Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kebenaran Kristus Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (3) Air di Tanah Itu
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (2) Keluasan dan Ketinggian Tanah Itu
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (4) Makanan di Tanah Itu — Gandum dan Barli
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (3) Air di Tanah Itu
2018-03-09 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Kita bersambung untuk meninjau kepermaian tanah yang dijanjikan Tuhan itu. Tanah itu adalah permai kerana bekalan air yang berlimpahan. Ulangan 8:7 berkata, “Kerana Yehova Tuhanmu akan membawa engkau ke tanah permai, tanah yang mempunyai sungai, mata air dan sumber air, yang mengalir keluar di lembah dan di gunung.” Air adalah penting untuk kewujudan manusia. Kita dapat hidup untuk jangka masa yang agak lama tanpa makanan, tetapi kita hanya dapat hidup beberapa hari tanpa air. Kehausan yang fizikal ini mentamsilkan kehausan psikologi dan rohani dalam manusia. Untuk menghilangkan kehausan dalaman manusia, manusia sering kali “minum” dari banyak sumber seperti pendidikan, hiburan, hubungan persaudaraan, persahabatan, kerjaya, dan sebagainya.

Seperti yang diberitahukan Tuan Yesus kepada seorang perempuan berdosa yang “haus” dalam Yohanes bab empat, “Sesiapa yang minum daripada air ini akan haus lagi” (Yoh. 4:13). Kemudian dalam Yohanes 7, Tuan membuat pengumuman kepada semua orang yang masih “haus” seminggu setelah mereka mengadakan perayaan. Dia “berdiri dan berseru, berkata, ‘Jika sesiapa haus, hendaklah dia datang kepada-Ku dan minum. Dia yang percaya ke dalam Aku, sebagaimana yang dikatakan dalam Kitab, dari diri dalamannya akan mengalir sungai-sungai air hidup’” (ay. 37-38). Tuan menghasratkan kita menyahut panggilan-Nya lantaran menyedari bahawa kita hanya dapat dipuaskan oleh-Nya. Hasrat ini juga jelas diungkapkan dalam Wasiat Lama. Dalam Yeremia, Tuan menyimpulkan dosa-dosa Israel dengan bersabda, “Umat-Ku telah melakukan dua kejahatan: Mereka telah meninggalkan Aku, Sumber air hidup, untuk memahat bagi diri mereka takungan, takungan pecah yang tidak dapat menakung air” (Yer. 2:13). Jika kita menggantikan Tuan dengan apa-apa sahaja yang lain, akhirnya dalam rahmat-Nya kita akan mempunyai kesedaran ini. Hanya Dialah mata air yang sebenar. Hanya Dialah yang dapat menghilangkan kehausan dalaman kita.

SUMBER AIR, PANCURAN AIR, DAN ALIRAN AIR

Daripada Ulangan 8:7, kita melihat di tanah permai ada sumber air, mata air (atau pancuran air), dan sungai, iaitu aliran air. Tuan mengatakan bahawa air yang diberi-Nya akan menjadi sebuah perigi dalam kita, satu pancuran air yang memancar hingga hayat abadi (Yoh. 4:14). Kita boleh memberi satu contoh pengalaman. Apabila manusia dalaman kamu berasa kering dan dahaga, kamu datang kepada Tuan, kamu menghubungi-Nya dan kamu pun disegarkan. Kemudian semakin banyak kamu menghubungi-Nya, semakin kamu dipenuhi dengan air. Selepas itu, ketika kamu datang ke perhimpunan, kamu akan datang dengan segar. Kamu akan segera mempersembahkan pujian, doa, malah berbicara untuk Tuan, umpama mengalirkan air hidup dari dalam kamu.

Selain itu, tanah permai bukan hanya ada satu aliran air, tetapi banyak aliran air; bukan hanya ada satu sumber air dan satu pancuran air, tetapi banyak sumber air dan banyak pancuran air. Apakah maksudnya? Kadangkala sewaktu kamu terganggu oleh masalah dan cubaan, kita menghubungi Tuan dan menerima sesuatu daripada-Nya. Kita mengalami Tuan sebagai sumber air, pancuran air, dan aliran air dalam cubaan kamu. Kadangkala kita mengalami Dia sebagai sumber keriangan, kadangkala sebagai sumber damai sejahtera, dan kadangkala sebagai sumber pelipuran. Kadangkala kita mengalami Dia sebagai pancuran kasih, pancuran kurnia, dan pancuran cahaya. Pada masa yang lain pula Kristus ialah aliran kesabaran, aliran kerendahan hati, dan aliran kesabartahanan bagi kita. Terdapat banyak sumber air, banyak pancuran air, dan banyak aliran air. Terdapat banyak jenis bekalan syurgawi.

MENGALIR DARI LEMBAH DAN GUNUNG

Buku Ulangan mengatakan bahawa semua air ini mengalir keluar dari lembah dan gunung. Apakah maksudnya? Tanpa lembah dan gunung, tidak ada air yang mengalir. Jika seluruh tanah itu dataran, air tidak akan mengalir. Apakah itu lembah dan gunung? Semua lembah ialah pengalaman terhadap salib, pengalaman terhadap kematian Kristus, dan semua gunung ialah pengalaman terhadap kebangkitan Tuan. Jika kita mengalami Kristus sewaktu ditimpa masalah dan cubaan, banyak yang akan mengalir keluar dari dalam kita kepada orang lain. Kita akan menyirami orang lain dengan berkat yang begitu besar! Kita tidak dapat berbuat demikian pada waktu aman damai atau pada hari-hari gembira. Hanya pada waktu dukacita, pada waktu sakit, pada waktu kesusahan, melalui pengalaman kita terhadap Kristus pada waktu-waktu seperti ini, barulah kita mempunyai aliran hidup untuk menyirami orang lain. Setiap situasi maut dapat menghasilkan lebih banyak pengaliran keluar air yang menyegarkan. Setiap kali ada lembah, pasti ada gunung. Setiap kali kamu mengalami kematian salib, kamu akan mengalami kebangkitan. Cubalah mengalami Kristus dan menerapkan Kristus sewaktu kamu berada dalam segala jenis penderitaan; dengan demikian, kamu akan mempunyai sesuatu yang bukan sahaja menyegarkan diri kamu, tetapi juga mengalir keluar untuk membekali orang lain.

Lebih banyak huraian dan penjelasan boleh didapati dalam buku Kristus Almuhit oleh Witness Lee.

Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (2) Keluasan dan Ketinggian Tanah Itu
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (4) Makanan di Tanah Itu — Gandum dan Barli
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
Ricky pada 2018-03-28
Saya menikmati bahawa Dia merupakan sumber keriangan, sumber damai sejahtera, sumber pelipuran, pancuran kasih, pancuran kurnia, pancuran cahaya, aliran kesabaran, aliran kerendahan hati, dan aliran kesabartahanan bagi kita! Apa yang saya perlukan semua ada dalam aliran air ini. Puji Tuhan kerana Dia merupakan aliran air yang berlimpah ruah!