgaan adalah salah, namun mereka masih bergelut dan berusaha. Mereka diajar bahawa kesyurgaan perlu dicapai melalui usaha; maka bagi mereka, Kristianiti ialah usaha untuk menjadi apa yang mereka bukan dan melakukan apa yang tidak dapat dilakukan mereka. Mereka berikhtiar untuk tidak mengasihi dunia, kerana sesungguhnya hati mereka mengasihi dunia; mereka berusaha untuk merendah diri, kerana hati mereka begitu yakin pada diri. Inilah pengalaman Kristianiti. Akan tetapi, biar saya ulang semula, ini bukan pengalaman gereja. Sekalipun kita dapat merintis jalan dari Lautan Atlantik ke Lautan Pasifik, kita tidak akan berupaya mencapai syurga dari bumi. Syurga bukan tempat yang akan ditujui gereja pada hari kemudian. Gereja berada di syurga dan tidak wujud di mana-mana tempat yang lain. 

Syurga ialah asal usul dan juga tempat tinggal gereja; maka syurga bukan destinasinya. Memandangkan kedudukan gereja tidak pernah wujud dalam lingkungan lain melainkan syurga, maka soal gereja berusaha sampai ke syurga juga tidak timbul. Penyataan ini seolah-olahnya keterlaluan, namun inilah hakikat. Sebagaimana benarnya bagi kebenaran lain dalam Sabda Tuhan, kebenaran ini juga sesuatu yang perlu dilihat melalui pewahian Roh Kudus kepada hati kita. Kita hanya akan mengenali panggilan syurgawi setelah kita melihat. Panggilan itu bukan memanggil kita ke syurga, sebaliknya menyedarkan kita bahawa kita kepunyaan syurga dan berada di syurga. Oleh itu, gereja bukan sekumpulan orang Kristian yang mengerjakan jalan ke syurga, tetapi sekumpulan orang yang benar-benar merupakan warganegara di syurga pada hari ini. Ingatlah: “Tidak ada orang yang pernah naik ke syurga, melainkan...Anak Manusia yang berada di syurga.” Gereja tidak perlu berdoa supaya ia menjadi mirip Kristus. Gereja hanya perlu melihat kedudukannya di syurga dalam penyatuan dengan Tuan.

Kita perlu membetulkan fikiran kita tentang gereja. Gereja bukan organisasi yang dirancang, ataupun sesuatu pertubuhan yang dijayakan dengan adanya sekumpulan orang. Gereja bukan konsep yang perlu digapai, mahupun ideal yang perlu dicapai. Seperti banyak butir lain yang kita peroleh dalam Kristus, gereja ialah realiti yang kita lihat melalui bantuan Roh Kudus menerusi Sabda. Apabila kita menyedari sifat syurgawi sebenar gereja, kita akan melihat sifat kita yang diperbarui dan syurgawi. Dengan itu, barulah kita sedar bahawa titik permulaan orang Kristian bukan bumi tetapi syurga. Gereja adalah sempurna dan mustahil ditambahbaikkan lagi. Ahli teologi berkata, “Oh, itu sekadar kedudukan gereja; keadaannya bukan begitu.” Namun demikian dalam mata Tuhan, gereja tidak ada ketidaksempurnaan dalam keabadian. Mengapa pula diganggu masalah yang tidak kehabisan dalam ciptaan lama? Soalan ini lenyap secara spontan apabila melalui kurnia divin, kita melihat realiti abadi. Gereja ialah lingkungan yang dalamnya Tuhan melaksanakan kuasa-Nya di bumi. Dalam alam semesta yang tercemar pada hari ini, Dia mempunyai lingkungan yang suci tidak tercemar sebagai tempat tinggal-Nya.

