Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian BAHAGIAN PERJALANAN YANG TERAKHIR (Bahagian 2/2)
BAHAGIAN PERJALANAN YANG TERAKHIR (Bahagian 1/2)
KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 1/2)
BAHAGIAN PERJALANAN YANG TERAKHIR (Bahagian 2/2)
2020-06-06 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (39)

Nota Editor:

“Dikbang dan dikkak, sekiranya pada mulanya Tuan pernah mendesak kita dan mengarahkan kita untuk mengambil sebuah perjalanan, sekiranya Tuan pernah memerintahkan kita agar menyeberang ke seberang laut, masakan kita berhenti dan tidak mara ke depan? Jika kita telah berhenti, arus akan membawa kita ke tempat yang lebih jauh daripada Tuan, dan angin juga akan menghantar kita ke tempat yang lebih jauh daripada Tuan. Kita lebih sanggup terseksa daripada dihanyutkan. Keperluan kita sekarang ialah galakan secara aktif. Paulus berkata kepada Timotius, ‘Atas sebab ini, aku memperingatkan kamu agar mengobarkan kurniaan Tuhan yang terdapat dalam kamu menerusi peletakan tanganku’ (2 Tim. 1:6). Maksud ‘mengobarkan’ dalam bahasa asal bererti mengaduk. Dikbang dan dikkak, semoga kasih kita pada mulanya itu diaduk semula dan dikobarkan semula. Mungkin kamu telah jatuh. Sila bangun sekarang.”

BAHAGIAN PERJALANAN YANG TERAKHIR 
(Bahagian 2/2)

(CWWN SET 1, JIL 10, BAB 3)

**Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Mrk. 5:48 “Melihat mereka terseksa semasa mendayung, kerana angin bertentangan dengan mereka, Dia pergi ke arah mereka kira-kira masa kawal keempat pada waktu malam, dengan berjalan di atas laut, dan Dia berhajat hendak melewati mereka.”

2 Tim. 1:6 “Atas sebab ini, aku memperingatkan kamu agar mengobarkan kurniaan Tuhan yang terdapat dalam kamu menerusi peletakan tanganku.”

Ibr. 12:12 “Oleh itu, tegakkanlah tangan yang lemah longlai dan lutut yang lumpuh.”

Para disipal mendayung sejak senja sampai kawal keempat waktu malam. Orang Yahudi mempunyai tiga kawal masa, sementara orang Roma mempunyai empat kawal masa. Bersesuaian dengan cara pengiraan orang Cina, kawal keempat kira-kira bersamaan dengan pukul tiga pagi. Mereka tidak henti-henti mendayung. Biar saya beritahu kamu, mereka berasa malu untuk kembali ke Kapernaum. Bukankah lebih baik jika balik ke Kapernaum untuk bersinggah dan berehat? Namun mereka tidak berbuat demikian.

Kawal keempat merupakan waktu malam yang paling gelap dan juga penghujung malam. Kawal ini juga masanya kita harus terus berteguhan. Saya tahu bahawa kamu menghadapi godaan kerana saya juga menghadapi godaan. Saya tahu bahawa kamu mempunyai cubaan kerana saya juga mempunyai cubaan. Sekarang bukan masa untuk memberi teguran kerana godaan itu sememangnya terlalu besar. Buat ketika ini, bahaya yang terbesar dan cubaan yang terbesar ialah kita menjadi dingin sedikit, bertolak ansur sedikit, umpama kita mengantuk sejenak. Saat ini kita memang terlalu penat. Pada mulanya, disebabkan dorongan kasih, kita masih berupaya untuk bertahan. Namun sekarang situasi seolah-olah sudah terlalu lama berlarutan dan menjadi terlalu sukar. Akibatnya, kita menjadi tawar. Saya pernah melihat banyak percayawan yang sangat bersemangat dan gagah di medan perang beberapa tahun yang lalu, namun kini mereka telah menjadi dingin dan mundur. Hal ini kerana angin yang bertentangan itu terlalu kencang. Sedikit kedinginan adalah lebih sukar diatasi berbanding dengan cubaan-cubaan lain. Lebih senang untuk mengatasi dosa. Akan tetapi, menempuh perjalanan yang menyongsong angin ini terlalu letih, jadi kita mungkin menjadi dingin sedikit.

