Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
2020-06-10 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (43)

Nota Editor:

“Jayeng bukan bermaksud saya berubah, tetapi saya telah ditukar ganti. Sebagai manusia, kita sentiasa berhasrat untuk berubah, tetapi Tuhan ingin menunjukkan kepada kita bahawa kita ini tidak dapat diubah baik. Tuhan telah sama sekali berputus asa terhadap kita.”

“Manusia selalu berfikir hendak meminta Tuhan memberi kudrat supaya dia berubah menjadi orang yang lebih baik. Namun begitu, kita adalah seperti jam tangan yang rosak itu. Sebanyak mana pun kita dibaiki, kita tidak akan menjadi baik, melainkan kita ditukar dengan yang baru. Penyelamatan Tuhan bukan membantu kamu berubah menjadi lebih baik dan membantu kamu jayeng. Penyelamatan Tuhan ialah Kristus menggantikan kamu untuk jayeng. Tuhan tidak membuat kerja mengubah kita. Dia ingin menukar ganti hayat kita.”

“Persoalannya bukan kamu baik atau tidak, boleh atau tidak, tetapi sama ada Tuhan boleh atau tidak. Kemenangan bukan bergantung pada kamu sendiri tetapi pada Kristus. Kristus yang berada dalam kamu itulah yang jayeng bagi pihak kamu. Kemenangan bukan bergantung pada diri kamu tetapi sama sekali bergantung pada Kristus. Kemenangan sama sekali merupakan hal Kristus jayeng dalam kamu bagi pihak kamu.”

CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)

Tarikh: 19 Disember 1936, malam
Tempat: Foochow 

(CWWN SET 2, JIL 42, BAB 56)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Gal. 2:20 “Aku telah disalibkan bersama dengan Kristus, dan bukan lagi aku yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalamku, dan hayat yang kini aku hidup dalam tubuh, aku hidup dalam iktikad, iaitu iktikad Anak Tuhan yang mengasihi aku dan menyerahkan diri-Nya untukku.”

CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG

Hayat yang Bertukar Ganti, Bukan Hayat yang Berubah

Sekarang kita ingin melihat ciri-ciri hayat yang jayeng. Pertama sekali, kita harus melihat bahawa hayat yang jayeng ialah hayat yang bertukar ganti, bukan hayat yang berubah. Jayeng bukan bermaksud saya berubah, tetapi saya telah ditukar ganti. Sebagai manusia, kita sentiasa berhasrat untuk berubah, tetapi Tuhan ingin menunjukkan kepada kita bahawa kita ini tidak dapat diubah baik. Tuhan telah sama sekali berputus asa terhadap kita. Dia tahu bahawa kita tidak dapat diubah menjadi lebih baik. Dalam bahasa Foochow, ada satu ungkapan yang digunakan untuk memarahi orang, “Shi-wu-bien”, bermaksud sampai mati pun tidak berubah. Seseorang yang Shi-wu-bien ialah seseorang yang tidak akan berubah sampai mati. Syukur kepada Tuan kerana Dia menunjukkan kepada kita bahawa hayat kita bukannya berubah, tetapi hayat yang bertukar ganti. 

