Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Roma Mesej 57 (2): Keadilbenaran—Kudrat Injil (2)
Mesej 57 (1): Keadilbenaran - Kudrat Injil (1)
Mesej 58: Pemilihan Kurnia
Mesej 57 (2): Keadilbenaran—Kudrat Injil (2)
2021-10-05 | 0 Komen
A- A+ Simpan

KEADILBENARAN—KUDRAT INJIL (2)

Ayat-ayat Bible: Roma 1:16-17

Kajian-hayat: Mesej 57

Bacaan Bible: 

Roma 1:16-17 Kerana aku tidak berasa malu akan injil; sesungguhnya injil ini kudrat Tuhan untuk menyelamatkan setiap orang yang percaya, orang Yahudi dahulu, kemudian orang Yunani. Kerana keadilbenaran Tuhan dinyatakan dalam injil ini daripada iktikad kepada iktikad, sebagaimana yang tertulis, “Tetapi yang adilbenar akan beroleh hayat dan hidup melalui iktikad.”

Petikan Bacaan: 

KEADILBENARAN TUHAN DIMANIFESTASIKAN DAN DIPAPARKAN

Dalam 3:21, Paulus membicarakan kata-kata yang selanjutnya berkenaan keadilbenaran, “Tetapi sekarang, di luar hukum, keadilbenaran Tuhan telah dimanifestasikan, dengan dipersaksikan oleh Hukum dan Penyabda.” Mengatakan bahawa keadilbenaran Tuhan telah dimanifestasikan di luar hukum bererti keadilbenaran Tuhan bukan berdasarkan perbuatan kita, iaitu bukan berdasarkan kita mematuhi hukum. 

Tuhan melewati dosa-dosa banyak pekudus dalam Wasiat Lama, seperti Habel, Nuh, Abraham, Yakub, dan Daud. Dosa-dosa mereka masih wujud, tetapi ditutupi oleh tamsil, iaitu oleh darah korban sembelihan yang mentamsilkan Kristus korban itu. Dalam hal ini, tamsil Wasiat Lama boleh disamakan dengan nota janji. Tamsil itu bukan bayaran sebenar untuk hutang, tetapi merupakan janji teguh yang memastikan bayaran penuh akan dibuat. Oleh sebab Kristus masih belum datang untuk mati di atas salib, maka Tuhan memberi pendosa-pendosa dalam Wasiat Lama satu nota janji. Korban propisiasi atau ekspiasi, yang memprabayangkan Kristus, memenuhi segala tuntutan adilbenar Tuhan. Oleh itu, Dia dapat melewati dosa umat yang berlaku pada zaman Wasiat Lama. Di samping itu, untuk memaparkan keadilbenaran-Nya, Dia perlu berbuat demikian. 

Semasa Tuan Yesus mati di atas salib, Dia menggenapi segala tamsil bagi kematian-Nya yang berkorban dan yang menebus. Pada masa itu, nota janji digantikan oleh bayaran yang sebenar. Dengan mengampuni kita, Tuhan memaparkan keadilbenaran-Nya. Dia membuat pengisytiharan kepada seluruh alam semesta bahawa disebabkan Dia adilbenar, Dia mesti mengampunkan dosa-dosa kita. Oleh sebab Anak-Nya Tuan Yesus Kristus dimatikan-Nya di atas salib bagi pihak kita, Dia wajib mengampuni kita dari segi hukum. Sama ada Dia berasa gembira dengan kita atau tidak, Dia mesti mengampuni kita menurut keadilbenaran-Nya. Tuhan tahu bahawa pada bila-bila masa seseorang itu merujuk kepada Kristus yang bangkit dan naik ke syurga sebagai resit bayaran untuk dosa-dosa, Tuhan mesti mengampuninya. Dalam hal ini, Tuhan tidak ada pilihan. 