Dikbang dan dikkak, sekiranya pada mulanya Tuan pernah mendesak kita dan mengarahkan kita untuk mengambil sebuah perjalanan, sekiranya Tuan pernah memerintahkan kita agar menyeberang ke seberang laut, masakan kita berhenti dan tidak mara ke depan? Jika kita telah berhenti, arus akan membawa kita ke tempat yang lebih jauh daripada Tuan, dan angin juga akan menghantar kita ke tempat yang lebih jauh daripada Tuan. Kita lebih sanggup terseksa daripada dihanyutkan. Keperluan kita sekarang ialah galakan secara aktif. Paulus berkata kepada Timotius, “Atas sebab ini, aku memperingatkan kamu agar mengobarkan kurniaan Tuhan yang terdapat dalam kamu menerusi peletakan tanganku” (2 Tim. 1:6). Maksud “mengobarkan” dalam bahasa asal bererti mengaduk. Dikbang dan dikkak, semoga kasih kita pada mulanya itu diaduk semula dan dikobarkan semula. Mungkin kamu telah jatuh. Sila bangun sekarang. Penulis buku Ibrani memerhati bahawa dalam kalangan dikbang Ibrani, “ada antara kamu yang nampaknya tercicir” (Ibr. 4:1). Kesungguhan hati untuk Tuan pada mulanya itu seakan-akan sudah mundur, jadi dia menasihati mereka supaya “tegakkanlah tangan yang lemah longlai dan lutut yang lumpuh” (12:12 ).

Encik Müller, yang pernah bekerja di negara China, pernah berkata, “Rahsia seseorang memperoleh kejayaan besar daripada Tuhan ialah keupayaan untuk bertahan sampai setengah jam yang terakhir.” Dikbang dan dikkak, berapakah godaan yang telah kamu atasi? Walaupun malam itu teramat gelap, tetapi malam itu tidak akan panjang. Apakah yang dikatakan Yesaya 21:12? “Pengawal itu berkata, / Pagi menjelang, / Tetapi begitu juga dengan malam.” Walaupun sekarang merupakan malam, tetapi pagi sudah menjelang. Mohon agar pada saat ini, kamu akan bertahan sampailah setengah jam yang terakhir. Mata kita tidak harus tertumpu pada malam sahaja atau pada masalah sahaja. Amat tidak berbaloi jika kita berhenti sekarang, dan amat tidak berbaloi jika kita lalai sedikit hari ini kerana kita sudah dekat dengan seberang sana. 

Puan Penn-Lewis pernah berkata, “Banyak percayawan mengatakan bahawa mereka menghadapi banyak tekanan. Peperangan hari ini seolah-olah semakin hari semakin sengit. Seolah-olah kitalah satu-satunya sasaran Syaitan. Akan tetapi, persoalan sekarang ialah sama ada kamu dapat bertahan sampai setengah jam yang terakhir. Daniel 7:25 berkata, ‘Dan dia akan...meletihkan para pekudus Yang Maha Tinggi.’ ‘Meletihkan’ dalam kata lain ialah ‘menghauskan’. Sekarang kerja menghauskan pekudus sudah bermula. Kita lebih susah mengecam Syaitan sebagai dia yang menghauskan percayawan daripada mengecam dia sebagai singa yang mengaum.” Semasa saya berada di Kuling, saya selalu bersiar-siar di tepi sungai dan saya menemukan sebongkah batu sebesar besen yang mempunyai satu lekuk di tengah-tengah. Lekuk itu terhasil daripada hakisan batu-batu kerikil hari demi hari.