Pada suatu kali sewaktu saya di Shanghai, saya membeli seutas jam tangan. Semasa membeli, pekedai itu memberi saya kertas jaminan bahawa jika jam tangan itu rosak, semua kos pembaikan adalah percuma dalam tempoh dua tahun. Pada pagi hari kedua selepas saya membeli jam tangan itu, saya mendapati masanya berbeza dua jam setengah. Saya pun membawa jam tangan itu ke kedai dan bertanya, “Mengapakah masa jam ini berbeza sebanyak dua jam setengah?” Mereka berkata, “Baiklah, kami akan membaikinya.” Selepas dua hari, saya pergi mengambil balik jam itu. Setelah menggunakannya sehari, saya mendapati masih ada perbezaan masa sebanyak satu jam. Sekali lagi saya menghantar jam itu untuk dibaiki. Kemudian saya mengambil balik jam itu selepas pembaikan, tetapi pada keesokan harinya, saya mendapati masanya sama dengan malam semalam; jam itu langsung tidak bergerak. Saya menghantar balik jam itu lagi dan menyuruh mereka tengok jam itu, “Kenapa pula sekarang jam ini langsung tidak bergerak?” Mereka berkata, “Baiklah. Kamu tidak perlu berkata apa-apa lagi. Kami akan membaikinya.” Selepas seminggu saya mengambil balik jam itu. Namun pada keesokan hari, jam itu lebih cepat tiga jam pula. Saya pergi ke kedai itu lagi dan berkata kepada mereka, “Jam tangan ini sudah saya beli selama dua puluh hari, tetapi daripada dua puluh hari ini, sebanyak empat belas hari jam ini berada di kedai kamu, dan enam hari sahaja jam ini ada bersama dengan saya. Adakah jam tangan ini milik kamu atau milik saya? Memandangkan kamu tidak dapat membaikinya, bolehkah kamu menukar jam tangan yang baru untuk saya?” Tetapi mereka berkata, “Mengikut peraturan, kami tidak boleh membuat pertukaran. Kertas jaminan hanya membenarkan pembaikan. Jika rosak lagi, encik boleh bawa ke sini lagi. Kami akan membaikinya sampai genap dua tahun.”

Adakah kamu melihat maksud saya? Pembaikan dan penukargantian merupakan dua perkara yang berbeza. Pembaikan bererti membaiki benda yang rosak, tetapi penukargantian bererti menukar yang lama dan menggantikan dengan yang baru. Cara pemikiran manusia ialah membaiki, tetapi cara penyelamatan Tuhan ialah menukar ganti. Manusia selalu berfikir hendak meminta Tuhan memberi kudrat supaya dia berubah menjadi orang yang lebih baik. Namun begitu, kita adalah seperti jam tangan yang rosak itu. Sebanyak mana pun kita dibaiki, kita tidak akan menjadi baik, melainkan kita ditukar dengan yang baru. Penyelamatan Tuhan bukan membantu kamu berubah menjadi lebih baik dan membantu kamu jayeng. Penyelamatan Tuhan ialah Kristus menggantikan kamu untuk jayeng. Tuhan tidak membuat kerja mengubah kita. Dia ingin menukar ganti hayat kita.

Setahun dua yang lepas, saya berada di Cheefoo. Dalam sebuah persidangan yang diadakan khas untuk orang Barat, soal jayeng dibangkitkan. Ada satu orang Barat mengemukakan soalan: “Bagaimanakah hayat kita dapat diubah?” Saya berkata kepada mereka, “Jayeng bukan bergantung pada perubahan hayat. Jayeng bergantung pada penukargantian hayat. Bukan hayat yang berubah, tetapi hayat yang bertukar ganti. Manusia hanya ingin mengubah diri sendiri, tetapi pada pandangan Tuhan, manusia adalah terlalu jahat sampai tidak dapat diubah lagi. Adam tidak dapat diubah menjadi anak Tuhan, dan lalang juga tidak boleh diubah menjadi gandum. Sebaliknya, Adam harus ditukar ganti dengan anak Tuhan, dan lalang ditukar ganti dengan gandum. Hari ini, Tuhan menyalibkan manusia lama kita menerusi salib Tuan supaya Kristus yang berada dalam kita dapat jayeng bagi pihak kita. Hayat kita ditukar ganti sepenuhnya, bukan diubah.”

