Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kebenaran Yerusalem Baru Yerusalem Baru – Suatu Tanda (1)
Yerusalem Baru – Suatu Tanda (2)
Yerusalem Baru – Suatu Tanda (1)
2016-08-16 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Bible: Wahi 1:1

Pengenalan

Sebagai buku terakhir dalam Bible, Wahi ialah kesimpulan, penggenapan, dan konsumasi seluruh wahi divin, seluruh Bible. Sebahagian besar benih kebenaran wahi divin telah disemai dalam Kejadian, iaitu buku pertama dalam Bible. Pertumbuhan semua benih ini diperkembangkan secara progresif dalam buku-buku berikutnya, terutama sekali dalam buku-buku Wasiat Baru, dan hasilnya dituai dalam buku Wahi. Oleh itu, kebanyakan perkara yang diliputi dalam buku ini bukanlah perkara yang baru sepenuhnya, melainkan sudah terdapat dalam buku-buku sebelumnya dan disempurnakan dalam buku ini; fokus buku ini ialah wahi Kristus yang unik dan muktamad, kesaksian Yesus yang khusus dan terkonsumasi, dan ekonomi Tuhan yang universal dan abadi.

Buku ini ialah buku nubuat—bukan sekadar nubuat dalam kata-kata tetapi dalam visi-visi yang diwahikan kepada pelihat. Di mata Tuhan, semua perkara yang dinubuatkan dalam buku ini sudah terjadi. Dengan demikian, semuanya ditunjukkan kepada pelihat, visi demi visi. Oleh itu, kebanyakan kata kerja yang digunakan dalam buku ini berkala lampau.

Seluruh Bible mewahikan Kristus. Buku Wahi terutamanya, sebagai kesimpulan, penggenapan, dan konsumasi seluruh Bible, ialah “wahi Yesus Kristus”. Walaupun buku ini juga mewahikan banyak perkara yang lain, namun fokus wahinya ialah Kristus. Beberapa aspek tentang Kristus, seperti visi tentang Kristus sebagai Hentar Agung dalam kalangan gereja, yang menjaga gereja-gereja dalam kasih namun dengan sikap menghakim (ay. 13-16), visi tentang Dia sebagai Singa-Anak Domba di tengah-tengah takhta Tuhan dan empat makhluk hidup dan di tengah-tengah dua puluh empat penatua alam semesta, yang membuka tujuh meterai pentadbiran universal Tuhan (5:1–6:1), dan visi tentang Dia sebagai “Malaikat kuat yang satu lagi” yang turun dari syurga untuk memperoleh bumi (10:1-8; 18:1), dan lain-lain, tidak pernah disingkapkan oleh buku-buku lain seperti dalam buku ini.

Buku berkenaan Tanda

Semua gambar dalam buku Wahi ialah tanda. Wahi 1:1 berkata, “Wahi Yesus Kristus yang diberi Tuhan kepada-Nya untuk ditunjukkan kepada abdi-abdi-Nya hal-hal yang pasti berlaku segera, dan Dia memberitahukannya melalui tanda-tanda, menyampaikannya melalui malaikat-Nya kepada abdi-Nya Yohanes.” Ayat ini memberitahu kita bahawa Tuan Yesus memberitahukan wahi yang diberi Tuhan ini kepada kita melalui tanda-tanda. Perkataan “tanda-tanda” ialah kata kunci untuk mentafsirkan seluruh buku Wahi.

Wahi dalam buku ini terutamanya terdiri daripada tanda-tanda, iaitu simbol yang mempunyai makna rohani, seperti tujuh kaki pelita menandakan gereja-gereja; tujuh bintang menandakan utusan gereja-gereja (ay. 20), dan binatang dari laut menandakan Antikristus (13:1). Dalam Wahi 5:6, Kristus dipersembahkan sebagai Anak Domba. Memandangkan Kristus bukan seekor anak domba secara literal, maka Anak Domba di sini juga semestinya suatu tanda. Selain itu, dalam bab 19, kita melihat seorang pengantin perempuan, yakni isteri Anak Domba, yang berpakaian keadilbenaran (ay. 7-8). Percayakah kamu bahawa apabila Tuan Yesus kembali, Dia akan mengahwini seorang perempuan yang literal, yakni seorang wanita yang tunggal? Mentafsirkan tanda-tanda dalam Bible dengan cara ini merupakan kesalahan yang serius. Sebagaimana Anak Domba dalam Wahi 5 ialah suatu tanda, begitu juga Yerusalem Baru dalam Wahi 21 dan 22 juga suatu tanda. Hanya apabila kita mentafsirkan Yerusalem Baru sebagai tanda yang mempunyai makna rohani, barulah kita akan mempunyai pandangan yang jelas dan pemahaman yang wajar tentang Yerusalem Baru. Oleh itu, kita tidak harus mentafsir buku ini menurut huruf, tetapi mentafsirnya menurut tanda, makna rohaninya yang intrinsik.

Dalam artikel yang seterusnya kita akan melihat sebab mengapa Yerusalem Baru bukannya mahligai fizikal untuk memahami dengan lebih lanjut bahawa Yerusalem Baru ialah suatu tanda. Semoga kita mempunyai pemahaman yang wajar terhadap Yerusalem Baru.

Yerusalem Baru – Suatu Tanda (2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)