Demikianlah Syaitan memperlakukan anak-anak Tuhan. Dia tidak akan membunuh kamu sekali gus. Sebaliknya, Dia akan menghauskan kamu hari demi hari. Selepas suatu jangka masa, tanpa disedari kamu telah dicederakannya dengan parah. Dikbang dan dikkak, sungguhpun kamu berasa sengsara, namun bolehkah kamu tetap bertahan untuk seketika? Bolehkah kamu bertahan bersama dengan Tuan dalam setengah jam yang terakhir ini? Tidak dapatkah kamu berjaga-jaga seketika bersama dengan Tuan? Oh, hari ini ialah masa kita, masa untuk kita berdiri teguh. Sekiranya seseorang tidak pernah mengalami angin sakal, maka dia amat kasihan! Sekiranya seseorang tidak pernah merasai dunia ini pahit, jahat, dan dunia ini menindas orang, ertinya dia tidak pernah memulakan perjalanan! Hanya apabila kamu berjalan dengan setia, barulah kamu akan menghadapi kesusahan dan mendapati angin bertentangan dengan kamu. Pada saat-saat ini, barulah kamu akan mendengar suara yang berbunyi, “Ini terlalu susah. Marilah bersantai sekejap! Marilah berehat seketika!” Namun saya ingin memberitahu kamu, berehat pada saat ini amatlah tidak berbaloi, kerana kamu telah jauh ke depan dalam perjalanan kamu.

“Yesus berseorangan di darat. Melihat mereka terseksa semasa mendayung, kerana angin bertentangan dengan mereka, Dia pergi ke arah mereka kira-kira masa kawal keempat pada waktu malam, dengan berjalan di atas laut, dan Dia berhajat hendak melewati mereka” (Mrk. 6:47). Tuan ingin melihat sama ada kita akan tetap setia atau berpaling tadah. Tuan ingin melihat sama ada kita akan maju atau mundur. Mata Tuan tertumpu pada kamu dan saya. Tuan memberi perhatian kepada setiap langkah kita. Tuan tahu betapa banyaknya godaan kita dan betapa sulitnya sekitaran kita. Tuan tidak akan membiarkan kita menanggung kesusahan melebihi kawal keempat. Pada malam yang paling gelap, Dia datang kepada kita. Dia telah mati bagi kita, dan Dia telah naik ke syurga untuk berdoa bagi kita. Pada masa yang sama, Dia melihat kesusahan kita, dan Dia akan datang sewaktu malam yang paling gelap.

Markus 6:48 mempunyai satu perkara yang amat istimewa, iaitu Tuan “berhajat hendak melewati mereka”. Banyak orang berasa pelik apabila mereka membaca ayat ini, seakan-akan Tuan bukan hendak pergi kepada disipal. Jika kita mempertimbangkannya hari ini, kita tidak akan bermasalah memahaminya. Memandangkan Tuan telah mengarahkan disipal-disipal-Nya agar pergi ke seberang, ke Betsaida, maka sudah tentu selepas turun dari gunung, Dia akan pergi ke Bestaida. Masakan Tuan akan pergi ke tempat lain untuk menunggu mereka? Tuan pergi mencari disipal-disipal di jalan yang sama yang diarahkan-Nya untuk diambil mereka. Jika mereka membelok, Tuan tidak akan menemui mereka. Kalau mereka salah jalan, Tuan tidak akan menunggu mereka di jalan yang salah. Hal ini sangat serius! Saya sentiasa berfikir, sekiranya Tuan mengarahkan saya pergi ke Shanghai, tetapi saya pula pergi ke Nanking, maka ketika Dia datang, saya tidak akan diraptur. Hal ini kerana kerapturan berlaku hanya di sepanjang perjalanan yang ditentukan Tuan. Jika kita tidak berada di tempat yang betul, kita akan terlepas peluang untuk diraptur. Setiap daripada kita perlu bertanggungjawab atas diri sendiri berkenaan jalan yang kita ambil.

