TELADAN JUSTIFIKASI
Ayat-ayat Bible: Roma 4:1-25
Kajian-hayat: Mesej 6
Bacaan Bible:
Roma 4:3 Sebenarnya apakah yang dikatakan Kitab? Abraham percaya kepada Tuhan, dan ini dikira kepadanya sebagai keadilbenaran.
Roma 4:17 (Sebagaimana yang tertulis, "Aku telah melantik kamu sebagai bapa banyak bangsa") di mata Tuhan yang dipercayainya, yang memberi hayat kepada yang mati dan memanggil benda yang tidak wujud menjadi wujud.
Petikan Bacaan:
Pembaca sekalian, walaupun buku Roma meliputi banyak doktrin, namun sebenarnya penulisan buku ini adalah berdasarkan fakta dan pengalaman. Dalam mesej ini, kita akan meneliti Abraham; dialah teladan justifikasi. Dia ialah model kita dan teladan kita.
ORANG YANG DIPANGGIL
Adam dicipta, manakala Abraham pula dipanggil. Kita telah lihat bahawa bangsa yang dicipta itu telah jatuh ke tahap menukarkan Tuhan dengan berhala. Oleh itu, Tuhan tidak dapat berbuat apa-apa lagi terhadap mereka. Bagi Tuhan, bangsa yang dicipta dan dikepalai oleh Adam itu tidak lagi berharapan, maka Dia meninggalkan mereka sepenuhnya. Akan tetapi, daripada bangsa yang dicipta dan jatuh itu, Tuhan memanggil Abraham untuk menjadi bapa dan kepala bangsa yang baru, iaitu bangsa yang dipanggil. Kita milik bangsa yang mana satu? Bangsa yang dicipta atau bangsa yang dipanggil? Kita milik bangsa yang dipanggil. Akan tetapi, kita sama seperti Abraham bapa leluhur kita. Seperti dia, kita memberi respons kepada panggilan Tuhan langkah demi langkah, bukannya secara mutlak. Kita semua berada dalam proses menyahut panggilan Tuhan. Tidak kira betapa lemahnya kamu, saya yakin bahawa akhirnya kamu akan dipanggil keluar.
Tuhan memanggil Abraham dengan menampakkan diri kepada-Nya sebagai Tuhan kemuliaan (Kis. 7:2-3). Tuhan bukan sahaja memanggil Abraham dengan tutur kata; Dia juga memanggilnya dengan kemuliaan-Nya. Abraham melihat kemuliaan Tuhan dan dia terus dipikat. Begitu juga halnya dengan pengalaman kita. Dari satu segi, kita juga telah melihat kemuliaan Tuhan. Apabila kita mendengar injil dan injil menusuk diri kita, kita telah melihat kemuliaan Tuhan. Bukankah kamu pernah melihat kemuliaan Tuhan ketika kamu diselamatkan? Kata-kata manusia tidak dapat menggambarkan dengan sepenuhnya apa yang kita lihat apabila injil menusuk diri kita. Kita hanya boleh mengatakan bahawa Tuhan kemuliaan telah menampakkan diri kepada kita, memikat kita, dan memanggil kita.
ORANG YANG PERCAYA
Bangsa yang dipanggil menjadi bangsa yang percaya. Pada mulanya, Abraham seorang yang dipanggil, kemudian dia menjadi seorang yang percaya. Dia telah meninggalkan segala-galanya dan tidak ada jalan untuk mara melainkan bersandar pada Tuhan. Dia bersandar pada Tuhan kerana dia tidak tahu ke mana dia akan pergi. Jika kita mengkaji sejarah Abraham, kita akan melihat bahawa kehidupannya ialah kehidupan yang bersandar, iaitu kehidupan iktikad. Tuhan tidak mahu Abraham berbuat apa-apa. Tuhan seakan-akan memberitahunya, “Abraham, Aku telah memanggil engkau. Jangan lakukan apa-apa. Aku akan melakukan segala-galanya untukmu. Engkau hanya perlu tinggal bersama dengan Aku. Apabila Aku bergerak, engkau bergerak. Ke mana sahaja Aku pergi, engkau harus pergi juga. Jangan lakukan apa-apa untuk dirimu atau melalui dirimu." Inilah maksud bersandar pada Tuhan.
Percaya kepada Tuan bermaksud bahawa kita harus menamatkan diri kita, mengakui bahawa kita bukan apa-apa, tidak mempunyai apa-apa, dan tidak dapat berbuat apa-apa. Kita harus bersandar pada-Nya dalam setiap langkah dan pada setiap saat. Saya tidak tahu cara melakukan apa-apa; saya hanya tahu bersandar pada Tuan saya. Saya telah dipanggil untuk meninggalkan segala sesuatu yang bukan Tuhan dan kini saya percaya kepada segala-gala yang merupakan Tuhan. Saya percaya kepada-Nya, dan saya juga percaya kepada segala-gala yang telah disempurnakan-Nya untuk saya. Saya percaya kepada apa yang mampu dilakukan-Nya untuk saya, dan saya juga percaya kepada apa yang akan dilakukan-Nya untuk saya. Saya menaruh keyakinan penuh kepada-Nya. Inilah kesaksian bangsa yang dipanggil dan yang percaya. Sebagai anak-anak kepada Abraham, yakni bapa iktikad, kita ialah orang yang percaya (Gal. 3:7-9).
A. Tuhan yang Memanggil Benda yang Tidak Wujud Menjadi Wujud
Apakah jenis Tuhan yang dipercayai Abraham? Siapakah Tuhan yang kita percaya? Tuhan yang dipercayai Abraham ialah Tuhan yang memanggil benda yang tidak wujud menjadi wujud (4:17). Ketika Ishak masih belum wujud dan mustahil untuk dia wujud. Tuhan mengisytiharkan, "Harus wujudnya Ishak." Maka Ishak dilahirkan. Tuhan telah memanggil sesuatu yang tidak wujud menjadi wujud. Kita harus percaya kepada Tuhan yang sama, kerana Dialah Pencipta maha perkasa yang memanggil benda tidak wujud menjadi wujud.
B. Tuhan yang Memberi Hayat kepada yang Mati
Tuhan yang dipercayai Abraham ialah Tuhan yang memberi hayat kepada yang mati (4:17). Ini bermaksud bahawa Tuhan dapat membangkitkan orang mati. Abraham mengalami hal ini apabila dia disuruh Tuhan untuk mempersembahkan Ishak. Abraham mematuhi suruhan itu. Ketika Abraham mempersembahkan lshak, dia percaya bahawa Tuhan akan membangkitkan dia daripada yang mati (Ibr. 11:17-19). Dia percaya bahawa Tuhan akan memberi hayat kepada anaknya dan dia akan beroleh anaknya semula dalam kebangkitan.
Kita harus percaya kepada Tuan Yesus dengan cara yang sama. Kita percaya bahawa Tuhan ialah Pencipta yang memanggil benda yang tidak wujud menjadi wujud, Kita juga percaya bahawa Tuban ialah Pemberi hayat, iaitu Dia yang dapat membangkitkan orang mati, Dia dapat mencipta sesuatu daripada ketiadaan, dan Dia juga dapat memberi hayat kepada yang mati.
Soalan-soalan Kajian:
1. Doa-baca Roma 4:3 dan nota kaki 1. Jelaskan perkaitan antara percaya kepada Tuhan dengan penampakan Tuhan yang mulia.
2. Kongsikan dengan teman rohani anda tentang pengalaman terhadap Tuhan yang memanggil benda yang tidak wujud menjadi wujud dan Tuhan yang memberi hayat kepada yang mati.