Kaki Pelita Emas

Betapa resahnya kita terhadap hal gereja! Betapa teragak-agaknya kita untuk menaruh keyakinan pada gereja! Kita berfikir: Bagaimana jika gereja melakukan kesilapan? Bagaimana jika gereja membuat kesimpulan yang salah? Bagaimanapun, Tuan tidak membuat persediaan untuk sebarang kegagalan. Seakan-akan tidak terlintas dalam fikiran-Nya bahawa kegagalan yang tidak dijangka akan berlaku. Kita berfikir gereja di Korintus jauh di bawah standard, namun kepada gereja itulah Paulus menulis: “Kamu telah dibasuh...telah dikuduskan...telah dijustifikasikan”. Malahan pada akhir hidup Paulus di Rom, dia tidak mengatakan bahawa Demas dan Aleksander tukang tembaga itu serta sebilangan dikbang palsu telah mendirikan gereja palsu, dan mereka harus diasingkan dengan awas daripada gereja benar. Setiap kali Paulus menyebut gereja dalam suratnya, dia memperkatakan gereja sama sekali sempurna, dan dia tidak membubuh apa-apa kata penerang untuk mengelakkan salah faham.

Sama juga dengan Yohanes. Dalam Wahi 2 dan 3, kita melihat Anak Manusia berjalan di tengah-tengah kaki pelita emas dan Dia dengan pastinya menuntut setiap kaki pelita emas masing-masing bertanggungjawab kepada diri-Nya. Jika mata kita menyusuri mata-Nya, kita mudah mengesan kegagalan dalam gereja-gereja itu. Namun pernahkah kita dapati bahawa Yohanes tidak membezakan antara gereja yang betul dengan gereja yang salah? Sekalipun gereja-gereja ada kepincangan, dia tetap menggelar gereja-gereja itu menurut pandangan Tuan sendiri, yakni “tujuh kaki pelita emas”, tujuh dian emas tulen. 

Bagi mereka yang telah melihat realiti divin, hanya realiti itu wujud. Kita berkata: Dari sudut pandangan Tuhan, gereja sepatutnya begini atau begitu. Tidak! Gereja memang begini atau begitu. Gereja memang sebagaimana yang dilihat dari sudut pandangan Tuhan, kerana Kristus ialah begitu. Melihat realiti abadi dalam Kristus bererti tidak lagi membezakan keadaan yang boleh dicapai gereja dengan keadaan sebenar gereja. Sebaik sahaja Tuhan membuka mata kita, kita tidak lagi memandang remeh terhadap perkara kecil. Apabila kita menemui hanya sebilangan kecil percayawan di suatu tempat, kita tidak akan berkata, “Apa gunanya gereja ini kepada Tuhan? Bilangan orang di tempat ini begitu sedikit!” Kita tidak akan merungut, “Di kota pagan ini, hanya ada seorang dikbang yang bersama dengan saya!” Apabila kita melihat buku Kisah, kita tidak lagi rasa tertekan dengan bilangan percayawan yang sedikit kerana dalam Kisah 13, bilangan pekudus yang sedikit itu telah membuat keputusan yang membawa pengaruh yang begitu besar (keadaan selepas itu memang membuktikan hal ini). Kita tidak lagi berfikir: Tempat itu tidak ada perwakilan gereja yang cukup; langkah penting seperti ini harus menunggu keputusan rundingan agung antara pemimpin-pemimpin gereja.

Tidak! Selagi sesetengah percayawan melihat realiti syurgawi, kita tidak akan terganggu sama ada mereka bertindak mengikut langkah peraturan yang wajar. Apabila kita turut melihat realiti gereja seperti mereka, kita dapat mengecam suatu gereja yang berfungsi ketika kita menemuinya tidak kira di mana, sekalipun mereka sekumpulan kecil percayawan, yang menurut pandangan manusia, tidak memiliki kedudukan sebagai “wakil gereja yang dilantik”. Jika mereka betul-betul tunduk kepada Kepala dalam segala hal, dan jika mereka tidak menumpukan perhatian kepada diri sendiri atau gereja, tetapi kepada Kristus, maka Roh Tuhan pasti akan bersaksi untuk mereka.

Ambil contoh satu kes yang ekstrem. Ananias pergi kepada Saulus di Damsyik seorang diri, dan dia seorang sahaja yang meletakkan tangan pada Saulus. Kamu mungkin berteriak, “Ini tidak mengikut peraturan! Ini bertentangan dengan prinsip Tubuh! Ini sudah pasti tindakan individualistik!” Sama sekali bukan! Ya, memang betul bahawa Ananias cuma seorang disipal, namun dia bergerak menurut pimpinan Kepala, sebagaimana yang sepatutnya dilakukan seorang anggota Tubuh. Pada waktu itu, mata Tuan bukan sahaja pada Ananias, tetapi juga pada seorang yang lain. Tindakan Ananias terhadap dikbang yang baru ini jelas mengekspresikan ketundukan Ananias kepada Kristus. Di bawah keadaan ini, apabila dia bergerak, seluruh Tubuh bergerak bersama.