MEMANDANG KRISTUS YANG NAIK KE SYURGA 

Kita tidak harus memandang diri sendiri, tetapi harus memandang Kristus yang naik ke syurga. Ibrani 1:3 mengatakan bahawa setelah Kristus menyempurnakan penyucian dosa-dosa, Dia duduk di tempat tinggi di sebelah kanan Yang Maha Agung. Kristus yang naik ke syurga dan duduk di sebelah kanan Tuhan ialah resit bayaran demi pengampunan kita. Hal ini amat bermakna kerana hal ini ialah asas penyelamatan kita. Setiap kali zimah kita mengutuk kita disebabkan oleh kegagalan kita, kita perlu ingat untuk berdiri di atas asas keadilbenaran Tuhan. Pada masa sedemikian, kamu perlu memuji Tuhan atas keadilbenaran-Nya. Beritahulah Dia bahawa tidak kira berapa banyak kali kamu gagal, Kristus masih berada di sebelah kanan-Nya sebagai resit bayaran untuk segala hutang kamu. Pengalaman kita mungkin naik turun, tetapi Tuhan kekal adilbenar. Setiap kali kita mengisytiharkan darah Yesus dan merayu kepada keadilbenaran Tuhan, Tuhan tidak ada pilihan melainkan mengampuni kita (1 Yoh. 1:9).    

ASAS PENGALAMAN KITA TERHADAP KRISTUS 

Pengalaman kita terhadap Kristus bergantung pada asas keadilbenaran Tuhan. Jangan sekali-kali yakin pada diri kita dengan beranggapan bahawa kita tidak akan berundur atau mengecewakan Tuan. Asas itu bukan kesungguhan hati atau kemenangan kita; asas itu ialah keadilbenaran Tuhan, yakni asas takhta Tuhan yang tidak dapat bergoyah. Tuhan telah memaparkan keadilbenaran-Nya dengan melewati dosa-dosa pekudus Wasiat Lama dan mengampunkan dosa-dosa kita pada zaman Wasiat baru. Dengan melakukan hal-hal ini, Tuhan telah membuktikan bahawa Dia adalah adilbenar. Kini keadilbenaran ini ialah asas kita. 

DIKONSTITUSIKAN SEBAGAI KEADILBENARAN TUHAN 

        Dalam 2 Korintus 5:21, Paulus berkata, “Dia yang tidak mengenal dosa dijadikan dosa oleh Tuhan bagi pihak kita supaya kita dapat menjadi keadilbenaran Tuhan dalam-Nya.” Menurut ayat ini, kita bukan sahaja menjadi adilbenar di mata Tuhan, bahkan kita juga dikonstitusikan sebagai keadilbenaran. Dalam Kristus, kita sedang menjadi keadilbenaran Tuhan. Pengalaman ini adalah subjektif dan agak dalam. Dalam 1 Korintus terdapat keadilbenaran objektif, tetapi dalam 2 Korintus terdapat keadilbenaran subjektif. Hal ini bermaksud bahawa kita bukan sahaja adilbenar di hadapan Tuhan, tetapi kita juga menjadi keadilbenaran Tuhan. 

Kita menjadi keadilbenaran Tuhan menerusi kerja transformasi. Tuhan sedang menjalankan proses mentransform kita dengan Kristus. Semakin banyak kita ditransform oleh Tuhan secara demikian, semakin banyak kita menjadi keadilbenaran Tuhan. Sebagai keturunan Adam, kita ialah dosa. Akan tetapi, sebagai anggota-anggota Kristus, Kristus sedang digarapkan ke dalam kita untuk mentransform kita secara beransur-ansur daripada dosa menjadi keadilbenaran. Keadilbenaran bermaksud menjadi betul terhadap Tuhan dalam setiap aspek. Hal ini bermakna bahawa dalam apa jua perkara kamu tidak bersalah dan adalah wajar di mata Tuhan. 

Soalan Kajian: 

1. Huraikan bagaimana Tuhan memaparkan keadilbenaran-Nya yang merupakan asas pengalaman kita terhadap Kristus. 

2. Setiap kali zimah kita mengutuk kita disebabkan oleh kegagalan kita, kita perlu ingat untuk berdiri di atas asas keadilbenaran Tuhan. Kongsikan pengalaman anda berkenaan butir ini. 

Mesej 57 (1): Keadilbenaran - Kudrat Injil (1)
Mesej 58: Pemilihan Kurnia
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)