Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Hayat Amalan Hayat Membaca Bible Sabda Tuhan adalah untuk Dimakan
Rahsia Membaca Bible (1)
Sabda Tuhan adalah untuk Dimakan
2016-08-17 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Dalam Bible, sekurang-kurang ada tiga tempat yang menunjukkan manusia makan sabda Tuhan.

Ayat pertama terdapat dalam Yeremia 15:16: “Sabda-Mu ditemukan dan aku memakannya, dan bagiku sabda-Mu menjadi kegirangan dan keriangan hatiku….”

Bahagian kedua ditemui dalam kes penyabda Yehezkiel: “Kemudian Dia bersabda kepadaku, Anak manusia, makanlah apa yang engkau temui; makanlah gulungan kitab ini, lalu pergi, berbicaralah kepada kaum Israel. Maka aku membuka mulutku, dan Dia memberi aku makan gulungan kitab itu. Dan Dia bersabda kepadaku, Anak manusia, kenyangkan perutmu dan penuhilah bahagian dalamanmu dengan gulungan kitab yang Aku berikan kepadamu ini. Maka aku memakannya, dan rasanya manis seperti madu dalam mulutku” (Yehezkiel 3:1-3).

Ayat ketiga pula didapati dalam buku Wahi, yang mengatakan Yohanes memakan sabda Tuhan: “Lalu aku mengambil gulungan kitab yang kecil itu dari tangan Malaikat itu dan memakannya habis, dan ini manis seperti madu di dalam mulutku; sesudah aku memakannya, perutku menjadi pahit” (Wahi 10:10).

Makan bererti menerima sesuatu ke dalam kita, dan benda itu dihadamkan serta diasimilasikan dalam kita sehingga menjadi sebahagian daripada kita. Perkara pertama yang harus dilakukan anak-anak Tuhan setiap pagi adalah untuk mencari makan bagi manusia dalamannya. Sebagaimana manusia luaran (jasmaniah) kita tidak dapat bekerja tanpa makan, demikian juga manusia dalaman (rohaniah) kita memerlukan makanan. Apakah makanan bagi manusia dalaman? Itulah sabda Tuhan. Matius 4:4 berkata, “Manusia hidup bukan bergantung pada roti sahaja, tetapi pada setiap sabda yang keluar daripada mulut Tuhan.” Segala sabda yang keluar daripada mulut Tuhan ialah makanan rohani yang dapat mengkhasiati kita.

George Müller, seorang yang amat berguna kepada Tuan, pernah mengisahkan pengalamannya menikmati makanan rohani pada awal pagi. Dia berkata, “Perkara paling penting yang harus saya lakukan ialah membaca sabda Tuhan, merenungi sabda Tuhan, supaya saya beroleh pelipuran, galakan, peringatan, teguran, dan ajaran. Apabila saya merenungi sabda Tuhan dengan cara ini, hati saya dapat bersekutu dengan Tuan. Oleh itu, setiap pagi saya merenungi Wasiat Baru. Setelah saya dengan ringkasnya berdoa agar Tuan memberkati sabda-Nya yang amat berharga, saya mulai merenungi sabda Tuhan. Saya menggunakan satu ayat Bible untuk mencari Tuan dan menuntut berkat; tujuan saya bukan untuk mencari bahan untuk berkhutbah atau berberita, tetapi untuk beroleh makanan bagi roh dan sukma saya. Selalunya selepas beberapa minit, saya akan mulai mengaku dosa, atau bersyukur, atau berdoa-pinta, atau memohon kepada Tuhan. Hasilnya, tiap-tiap hari saya mempunyai pengalaman mengaku dosa, bersyukur, memohon, dan berdoa pinta yang berbaur dengan renungan sabda. Ini menyebabkan manusia dalaman saya selalunya berasa dikhasiati dan dibekali. Apabila sampainya waktu sarapan, hati saya senantiasa (jarang sekali ada kekecualian) berada dalam keadaan yang girang atau damai sejahtera.”

Makan sabda Tuhan sememangnya suatu kenikmatan, yang akhirnya menjadi kegirangan kita di dalam dan keriangan kita di luar.

Kidung #586

Lapar, dahaga roh dan hati ku, Tuan, ku datang mohon bekalan-Mu!
Diri-Mu itulah yang ku perlu, yang jadi hayat dan tenaga ku.

O Tuan, beri ku makan, minum! Lapar dan haus ku lerai, hapus!
Ri-ang, cergas ku menempuh hidup, O Tuan, beri ku makan, minum!

Rahsia Membaca Bible (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)