Di sini saya ingin menceritakan sebuah cerita. Tahun lepas sewaktu saya berada di Shanghai, seorang mubaligh Barat yang bekerja di badan misi datang mencari saya dan memberitahu saya tentang seorang dikbang yang diutus badan misi untuk bekerja di sebuah sekolah. Dia sudah tinggal di Shanghai lebih kurang lima hingga enam tahun, tetapi di sekolah, tidak ada seorang rakan sekerja atau murid yang dapat bergaul dengannya kerana dia seorang yang amat panas baran. Orang di sekolah tidak ada jalan untuk berurusan dengannya dan badan misi juga tidak dapat membuat apa-apa. Akhirnya mereka merancang untuk menghantar dia balik ke Amerika pada 1 November. Mubaligh itu datang meminta bantuan saya. Dia berkata, “Orang ini sangat pelik. Dia tidak pernah senyum. Setiap kali berjumpa dengan orang, dia akan menunjukkan muka yang bengis. Dari pagi sampai malam dia sentiasa marah. Tidak ada seorang yang tidak takut akannya. Semua akan lari apabila bertembung dengannya. Beginilah perangainya selama enam tahun ini. Di sekolah, tidak ada seorang yang dapat bergaul dengannya. Kesemua empat ratus pelajar takut kepadanya. Ke mana sahaja dia pergi, dia akan bertengkar dengan orang. Saya bimbang dia sudah dirasuk hantu. Encik Nee, kamu memahami kebenaran tentang jayeng. Adakah kamu mempunyai apa-apa jalan untuk membantu dia?” Selepas saya mendengar kata-kata ini, hati saya sungguh gembira kerana di sini ada seorang yang tidak ada harapan lagi. Sebaik sahaja manusia tidak ada jalan, Tuhan akan ada jalan. Tuhan menyembuhkan pesakit yang tidak dapat diubati. Saya berjanji dengan mubaligh itu bahawa saya akan pergi melawat orang itu. Selepas dua hari, semasa saya berada di rumah seseorang, orang itu juga datang. Selepas memperkenalkan diri, orang lain pun beredar. Apabila saya memandang orang itu, saya terkejut hampir pengsan. Dalam seumur hidup saya, tidak pernah saya berjumpa dengan seorang yang berupa sebegitu. Mata, hidung, mulut, dan setiap bahagian mukanya seolah-olah dibentuk khususnya untuk mengekspresikan kemarahan. Saya berasa kata-kata mubaligh hari itu sememangnya benar. Apabila saya memandangnya, saya berasa agak seram. Saya berasa mungkin dia benar-benar dirasuk hantu! Akan tetapi, apabila dia memandang saya, dia mula menangis. Air mata bercucuran tidak berhenti. Dia berkata kepada saya, “Mereka tidak mahukan saya lagi.” Ketika dia menangis, nampak seperti dia juga sedang marah, jadi riak wajahnya bertambah buruk lagi. 

Saya bertanya kepadanya, “Apakah perasaan kamu tentang diri sendiri?” Dia berkata, “Saya selalu membeli barang untuk orang. Saya menginjil dan berdoa untuk orang lain. Apabila orang sakit, saya berdoa untuk mereka dan mereka akan pulih. Namun begitu, saya mengaku bahawa sifat pemarah saya agak buruk sedikit.” Saya berkata, “Hanya buruk sedikit?” Dia berkata, “Terus terang saya beritahu kamu, memang teruk sekali! Saya mempunyai sifat pemarah yang berupa binatang buas.” Saya bertanya lagi kepadanya, “Adakah kamu memang bersifat sebegini sejak kecil, ataupun hanya pada masa sekarang?” Dia berkata, “Jika tidak salah ingatan saya, sejak umur empat tahun saya sudah berperangai sebegini. Selepas ibu saya meninggal dunia ketika saya berumur tiga belas tahun, sifat pemarah saya bertambah teruk lagi. Sampai hari ini, saya memang tidak dapat buat apa-apa tentang sifat saya ini. Saya bukan sahaja tidak memuliakan Tuhan, malah saya asyik berbuat dosa. Saya rasa sayalah orang paling kasihan di seluruh dunia, kerana tidak ada seorang pun yang hendak bertegur sapa atau berbual dengan saya.” Sambil dia bercakap, sambil dia menangis. Saya pula mula ketawa. Dia berkata, “Janganlah ketawakan sifat pemarah saya ini.” Saya membalas, “Saya bukannya ketawa kerana kamu jahat. Saya ketawa kerana kamu sudah kebuntuan jalan. Apabila kamu tidak ada jalan, Tuhan pasti ada jalan.”