Jika kamu telah dibawa ke dalam realiti abadi gereja, akan tibanya hari kamu dipanggil untuk berbicara dan bertindak untuk seluruh gereja. Adakah kamu akan menolak pada masa itu? Apabila mana-mana anggota Tubuh betul-betul tunduk kepada Roh Kristus dan bergerak, pergerakannya ialah pergerakan seluruh Tubuh. Pada ketika itu, hayat anggota melangkaui segala batasan luaran, kerana orang sedar bahawa Tuhan sedang bergerak menerusi anggota tersebut.

Besar sungguh implikasi daripada semua ini. Kita tidak harus melihat perkara dari segi kebendaan atau dari segi intelek, iaitu dari pandangan agama Roman Katolik atau golongan Reformis; kita hanya melihat dari sudut pandangan Tuhan. Tuhan melihat “tujuh kaki pelita emas”. Dia hanya tahu “gereja”. Apabila kita membenarkan Roh kebenaran membimbing kita ke dalam realiti rohani gereja, kita akan melihat gereja sebagaimana Tuhan melihatnya.

Ketika saya membicarakan hal ini kepada orang Kristian di merata tempat, saya mendapati mereka semua, termasuk pemimpin, mempunyai persoalan yang sama. Mereka hairan, “Adakah kamu ingin memberitahu saya bahawa apa yang diingini Tuhan boleh direalisasikan di bumi? Kamu seorang yang idealistik dan hidup dalam angan-angan. Namun andainya kamu betul, dan kamu mungkin dapat melihat perkara ini sedikit sebanyak direalisasikan dalam hidup kamu, bagaimana pula dengan generasi seterusnya? Apa yang kamu alami sekarang akan berubah bentuknya. Sifatnya akan berubah, dan dalam beberapa tahun yang akan datang, yang tinggal hanya suatu bentuk yang herot bagi visi yang telah kamu lihat.”

Ya, sekiranya kamu sekadar melihat dari sudut ministri Paulus dalam Wasiat Baru, memang sikap sedemikian seakan-akannya betul. Namun syukur kepada Tuhan kerana masih ada ministri Yohanes. Apa yang dilakukan Tuhan menerusi tokoh-tokoh ini adalah abadi, bukan sesuatu yang bertahan selama sepuluh atau dua puluh tahun sahaja. Bagi bait rohani Tuhan, tidak ada “generasi pertama” atau “generasi kedua”, tetapi “dari generasi ke generasi”. Tuhan tidak akan melepaskan apa-apa yang diingini-Nya atas satu sebab tunggal—Dia sendiri kekal tidak berubah. Jika demikian, masakan kita berani menerima standard yang berlainan? Seseorang yang tidak mampu membeli mutiara membeli manik sintetis dan menganggap manik-manik itu mutiara tiruan. Namun bagi seseorang yang mampu membeli mutiara, dia tidak akan menganggap manik sintetis itu mutiara tiruan. Baginya tidak ada mutiara benar dan mutiara palsu, hanya ada mutiara. Baginya manik sintetis langsung tidak ada kena-mengena dengan mutiara. Semua yang dianggapnya mutiara ialah mutiara tulen.

“Setelah aku berpaling, aku nampak tujuh kaki pelita emas” (Wahi 1:12). “Dan dia membawa aku pergi dalam roh ke atas sebuah gunung yang besar dan tinggi dan menunjukkan kepadaku kota kudus itu, Yerusalem, turun dari langit daripada Tuhan, mempunyai kemuliaan Tuhan. Cahayanya seperti batu yang paling berharga…” (Wahi 21:10-11). Sekiranya mata kita hinggap di situ, kita akan memuji Tuhan demi ministri Yohanes! 

YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 3/4)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 1/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)