Ayat 51 berkata, “Lalu Dia naik ke perahu kepada mereka, dan angin pun reda.” Sebaik sahaja Tuan datang, segala-galanya menjadi baik. Syukur kepada Tuan dan puji-Nya, sungguhpun angin bertentangan, tetapi angin tidak akan bertentangan selama-lamanya. Sungguhpun mendayung itu payah, kita tidak akan mendayung selama-lamanya. Mungkin Tuan sudah di tengah jalan. Dikbang dan dikkak, kita boleh menderita di bumi kerana pada masa yang lalu, Tuan telah mati untuk kita, dan pada masa depan, Tuan akan datang lagi. Di belakang kita, kasih Tuan mendesak kita. Di hadapan kita, harapan kedatangan Tuan memikat kita. Seorang pengkhutbah pernah berkata, “Saya mempunyai Tuan sebagai bahagian saya, oleh itu saya sanggup membuang segala-galanya.” Mata Tuan ada pada kita. Kita tidak harus takut menderita. Jika kita mengubah haluan sekarang gara-gara takut menderita, maka segala penderitaan yang kita lalui pada masa lepas menjadi sia-sia.

Terdapat seorang yang amat dalam pengalamannya dalam Tuan pernah berkata, “Selepas kita membaca 2 Tesalonika 2:3 dan 2 Timotius 3:1-13, kita akan menyedari bahawa sebelum hari kedatangan Tuan, pasti ada hal kemurtadan, masa yang sukar, dan orang yang jahat dan penipu akan menjadi lebih buruk lagi. Semua hal penyimpangan ini bukan merujuk kepada pendidikan, aktiviti agama, pastor yang berkebolehan, dewan ibadat yang mewah, atau kemajuan dari segi intelek dan kebendaan. Sebaliknya, hal-hal ini merujuk kepada penyangkalan terhadap kepercayaan dan kudrat Tuhan. Pada masa ini, terdapat beberapa denominasi terkenal yang cenderung terhadap kajian Kritikan Tinggi (yang sebenarnya ketidakpercayaan yang bertaraf rendah), yang menafikan kerja Tuhan yang melangkau alam semula jadi, seperti kelahiruan, pengudusan, kemakbulan pasti bagi doa, dan pewahian hal-hal divin kepada manusia menerusi Roh Kudus.”

Sebelum hari kedatangan Tuan, tipu daya dan kesesatan yang besar akan berlaku. Jika boleh, mereka juga ingin menipu umat pilihan Tuhan. Tambahan pula, “rupa luaran kesalihan” akan bertambah dengan banyak. Iktikad akan berkurangan, bukan sahaja disebabkan orang mengasihi dunia dan menyangkal Sabda Tuhan, tetapi juga disebabkan kepercayaan palsu yang direka bentuk oleh Syaitan. Seorang dikbang berkata, “Semua kerja Syaitan ini akan menjadi sejenis pengaruh yang tidak kelihatan dalam udara di sekeliling kita, dan berbentuk sejenis rupa luaran kesalihan, namun dalamannya dihuni roh-roh jahat dan dipenuhi penindasan dari Hades. Roh-roh jahat akan cuba sedaya upaya untuk memudaratkan, menyesatkan, mengelirukan, dan menindas anak-anak Tuhan. Roh-roh ini akan mempengaruhi tubuh kita, menekan perasaan hati kita, dan menggelapkan pemikiran kita. Pelbagai perasaan yang aneh dan cubaan yang tidak pernah didengar akan menimpa kita, sehinggakan kita dengan peliknya tidak lagi ada hasrat dan kekuatan untuk cenderung terhadap Tuhan. Roh kita lesu dan lemah, minda kita tumpul, tekad kita bingung. Dengan peliknya kita akan mendambakan hal-hal yang dilarang Tuhan dan dengan hairannya kita akan menyukai hiburan dan adat resam di dunia. Kita mendapati sukar untuk memberitakan mesej dengan penuh kebebasan dan kudrat, dan kita juga mendapati sukar untuk memberi perhatian kepada mesej atau melutut berdoa secara sungguh-sungguh dan berterusan. Memandangkan harinya sudah di penghujung, kita harus berperang menentang suasana ini.” Oh, hendaklah kita kuatkan diri dalam Tuan! Syaitan pasti akan menggunakan sejenis kekuatan yang tidak terfikir untuk menyelubungi pemikiran dan tekad kita, sehinggakan kita sukar bergerak-hidup dengan rapat bersama dengan Tuan, dan kita mendapati mudah untuk hidup menurut tubuh daging, sukar melayan Tuhan dengan setia, dan sukar membaktikan diri untuk berdoa. Seolah-olah segala-gala dalam kita bangkit serentak untuk menghalang kita daripada mengikut Tuan Yesus sampai ke akhir, malah menggoda kita untuk mengadakan perjanjian dengan dunia.

