Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian PERASAAN HAYAT (Bahagian 3/3)
PERASAAN HAYAT (Bahagian 2/3)
PERSEKUTUAN HAYAT
PERASAAN HAYAT (Bahagian 3/3)
2020-08-23 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (117)

Nota Editor:

“Fungsi atau kegunaan perasaan hayat adalah untuk memberitahu kita secara berterusan tentang di mana kita hidup. Adakah kita hidup dalam hayat alamiah atau dalam hayat Roh? Adakah kita hidup dalam tubuh daging atau dalam roh? Inilah apa yang dimaklumkan oleh perasaan hayat kepada kita secara berterusan, dan untuk tujuan inilah terdapatnya perasaan hayat. Oleh itu, perasaan hayat dalam kita ini ialah satu bimbingan dan penentusahan.”

“Seorang Kristian boleh lemah namun berasa kuat; dia boleh menderita namun berasa damai sejahtera. Dia menderita kerana dia menghadapi kesengsaraan di luar; dia berasa damai sejahtera kerana dia menemui Tuan dan menyentuh Tuan di dalam. Jika kita menghadapi kesengsaraan di luar tetapi tidak berasa damai sejahtera di dalam, maka ada sesuatu yang tidak kena. Tuan mengatakan bahawa di dunia kita mempunyai kesengsaraan, tetapi dalam-Nya kita mempunyai damai sejahtera.”

PERASAAN HAYAT
(Bahagian 3/3)

(Pengetahuan Hayat, Bab 5)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Roma 8:6 “Kerana minda diletakkan pada tubuh daging ialah maut, tetapi minda diletakkan pada roh ialah hayat dan damai sejahtera.”

Yoh. 16:33 “Hal-hal ini telah Kubicarakan kepadamu, agar dalam Aku kamu mempunyai damai sejahtera. Di dunia, kamu mempunyai kesengsaraan, tetapi tabahkanlah hati; Aku telah jayeng atas dunia.”

III. FUNGSI PERASAAN HAYAT

Jadi, apakah itu fungsi atau kegunaan perasaan hayat ini? Fungsi atau kegunaan perasaan hayat adalah untuk memberitahu kita secara berterusan tentang di mana kita hidup. Adakah kita hidup dalam hayat alamiah atau dalam hayat Roh? Adakah kita hidup dalam tubuh daging atau dalam roh? Inilah apa yang dimaklumkan oleh perasaan hayat kepada kita secara berterusan, dan untuk tujuan inilah terdapatnya perasaan hayat. Oleh itu, perasaan hayat dalam kita ini ialah satu bimbingan dan penentusahan. Jika kita mengikut perasaan hayat, kita mengikut bimbingan yang diberikan Tuhan kepada kita, dan pada masa yang sama, kita menerima penentusahan tentang di mana kita hidup.

Sekarang kita harus menerapkan apa yang telah dibicarakan. Perasaan apakah yang memaklumkan kepada kita bahawa kita bukan hidup dalam roh tetapi dalam tubuh daging? Perasaan maut. Sebaik sahaja kita mempunyai perasaan maut, kita harus mengetahui bahawa kita bukan berada dalam roh tetapi dalam tubuh daging. Perasaan maut termasuk kelemahan, kekosongan, kemurungan, kegelapan, dan kesengsaraan. Sebaik sahaja kita mempunyai perasaan sedemikian, ini bermaksud perasaan hayat dalam kita sedang memaklumkan kepada kita bahawa kita sudah tidak betul, kita sudah tidak hidup dalam roh lagi tetapi hidup dalam tubuh daging.

Jadi, perasaan apakah yang diberi oleh perasaan hayat supaya kita mengetahui bahawa kita adalah betul di hadapan Tuhan dan hidup dalam roh? Perasaan ini memberi kita perasaan hayat dan damai sejahtera, iaitu menyebabkan kita berasa kuat, puas, cergas, terang, dan selesa. Bila-bila masa kita berasa kuat, puas, cergas, terang, dan selesa di dalam, ini membuktikan bahawa kita adalah betul di hadapan Tuhan dan hidup dalam roh.

Oleh itu, perasaan hayat dalam kita merupakan satu fungsi yang besar. Perasaan hayat sentiasa ada di situ untuk memimpin kita, iaitu memaklumkan kepada kita tentang di mana kita harus hidup, dan perasaan ini juga terus-menerus menentusahkan di mana kita hidup sekarang. Perasaan inilah yang memimpin kita maju dalam hayat dan juga sentiasa memberi penentusahan agar kita dapat melihat situasi sebenar kita dalam hayat. Dengan itu, perasaan hayat ini ialah bimbingan dan penentusahan dalam kita. Bila-bila masa perasaan ini menyebabkan kita berasa hayat dan damai sejahtera di dalam, ini membuktikan bahawa kita tidak ada masalah dalam hayat. Bila-bila masa perasaan ini menyebabkan kita berasa tidak ada hayat dan damai sejahtera, ini membuktikan bahawa kita ada masalah dalam hayat.

