Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kebenaran Rancangan Tuhan BAGAIMANA MENJADI BERGUNA KEPADA TUAN (Bahagian Tiga)
BAGAIMANA MENJADI BERGUNA KEPADA TUAN (Bahagian Dua)
BAGAIMANA MENJADI BERGUNA KEPADA TUAN (Bahagian Tiga)
2024-04-24 | 0 Komen
A- A+ Simpan

BAGAIMANA MENJADI BERGUNA KEPADA TUAN (Bahagian Tiga)

MAKNA "NAIK KE GUNUNG” DALAM BIBLE

Orang pertama dalam Bible yang naik ke gunung ialah Nuh. Dengan berada dalam bahtera, dia melewati air bah dan akhirnya sampai di gunung-gunung Ararat (Kej. 8:1-5). Penghakiman air bah khususnya bukan menekankan penghakiman terhadap dosa tetapi penghakiman terhadap dunia yang bersalah terhadap Tuhan. Nuh naik ke gunung menandakan bahawa dia diselamatkan daripada penghakiman dan terlepas daripada segala situasi yang memberontak terhadap Tuhan. Setelah dia naik ke gunung, semua keadaan pemberontakan terhadap Tuhan telah berlalu. Oleh yang demikian, menurut Bible, orang naik ke gunung di hadapan Tuhan pertama-tamanya bermaksud diselamatkan daripada pemberontakan. Meskipun seluruh dunia terjerumus ke dalam pemberontakan terhadap Tuhan, namun orang yang naik ke gunung menjadi orang yang keluar daripada pemberontakan. Kedua, naik ke gunung bermaksud bangkit daripada yang mati dan naik ke syurga. Setelah Nuh naik ke gunung, disebabkan dia telah diselamatkan daripada pemberontakan dan telah mati dan bangkit, maka dia dapat memasuki zaman baru untuk mewakili kekuasaan Tuhan di bumi. Oleh yang demikian, pengalaman Nuh naik ke gunung mewakili pengalaman semua orang yang naik ke gunung di hadapan Tuhan pada kemudian hari. Setiap kali Tuhan memimpin orang naik ke gunung, hasrat-Nya ialah orang ini akan diselamatkan daripada pemberontakan dan melalui kematian dan kebangkitan untuk mewakili kekuasaan Tuhan di bumi. Inilah kesimpulan bagi makna pengalaman seseorang naik ke gunung. 

Dalam Bible terdapat satu lagi makna bagi naik ke gunung—untuk memperoleh wahi. Dari peristiwa Abraham naik ke Gunung Moria (Kej. 22:1-2) hingga Yohanes berada di Pulau Patmos (Wahi 1:9; 21:10), penekanannya adalah pada memperoleh wahi. Walaupun tujuan asal Abraham naik ke Gunung Moria adalah untuk persembahan, namun akhirnya tujuannya ialah memperoleh wahi. Dengan naik ke gunung, dia dapat mengenali Yehova-Yireh dan juga mengenali kerja Tuhan di bumi, kerana janji Tuhan kepada Abraham adalah berkenaan kerja yang akan disempurnakan-Nya di bumi. Selepas Abraham, Musa dan Elia juga memperoleh wahi di atas gunung (Kel. 19:20; 1 Raj. 18:42). Dalam Wasiat Baru, tujuan Tuan membawa disipal-disipal naik ke gunung juga adalah untuk wahi (Mat. 5:1). Akhirnya, Yohanes dibawa ke gunung semasa di Pulau Patmos khususnya juga untuk memperoleh wahi. Menerusi pengalaman Yohanes naik ke gunung, kita melihat makna muktamad bagi perkara ini, yakni diselamatkan daripada pemberontakan, melalui kematian dan kebangkitan, mewakili kekuasaan Tuhan di bumi dengan sepenuhnya, dan memperoleh wahi yang penuh misteri. 

Naik ke gunung untuk memperoleh wahi menunjukkan bahawa pemerolehan wahi menuntut pembayaran harga. Dengan kata lain, naik ke gunung bererti membayar harga. Ajaran Tuan dalam buku Matius bab lima hingga bab tujuh diwahikan selepas ajaran di dalam sinagog (4:23) dan ajaran ini adalah berasingan dengan ajaran di dalam sinagog. Ajaran di dalam sinagog adalah biasa, umum, dan didengari orang ramai. Namun selepas mengajar di dalam sinagog, Tuan membawa disipal-disipal naik ke gunung. Ajaran di atas gunung adalah berkenaan ajaran kingdom syurga-syurga; ajaran ini adalah tinggi, khusus, dan hanya didengari oleh beberapa orang yang mengikut Tuan naik ke gunung dan yang datang kepada-Nya. Naik ke gunung bererti membayar harga; datang kepada Tuan pula bererti mendampingi Tuan. Dari abad ke abad, jarang-jarang ada orang yang dapat memahami ajaran dalam Matius bab lima hingga bab tujuh kerana jarang-jarang ada orang yang sanggup membayar harga begini. 

Para pembaca yang dikasihi, sekiranya kita ingin memperoleh wahi, kita harus bertekad untuk membayar harga dan hati kita harus mendampingi Tuan. Inilah syarat asas untuk memperoleh pengalaman naik ke gunung dan menerima ajaran. Abraham, Musa, dan para disipal Tuan telah membayar harga dan mendampingi Tuan; sebab itulah mereka memperoleh wahi. Yohanes khususnya juga demikian semasa berada di Pulau Patmos; dia memperoleh wahi dengan membayar harga dan mendampingi Tuan pada Hari Tuan (Wahi 1:10). Kita semua harus mempelajari pelajaran ini. 

Bacaan selanjut: Bagaimana Menjadi Berguna Kepada Tuan, bab 1

BAGAIMANA MENJADI BERGUNA KEPADA TUAN (Bahagian Dua)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)