Suasana di sekeliling kita ingin menarik hati kita agar menjauhi Tuhan, supaya kita tidak sungguh-sungguh berdoa, tumpul dalam kesedaran rohani kita, tidak dapat melihat realiti hal-hal di syurga, dan juga tidak dapat melihat hadirat Tuan yang mulia. Suasana ini juga menyebabkan kita mudah mengabaikan persekutuan dengan Tuhan dan sukar mengekalkan persekutuan kita dengan-Nya sepanjang masa.

Kita berasa bahawa hal-hal ini sudah mulai mempengaruhi kita. Nafsu di dunia ingin menggunakan pelbagai cara untuk menyirat jalanya yang luas terbentang, malah kerja siratan itu semakin teguh dan kuat pada banyak percayawan. Banyak hal yang haram pada generasi yang lalu bukan sahaja dilakukan sekarang, malah dilakukan tanpa sebarang rasa malu. Banyak tempat ibadat bukan sahaja menolak hal-hal rohani dan tidak lagi mengalami kepulihbangkitan, malah membawa masuk pelbagai hiburan dan hal-hal yang membangkitkan persoalan.

Secara amnya, kita melihat keadaan yang kekurangan iktikad dan menyimpang daripada kebenaran di seluruh dunia. Sudah tentu kita juga mengaku bahawa terdapat pengecualian, dan tempat-tempat tertentu sesungguhnya diberkati Tuhan. Akan tetapi secara keseluruhannya, keadaan gereja-gereja di seluruh dunia memaparkan suatu gambaran yang menyedihkan.

Semasa kita melihat hal-hal ini, kita tidak dapat tidak berseru: Gereja Tuhan, bangun dan kuatkan semangat, berpaling dan kembalilah kepada persekutuan dengan Tuhan, agar dalam masa yang selebihnya, kita dapat diperkenan Tuan dan bersedia untuk “dinyatakan di hadapan tempat penghakiman Kristus” bagi menjelaskan hal-hal kita sendiri.

Dikbang dan dikkak, apa yang disebut di atas adalah benar. Saya tidak tahu bagaimana perasaan kamu, tetapi setiap hari saya berasa bahawa seluruh dunia sedang menentang kita. Kita hanya boleh mengambil salah satu sikap: bertahan atau bersenang. Dunia masih menyambut kamu kembali; Syaitan juga masih mengalu-alukan kamu. Akan tetapi, Tuan telah mengarahkan kita agar menyeberangi ke seberang ke Betsaida. Jika kita tidak setia sekarang, kita tidak akan setia selama-lamanya. Banyak anak Tuhan yang telah menderita demi Tuan dan menempuh jalan yang sepi. Adakah kita ingin menjadi seperti yang ditulis seorang dikbang British dalam sajaknya: “Orang lain mengharungi lautan darah untuk sampai kepada Tuan, kita pula ingin menaiki tandu pengantin untuk sampai kepada Tuan?” Musa berkata kepada keturunan Gad dan keturunan Ruben, “Masakan saudara-saudaramu pergi berperang, sedangkan kamu tinggal di sini?” (Bil. 32:6). Dikbang dan dikkak, orang lain setia menderita, masakan kita duduk tidak berganjak? Sesungguhnya penderitaan akan datang, tetapi itu lebih baik daripada dihanyutkan. Setiap daripada kita harus melayan Tuan dengan setia dan menempuh perjalanan yang ditetapkan Tuan hinggalah kita tiba ke seberang.

BAHAGIAN PERJALANAN YANG TERAKHIR (Bahagian 1/2)
KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 1/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)