Kamu mungkin mengatakan bahawa kamu tidak berasa ada hayat dan damai sejahtera, dan juga tidak berasa tidak ada hayat dan damai sejahtera dalam kamu. Kamu tidak berasa kuat, puas, cergas, terang, selesa, atau tenang, dan kamu juga tidak berasa tidak kuat, tidak puas, tidak cergas, tidak terang, tidak selesa, atau tidak tenang. Kalau kamu berada dalam keadaan sedemikian, ini membuktikan bahawa kamu ada masalah. Kita perlu secara positif mempunyai perasaan hayat dan damai sejahtera. Kita harus berasa kuat, puas, cergas, terang, selesa, dan tenang di dalam; dengan itu, barulah semuanya baik. Walaupun pada masa tertentu, Tuhan ingin memimpin kita keluar daripada perasaan kita dan menyebabkan kita seolah-olah masuk ke dalam gua, namun bahkan di dalam gua pun kita masih mempunyai perasaan hayat dan damai sejahtera dalam bahagian terdalam kita. Meskipun perasaan luaran telah lenyap, tetapi perasaan hayat dan damai sejahtera masih ada dalam bahagian terdalam.

Hayat dan damai sejahtera ialah perasaan positif yang diberikan oleh perasaan hayat kepada kita secara dalaman, dengan itu membuktikan bahawa keadaan kita dalam hayat adalah normal. Kelemahan dan perasaan tidak senang pula ialah perasaan negatif yang diberikan oleh perasaan hayat kepada kita secara dalaman, dengan itu membuktikan bahawa kita ada masalah dalam hayat. Ini kerana perasaan lemah dan tidak senang ialah perasaan maut. Perasaan maut semestinya datang daripada meletakkan minda pada tubuh daging dan menyentuh hal-hal di luar Tuhan. Setiap perasaan maut membuktikan bahawa kita telah sedikit sebanyak meletakkan minda pada tubuh daging, dan kita telah sedikit sebanyak menyentuh hal-hal di luar Tuhan. Sehubungan itu, sama ada kita meletakkan minda pada tubuh daging atau tidak, sama ada kita hidup dalam roh atau tidak, sama ada kita menyentuh Tuhan atau tidak, semuanya bergantung pada hayat dan damai sejahtera ataupun kelemahan dan perasaan tidak senang dalam kita. Jika terdapat hayat dan damai sejahtera dalam kita, maka ini membuktikan bahawa kita hidup dalam roh, kita menyentuh Tuhan. Jika kita berasa lemah dan tidak senang di dalam, ini membuktikan bahawa kita meletakkan minda pada tubuh daging dan menyentuh hal-hal di luar Tuhan. 

Seorang Kristian tidak semestinya langsung tidak berasa lemah, tetapi bahkan ketika dia berasa lemah, dia tetap harus berasa kuat. Dia berasa lemah kerana dia mengenali dirinya; dia berasa kuat kerana dia menyentuh Kristus dan mengenali Kristus sebagai hayatnya. Jika kita selalu berasa lemah sahaja dan tidak berasa kuat, maka ada sesuatu yang tidak kena. Dutus mengatakan bahawa ketika dia lemah, ketika itulah dia berkudrat (2 Kor. 12:10). Seorang yang kuat, biarpun dia merasakan kelemahannya sendiri, tidak mengendahkan kelemahan itu. Jika kita selalu mengendahkan kelemahan kita dan tidak dapat menjadi kuat, ini membuktikan bahawa kita ada masalah. Kita mungkin masih sedikit sebanyak berada dalam tubuh daging kerana kelemahan itu sejenis perasaan maut, dan perasaan maut selalunya datang daripada meletakkan minda pada tubuh daging.

Seorang Kristian boleh lemah namun berasa kuat; dia boleh menderita namun berasa damai sejahtera. Dia menderita kerana dia menghadapi kesengsaraan di luar; dia berasa damai sejahtera kerana dia menemui Tuan dan menyentuh Tuan di dalam. Jika kita menghadapi kesengsaraan di luar tetapi tidak berasa damai sejahtera di dalam, maka ada sesuatu yang tidak kena. Tuan mengatakan bahawa di dunia kita mempunyai kesengsaraan, tetapi dalam-Nya kita mempunyai damai sejahtera (Yoh. 16:33). Seorang yang hidup dalam Tuan, iaitu seorang yang hidup dalam roh, mungkin menghadapi banyak kesengsaraan di luar tetapi dia masih mempunyai damai sejahtera di dalam. Jika tidak, ini membuktikan bahawa dia bukan hidup dalam roh. Kalau sewaktu dalam kesengsaraan kita tidak mempunyai damai sejahtera di dalam, ini sudah membuktikan bahawa kita bukan hidup dalam roh, apatah lagi sewaktu tidak ada kesengsaraan; kalau kita juga tidak mempunyai damai sejahtera di dalam, ini lebih-lebih lagi membuktikan bahawa kita bukan hidup dalam roh.

Oleh itu, bagaimana keadaan kita dalam hayat, sama ada kita meletakkan minda pada tubuh daging atau meletakkan minda pada roh, sama ada kita hidup dalam tubuh daging atau hidup dalam roh, semuanya ditentusahkan dan dimaklumkan kepada kita menerusi perasaan hayat dalam kita. Melalui penentusahan inilah perasaan hayat membimbing kita di dalam. Hanya apabila kita mengikut bimbingan daripada penentusahan ini, barulah kita dapat hidup dalam hayat. Dengan itu, jika kita ingin maju dalam hayat, kita perlu memberi perhatian kepada penentusahan dan pimpinan yang diberikan oleh perasaan hayat kepada kita dari dalam.

PERASAAN HAYAT (Bahagian 2/3)
PERSEKUTUAN HAYAT
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
Nikos Ling pada 2020-08-23
Tuan mengatakan bahawa di dunia kita mempunyai kesengsaraan, tetapi dalam-Nya kita mempunyai damai sejahtera.