Saya berkata lagi, “Kes seperti kamu ini langsung tidak susah. Tidak susah kalau kamu ingin jayeng. Kamu dapat jayeng dengan segera. Persoalannya bukan kamu baik atau tidak, boleh atau tidak, tetapi sama ada Tuhan boleh atau tidak. Kemenangan bukan bergantung pada kamu sendiri tetapi pada Kristus. Kristus yang berada dalam kamu itulah yang jayeng bagi pihak kamu. Kemenangan bukan bergantung pada diri kamu tetapi sama sekali bergantung pada Kristus. Kemenangan sama sekali merupakan hal Kristus jayeng dalam kamu bagi pihak kamu. Kemenangan itu ada dalam Kristus, bukan dalam kamu.” Dia berkata, “Jadi apa yang boleh saya buat barulah tidak naik marah?” Saya menjawab, “Kamu tidak perlu membuat apa-apa. Biarlah Kristus yang buat segala-galanya. Biarlah Kristus menggantikan kamu dalam kamu. Mata kamu jangan tertuju pada diri sendiri. Kamu hanya perlu memandang kepada Kristus Tuhan. Dia akan membolehkan kamu jayeng.” Setelah kami berbual selama empat jam setengah, cahaya ini masih tidak dapat menembusi mindanya. Selepas itu, kami berdua berlutut untuk berdoa. Dia pun berdoa, “O Tuhan, aku memang jahat sejahat-jahatnya. Aku sudah putus asa terhadap diri sendiri. Aku tidak ada jalan lagi. Mulai sekarang aku tidak lagi yakin pada diri sendiri. Aku tidak dapat jayeng. O Tuhan, jika Engkau tidak jayeng bagi pihak aku, habislah aku selama-lamanya. Mulai sekarang aku tidak mahu pedulikan diri lagi. O Tuhan, Engkaulah yang bertanggungjawab!”

Selepas dia berdoa dengan begitu ikhlas dan jujur, dia bertanya kepada saya lagi, “Selepas balik nanti apakah yang harus saya lakukan?” Saya berkata, “Apa-apa pun tidak perlu dilakukan.” Lalu dia pun senyum. Selepas berjalan beberapa langkah, dia menoleh dan bertanya lagi, “Betul apa-apa pun tidak perlu dilakukan?” Saya berkata, “Betul. Kamu sedikit pun jangan bergerak. Jika Syaitan datang menggoda dan menyuruh kamu bersabar, kamu berkata, ‘Aku tidak tahu bersabar. Kristus, Engkau bersabarlah!’” Dia berkata, “Baiklah. Baiklah.” Bibirnya kumat-kamit berucap berulang kali, “Apa-apa pun tidak perlu saya buat. Jika saya diselamatkan daripada sifat panas baran, itu kerja Tuhan, bukan kerja saya.” Selepas beberapa hari, saya bertanyakan keadaannya. Ada seorang membalas saya, “Pelik betul. Memang ajaib sekali! Tidak pernah seluruh sekolah begitu senyap. Selama enam tahun ini, dia tidak pernah begitu senyap; sedikit bunyi pun tidak kedengaran. Tuhan sememangnya menyatakan mukjizat dan kudrat padanya.” Dikbang dan dikkak, jika orang sedemikian dapat jayeng, siapa-siapa pun dapat jayeng. Beberapa hari selepas itu, dia datang berhimpun di tempat kami, dan dia sudah boleh senyum. Selepas itu, rakan sekerja dan pelajarnya semuanya bersaksi bahawa dia benar-benar sudah berubah. Malah badan misi yang asalnya ingin menghantar dia pulang memutuskan untuk tidak menghantar dia pulang lagi kerana dia benar-benar telah berubah. (bersambung...)

CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)