Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Hayat Amalan Hayat Membaca Bible Rahsia Membaca Bible (2)—Hati Perlu Terbuka
Rahsia Membaca Bible (1)
Membaurkan Pembacaan Sabda Kita dengan Doa
Rahsia Membaca Bible (2)—Hati Perlu Terbuka
2017-01-24 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bible ialah sabda Tuhan, dan penuh dengan cahaya Tuhan. Namun begitu, cahaya ini hanya akan menyinari orang yang terbuka kepada-Nya. Dua Korintus 3:18 berkata, “Tetapi kita semua dengan muka yang tidak diselubungi, seperti cermin menatap dan memantulkan kemuliaan Tuan.” Kelayakan asas untuk disinari kemuliaan Tuan ialah menatap Dia dengan muka yang tidak diselubungi. Jika seseorang datang kepada Tuan dengan muka yang diselubungi, kemuliaan tidak akan menyinarinya. Cahaya Tuhan hanya akan menyinari orang yang terbuka kepada-Nya.

Walaupun matahari menyinari seluruh dunia, namun cahaya matahari tidak akan mencapai seseorang yang duduk di dalam bilik dengan pintu dan tingkap yang tertutup. Masalahnya bukan pada cahaya tetapi pada orang. Cahaya hanya akan menyinari orang yang buka kepadanya. Sebagaimana dengan cahaya fizikal, begitu juga dengan cahaya rohani. Bila-bila kita mengunci diri, cahaya tidak dapat menyinari kita. Kita bukan sahaja perlu meluangkan masa untuk membaca Bible, tetapi juga harus mengambil perhatian sama ada kita orang yang terbuka di hadapan Tuan atau tidak.

Cahaya menyinari orang yang terbuka kepadanya, dan takat sinaran bergantung pada takat bukaan. Inilah suatu hukum. Biarpun semua pintu dan tingkap di sesebuah bilik adalah tertutup, tetapi asalkan ada sedikit celah, cahaya masih dapat masuk. Tidaklah sukar untuk mendapat cahaya. Selagi seseorang mengikut hukum ini, dia akan menerima cahaya. Cahaya Tuhan tidak datang tanpa syarat. Untuk beroleh cahaya Tuhan, seseorang harus memenuhi syarat untuk menerima cahaya terlebih dahulu.

Walaupun setiap anak Tuhan mempunyai Bible, tetapi takat cahaya yang diterima masing-masing adalah berbeza. Sesetengah orang langsung tidak memahami apa yang dikatakan Bible. Ada yang menerima sedikit cahaya semasa membaca. Ada pula yang penuh dengan cahaya semasa mereka membaca. Punca perbezaan ini ialah orang yang membaca Bible itu berbeza. Cahaya Tuhan adalah sama, tetapi orangnya berbeza. Orang yang terbuka kepada Tuhan dapat memahami Bible. Orang yang tertutup kepada Tuhan tidak dapat memahami Bible. Oleh itu, kita tidak harus memandang ringan akan masalah sukar memahami Bible. Jika kita menghadapi kesukaran hendak memahami Bible, sebabnya hanya satu: Kita hidup dalam kegelapan! Membaca Sabda Tuhan namun tidak memahami atau menerima sebarang cahaya daripadanya merupakan perkara yang serius.

Seterusnya, kita harus bertanyakan maksud berbuka kepada Tuhan. Keterbukaan datang daripada persembahan diri yang tanpa syarat dan tanpa menyimpan apa-apa. Keterbukaan kepada Tuhan bukanlah sikap sementara, tetapi sifat yang berkekalan, yang dipupuk seseorang di hadapan Tuhan. Hal ini bukan perbuatan seketika tetapi suatu amalan yang berterusan. Keterbukaan kepada Tuhan hanya datang daripada persembahan diri yang tanpa syarat dan tanpa menyimpan apa-apa. Jika persembahan seseorang kepada Tuhan adalah sempurna dan mutlak, maka dia tidak akan menyimpan apa-apa daripada Tuhan dan tidak akan tertutup dalam cara apa pun. Sedikit sikap yang tertutup menunjukkan kekurangan dalam persembahan diri. Apabila seseorang tidak mempersembahkan diri dalam perkara tertentu, maka dia akan menyimpan sesuatu dalam perkara itu. Apabila seseorang enggan tunduk di hadapan Tuhan dalam sesuatu hal, dia akan cuba mempertahankan dirinya dalam hal tersebut. Lantaran itu, dia tidak dapat memahami kebenaran Bible berkenaan hal tersebut. Sebaik sahaja dia menyentuh hal itu, dia akan cuba mengelak. Inilah sebabnya kita mengatakan bahawa kegelapan datang daripada sikap yang tertutup, dan sikap yang tertutup datang daripada kekurangan persembahan diri. Segala jenis kegelapan wujud disebabkan sikap yang tertutup, dan sikap yang tertutup wujud kerana kurangnya persembahan diri dan ketundukan dalam perkara tertentu. (Petikan daripada How to Study the Bible, oleh Watchman Nee)

Rahsia Membaca Bible (1)
Membaurkan Pembacaan Sabda Kita dengan Doa
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)